Friday, June 10, 2011

Amanat Hadi: 1980-an Negara Islam: 2011 Bersama DAP


ARKIB UTUSAN : 09/06/2011
Amanat Hadi: 1980-an Negara Islam: 2011 Bersama DAP

SAYA terpanggil untuk mengulas pasca Muktamar Pas Ke-57 kerana ia sangat memberi kejutan dan merupakan satu turnover dalam intipati perjuangan sebuah parti politik yang selama ini gah mendabik dada bahawa merekalah yang menjadi jaguh agama Islam di Malaysia.

Senario yang dijelmakan selepas pemilihan adalah sangat menarik dan penuh dengan elemen yang mustahil pada era 1980-an yang ditandai dengan peristiwa berdarah Memali. Bagi saya, kemustahilan yang sudah menjadi suatu realiti hari ini adalah satu warna terang yang mampu membawa kepada kesatuan orang Melayu.

Kita semua sudah sedia maklum bahawa sekian lama Pas menuding jari kepada UMNO yang dikatakan tidak memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam tulen dengan enggan menjalankan hukum hudud sebagai sebahagian sistem perundangan kerajaan yang diterajunya.

UMNO dilihat dari sisi yang hitam apabila dilihat tidak berbuat apa-apa terhadap operasi besar-besaran kilang arak di Selangor yang mercu tandanya dapat kita lihat dari Lebuh Raya Persekutusan dengan jelas.

Bahana daripada tuduhan dan sisi hitam ini, maka UMNO dengan mudah dan singkat dicop sebagai kurang Islamik atau lebih dangkal lagi sebagai golongan kafirun kerana menolak nilai-nilai tersebut.

Pada asasnya, tuntutan yang dianggap Islamik daripada Pas selama ini tidak pernah disertakan dengan proposal yang teguh dan utuh.

Ia hanya tuntutan kosong dan berlohong. Mengambil contoh satu cadangan daripada Pas suatu ketika dahulu bahawa hukum hudud wajib dijalankan ke atas umat Islam di Malaysia. Ini sebenarnya hanyalah sebagai halwa telinga dan mencukupkan syarat bagi penyokong Pas bahawa hanya Pas sahajalah yang berupaya mendukung syariat Islam.

Sedangkan hukum yang menjadi tuntutan agama Islam ini mesti dijalankan ke atas seluruh warga Malaysia tidak kira agama dan warna kulitnya jika benar dan bersungguh kita mahu melaksanakannya.

Apabila kerajaan BN menolak cadangan yang penuh dengan lubang-lubang persoalan yang bakal berserabut ini, berkokoklah sekelian hamba rakyat keturunan Pas bahwa UMNO menolak Islam dan kafir.

Begitu juga dengan tuntuan Pas supaya kilang arak ditutup. Ia adalah satu lagi perjuangan plastik semata-mata. Buktinya, dapat kita saksikan hari ini tatkala mereka berkuasa di Selangor.

Rampasan arak di sebuah kedai 24 jam di Shah Alam yang diarahkan untuk dipulangkan semula oleh Exco kerajaan negeri adalah sesuatu yang benar-benar memberi aib terhadap perjuangan yang dilaung-laungkan Pas selama ini.

Saya tidak terkejut, malah menghela nafas lega apabila pada Muktamar Pas kali ini, telah dinyatakan dengan jelas oleh Haji Hadi, dengan disaksikan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang bahawa perjuangan penubuhan sebuah negara Islam tidak termaktub dalam kitab suci al-Quran.

Maka apabila dia jugalah yang melaungkan amanat Haji Hadi pada 1980-an sehingga membawa kepada peristiwa berdarah Memali, tidakkah beliau berasa berdosa terhadap sekian banyak darah tumpah demi perjuangan plastik tersebut? Saya ingin memanjatkan syukur kepada Allah kerana menentukan beliaulah juga menafikan apa dilaungkannya dahulu.

Amanat Haji Hadi telah mengheret kepada peristiwa Memali yang merubah hidup seorang anak menjadi yatim, isteri kehilangan suami, ibu kematian anak yang tujuan akhirnya menyuburkan kebencian orang Pas terhadap kepimpinan kerajaan UMNO.

Bukan Islam dan musuh Islam harus berterima kasih kepada Haji Hadi kerana berjaya mengelirukan dan memecah-belahkan umat Islam dengan amanat bahaya tuan haji. Sesama Islam kafir mengkafir, satu mukim mempunyai dua jemaah dan pemulauan kenduri orang kampung yang berlainan ideologi politik. Ini realiti dan senario pasca amanat Haji Hadi.

HANIZA AHMAD

Muar, Johor

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm)

1 comment:

Anonymous said...

Memang tepat sekali ulasan tuan, saya juga telah mengulas hampir serupa dalam komen saya melalui blog-blog kawan-kawan yang lain.


WARGA SEBELUM MERDEKA