Wednesday, April 13, 2011

Peniaga perlu pamer perbezaan harga patin sungai, sangkar



Peniaga perlu pamer perbezaan harga patin sungai, sangkar

TEMERLOH 12 April - Semua restoran, kedai makan dan gerai termasuk yang menjual masakan ikan patin diwajibkan mempamerkan senarai harga bagi memudahkan orang ramai dan pelanggan mengetahui harga makanan berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) Cawangan Temerloh Othman Din berkata, tiada peniaga terkecuali daripada arahan itu walaupun ia berniaga di sebuah gerai kecil.

"Mereka yang menjual makanan sudah masak dan mentah serta barangan keperluan yang tidak mempamerkan tanda harga boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 2011.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM100,000 atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau keduanya sekali," katanya kepada di sini hari ini.

Bagi kedai makan yang menjual masakan ikan patin, beliau berkata, mereka perlu mempamerkan dua harga berlainan.

"Satu harga ikan patin sungai iaitu patin muncung dan patin buah atau lain - lain jenis ikan sungai, manakala satu lagi senarai harga patin sangkar,"kata Othman.

Menurutnya, dengan harga yang berlainan itu, pelanggan boleh membuat pilihan untuk menikmati ikan patin dan tidak akan terkeliru apabila bayaran dikenakan.

Bernama difahamkan patin sungai mencecah RM45 seketul bergantung pada saiz, manakala patin sangkar pula harganya antara RM5 hingga RM7 seketul.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah restoran di bandar Temerloh mengenakan bayaran RM13,000 kepada sekumpulan pelanggan yang menikmati hidangan masakan kampung termasuk ikan patin baru-baru ini.

Othman berkata, pemilik restoran, kedai atau gerai perlu ikhlas dan tidak mengelirukan pelanggan walaupun matlamat berniaga untuk mencari rezeki dan untung.

"Pelanggan yang merasa teraniaya dan dikenakan bayaran mahal hanya sekali sahaja ke kedai tersebut dan peniaga sendiri menanggung rugi," katanya.

Beliau menasihati pelangan yang ingin menikmati ikan patin perlu bertanya tuan punya restoran terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada membayar harga mahal.

Di Temerloh terdapat lebih 200 pengusaha ikan patin sangkar dan ikan itu dijual antara RM14 hingga RM15 sekilogram.

Bagi ikan patin sungai jenis muncung dan patin buah yang ditangkap di sungai, ia dijual kepada peraih atau kedai makan dengan harga antara RM90 hingga RM120 bergantung kepada saiz. — BERNAMA

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Harga patin berpatutan

TEMERLOH 12 April – Seorang pelanggan yang dilaporkan membayar RM13,000 bagi makan tengah hari termasuk hidangan ikan patin di sebuah restoran di sini baru-baru ini, hari ini mengakui harga itu berpatutan kerana ia adalah untuk 350 orang dan bukannya 50 orang.

“Lagipun, ikan patin yang kami makan itu adalah dari sungai dan saya tahu ia memang mahal,” katanya kepada Bernama hari ini bagi menjelaskan mengenai tanggapan yang kurang tepat bahawa harga yang dikenakan itu tidak munasabah.

Pelanggan itu berkata bahawa selain ikan patin, mereka juga makan udang galah dan ikan krai, sejenis ikan sungai yang harganya juga tinggi.

Menurut beliau, persepsi mengenai harga yang dianggap tidak munasabah itu timbul, mungkin kerana ada antara 350 orang yang turut makan pada hari itu tidak tahu nilai sebenar jenis-jenis ikan yang dihidangkan.

Seorang peniaga yang mempertikaikan dakwaan kumpulan yang mendakwa membayar RM13,000 itu, berkata pelanggan berkenaan perlu menunjukkan resit jumlah yang dibayar sebagai bukti.

Peniaga yang enggan namanya disiarkan itu berkata dakwaan berkenaan secara tidak langsung boleh menjejaskan perniagaan dan industri ikan patin di Temerloh.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Amran berkata, beliau menjual ikan patin muncung liar antara RM80 dan RM100 sepotong bergantung pada saiz, manakala ikan patin buah liar, berharga RM16 hingga RM28 sepotong.

