1.0 BIASALAH, lain orang lain pandangan mengenai Bajet 2013. Najib kata, bajet untuk rakyat. Pembangkang kata, Bajet PRU13. Ada orang kata habuan untuk semua lapisan masyarakat. Orang lain pula kata gula-gula membeli undi.

2.0 Apa pun satu soalan yang telah beribu-ribu kali ditanyakan di seluruh alam – baik alam nyata mahu pun alam maya – ialah: Bila pilihan raya? Orang yang tidak mendaftar sebagai pemilih pun tertarik pada soalan cepumas yang belum terjawab itu.

3.0 Maka lebih baik jangan pening kepala memikirkan tarikh PRU13. Tidak perlu juga mencari ahlul nujum atau tukang telek antarabangsa. Kalau dunia belum kiamat, kita akan mengundi juga sebelum habis mandat, insya-Allah.

4.0 Agaknya PM masih belum muktamad mengenai siapa yang akan dipilih sebagai calon. Almaklumlah, ini bukan kerja mudah. Baik Najib mahu pun pemimpin lain-lain parti, semua hendak mencari calon boleh menang (CBM) @ winnable candidates (WC).

5.0 Masalahnya semua orang mengaku sebagai calon boleh menang. Orang gagap dan semput pun menganggap dirinya sebagai WC. Maaf cakap, kalau ke Jakarta dan terlihat huruf WC jangan kata itu calon boleh menang, sebab di Indonesia ‘WC’ maknanya ‘tandas’. Kita memang ramai calon tandas!

6.0 Orang yang sudah kelabu mata dan tidak berupaya mengikat tali kasut pun, sekiranya ditanya pasti akan berkata dengan yakin: “Sayalah calon boleh menang!” Dan dia akan memberikan seribu satu macam sebab, blah, blah, blah.

7.0 Kalau ditanya pada puntianak sundal malam pasti dia pun kata: “Sayalah CBM!” Malah, dia akan mendabik dada sambil mendakwa kehebatannya: “Saya telah cekik banyak orang. Kalau kumpulkan orang yang mati saya cekik, boleh penuh Dataran Merdeka.

“Saya sudah hisap berjuta liter darah. Semua jenis darah saya hisap. Darah group A, group B, C, hatta darah penghidap Aids dan darah denggi pun habis saya sedut. Siapa yang boleh lawan saya dalam bab cekik-mencekik dan hisap-menghisap?”

8.0 Di dunia sarkas lebih sukar memilih, sebab semua jenis haiwan akan mendakwa dialah calon paling layak. Kalau tanya burung kakak tua, dia akan kata yang lain semua tidak layak jadi calon. “Saya paling layak, sebab saya ada kelebihan. Mana ada haiwan yang boleh bercakap manusia? Saya boleh ikut cakap orang!” Sama ada dia faham atau tidak apa yang dituturkan, itu bab lain.

9.0 Tanyakan pada gajah menta, dia akan kata: “Inilah calon paling layak, boleh menang!” Alasannya? “Semua orang takut pada saya. Kaki saya kuat macam besi kursani. Banyak orang telah saya pijak dan lanyak. Pendek kata dalam bab pijak-memijak, tidak ada siapa boleh lawan saya!” Dia mendakwa tubuh besar pun satu kelebihan, walaupun otak kecil.

10.0 Ular sawa kata, dia calon boleh menang sebab pandai membelit. Putar belitnya boleh mematikan orang, kalau mangsa lambat mati dia boleh telan hidup-hidup. 
Babi tonyok kata, dia pun hebat juga sebab pandai menyondol.

11.0 Buaya kata dia lebih hebat sebab dia kaki tibai No.1. Kaki orang, tangan orang semua dia balun tidak kira haram-halal. Anak orang, bini orang, harta orang semua dia ‘ngap’. Siapa pun tidak berani usik, sebab kulit dia tebal lagi kebal. Kalau tembak pun tidak lut peluru.

12.0 Pendek kata apa juga fauna – monyet, biawak, badak sumbu, tapir, kala jengking, semut gatal, lintah, ibu dugong, semua mendakwa ada kelebihan masing-masing dan dengan itu termasuk dalam kategori CBM @ WC.

13.0 Hatta, nyamuk yang halus seperti hujung pencungkil gigi pun tidak mahu mengalah, dan tetap menegaskan dialah calon boleh menang. Katanya sehalus-halus dia pun ada kelebihan tersendiri: “Saya boleh masuk dalam lubang telinga, bersosek-sosek dan berkepo sehingga orang boleh sasau sebab percaya apa yang saya sosekkan siang malam.”

14.0 Ada satu lagi kelebihan si kecil ini. Dia pandai mencucuk. Sekali terkena tusukan muncungnya yang tajam lagi bervirus itu, orang boleh dihinggapi kuman malaria atau denggi. Ramai yang maut tidak sempat mengucap gara-gara virus yang disebarkan nyamuk.


15.0 Maka tentu sekali di luar alam sarkas @ haiwan pun ada seribu satu macam watak yang perlu diteliti agar para pemimpin mana-mana parti tidak tersilap pilih. Seperti yang diakui semua, pilihan raya kali ini amat mencabar, kena letakkan calon yang betul-betul sesuai.

Ingat, pengundi tahu siapa calon boleh menang, dan siapa pula calon tandas.