SEREMBAN 7 April - Seorang warga emas yang mendakwa dirinya Tan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini selepas menghadapi 75 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan kerugian berjumlah RM208,900, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ibrahim Saidun, 60, yang berkerusi roda mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.
Mengikut pertuduhan, Ibrahim yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat swasta didakwa menipu Rusman Sulaiman, 51, de-ngan memperdaya lelaki itu bahawa tertuduh adalah Ketua Pengarah Unit Strategik di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan berpangkat Tan Sri.
Tertuduh mendakwa dapat membantu mangsa menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Kuala Pilah bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei tahun lalu.
Perbuatan tersebut mendorong mangsa menyerahkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh untuk membeli tiket penerbangan dan bil penginapan hotel yang kesemuanya berjumlah RM208,900 antara tahun 2011 dan 2012.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Abu Hasan Tamli mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Muhamad Abu Hasan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan tersebut dengan alasan ia melibatkan nilai kerugian yang besar.
Ibrahim yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan selain meminta dia dikembalikan ke wad hospital dengan alasan sakit dan tidak boleh berjalan.
Jagjit membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 7 Mei depan bagi tarikh sebutan semula untuk pihak pendakwaan mengemukakan dokumen-dokumen selain memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.
(terimakasih sumber berita: utusan online)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140408/ma_01/Tan-Sri-hadapi-75-tuduhan#ixzz2yGQAYTUo
© Utusan Melayu (M) Bhd
zmsegamat kata:
'ORANG SEBEGINI' ramai berkeliaran di kalangan kita di luar sana.. harap kita tidak terpedaya dan percaya dengan 'ORANG SEBEGINI" yang selalu bergambar-gambar dengan VVIP atau pembesar Kerajaan atau Orang Politik yang berpengaruh dan gambar-gambar ini akan di paparkan di media siber seperti FB dan lain-lain media siber.
selain dari itu ada juga 'ORANG SEBEGINI' yang amat berminat untuk bercakap dan menonjolkan diri di dalam seminar atau forum untuk mempopularkan diri "DIA"
No comments:
Post a Comment