Ikan patin sangkar pula RM8 hingga RM10 manakala ikan jelawat dijual antara RM30 dan RM40 sepotong — BERNAMA

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Peniaga ikan patin berang

TEMERLOH – Pemilik kedai makan berasaskan ikan patin di bandar ini meminta pelanggan yang mendakwa terpaksa membayar sehingga RM13,000 untuk hidangan ikan jenis itu supaya tampil menunjukkan resit bayaran sebagai bukti kenyataan mereka yang disiarkan akhbar daripada laporan sebuah agensi berita, semalam.

Ini kerana menurut mereka, dakwaan itu telah menyebabkan reputasi perniagaan mereka terjejas apabila pelanggan takut dikenakan harga yang melampau dan tidak munasabah jika meminta hidangan ikan patin.

"Dakwaan harga sampai RM13,000 hidangan ikan patin untuk dimakan 52 orang itu benar-benar boleh merosakkan bisnes kami dan industri ikan patin di Temerloh. Kalau betul, tunjukkan bukti. Jika tidak ada bukti, kami anggap ini fitnah," kata seorang peniaga yang meminta namanya tidak disiarkan.

Menurutnya, dalam isu seperti ini, bukan peniaga sahaja perlu ada timbang rasa, malah pelanggan juga perlu ada sifat tanggungjawab.

"Jangan lempar batu sembunyi tangan. Jangan buat kenyataan yang umum tapi sertakan bukti, sebutkan kedai yang mana satu. Ikan patin Temerloh terkenal di seluruh negara, kenyataan yang seperti ini ibarat masukkan pasir dalam periuk nasi kami selain menghalang orang luar untuk datang makan ikan patin yang memang sedap dan berkualiti," katanya.

Menurut peniaga itu lagi, di kedainya - antara kedai ikan patin yang tersohor di bandar ini - bayaran tertinggi pernah dikenakan hanya sekitar RM6,000 sahaja.

"Itu pun tengok pada hidangan. Pelanggan seramai lebih 130 orang itu minta macam-macam, ada masakan ikan patin, jelawat, udang galah malah rokok saja berkarton. Ada yang ambil rokok sampai tiga kotak seorang," katanya.

Katanya lagi, bilangan pelanggan yang ramai dan permintaan yang boleh disifatkan 'melampau' seperti itu berlaku pada musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Ker�dau baru-baru ini.

"Ini perkara biasa pada musim pilihan raya. Mungkin ada orang besar politik yang turun nak belanja anak buah, penyokong atau jentera parti. Mereka boleh berbelanja besar kerana mereka mampu tapi tidaklah sampai RM13,000," katanya.

Menurut peniaga itu lagi, kedainya memang jadi tumpuan penggemar ikan patin malah ada orang kaya dari luar termasuk ahli politik yang jadi pelanggan tetap.

"Mereka ini bukan datang sekali dua malah dengan saya sendiri pun bukan setakat kenal tapi sudah jadi kawan baik. Mereka tahu harga ikan patin dan hidangan ikan sungai lain yang memang agak mahal tapi itu bukan alasan untuk saya kenakan harga yang tinggi bagi orang biasa. Kita hidang ikut pilihan dan permintaan pelanggan tapi tidaklah semahal itu," katanya.:

Menurutnya, jika benar dia meletakkan harga yang 'gila-gila' tanpa mengambil kira kesan terhadap pelanggan pada musim pilihan raya lalu, mana mungkin kedainya terus menerima pelanggan yang ramai selepas musim itu.

"Ada juga pelanggan yang datang pertama kali pada musim pilihan raya, sampai sekarang pun terus datang lagi," katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali Amran berkata, ada juga pelanggan yang selepas bayar, minta bil kosong dengan pelbagai alasan.

"Biasanya kalau ada yang minta begitu, kami beri sebab mahu jaga hati pelanggan kerana kami tak jangka akan memudaratkan kami. Mungkin mereka sendiri mahu buat tuntutan tinggi kepada bos mereka sama ada ahli politik ataupun syarikat masing-masing. Sekarang, selepas ada dakwaan seperti ini, kami perlu lebih berhati-hati," katanya.

Amran berkata, dia menjual harga ikan patin muncung liar antara RM80 hingga RM100 sepotong bergantung pada saiz, manakala ikan patin buah liar RM16 hingga RM28 sepotong dan ikan patin sangkar RM8 hingga RM10.

Manakala ikan jelawat dijual antara harga RM30 hingga RM40 sepotong, udang galah antara RM20 hingga RM30 juga bergantung pada saiz.

(sumber;http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8976744.asp)

No comments: