Friday, May 23, 2008

Pulau Batu Puteh
















Pulau Batu Puteh (bahasa Inggeris: Pedra Branca) merupakan sebuah pulau tunggul sebesar dua padang bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia. Luasnya 0.2 hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 km dari Pengerang dan 64 km ke timur Singapura. Hanya 20 minit dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang, Johor. Pulau ini merupakan satu subjek pertikaian di antara Malaysia dan Singapura yang mana ia membawa kepada kes tuntutan Mahkamah Antarabangsa di Belanda.

Senarai kandungan

• 1 Sejarah
• 2 Perbicaraan
• 3 Delegasi Singapura
• 4 Delegasi Malaysia
• 5 Hakim
• 6 Pendirian Malaysia
• 7 Alasan
o 7.1 Alasan sejarah
o 7.2 Alasan Malaysia berdiam diri
o 7.3 Alasan pentadbiran Rumah Api Horsburgh
o 7.4 Alasan empayar
o 7.5 Alasan jarak
o 7.6 Terra Nullius
o 7.7 Alasan Perjanjian 1824
o 7.8 Perjanjian Crawfurd
o 7.9 Surat Temenggung Johor
o 7.10 Operasi Rumah api dari Singapura
o 7.11 Peta Malaysia 1979
o 7.12 Surat Gabenor Butterworth
o 7.13 Dokumen bertulis
o 7.14 Berkongsi Selat Melaka dan Laut China Selatan
• 8 Rujukan



Sejarah
Mengikut tradisi, nelayan Johor menjadikan pulau ini sebagai pulau persinggahan dan menamakannya Pulau Batu Puteh kerana berwarna putih dan banyak didiami burung camar laut. Terdapat beberapa pulau lagi di dalam perairan Malaysia yang diberikan nama berdasarkan warna pulau tersebut seperti Pulau Perak di Selat Melaka yang berwarna seakan-akan perak. Sebaliknya orang Portugis menamakannya Pedra Branca yang bermaksud 'batu putih'. Sejak tahun 1583, pelayar Belanda, Johann van Linschoten telah mencatat akan bahayanya pulau ini kepada kapal yang berlayar dari China dan dari selatan Melaka. Antara tahun 1824 hingga 1851 berlaku 25 kemalangan kapal berhampiran pulau itu. Antara tahun 2000 hingga 2004 berlaku 2 kemalangan kapal.
Pada tahun 1851, rumah api telah dibina oleh Kapten James Horsburgh dari Scotland, Empayar British dan dinamakan rumah api Horsburgh. James Horsburgh dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) telah melakukan kerja-kerja hidrografi dan melukis peta kedalaman kawasan ini. Pembinaan ini bertujuan bagi membantu kapal-kapal yang akan melalui Selat Singapura seterusnya Selat Melaka. Manakala di sebelah timur pula, rumah api di Pulau Pisang telah dibina bagi tujuan yang sama. Bezanya Pulau Pisang adalah sebuah pulau yang besar manakala Pulau Batu Puteh adalah sebongkah batu.
Malaysia mula menuntut pulau tersebut pada tahun 1979 ketika menerbitkan peta rasmi baru, yang memasukkan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) dalam perairan laut wilayahnya. Manakala jarak Pulau Batu Puteh ini adalah jauh dari Singapura iaitu lebih dari 12 batu nautika. Malaysia mengatakan bahawa apabila Kesultanan Johor menyerahkan Singapura dan 19 km sekeliling (10 batu nautika) kepada pihak British pada tahun 1824 [1], penyerahan ini tidak termasuk Pulau Batu Puteh. Sultan Johor hanya memberi kebenaran kepada pihak British untuk membina rumah api di atas pulau tersebut pada tahun 1844[2]. Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) terletak 46 km (25 batu nautikal) dari Singapura; dan 14.3 km (7.7 batu nautikal) dari Johor. [3] Pihak Singapura pula hanya diberikan kebenaran mengurus rumah api bagi kepentingan industri perkapalan Singapura yang kurang penting bagi pihak Malaysia pada masa itu. Ini memandangkan tiadanya pelabuhan di Johor pada masa tersebut berbanding masa kini dengan wujudnya Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor.
Singapura pula mengemukakan dakwaan bahawa mereka telah menguasai pulau tersebut semenjak 1840-an tanpa sebarang tentangan oleh pihak Malaysia. Pulau Batu Puteh, Middle Rocks, dan South Ledge penting sebagai rumah api dan tanda arah di laut.


