Friday, August 28, 2009

BN AKAN HILANG PUTRAJAYA JIKA...



BN AKAN HILANG PUTRAJAYA JIKA...

Kini persoalan bukan lagi 7-0 atau 8-0 tetapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu cepat memperbaiki imejnya jika Putrajaya mahu dikekalkan oleh BN pada pilihan raya umum akan datang.

Pertambahan pengundi untuk BN atau kekurangan undi untuk pembangkang tidak penting. Kalaupun pembangkang menang dengan lebih satu undi atau lebih satu kerusi seperti yang berlaku di Kelantan sebelum pilihan raya umum lalu, pembangkang tetap berkuasa.

Janganlah pemimpin BN dan UMNO masih dibuai mimpi bahawa mereka masih mendapat sokongan. Ya memang ada sokongan tetapi sokongan kepada pembangkang lebih besar.

Juga tidak ada gunannya mengatakan undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.

Pada pilihan raya umum Mac 2008 itu, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi. Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.

Kemenangan calon Pas, Mohd. Salleh Man, 52, semalam bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi menunjukkan pembangkang kini sukar ditumbangkan. Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu memperolehi 9,618 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi.

Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir semalam. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.

Yang pasti, setiap kali pilihan raya kecil, jentera kerajaan Pusat akan dikerahkan dengan tawaran-tawaran menarik yang kadangkalanya ‘menjemu dan meluat’ mendengarnya.
Persoalan kini, sekiranya pembangkang sukar ditumbangkan apakah kerusi BN yang ada sekarang boleh dipertahankan daripada ditumbangkan?

Selepas kalah demi kalah – dari Permatang Pauh, Kuala Terengganu yang dipimpin Datuk Seri Mohd Najib Razak dan diambil alih Tan Sri Muhyiddin seperti di Manek Urai dan terbaru di Permatang Pasir – BN kena merancang dan melihat apa sebenarnya kemahuan rakyat.

Memang benar kalau Salleh menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan pakatan poembangkang kerana ternyata dalam keadaan berdepan dengan jentera besar BN, pembangkang yang kerdil tetap mencapai kemenangan.

Faktanya apa?

1. Apakah kepimpinan Najib belum boleh diterima rakyat? Apakah dengan kekalahan di Manek Urai dan Permatang Pasir membuktikan endorsement daripada rakyat untuk Najib belum ada?
Soalan mudah – beranikah Najib membubarkan Dewan Rakyat sekarang untuk meminta mandat baru daripada rakyat dalam kedudukan sebegini?

Jika belum bersedia, Najib dan pasukannya perlu mencari formula baru selain 1Malaysia sebagai penawar hati rakyat yang semakin keras membatu. Penawar ini penting kerana jika rakyat masih keliru atau kelabu dengan gagasan 1 Malaysia, penjelasan dan dasar-dasar jelas perlu diperkenalkan segera.

Persoalannya, apa untungnya rakyat melalui gagasan ini? Perpaduan? Tiada 1Malaysia pun rakyat sudah bersatu dengan meletakkan Rukun Negara sebagai asasnya. Orang Melayu terutamanya daripada UMNO tetap tertanya-tanya apa jaminan 1Malaysia untuk masa depannya? Yang jelas ialah bukan Melayu menggunakan 1Malaysia untuk ‘menuntut’ bermacam-macam dan orang Melayu semakin rasa terpinggir.

2. Calon BN sering ada masalah. Pada pilihan raya kecil, faktor calon menjadi perkara utama dan jika ada masalah – apa juga sama ada peribadi, penerimaan rakyat tempatan atau kepimpinan – akan menyukarkan jentera untuk berkempen.

Apabila calon dipertikaikan dalam apa juga aspek, akan menjadikan pengundi serba salah, apalagi apabila pembangkang menggunakan kelemahan itu untuk mempertikaikan kewibawaan calon. Sukarkah BN mencari calon yang benar-benar sesuai untuk diketengahkan? Apakah faktor kepemimpinan bahagian terus menerus menjadi penentu dalam memilih calon?

Rasanya dengan memilih pemimpin bahagian ada banyak masalah kerana mereka ini bertanding dan terpaksa melakukan pelbagai usaha untuk menang. Lebih memburukkan keadaan, jika ada salah laku ketika pemilihan, ini akan turut menyumbang kepada kritikan dan pemulauan.

Sudah sampai masanya calon dipilih kerana peribadinya baik dan bersih dan bahagian UMNO atau apa juga komponen parti BN hendaklah akur kepada faktor peribadi yang baik dan bersih.
3. Dengan pembangkang menjadikan ‘pembunuhan watak atau karakter’ sebagai strategi mereka dan dengan soal dalam kain pun akan didedahkan, calon UMNO dan BN hendaklah jangan meletakkan calon yang mudah dijadikan sasaran.

Dengan pembangkang kini menyerang peribadi atau sengaja mencipta dan memperbesarkan soal peribadi, UMNO dan BN tidak boleh lagi cuba melindungi atau pejam sebelah mata dengan memilih juga calon yang diketahui ada masalah peribadi.

Dalam pilihan raya terbaru ini jelas isu peribadi sukar untuk dipertahankan dan sehingga sekarang isu sama ada calon BN berkahwin dua atau seorang tetap diperkatakan. Dan pembangkang memainkan isu calon BN ‘kononnya’ mengabaikan isteri keduanya!

4. Penawaran projek atau pembangunan sekadar jalan, jambatan, bantuan dan sebagainya bukan lagi menjadi ‘umpan’ yang mudah dimakan oleh pengundi. Benar pengundi mahukan pembangunan tetapi lihat sahaja di beberapa kawasan, Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang yang ‘goyang kaki’ pun boleh menang. Kenapa?

Pembangkang melalui PAS, DAP dan PKR mampu menggambarkan pemimpin mereka lebih baik dalam konteks peribadi – bersih, beriman, mesra rakyat, anak tempatan dan banyaklah lagi faktor lain mengikut kesesuaian kawasan – yang UMNO dan BN perlu benar-benar teliti untuk menjamin calon yang diketengahkan benar-benar diterima rakyat setempat.

5. Akhirnya UMNO dan BN hendaklah diperbetulkan arah perjuangannya – bukan untuk kepentingan mereka yang memimpin tetapi rakyat jelata yang masih dahagakan pembelaan daripada pelbagai segi – khususnya keperluan sebagai manusia – bukan sekadar keperluan asas dan pembangunan semata-mata.

Mungkin pendapat saya ini ‘kurang tepat’ bagi sesetengah pemimpin UMNO dan BN yang masih khayal kerana mereka dibuai pendokong yang terus menerus mengatakan ‘ ok bos, semuanya baik bos’.

Hendak tahu bagaimana sukar untuk bangkit apabila sudah kalah, tanyalah mereka yang sudah kalah dan asyik kalah pada setiap pilihan raya.


Oleh Hambali Abd Latiff at 4:17 AM

Reaksi:

komen:

andakmaon said...

Syabas ! Komen yang telus dan ikhlas.

BN perlu menimbang strategi kempennya mengikut suasana dan tempat. Suasana di Manek Urai dan Permatang Pasir jelas berbeza. Sudah sampai masanya kempen secara agresif mengikut tempat dibuat. Nampaknya pembangkang telah mengekploitasi kempen cara begini kerana mereka tahu BN tidak sanggup berbuat begitu. Soalnya apakah BN akan duduk diam saja memerhati mereka bertindak agresif dan kurang ajar ?

Di mana perginya Pemuda UMNO ? Ketua Pergerakannya yang tidak diterima bukan saja oleh majoriti ahli pemuda malahan ahli UMNO sendiri merupakan LIABILITI kepada UMNO sekarang ini. Inilah di antara 'dosa besar' yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO terdahulu yang terpaksa dipikul oleh Dato Seri Najib Tun Razak.

