Wednesday, September 28, 2011

Kuasa Facebook mengatur dunia


oleh imlan adabi

Facebook kuasa baru dunia
Pemimpin terpaksa dekati generasi X, Y, Z

DUNIA hampir pasti berterima kasih kepada pengasas Facebook, Mark Zuckerberg kerana membuka dimensi baru proses komunikasi sejagat.

Jika sebelumnya media cetak, elektronik, laman web, blog dan portal berita lebih terarah kepada komunikasi sehala, Facebook membenarkan hubungan banyak hala pada tempoh cepat tanpa sekatan.
Sesiapa saja boleh berhubung dan menyuarakan pendapat tanpa batasan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan ‘rakan maya’ secara santai. Ahli sukan, artis, sasterawan dan sesiapa saja bebas bersuara.


Ketika membangunkan Facebook, Zuckerberg yang dilahirkan pada 1984 di New York sekadar mengharapkan jaringan itu untuk rakan siswa di Universiti Harvard bagi berinteraksi di samping mengatur temu janji minum petang di kios ayam goreng tidak jauh dari kampusnya. Hubungan maya sesama rakan akhirnya merebak ke pusat pengajian lain -- Stanford, Dartmouth, Columbia, Cornell dan Yale. Akhirnya budaya Facebook merebak ke seluruh dunia dan meruntuhkan kekebalan ideologi di sebalik Tembok Besar China. Keadaan ini juga melonjakkan Beijing sebagai ekonomi kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat dan mengatasi pesaing Asia Timur -- Jepun yang menghadapi kemelut ekonomi, politik, krisis budaya dan bencana alam.

Hari ini istilah dunia tanpa sempadan menjadi klise yang menakjubkan. Sesiapa saja boleh bercakap soal bola sepak, cuaca, temu janji, ideologi atau pergeseran politik. Belum pun rejim diktator tumbang di Tunisia, Mesir dan kini Libya, media baru sudah meledak di hati rakyat dengan pelbagai maklumat yang menakjubkan. Sebelum Disember lalu, Mohamed Bouazizi hanya anak jalanan yang tidak dipedulikan. Dia hanya mempunyai kenalan Facebook, bukan penguasa di istana agam.

Bagaimanapun, aksi bunuh diri bagai halilintar menyambar bangsa Arab yang kaya dengan krisis keamanan, kemanusiaan dan hak asasi. Sekali gus meletakkan nama anak muda yang tidak dipedulikan sebelumnya sebagai ikon demokrasi. Rakyat yang selama ini terperangkap antara sistem monarki pro-Barat dan diktator sosialis tentera, bangkit memberontak. Mereka bukan saja memaksa Zine al-Abidine Ben Ali meninggalkan Tunisia, juga meresahkan pemimpin lain di Asia Barat dan Utara Afrika.

Pengguna Facebook dikaitkan dengan generasi X, Y dan Z. Don Tapscott dalam bukunya 'Grown Up Digital' meneliti latar belakang generasi X,Y, Z yang mempunyai latar tersendiri. Generasi X lahir antara 1965 hingga 1976, Generasi Y lahir antara 1977 hingga 1997, manakala Generasi Z lahir selepas 1998. Mereka mempunyai citra tersendiri dan berbeza antara satu sama lain.

Bagaimanapun, mereka disatukan dengan suatu ledakan iaitu teknologi maklumat. Merekalah yang banyak mem punyai jaringan internet, kenalan Facebook dan twitter. Me reka jugalah yang kerap membawa laptop, ipad dan netbook serta bertukar pandangan dengan pelbagai pihak tanpa batasan. Mereka menguasai maya dan merayakan kebebasan media baru.

Mereka juga terdedah dengan pelbagai ideologi, tayangan filem, khidmat pesanan ringkas dan menghabiskan masa di kafe siber, kopitiam, berani menyanggah pandangan yang dianggap tidak sesuai. Mereka dianggap generasi internet, manakala generasi sebelumnya iaitu Generasi Baby-Boomer dan Pre Baby-Boomer dikaitkan media lama seperti percetakan dan penyiaran.

Bagi mana-mana ahli politik, menyelami hasrat dan keinginan generasi muda bakal melonjakkan saham siasah mereka. Najib menyedari hal ini dengan mendekati generasi muda ketika menghadiri konsert Suara Kami anjuran sebuah syarikat penyiaran. Berkemeja T, santai dan spontan, Perdana Menteri tekun mengikuti persembahan yang tentunya bukan lagu ala retro sesuai dengan zamannya.

Najib juga ketika hadir konti radio bercerita mengenai dirinya yang dikejutkan dari tidur pada setiap subuh oleh penggera iPhone yang dikunci dengan lagu Karma Chameleon nyanyian kumpulan Culture Club yang popular pada 1980-an.

Beliau yang baru mengenali perkataan ‘sempoi’ mengakui masa depan generasi muda terletak kepada kekuatan minda. Kesungguhan mendekati generasi X, Y, Z dan pengikut Facebook tentunya mempunyai tafsiran berbeza mengenai ideologi, tamadun dan hak asasi. Dunia tentunya sunyi jika Zuckerberg tidak mencipta sesuatu yang amat diperlukan ketika manusia semakin menjarakkan perhubungan dan ahli politik semakin bersemangat untuk bersengketa! - Berita Harian, 27 September 2011
Posted by imlan adabi at 5:45 PM

terimakasih (sumber;http://imlanadabi.blogspot.com/2011/09/facebook-kuasa-baru-dunia.html)

1 comment:

Anonymous said...

hampir 12juta ada fb d malaysia