Perbicaraan
Malaysia dan Singapura setuju membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa sejak tahun 2003.
Pada 6 Februari 2003 perjanjian khas ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura di Putrajaya dan dikuatkuasakan pada 9 Mei 2003.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda mula membicarakan tuntutan terhadap pulau ini pada hari Selasa, 6 November 2007.
Singapura diberikan empat hari (6-9 November) untuk menggulung hujah lisan pusingan pertama, sementara Malaysia diberikan giliran pada 13-16 November 2007. Pusingan kedua oleh Singapura pada 19 dan 20 November dan Malaysia pada 22 dan 23 November 2007.
Pada 23 Mei 2008, Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh mengumumkan keputusan pembicaraan tersebut bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan diisytiharkan milik Malaysia.
Delegasi Singapura
Pelbagai bukti sokongan dikemukakan seperti peta, gambar-gambar, dan rakaman suara. Pasukan Singapura diketuai oleh:
• Tommy Koh - Duta Kelana di Kementerian Luar Republik Singapura. Beliau juga merupakan profesor undang-undang di Universiti Kebangsaan Singapura.
• Chao Hick Tin - Peguam Negara.
• S. Jayakumar - Timbalan Perdana Menteri Singapura
Delegasi Malaysia
Ketua Delegasi Malaysia ialah:
• Tan Sri Abdul Kadir Mohamad- Duta Kelana, juga Penasihat Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Luar Malaysia. Beliau akan menjadi wakil Malaysia bagi kes itu.
• Datuk Noor Farida Ariffin - Duta Besar Malaysia ke Belanda, bertindak sebagai wakil bersama.
• Tan Sri Abdul Gani Patail - Peguam Negara, ketua pasukan undang-undang.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh:
• Sir Elihu Lauterpacht - profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge
• James Crawford - profesor Undang-undang Antarabangsa di Universiti Cambridge
• Nicolaas Jan Schrijver - profesor Undang-undang Antarabangsa Awam, Universiti Leiden
• Marcelo G. Kohen - profesor Undang-undang Antarabngsa, Graduate Institute of International Studies, Geneva
• Penelope Nevill, pensyarah Downing College, Universiti Cambridge.

Hakim
Ada 16 hakim yang akan mengundi bagi menentukan kedudukan kes ini:
• Awn Shawkat Al-Khasawneh
• Raymond Ranjeva
• Shi Jiuyong
• Abdul G. Koroma
• Gonzalo Parra Aranguren
• Thomas Buergenthal
• Hisashi Owada
• Bruno Simma
• Peter Tomka
• Ronny Abraham
• Kenneth Keith
• Bernardo Sepulveda Amor
• Mohamed Bennouna
• Leonid Skotnikov
• Christopher S.R. Dugard - Hakim ad hoc dilantik oleh Malaysia.
• Pemmaraju Sreenivasa Rao - Hakim ad hoc dilantik oleh Singapura.
Presiden ICJ Hakim Rosalyn Higgins tidak layak menjadi hakim kerana pernah mewakili Singapura.



Pendirian Malaysia
Hak milik Pulau Batu Puteh menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura. Sebelum 1965, Singapura merupakan sebahagian dari Malaysia tetapi disingkirkan oleh Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama selepas PAP mungkir perjanjian yang dipersetujui bagi tidak bertanding di Malaysia.[4]
Pelbagai bukti seperti peta dan dokumen berdasarkan latarbelakang sejarah dan prinsip undang-undang antarabangsa seperti penemuan, pemisahan, pertambahan, serahan, serta peraturan "uti possidetis" iaitu sempadan negara-negara baru merdeka berdasarkan sempadan wilayah jajahan lama, kesinambungan dan kesamaan sempadan.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor diberi taklimat oleh Wisma Putra dan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 20 Ogos 2006. Malaysia sebagai sebuah negara yang matang terhadap proses mahkamah akan menerima dengan baik sebarang keputusan yang akan ditetapkan oleh ICJ.
Sebelum ini Malaysia meminta Indonesia menerima hakikat bahawa Pulau Sipadan di perairan Laut Sulawesi adalah milik Malaysia setelah diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.



Alasan
Alasan sejarah
Istilah Malaysia hanya wujud pada 1963. Sebelum itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Dari 1402 - 1511 dikenali dengan nama kesultanan Melaka. Apabila British menjajah, ia dikenali sebagai Negeri-negeri Selat (Strait Settlement) .
Singapura yang dikenali sebagai Temasik pernah dijajah oleh kerajaan Siam melalui pemerintah Tamagi. Parameswara yang lari dari Palembang telah singgah sekejap dan menukar nama Temasik kepada Singapura. Parameswara telah mengasaskan Empayar Melaka, merupakan kesinambungan Empayar Srivijaya di Palembang.
Apabila Empayar Melaka runtuh pada 1511 oleh Portugis, Empayar Johor-Riau-Lingga telah ditubuhkan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah pada 1528. Logiknya Pulau Batu Puteh dalam lingkungan pentadbiran Empayar Johor-Riau-Lingga ini.

Alasan Malaysia berdiam diri
Singapura banyak berhujah tentang sikap kerajaan dan rakyat Malaysia yang berdiam diri. Taktik 'pengantin perempuan Melayu' ini digunakan oleh Singapura secara habis-habisan. Rakyat dan kerajaan yang bersuara dan membantah dianggap mendapat hak yang lebih. Sebelum 1979 memang Malaysia tidak pernah 'berdetik' tentang pembinaan dan pentadbiran Rumah Api Horsburgh ini.
Oleh kerana Malaysia sebagai 'anak tiri' British yang pasif sedangkan Singapura 'anak angkat' British yang agresif, Singapura mendakwa berhak menjadi pewaris sah pulau-pulau peningalan Empayar British itu. Dalam sistem demokrasi Barat, kumpulan yang banyak bersuara akan mendapat lebih banyak.
Setakat pacak dan mengibarkan bendera tidaklah bermasalah sangat bagi Malaysia. Empayar British dan Syarikat Hindia Timur Inggeris pernah mengibarkan bendera mereka. Singapura juga mengibarkan bendera Singapura di pulau Batu Putih. Malaysia juga pernah mengibarkan bendera Malaysia di Woodland, Singapura dan di stesen keretapi Tanjung Pagar.

Alasan pentadbiran Rumah Api Horsburgh
Rumah api yang khusus untuk membantu pelayaran kapal dagang di Pulau Batu Puteh tidak diperlukan pada zaman Melaka atau zaman kerajaan Johor-Riau. Tetapi rumah api Tanjung Tuan di sempadan Melaka-Negeri Sembilan telah wujud sekian lama untuk membantu kapal berlabuh di Pelabuhan Melaka. Bukit Melaka (Bukit St. Paul) sendiri mempunyai 'rumah api'.
Kerajaan Portugis dan Belanda di Melaka tidak pernah membina rumah api di Pulau Batu Puteh. Istilah 'Pedra Branca' merupakan istilah Portugis kerana ahli pelayaran Portugis memang aktif dan bijak dalam aktiviti pemetaan / kartografi seluruh dunia.
Hanya kerajaan Negeri-negeri Selat yang merasakan keperluan membina rumah api di Pulau Batu Puteh mulai 1847. Banyaknya kemalangan kapal dagang dan aktiviti lanun yang berleluasa di kawasan itu memerlukan sebuah rumah api dibina. Jika tidak lebih banyak kapal dagang akan terlanggar batu karang sekitar Pulau Batu Puteh.
Pentadbiran dan tindakan Singapura di Pulau Batu Puteh sejak pembinaan Rumah Api Horsburgh oleh Kapten James Horsburgh dari Scotland, British pada 1847-1851 tidak dibantah oleh kerajaan negeri Johor / Empayar Johor-Riau. Diam tidak beerti setuju dan mengiktiraf pulau itu hak Singapura. (Bagaimanapun pembinaan dan pengurusan rumah api Horsburgh hanya dengan kebenaran Sultan Johor pada 1844.) [4]
• Singapura membina tapak pendaratan helikopter pada 1992 dan rumah radar pada 1989 di Pulau Batu Puteh dengan tujuan mengawal kegiatan lanun. (Semua pembinaan selepas 1979 adalah dibantah secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia.)
• Surat pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 menyatakan kerajaan negeri Johor tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh yang ditadbir Singapura ketika itu. (Perlembagaan Malaysia telah menetapkan kerajaan negeri tidak berkuasa membuat perjanjian dengan kerajaan luar melainkan melalui kerajaan pusat.)

