Tan Sri Sanusi Junid
Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013 perlu menyedarkan orang Melayu bahawa kuasa politik yang dipegang oleh bangsa itu mungkin akan hilang suatu hari nanti.
Veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berkata, orang Melayu juga perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan Empayar Uthmaniyyah yang dianggap sebuah kerajaan yang hebat dan tidak mungkin dapat ditewaskan suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Lepanto pada 7 Oktober 1571 telah menaikkan moral tentera Kristian sehingga kerajaan Islam itu terus mengalami kekalahan sebelum runtuh pada 1919.
"Pada 2008, buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga keramat yang dipegang sejak merdeka. Apa ertinya ini? Adakah ia akan menjadi kekalahan atau kegagalan berterusan?
"Kekalahan sebegini menimbulkan semangat kepada musuh kita. Musuh kita tahu memperalatkan tokoh-tokoh Melayu yang bergelumang dengan dosa dan noda kerana mereka tahu Melayu boleh dikalahkan," katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan Syarahan Perdana Renaisans Melayu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan tokoh-tokoh Melayu dalam pelbagai bidang di sini malam tadi.
Sanusi yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan Menteri Pertanian berkata, selama ini, walaupun tidak menguasai ekonomi, kuasa politik yang ada pada orang Melayu membolehkan mereka meningkatkan taraf bangsa itu dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Namun, katanya, kuasa politik orang Melayu kini sudah goyah ekoran kegagalan UMNO dan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen sejak 2008.
Menurut beliau, untuk kembali bangkit menjadi bangsa yang berjaya dan bermaruah, orang Melayu perlu mempraktikkan lima nilai Islam dalam kehidupan mereka iaitu amanah, berani, disiplin, rajin dan setia.
"Nilai-nilai tersebut terkandung dalam semangat Bushido yang menjadi kunci kejayaan Jepun, begitu juga dengan Korea Selatan dengan semangat Hwarang," katanya.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh
Sementara itu, Idris menggariskan lima nilai yang perlu ada pada orang Melayu untuk bangsa itu bangkit semula iaitu ilmu, berani, tekun, cemerlang dan penyayang.
Katanya, orang Melayu juga perlu mempunyai kerangka pemikiran baharu dan perlu berorientasikan tindakan yang berasaskan Islam.
"Apabila Melayu hebat, kita bermaruah tetapi apabila kita tidak hebat, kita tidak bermaruah. Apabila kita tidak bermaruah orang ejek kita tetapi apabila kita hebat, orang tidak akan berani memperlekehkan kita," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140214/po_03/Ambil-iktibar-kejatuhan-Empayar-Uthmaniyyah#ixzz2tLTIwyAg
© Utusan Melayu (M) Bhd
terimakasih sumber : utusan online
No comments:
Post a Comment