Soal tersalah pilih calon langsung tidak boleh diterima kerana BN bukannya baru bertanding dalam PRK . Kepimpinan peringkat negeri yang terlalu taksub dengan orang mereka sekali lagi menerima padahnya. Dan kita juga kena maklum siapa mereka-mereka itu sebelum ini dengan DSAI. Keadaan yang sama turut berlaku semasa pilihanraya parlimen Permatang Pauh dahulu. Dato Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab dengan kekalahan ini. Adalah sangat melucukan orang seperti Rohaizat terpilih menjadi calon BN.
August 26, 2009 10:23 AM
azierazie2 said...

kerana BN dan UMNO terlalu "menyajikan" pembangunan yang kononnya rakyat dahagakan menjadikan "pemilih" menjadi bosan dan meluat....ini adalah komen peribadi saya... saya juga menyebelahi UMNO dan BN...kerana saya yakin akan pucuk pimpinan dan pelapis yang ada....walau mungkin ada di antaranya "tidak fofular"....

faktor pembangunan sepatutnya bukan suatu yang dijadikan sebagai aspirasi dalam mendapatkan semula kerusi2 yang telah hilang atau untuk menembusi kerusi2 "kukuh" PR....mungkin taktik itu berjaya diguna pakai di Sabah/Sarawak...

bagi pemilih / rakyat di sebelah semenanjung, apa yang paling penting adalah peribadi dan personaliti calon itu sendiri...setelah mereka yakin dan mereka memilih...segala pembangunan yang dirancang walau tidak dijanjikan sudah pasti mudah untuk UMNO dan BN meneruskannya...

mereka di dalam PR mempunyai kelebihan ini, mereka mempunyai senarai calon yang tidak fofular maka dengan itu rakyat kurang mengenali mereka, dan cerita2 PR mereka ini amat bersih dan suci...dan ini juga disebabkan semasa BN memerintah...BN alpa dan seolah2 kita takan "gugur" di medan perjuangan. dan tanpa memeriksa, menganalisa mana2 calon atau kemungkinan calon dari PR sebelum adanya PRK atau PRU..

dengan kata lain, selain dari mekanisme meraih dan merayu undi....jentera "serangan" BN perlu mempersiapkan "komander" yang benar2 berwibawa, bersih...dan siapa pun "jeneral" yang menggerakkan jentera serangan itu...pasti akan berjaya...

sebagai rakyat biasa, sebagai ahli UMNO dan sebagai orang Melayu...selain daripada pembangunan fizikal dan jasmani...kepimpinan yang akan memimpin sesuatu tempat atau ADUN seharusnya mempunyai nilai2 murni, telus dan bersih agar...serangan peribadi (biasanya amat popular dikalangan PR) tidak akan menjadi...

sejarah membuktikan.....apabila Dr. M meletakkan jawatan dan di ganti dengan Pak Lah....BN memenangi limpahan kerusi di DUN dan Parlimen...tapi apakan daya....kerana ada tindakan kurang "fofular" maka PR menjadikan PRU yang lalu sebagai noda hitam dalam sejarah BN..dan yang pastinya BN kalah ...mereka kata UMNO punca segalanya...

saya sememangnya amat berharap kepimpinan tertinggi UMNO di peringkat bahagian, apabila berlakunya PRK/PRU dapat menilai secara rasional mengenai latar belakang calon...tidak semestinya ketua bahagian layak menjadi calon...rakyat amat mementingkan calon yang bersih dan tiada noda...kerana rakyat percaya...mereka inilah yang akan menjadi "nakhoda atau komander" mereka ..dan percayalah....rakyat masih sayangkan UMNO dan BN...

demi kepentingan bersama...CALON adalah senjata yang utama...bukan jentera serangan....kerana di situlah bermula strategi yang baik...

ingatlah...kita berada di bawah satu panji...berjuang dan merempuh dengan satu perisai...dan keris sakti yang sama kita hunus...sewajarnya bersama satu saf yang kukuh dan utuh..kita mampu memperbetulkan situasi yang agak meruncing ini...

dari saya .... yang sayangkan UMNO
dulu,kini dan selamanya...
wasallam..

(sumber;http://hambali1.blogspot.com/2009/08/bn-akan-hilang-putrajaya-jika.html)

1 comment:

Anonymous said...

satu soalan....
apakah pr dapat memerintah malaysia dengan aman jika menang pru 13 nanti? saya rasa : tidaksebab, semua alat kerajaan akan dikerah untuk menghancurkan pr apabila bn kalah. macam macam cara mereka akan lakukan.asalkan mereka dapat memerintah.tentera, polis,kehakiman, penjawat awam dan berbagai lagi..macheavelisme memungkinkan semuanya. bersedialah untuk menghadapi darurat ini.