Wednesday, May 21, 2008

Sajak: Antara "Melayu Mudah Lupa" Dgn "Aku Mencari Damai Abadi"

Melayu Mudah Lupa

Dibacakan oleh
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad

di akhir ucapan penggulungannya
pada Perhimpunan Agung UMNO
di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 Jun, 2001.

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai...


Pak Lah tunjuk bakat berpuisi

KUALA LUMPUR 17 Jun - Seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mempunyai bakat terpendam sebagai seorang penyair.
Jika Dr. Mahathir mendeklamasikan sajaknya yang berjudul Melayu Mudah Lupa semasa Perhimpunan Agung UMNO Ke-55 pada tahun 2001, Abdullah pula mengakhiri ucapan perasmian beliau pada persidangan serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka di sini malam ini dengan sebuah puisi yang menurutnya mencerminkan pegangan hidup beliau.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sajak berjudul Aku Cari Damai Abadi itu telah dibacakannya buat pertama kali pada Malam Puisi anjuran Utusan Melayu di Dewan DBKL di sini pada 9 Mei lalu.
Mengenang kembali detik-detik beliau mendapat ilham untuk menulis puisi tersebut, Abdullah berkata, sebagai tetamu khas pada majlis tersebut, beliau telah diminta memilih mana-mana puisi nukilan sasterawan yang terkenal untuk dideklamasikan.
``Ketika itu saya telah diilhamkan untuk melakar beberapa baris ayat, jika pun dapat dikatakan puisi.
``Baris-baris ayat itu, bagi saya, lebih tepat menggambarkan jiwa dan pegangan saya,'' kata beliau.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau memilih untuk membacakan puisi tersebut sekali lagi dengan harapan pegangan hidupnya dalam mencari `damai abadi' ini dapat dikongsi bersama dengan para perwakilan, dan dijadikan pegangan jika baik.

Berikut ialah sajak Aku Mencari Damai Abadi

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya
Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya
Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah Nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi

No comments: