ARKIB : 22/04/2014
1.0 SENARIO politik negara kini berbeza berbanding dengan 20 dan 30 tahun lepas. Hal ini lebih jelas terutama pasca krisis 1998. UMNO mesti berubah. Orang UMNO, khususnya pemimpin mereka di semua peringkat mesti berubah. Tidak boleh lagi ambil mudah dengan apa yang telah, sedang dan yang akan berlaku. Dalam erti kata lain, "Can't take for granted".
2.0 Sekarang, rakyat semakin celik politik dan tidak menerima bulat-bulat apa yang pemimpin kerajaan atau menteri perkatakan. Mereka semakin pandai menilai mana yang betul dan sebaliknya. Kalau dahulu, orang Melayu khususnya, dengan mudah menerima apa sahaja yang diperkatakan pemimpin UMNO, kini kelihatannya tidak lagi. Kawasan pengundi yang majoritinya didiami orang Melayu bukan lagi boleh dianggap sebagai fixed deposit untuk kerusi-kerusi UMNO. Realitinya, UMNO suka atau tidak, harus menempuh cabaran yang mendatang.
3.0 Dari satu sisi, pengundi muda Melayu semakin ramai yang cerdik pandai. Mereka lebih kritikal dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan dan membuat perbandingan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan di negara lain. Pengundi muda masa kini lebih terbuka. Ini kerana mereka telah menerima pendidikan di luar negara yang secara umum suasananya lebih terbuka dan telah terdedah dengan cara pentadbiran kerajaan di luar negara yang begitu tinggi integriti mereka.
4.0 Jika itu pilihan mereka setakat hari ini, maka menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti adalah tidak adil untuk menyalahkan mereka ini bulat-bulat. Sebaliknya, kita - dalam konteks ini kerajaan Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO yang perlu menyedarkan mereka dengan menggerakkan program-program kenegaraan untuk mereka memahami struktur negara ini. Iaitu, dengan memfokuskan sejarah pembentukan negara Malaysia itu sendiri. Program perkaderan pelajar-pelajar di institusi pengajian dalam dan luar negara mesti diperkemas. Buat masa ini, kelihatan program perkaderan untuk pelajar-pelajar ini lebih didominasi oleh parti-parti pembangkang khususnya Pas. Hal ini perlu menjadi agenda utama dalam menarik sokongan akar umbi dalam kalangan para pelajar di institusi pengajian tinggi.
5.0 Cabaran UMNO selanjutnya adalah berhadapan dengan golongan pendidik agama yang lebih cenderung pula kepada pergerakan sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai nama partinya. Dianggarkan lebih 80 peratus golongan lulusan agama, sama ada dari dalam mahupun luar negara, lebih cenderung ke arah parti pembangkang iaitu Pas.
6.0 Pengundi-pengundi telah mula lebih kritikal dalam menilai tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka. Adakah cakap serupa bikin kerana kita lihat apa yang berlaku ketika ini ramai yang cakapnya tak serupa bikin pula. Sebagai contoh, hidup bermewah-mewah dan kelihatan di luar kemampuan sebenar dengan dibiarkan rakyat sekeliling hidup dalam kepayahan dan kesusahan. Kumpulan ini kelihatannya masih tidak membantu peniaga-peniaga Melayu dalam erti kata sebenar. Mereka hanya membantu kroni sahaja dan sebahagian besarnya hanya menjadi nominee atau ali baba. Sedangkan peniaga-peniaga sebenar Melayu tidak dibantu atau dibantu hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Kumpulan yang diamanahkan untuk membantu peniaga Melayu, masih lagi kelihatan rapat dengan peniaga-peniaga kaum asing dan membiarkan peniaga-peniaga Melayu sebenar terkontang-kanting tidak dibantu.
7.0 Dari sudut pandang lain pula, mahu tidak mahu ahli UMNO terpaksa akui survival parti-parti komponennya kian lemah dari sehari ke sehari. Parti-parti ini tidak dapat berdiri sendiri tanpa sokongan dan dokongan UMNO. Terbaharu, kekalahan MCA tempoh hari di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang walaupun calonnya yang diakui cukup berkredibiliti di atas kertas, telah memberi saingan yang cukup sengit. Cuma, hakikatnya peti-peti undi atau pusat daerah mengundi kaum Tionghua masih liat untuk kembali kepada MCA. Sedangkan, UMNO sendiri sedang bergelut mempertahan kerusi-kerusinya. Dalam masa sama pula, perlu berjuang untuk membantu parti-parti komponen lain mendapatkan kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada mereka. Jika ini berterusan, nescaya sesuatu yang tidak sihat akan memberi tempias kepada BN dalam tempoh jangka masa panjang ini.
8.0 Merenung ke dalam parti, kelihatannya masih berlaku 'cah keting'. Ia terjadi bukan setakat di peringkat cawangan atau bahagian, malahan di peringkat tertinggi. Kalau sesiapa perasan, kekadang berlaku black out berita terhadap pemimpin tertentu dalam media-media arus utama kerajaan. Terdapat beberapa faction dalam UMNO yang akan melemahkan UMNO dalam jangka masa pendek dan panjang.
9.0 Kita juga cukup bimbang andai kata sokongan kakitangan kerajaan kepada kerajaan BN/UMNO semakin merosot. Andai ketidakpuasan hati kakitangan kerajaan terhadap beberapa dasar dan keputusan kerajaan benar, apakah impaknya? Apakah kaedahnya untuk mengembalikan semula sokongan ini? Yakni, menjelaskan secara fakta, keputusan kerajaan itu memang tepat dan menepati kehendak ramai dan semasa.
10.0 Apakah benar dalam kalangan golongan pendidik, dianggarkan sekitar 70 peratus terdiri daripada penyokong dan aktivis parti pembangkang? Kita perlu menyemaknya dan membuktikan fakta ini sebelum segalanya sudah terlewat. Ini juga untuk mengelakkan tanggapan seolah-olah tidak ada sebarang usaha untuk menangani permasalahan ini. Cuma, yang sering hinggap di telinga adalah permasalahan ini begitu ketara sejak 2004. Bahkan, begitu jelas dalam dua pilihan raya umum yang baru lepas.
11.0 Terdapat segelintir pemimpin UMNO di pelbagai peringkat sibuk mengejar projek sehingga terlupa tugas hakiki mereka sebagai pemimpin untuk menjaga UMNO. Mereka ini perlu dikembalikan ke destinasi sebenar. Destinasi dan titik asal tujuan penubuhan UMNO.
Pastikan UMNO dapat merampas kembali kesemua kerusi yang majoriti pengundinya orang Melayu yang kini dipegang oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Buktikan bahawa orang Melayu masih memerlukan UMNO dan hanya menjadikan UMNO sebagai wadah pelindung dan penyelamat bangsa Melayu di Malaysia ini. UMNO mesti berubah. Tidak berubah nasib sesuatu kaum itu melainkan ianya merubah diri sendiri. Demi masa depan anak cucu kita, marilah kita bermuhasabah diri. Berlapang dada menerima teguran. UMNO wajib di transformasikan.
Hidup UMNO!
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.
terimakasih sumber: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140422/re_02/Masih-kebalkah-UMNO#ixzz2ziYCEJ3A
© Utusan Melayu (M) Bhd