Alasan empayar
Jelas sekali Portugis, Belanda dan British menggunakan istilah pulau Pedra Branca untuk pulau Batu Puteh. Dalam hikayat Melayu lama, tidak pernah muncul nama pulau ini kecuali nama Temasik, nama lama Singapura atau Singapore sekarang. Singapura amat bergantung bukti, dokumen, surat-menyurat, pentadbiran pulau itu oleh Empayar British. Secara analogi, jika Selat Tebrau pernah ditadbir oleh British, apakah Selat Tebrau juga milik Singapura. Empayar mana jadi titik rujukan terakhir, adakah Empayar British, Empayar Belanda, Empayar Portugis, Empayar Johor-Riau, Empayar Melaka, Empayar Srivijaya atau sebelum itu lagi.

Alasan jarak
Daratan yang paling dekat Pulau Batu Puteh / Pedra Branca ialah Johor, Malaysia. Jaraknya hanya 7 km. Sedangkan jarak dengan Singapura 22 batu nautika.

Terra Nullius
Terra Nullius ialah tempat tidak dituntut oleh negara berdaulat yang disahkan oleh kuasa Barat - "unclaimed by a sovereign state recognized by European powers". Terra nullius. Singapura menyatakan Pulau Batu Puteh seluas padang bola sepak itu tidak berpenghuni, rakyat Malaysia tidak menghuni pulau itu sejak sekian lama. Oleh itu Singapura berhak menuntut pulau itu.
Sebaliknya Malaysia mendakwa pulau itu bukanlah terra nullius. [5]Ini kerana pulau itu menjadi tempat nelayan untuk berlindung apabila berhadapan dengan ribut kencang dan ancaman lanun . Malah perairannya menjadi kawasan penangkapan ikan yang strategi bagi Orang Laut di Pengerang dan Teluk Ramunia , Johor. Jika mereka tidak berlindung di Pulau Batu Puteh, bot nelayan akan hanyut ke Pulau Bintan, Indonesia untuk mendapatkan sebarang bantuan, tentunya lebih sukar.
Pada 1621 dalam carta ahli pelayaran China, Wubei Zhi mencatatkan saudagar China menamakan pulau ini sebagai 'Pia Chiao'. Ini menunjukkan pulau ini penting dan bukanlah terra nullius.
Artikel 1843 ada menyatakan kegiatan lanun yang merujuk kepada Batu Puteh. Begitu juga peta 1928, jelas sekali dinamakan sebagai 'Batu Puteh'.
Saiz pulau itu amat kecil untuk Malaysia menjalankan aktiviti bagi menyaingi aktiviti Singapura. Separuh dari pulau itu telah dipenuhi dengan rumah api dan kemudahan sampingan.[6]Adakah Malaysia perlu membina sebuah lagi rumah api di situ sebagaimana kehendak Singapura?

Alasan Perjanjian 1824
Empayar British melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris yang diketuai oleh Stamford Raffles telah 'membuka' dan mendapatkan pulau Singapura dari Sultan Husain dari Kesultanan Johor pada 1819.
Apabila Perjanjian 1824 ditandatangani antara Empayar British dengan Belanda pada 17 Mac 1824, dengan jelas Singapura termasuk / tertakluk dalam Empayar British. Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 hanya melibatkan pulau Singapura dan wilayah di selatan Selat Singapura. Great Britain dan Singapura tidak pernah menuntut kedaulatan ke atas tiga kawasan itu pada bila-bila masa sebelum tarikh penting berkaitan pertikaian sekarang (1980 bagi kes Pulau Batu Puteh dan 1993 bagi kes dua kawasan lain itu).
Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatan (South Ledge) serta pulau lain di sekitar Selat Singapura adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor sebelum 1824.
Undang-undang dan amalan perjanjian yang diguna pakai oleh Singapura, penerbitan serta petanya dan kenyataan oleh pegawai-pegawai Singapura yang berpengetahuan, kesemuanya mengesahkan bahawa tiga tempat berkenaan bukan wilayah negara itu, tetapi ditadbir sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

Perjanjian Crawfurd
Perjanjian Crawfurd atau Crawfurd Treaty ditandatangani pada 2 Ogos 1824 antara Great Britain dengan Kesultanan Johor. Melalui perjanjian ini, Kesultanan Johor menyerahkan pulau Singapura bersama-sama pulau-pulau dan batu-batu dalam lingkungan 10 batu sahaja kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Sedangkan Pulau Batu Puteh 25.5 batu nautika dari Singapura.

Surat Temenggung Johor
Pada 25 November 1844, surat kebenaran membina Rumah Api Horsburgh telah diberikan oleh Temenggung dan Sultan Johor. Pembinaan operasi rumah api dibenarkan 'berdekatan dengan Titik Romania' atau di mana-mana yang sesuai. Pulau Batu Puteh ini berdekatan dengan Titik Ramunia tersebut. Dana dari pihak swasta telah dikumpulkan sejak 1836 untuk membina rumah api itu.
Timbalan Perdana Menteri Singapura, Profesor Shunmugam Jayakumar yakin surat ini berada disimpan oleh kerajaan Johor atau waris Sultan Ali atau Temenggong berkenaan. Pihak arkib Singapura telah berusaha mengesannya tetapi tidak berjumpa.

Operasi Rumah api dari Singapura
Semua sistem rumah-rumah api ditadbir oleh Negeri-negeri Selat / Penempatan Selat iaitu di stesen Singapura, Melaka atau Pulau Pinang. Sejak 1912 Persekutuan Tanah Melayu turut menyumbang kos operasi rumah api apabila swasta enggan membiayai rumah-rumah api itu.
Rumah api yang lain termasuklah di Pulau Pisang, Pulau Undan, Cape Ricardo, Muka Head dan Pulau Rimau. Operasi dari Singapura tidak berubah dan diteruskan tanpa sebarang masalah.
Tentera Laut Malaya kemudian dinamakan Tentera Laut Diraja Malaysia bertanggungjawab terhadap Singapura sehingga 1975 apabila Singapura mempunyai tentera lautnya sendiri. Tentera Laut Diraja Malaysia terus beroperasi di pangkalan Woodland, Singapura sehingga 1980-an tanpa sebarang masalah. Woodland hanya diserahkan kepada Singapura pada 1997.
Sebelum dan selepas pembentukan tentera laut Singapura, pasukan British dan Malaysia berterusan mengawal perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, termasuk Pulau Batu Puteh.
94,000 kapal melalui Selat Melaka pada 2004 dan akan meningkat kepada 141,000 buah pada 2020. Pada 16 November 1971, tiga negara yang intim iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura sepakat untuk menguruskan Selat Melaka.
Anehnya kini Singapura agresif mengubah karakter dan penampilannya di Pulau Batu Puteh.
Pada 1969 Malaysia secara rasmi meminda wilayah pentadbiran daripada 3 kepada 12 batu nautika. Tentunya termasuk Pulau Batu Puteh. Tetapi Singapura tidak pula protes. Hanya sejak 1986, Singapura menghantar kapal tentera laut mengawasi Pulau Batu Puteh dan meronda 24 jam. Sebelum itu tidak ada rondaan 24 jam. Sejak itu nelayan Johor berada dalam bahaya, dihalau dan mungkin diancam dan ditembak jika 'menceroboh'. Pihak Malaysia tidak mengambil pendekatan konfrontasi terhadapi situasi tegang itu. Kemudian Malaysia dapat tahun Singapura telah menempatkan peralatan komunikasi tentera sejak 1977 lagi.

Peta Malaysia 1979
Pada 20 Disember 1979, Kementerian Luar Malaysia menghantar telegram kepada semua Misi Asean tentang keputusan Malaysia untuk mengeluarkan peta baru. Peta baru tidak bermaksud tuntutan baru, tetapi hanya petunjuk mengenai hak Malaysia di perairan laut wilayah dan pelantar benua Melaysia berdasarkan perjanjian-perjanjian sedia ada dan perundangan antarabangsa. Malaysia telah memaklumkan peta Malaysia 1979 kepada 7 negara jiran iaitu Thailand, Vietnam, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan China. Semua 7 negara ini telah membantah kerana Malaysia cuba mengubah status quo.[7]
Pada 21 Disember 1979, mesyuarat pertama antara Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian luar Malaysia dengan Pesuruhjaya Tinggi Singapura. Ketika itu tidak ada bantahan dari Singapura.
Pada 13 Mei 1980, Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Malaysia ada memberi respond terhadap kenyataan Lee Kuan Yew berhubung dokumen yang disimpan oleh Singapura. Tetapi sehingga kini dokumen definitif itu tidak ditunjukkan di mahkamah.[8]
Pada 14 Februari 1980, Singapura membuat bantahan rasmi menuntut Pulau Batu Puteh sebagai miliknya.Nota ini yang mencetuskan pertikaian. Tarikh kritikal ini penting dari sudut undang-undang sempadan. Selepas tarikh ini, Singapura tidak lagi bertindak normal berbanding fungsinya sebagai pengendali rumah api.[9]
Singapura hanya menuntut Middle Rocks dan South Ledge hanya sejak 6 Februari 1993.

Surat Gabenor Butterworth
Surat Gabenor Butterworth yang dirujuk dalam Perjanjian Crawfurd tidak terdapat di mana-mana arkib Malaysia. Malangnya 1994 Singapura enggan membenarkan pihak Malaysia akses ke arkib di negara tersebut. Surat ini dirujuk sebagai 'Letters of Native Rulers'.

Dokumen bertulis
Singapura tidak mengemukakan sebarang dokumen bertulis. Sebaliknya Malaysia mengemukakan 7 dokumen bertulis itu :
1. Surat dari Residen British di Singapura pada 10 Januari 1824 kepada pentadbiran di India mengenai jajahan Johor.
2. Perjanjian Crawfurd antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggung Johor yang berlangsung pada 1824. Artikel II Perjanjian Crawfurd menyatakan Sultan dan Temenggong Johor menyerahkan kawasan berupa perairan, selat dan pulau-pulau terletak 10 batu dari pantai.
3. Surat Crawfurd bertarikh 3 Ogos 1824 yang mengiktiraf kedaulatan Johor ke atas pulau-pulau kecil dalam longkungan 10 batu dari Singapura.
4. Surat Crawfurd pada 1 Oktober 1824
5. Laporan Presgrave (Edward Presgrave) bertarikh 5 Disember 1828 mengenai kegiatan lanun di Selat Melaka serta sempadan empayar Johor termasuk di Pulau Batu Puteh
6. Peta tahun 1842 yang disediakan atas arahan kerajaan Belanda.
7. Rencana dalam Singapore Free Press pada 25 Mei 1843 menyebut Pulau Batu Puteh antara pulau dikaitkan dengan kegiatan lanun terletak di bawah kuasa kerajaan Johor.
8. Surat-surat antara Gabenor Butterworth dengan Sultan dan Temenggong Johor pada 1944 berhubung cadangan pembinaan rumah api di pulau-pulau di muara Laut China Selatan.

Berkongsi Selat Melaka dan Laut China Selatan
Sejak sekian lama Malaysia, Indonesia dan Singapura berkongsi air dan pengurusan di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Secara geografi, dan sejarah kolonial British, Malaysia dan Singapura berkongsi dalam banyak perkara.

Rujukan
1. ↑ Perenggan 19. Spotlight on Batu Puteh. New Straits Times. 2 Januari 2003. Dicapai 10 Disember 2006.
2. ↑ Perenggan 18. New Straits Times. "Spotlight on Batu Puteh". Dicapai 14 Februari 2006.
3. ↑ Perenggan 20. Spotlight on Batu Puteh. New Straits Times. 2 Januari 2003. Dicapai 10 Disember 2006.
4. ↑ 4.0 4.1 Pertikaian Batu Puteh Di ICJ Bermula 6 Nov -Bernama Dicapai 13 November 2007.
5. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1114&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_02.htm&arc=hive
6. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1115&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_01.htm&arc=hive
7. ↑ http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=297236
8. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1114&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_03.htm&arc=hive
9. ↑ http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1114&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_03.htm&arc=hive
Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Pulau_Batu_Puteh"
Kategori: Hal semasa | Pertikaian wilayah antarabangsa | Mahkamah Keadilan Antarabangsa


Batu Putih milik siapa?
Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(Di The Hague, Belanda)

HARI ini Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengumumkan satu lagi keputusan yang bakal dicatatkan dalam sejarah perundangan maritim antarabangsa berhubung siapakah pemilik mutlak Pulau Batu Putih serta dua lagi bentuk maritim iaitu South Ledge dan Middle Rock.

Selepas mendengar hujah-hujah lisan oleh kedua-dua negara yang menuntut kedaulatan ke atas ketiga-tiga pulau itu pada 6 hingga 23 November lalu, tiba masanya ICJ membuat ketetapan yang memihak sama ada kepada Malaysia atau Singapura.

Keputusan ICJ muktamad dan tidak boleh dirayu, manakala kedua-dua negara sememangnya telah membuat perakuan untuk akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibentangkan oleh ICJ hari ini .

Paling penting keputusan tersebut dipastikan tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang sememangnya diketahui sarat dengan perasaan ‘benci tapi rindu’. Banyak isu dua hala yang mengikat Malaysia dan Singapura, dan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih adalah salah satu daripadanya.

Antara isu-isu tertangguh yang menjadi ‘duri dalam daging’ hubungan Malaysia-Singapura ialah semakan harga air yang dijual ke republik itu, pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, pengeluaran wang dari Tabung Simpanan Pusat (CPF) dan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar selain isu penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Singapura.

Cuma bezanya isu-isu tersebut menuntut siri rundingan antara kedua-dua negara tanpa perlu merujuk kepada pihak ketiga. Ia berbeza dengan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih, South Ledge dan Middle Rock yang melibatkan kedaulatan serta pemilikan lantas memerlukan ICJ sebagai penimbang tara untuk membuat keputusan.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula sejak 28 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Putih sebagai wilayahnya pada tahun 1979.

Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Putih) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993.

Pada 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa pertikaian ke ICJ melalui Perjanjian Khas untuk memuktamadkan kedaulatan Pulau Batu Putih.

Perjanjian Khas yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih; Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura’’.

Proses demi proses telah dilalui oleh kedua-dua negara selepas perjanjian khas itu dimeterai untuk menyempurnakan tuntutan terhadap ketiga-tiga bentuk maritim itu.
Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khasnya, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad bekerja keras untuk menyediakan bukti berupa dokumen bagi menyokong fakta bahawa Pulau Batu Putih sememangnya hak Malaysia.

Pendirian
Sebab itu setiap hujah Malaysia menetapkan pendirian bahawa kita tidak menuntut sebaliknya negara mahu ICJ menegaskan bahawa ketiga-tiga bentuk maritim itu sememangnya milik Malaysia manakala Singapura adalah pihak yang menuntut.

Abdul Kadir yakin keupayaan Malaysia mempersembahkan kes tersebut dengan cara paling terbaik. Ia bukan sahaja bergantung kepada tiga orang pegawai tinggi negara iaitu dirinya sendiri, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin serta lima peguam antarabangsa yang terkenal.

Kekuatan pasukan Malaysia juga amat bergantung kepada persediaan rapi yang dijalankan oleh para penyelidik yang telah memulakan kes tersebut sejak tidak kurang 15 tahun lalu.

Penyelidikan tidak terbatas di Malaysia malah menjangkau arkib, perpustakaan, muzium dan pelbagai sumber lagi di seluruh pelosok dunia supaya hujah pasukan negara tidak kelihatan sumbang atau lompong apabila dibentangkan ke mahkamah.

Penyelidikan yang diketuai oleh Wisma Putra telah menjadi satu usaha negara yang amat bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan institusi-institusi lain.

Sememangnya tidak salah jika pasukan Malaysia menaruh keyakinan bahawa negara mempunyai kes yang kukuh untuk mengekalkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge lantaran kita telah memberikan yang terbaik.

Namun selepas bertungkus lumus menerusi hujah bertulis dan hujah lisannya, keputusan adalah di tangan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh termasuk dua hakim ad hoc yang dilantik oleh Malaysia dan Singapura.

Harapan Malaysia, gandingan kepakaran tempatan dan antarabangsa ini, kedaulatan ke atas ketiga-tiga bentuk maritim itu akan dapat dikekalkan selama-lamanya.

Hakikatnya bukan rumah api yang dibina di atas Pulau Batu Putih menjadi ‘subjek utama’ pertikaian tetapi kedaulatan pulau tersebut yang menjadi keutamaan bagi Malaysia.

Sebab itu, Abdul Kadir, bertegas bahawa Malaysia bukan menuntut hak kedaulatan ke atas pulau seluas padang bola itu sebaliknya mahu mahkamah mengesahkan semula bahawa ia sememangnya milik negara.

Sememangnya hujah-hujah Malaysia baik dalam bentuk bertulis mahupun hujah lisan menjurus kepada bukti-bukti penting yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga pulau itu adalah miliknya. Siri dokumen berupa perjanjian, peta-peta dan fakta sejarah menjawab setiap dakwaan yang dikemukakan oleh Singapura.

Singapura pula menjadikan segala tindak tanduknya berhubung penyelenggaraan rumah api di pulau itu sebagai bukti bahawa ia mempunyai kedaulatan di situ. Bagi Singapura, mereka percaya bahawa telah wujud pentadbiran berkesan (effectivites) di pihak republik berkenaan di Pulau Batu Putih sehingga melayakkan pulau itu menjadi miliknya.

Bukti penting
Sepanjang sesi pembentangan hujah lisan Malaysia telah mengemukakan lapan bukti penting bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Johor sebelum tahun 1847 dan bukannya terra nullius (tidak bertuan) seperti yang didakwa oleh Singapura.

Bukti-bukti penting itu berupa dokumen perjanjian yang dipersetujui sepanjang tahun 1824 hingga 1851 melibatkan Kesultanan Johor dan British.

Tiada dokumen dikemukakan oleh Singapura bagi membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius dan terbuka untuk diduduki oleh mana-mana kuasa sekalipun.

Singapura berhujah bahawa negara itu telah membuktikan pentadbiran berkesan di Pulau Batu Putih dengan menjalankan pelbagai aktiviti di situ sejak lebih 150 tahun lepas bagi membuktikan ia melaksanakan kuasa kedaulatan di Pulau Batu Puteh, yang dipanggilnya Pedra Branca (bahasa Portugis bermaksud batu putih) sedangkan Malaysia tidak berbuat demikian.

Sesungguhnya pasukan Malaysia bekerja keras untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan kes ini dapat dibentangkan secara tersusun.

Namun kesempurnaan hujah-hujah itu tidak diketahui sama berjaya menarik perhatian para hakim yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan antarabangsa dan bukan calang-calang orangnya.

Sesungguhnya hari ini adalah hari penentu sama ada Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge akan kekal bersama Malaysia ataupun Singapura yang sebelum ini bertindak sebagai penjaga Rumah Api Horsburgh akan menjadi pemilik baru ketiga-tiga bentuk maritim itu.

– Utusan


23 Mei, 2008 18:38 PM
Pulau Batu Puteh Milik Singapura, Terumbu Karang Tengah Kepunyaan Malaysia, Kata ICJ


THE HAGUE, 23 Mei 2008(Bernama) -- Mahkamah Keadilaan Antarabangsa (ICJ) hari Jumaat menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatin adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Penghakiman itu menamatkan pertikaian selama 28 tahun antara Malaysia dan Singapura berhubung pulau itu, yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Blanca, dan juga dua terumbu karang itu.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

Kedua-dua negara telah memberi jaminan akan akur dengan keputusan ICJ, badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

Malaysia dan Singapura juga berulang kali menyatakan bahawa apa sahaja keputusan tidak akan menjejaskan hubungan dua hala.

Penghakiman itu dibacakan oleh Naib Presiden ICJ Shawkat Al-Khasawneh, yang bersama dengan 15 hakim lain, telah mendengar penghujahan dari kedua-dua negara pada perbicaraan kes itu dari 6 hingga 23 Nov tahun lepas.

Keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM1 mulai 10 pagi di sini (4 petang di Malaysia).

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengetuai rombongan Malaysia mendengar penghakiman itu di sini menyifatkan keputusan itu sebagai "menang-menang".

-- BERNAMA

No comments: