Thursday, April 14, 2011

Tempat letak kereta: Keselamatan pengguna terancam



Keselamatan pengguna terancam

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

PADA Jun 2003, negara digemparkan dengan kes pembunuhan dan rogol ke atas seorang penganalisis teknologi maklumat (IT) Canny Ong Lay Kian, 29.

Kejadian menyayat hati itu didakwa berlaku kira-kira pukul 10.30 malam pada 13 Jun 2003 apabila Canny yang ditemani ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara.

Selepas memasuki bangunan, Canny dikatakan berpatah-balik seorang diri ke keretanya tetapi tidak kembali kepada ibu serta adiknya dan dipercayai diculik di parkir.

Empat hari kemudian, mayat Canny ditemui rentung dan tertanam dengan kedua-dua belah tangannya berikat di dalam longkang di Jalan Klang Lama.

Akibat kejadian itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengarahkan setiap pusat membeli-belah di negara ini memasang kamera litar tertutup di kawasan parkir bagi memboleh dan memudahkan tindakan segera diambil jika berlakunya kejadian jenayah.

Namun, adakah pusat membeli-belah benar-benar mengambil iktibar daripada kejadian jenayah sebelum ini dan bertindak menuruti arahan berkenaan?

Sejauhmana usaha yang dijalankan pengurusan pusat membeli-belah bagi menjamin keselamatan pemilik kenderaan daripada menjadi mangsa jenayah, sama ada membabitkan kawasan parkir dalam atau luar bangunan yang disediakan.

Kawasan parkir yang sinonim dengan keadaan suram, sunyi dan menyeramkan umpama perangkap maut yang menunggu mangsa pada bila-bila masa.

Ini sedikit sebanyak turut diakui oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, yang menyifatkan soal keselamatan di kebanyakan kawasan parkir di negara ini terutama di bahagian dalam bangunan masih jauh daripada memuaskan.

Katanya, MCPF berani membuat kenyataan itu apabila dari semasa ke semasa ia dihubungi orang awam yang membuat aduan dan membangkitkan kebimbangan mereka berhubung soal keselamatan diri serta kenderaan semasa di kawasan parkir.

"Antara jenayah utama yang membuatkan pengguna terutama di kalangan wanita bimbang ketika berada di kawasan parkir adalah culik, kecurian kereta, ragut dan samun tanpa senjata api.

"Masalah ini berlaku akibat sikap kurang peka pihak pengurusan bangunan atau pengendali parkir mengenai kepentingan meningkatkan aspek keselamatan di kawasan itu.

"Pada masa sama, segelintir pengguna dilihat kurang peka atau tidak mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penjenayah," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Lam Thye, MCPF sememangnya memberi perhatian yang serius berhubung aspek keselamatan di kawasan parkir sama ada di luar atau dalam bangunan.

Jelasnya, yayasan itu dari semasa ke semasa memberi cadangan dan saranan kepada pihak pengurusan pusat membeli-belah agar sentiasa meningkatkan ciri-ciri keselamatan kawasan parkir mereka terutama jenis parkir di bahagian dalam bangunan.

Lam Thye berkata, pemasangan CCTV sememangnya perlu dilakukan dan penting.

Namun, apa yang lebih mustahak, pihak berkenaan perlu mewujudkan pasukan pengawal berbasikal bagi memudahkan pemantauan terutama di sudut atau waktu sunyi.

Pengurusan bangunan juga perlu menambah jumlah pengawal bagi memastikan kawasan parkir itu sentiasa mampu dipantau secara keseluruhan dari masa ke semasa.

Cara berkenaan akan menimbulkan perasaan selamat di kalangan penggunanya.

Selain itu, katanya, MCPF menasihatkan orang ramai terutama wanita supaya lebih berhati-hati ketika di kawasan parkir.

Tegasnya, sebelum memasuki kawasan itu, pengguna harus memastikan keadaan sekeliling adalah selamat dan tiada orang asing mengekori atau meragukan.

"Jika mengesyaki diekori, berpatah balik atau dapatkan bantuan pengawal keselamatan atau sesiapa yang dipercayai untuk menemani ke kenderaan.

"Paling penting, pegang kunci kenderaan lebih awal sebelum tiba di kenderaan supaya anda boleh terus segera memasuki kereta dan menguncinya.

"Keadaan mencari-cari kunci ketika sampai di kereta boleh meningkatkan risiko seseorang diserang penjenayah," katanya.

Sementara itu, tinjauan dijalankan MEGA di kawasan parkir di beberapa bangunan pejabat kerajaan dan swasta sekitar Petaling Jaya, Selangor, sebelum ini menunjukkan aduan orang ramai kepada yayasan itu memang ada logik serta kebenarannya.

Pemantauan membuktikan keadaan kawasan parkir di bahagian dalam bangunan suram, gelap dan sunyi, membuktikan pengurusannya kurang mementingkan aspek keselamatan.

Malah, pengawal keselamatan tidak ditempatkan di setiap tingkat kawasan itu yang mana boleh menyumbang kepada jenayah.

Bagaimanapun, pemilik bangunan atau syarikat pengusaha tempat meletak kenderaan seperti tanpa salah bersikap 'cekik darah' menetapkan kadar bayaran sehingga RM4.50 sejam.

Keadaan itu berbeza dengan beberapa pengurusan hotel dan pusat membeli-belah terkemuka yang menyediakan servis cukup baik di kawasan parkir.

Bermula dari tempat mengambil tiket masuk, pengguna dipantau kamera litar tertutup (CCTV) di siling sehingga ke ruang meletak kenderaan bagi menjamin keselamatan diri dan kereta mereka.

Turut disediakan perkhidmatan buggy atau kereta peronda kecil bagi membawa pengunjung dari kenderaan ke pintu lif utama bagi mengelakkan mereka berjalan jauh.

Deretan lampu siling yang menerangi kawasannya membuatkan pengunjung merasa selamat ketika keluar atau masuk ke kenderaan, menambahkan keyakinan mereka untuk meletakkan kenderaan dalam tempoh lebih lama dan mengurangkan risiko jenayah di situ.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm)ARKIB : 13/04/2011

``````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````


Khidmat terbaik di Sunway Pyramid

Pemantauan melalui CCTV dilakukan bukan saja di tempat letak kereta bahkan di seluruh kawasan pusat membeli-belah.

SETANDING namanya yang tersenarai sebagai antara pusat membeli-belah terkemuka, Sunway Pyramid sentiasa memastikan perkhidmatan ditawarkan kepada pengunjungnya bertaraf lima bintang

Pihak pengurusannya, Sunway Pyramid Sdn. Bhd. berusaha menyediakan kelengkapan dan kemudahan terbaik merangkumi pelbagai aspek yang diperlukan ribuan pengunjung saban hari.

Satu daripadanya adalah meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan di kawasan meletak kenderaan di situ demi kepuasan serta kepentingan pengguna.

Pengurus Komunikasi Pemasarannya, Darren Chear berkata, sejak dibuka kepada umum, tahap keselamatan dan keselesaan di kawasan meletak kenderaan di pusat membeli-belah itu menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian.

Beliau berkata, soal keselamatan dan keselesaan dipertingkatkan selepas kerja pengubahsuaian pembesaran Sunway Pyramid dijalankan beberapa tahun lalu.

"Kami menyediakan pengawal-pengawal keselamatan bagi memantau keadaan di seluruh kawasan tempat meletak kenderaan.

"Mana-mana wanita yang khuatir dengan keselamatan diri sama ada ketika ingin keluar atau masuk kenderaan juga boleh meminta bantuan pengawal keselamatan yang bertugas ini untuk mengiringi mereka hingga ke pintu masuk.

"Selain itu, kami mengecat dinding setiap zon meletak kenderaan menggunakan warna berbeza bagi memudahkan pemilik kenderaan mengingati lokasi kenderaan. Bagi pengunjung yang tidak mengingatinya, kami menyediakan perkhidmatan mencari kenderaan," katanya.

Menurut Darren, Sunway Pyramid adalah pusat membeli-belah pertama di negara ini yang menyediakan lampu pemberitahuan di setiap kotak meletak kenderaan bagi memudahkan pemilik mencari petak kosong.

Jelasnya, sekiranya lampu berwarna hijau, ia menunjukkan masih ada ruang kosong di kotak berkenaan dan jika lampu merah, ia menandakan sudah ada kenderaan di situ.

Bermula seawal pukul 10 pagi hingga tengah malam setiap hari, kira-kira 100 orang pengawal keselamatan bertugas memantau.

Kereta penumpang atau buggy disediakan bagi membawa penumpang terutama warga emas dari kenderaan ke pintu lif dan sebaliknya jika kedudukannya jauh.

Rondaan menggunakan motor dan basikal dijalankan bagi kerja pemantauan termasuk membantu kenderaan yang membawa penumpang orang kurang upaya (OKU) mencari ruang meletak kenderaan.

Setiap pengawal keselamatan yang diambil bekerja juga memiliki kemahiran membantu pemilik menukar tayar bocor, jika kunci tertinggal di dalam atau kenderaan rosak.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm)
ARKIB : 13/04/2011

No comments: