Saturday, September 28, 2013

Salahkah bumiputera dibantu?

SAYA tidak akan sesekali melupakan jasa seorang guru yang berbangsa Tionghua semasa menuntut di sekolah menengah. Guru saya ini telah mengajar selama 35 tahun di sekolah tersebut yang mana hampir seratus peratus berbangsa Melayu dan bumiputera. Dia tidak pernah merungut, berkira mahupun mengajar ala kadar meskipun anak- anak muridnya berlainan bangsa. Paling tidak dilupakan, guru saya ini sanggup mengajar kelas persediaan petang tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Tidak keterlaluan dikatakan, beliaulah antara individu yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil jurusan perakaunan selain keluarga saya. Meskipun bekas sekolah menengah saya ini berpindah dari Seremban ke Senawang pada tahun 2002, beliau tetap mengajar anak- anak bumiputera sehinggalah di saat akhir hari persaraannya pada tahun 2007.

Saya benar-benar tersentuh dengan dedikasi kerjanya yang tidak pernah menganggap kami anak-anak muridnya sebagai “orang luar" meskipun berlainan bangsa. Beliau juga tidak pernah menyentuh atau mengungkit hak-hak bumiputera di hadapan kami meskipun kami semuanya adalah kaum bumiputera yang rata-ratanya berlatar belakangkan keluarga miskin.

Kami diajar dengan sebaik mungkin. Begitu juga, kami dibantu sepenuhnya oleh kerajaan. Bantuan yang diberikan tidak usah cakaplah. Serba serbi dibantu. Kalau mengharapkan kewangan keluarga, rasa-rasanya saya terpaksa berfikir dua kali untuk bersekolah di situ.

Selepas tamat belajar di sekolah menengah, ramai di antara kami dihantar ke luar negara. Kerajaan bantu sebaik mungkin anak- anak miskin seperti kami. Kami bertuah kerana “terpilih" dibantu oleh kerajaan sehinggakan ada di antara kami sudah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sememangnya, kerajaan telah banyak membantu kaum bumiputera. Mereka ini bukan sahaja bergelar CEO, malahan ada yang menjadi jutawan dan hartawan. Sudah sampai masanya mereka menyumbang kembali kepada golongan miskin sebagaimana mereka telah dibantu oleh kerajaan sebelum ini.

Malangnya, ada dalam kalangan mereka ini sudah tidak nampak daratan, bahkan ada di antaranya malu melihat kaum bumiputera dibantu. Mungkin sudah terlalu lama berada di seberang laut, maka, membuatkan mereka terlupa di manakah daratan.

Dibantu pula oleh segelintir pihak bukan bumiputera yang tidak puas hati dengan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera, maka usaha kerajaan ini menjadi kebimbangan pula kepada mereka. Tidak sebagaimana guru saya yang dinyatakan di atas, segelintir pihak ini terus menerus mempertikaikan hak keistimewaan kaum bumiputera.

Salahkah kaum bumiputera dibantu? Bukankah itu sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu kaum yang masih ketinggalan? Benar, bukan semua kaum bumiputera yang miskin, ramai juga yang sudah berjaya tetapi jangan lupa, lagi ramai yang perlu dibantu.

Saya cukup hairan apabila ada yang berhujah seolah-olah tidak wajar membantu kaum Bumiputera. Alasan yang diberikan tidak selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE). Saya tidak nampak, membantu kaum bumiputera tidak konsisten dengan MBE. Objektif MBE untuk menjadikan ekonomi Malaysia mampan, keterangkuman dan rakyatnya berpendapatan tinggi.

Bagaimana MBE boleh tercapai jika kaum bumiputera yang mewakili lebih 60 peratus populasi rakyat Malaysia secara puratanya berpendapatan rendah? Atau kita mahu lihat sebagaimana berlakunya di Amerika Syarikat (AS), jurang pendapatan rakyat termiskin dan kaya semakin melebar?

Bagaimana pula MBE dikatakan sebagai keterangkuman sekiranya majoriti rakyat Malaysia masih ketinggalan dari segi pendapatan, kurang memiliki aset dan tidak mendapat pendidikan yang terbaik? Adakah ekonomi Malaysia akan mampan jika kedua-dua objektif MBE ini iaitu, keterangkuman dan rakyatnya berpendapatan tinggi tidak tercapai?

Hujah pihak yang menyatakan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera tidak konsisten dengan MBE langsung tidak boleh dipakai. Terdapat juga hujah yang mengungkit-mengungkit bahawa cukai juga dibayar oleh kaum lain, maka GLC bukanlah hak bumiputera tetapi hak kaum lain juga. 

Usahlah mengungkit-mengungkit atau berkira sangat, kalau kita terlalu mengungkit, orang lain juga boleh mengungkit.

Selama ini, kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum lain. Malahan, diberi pelbagai bantuan. Periksalah berapa banyak bantuan diberikan. Hasil kerajaan bukan terletak pada cukai syarikat sahaja tetapi juga royalti minyak Petronas yang majoriti pekerjanya adalah orang Melayu dan bumiputera yang bekerja bertungkus lumus dengan begitu dedikasi bagi memperoleh hasil untuk negara dan rakyat Malaysia.

Kalau nak diungkit-diungkit lagi, sejauh manakah kaum bumiputera benar-benar dilayan dengan baik apabila bekerja di syarikat-syarikat yang bukan milik bumiputera? Adakah gaji dan peluang kenaikan pangkat dilayan secara adil ke atas kaum bumiputera berbanding kaum bukan bumiputera?

Bagaimana pula dengan fakta bahawa betapa ramainya kaum bukan bumiputera yang menduduki rangking terkaya di Malaysia? Adakah mereka menjadi kaya tanpa bantuan kerajaan dan kaum bumiputera? Tiada siapa di antara mereka yang boleh menafikan fakta bahawa kerajaan yang berteraskan kaum Melayu dan Bumiputera inilah yang banyak membantu mereka menjadi hartawan, jutawan dan bilionair. Begitu juga, tiada siapa yang boleh menyangkal betapa kerajaan telah banyak membantu kaum bukan bumiputera selama ini.

Jadi, apa masalahnya dengan tindakan kerajaan yang mahu membantu kaum bumiputera? Tindakan kerajaan berpaksikan keperluan, keadilan dan kesaksamaan. Analoginya cukup mudah, kalau seorang bapa mempunyai sepuluh orang anak, dan empat daripadanya telah berjaya, manakala enam lagi masih memerlukan bantuan dan sokongan bapanya, adakah mereka ini tidak layak dibantu?

Bapa tersebut boleh sahaja berlaku kejam dengan tidak mahu mempedulikan nasib keenam-enam anaknya tetapi sanggupkah dia? Tepuk dada tanya selera. Maka, sebagai “bapa" yang bertanggungjawab dalam keluarga yang besar, kerajaan berhak membantu kaum bumiputera sebagaimana kerajaan selama ini banyak membantu kaum bukan bumiputera.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan,
Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.


(terimakasih sumber: utusan online)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130926/re_03/Salahkah-bumiputera-dibantu#ixzz2g8lyMvFV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

Anonymous said...

supaya semua dapat equal playing ground, hapus lah wang wang haram saperti hasil dadah, rasuah termasuk di pengurusan usaha swasta makna nya harus ikut cooperate governance, rasuah, diberi atau memberi kedua dua nya dituduh, dan mendidik nilai murn dari anak anak lagi