Friday, September 28, 2012

Menang Pilihan Raya dan Memerintah Tak Sama


TUESDAY, SEPTEMBER 25, 2012

Menang Pilihan Raya dan Memerintah Tak Sama


A Kadir Jasin

[SILA ambil perhatian, kalau mahu komen saudara dan saudari disiarkan, sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Terima kasih.]
 
DALAM satu forum anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di ibu negara baru-baru ini, soalan ditanya mengenai kemungkinan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Saya mempengerusikan sesi di mana soalan itu ditanyakan. Tetapi akibat kesuntukan masa, ia tidak dijawab.

Mungkin banyak orang dan pihak tidak berani meramalkan sesuatu yang negatif mengenai Barisan Nasional kerana ia berkuasa. Kalau ramalan seperti itu meleset, mereka mungkin mengalami masalah kerana sebagai parti yang berkuasa, BN boleh mengenakan tekanan ke atas mereka. 

Tidak meramalkan sesuatu yang positif mengenai Pakatan Rakyat juga akan menimbulkan masalah sekiranya ia berjaya dan menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum nanti. Ia juga boleh mengenakan tindakan ke atas pihak yang tidak bersimpati dengannya.

Namun dalam bahasa yang mudah, mana-mana parti pun boleh menang dan menubuhkan kerajaan sekiranya mendapat sokongan sebahagian besar pengundi.

Jadi, soal sama ada Barisan Nasional akan terus berkuasa atau Pakatan Rakyat akan mengambil alih adalah penentuan pengundi.

Memerintah Matlamat Pilihan Raya

Bagi pengundi, pilihan raya adalah cara. Ia bukan matlamat. Matlamat mereka adalah memilih sebuah kerajaan, yang pada pendapat mereka boleh memerintah dengan baik atau lebih baik daripada yang ada sebelum itu.

Kita sudah melihat bagaimana Barisan Nasional memerintah dan banyak telah dan sedang diperkatakan mengenai kebaikan dan keburukan pemerintahannya. Sedikit sebanyak, kita juga telah melihat bagaimana PR memerintah negeri-negeri yang mereka menangi. Namun harus disedari, iaitu memerintah negeri berbeza daripada memerintah negara.

Saya tidak akan mengatakan yang PR tidak akan menang atau tidak boleh menang. Kalau majoriti pengundi memilihnya, PR akan menang. Yang menjadi tanda tanya adalah sama ada ia boleh memerintah dengan baik dan berkesan.

Menang atau kalah pilihan raya adalah penentuan pengundi, tetapi sama ada pihak yang menang itu boleh memerintah bergantung dan tertakluk kepada banyak perkara.

Soalan sama ada PR boleh memerintah dengan baik dan berkesan kalau ia menang bergantung kepada sama ada parti-parti komponennya – DAP, PKR dan PAS - boleh mengatasi perbezaan ideologi, dasar dan rancangan mereka, yang buat masa ini nampak terlalu berbeza.

Soalan Sebagai Petunjuk

Jawapan kepada soalan berikut boleh menjadi panduan dan petunjuk mengenai permasalahan di atas. Soalnya, siapakah yang layak menjawabnya?

Saya rasa pengundi pun tidak boleh menjawab dengan sahih kerana bukan semua kita tahu dan faham isu-isu yang terbabit dengan mendalam. Antara soalan-soalan itu adalah:-

1. Adakah DAP, sebagai parti induk PR kerana mempunyai bilangan kerusi paling banyak dalam Dewan Rakyat, sanggup menerima dasar Negara Islam dan Hukum Hudud Pas?

2. Adakah PAS sanggup, secara sahih menggugurkan idealisme Negara Islam dan Hukum Hudud demi memenuhi kehendak DAP dan PKR?

3. Adakah PKR yang berdiri di tengah-tengah antara DAP dan PAS cukup berpengaruh untuk memujuk Karpal Singh supaya menerima Negara Islam atau mempengaruhi Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menggugurkan janji Negara Islam dan Hudud?

4. Siapakah antara Nik Abdul Aziz dan Karpal yang lebih arif dan pintar mengenai Perlembagaan dan undang-undang kerana apa yang diidamkan oleh PAS dan ditentang oleh DAP itu membabitkan Perlembagaan?

5. Adakah Anwar Ibrahim sah menjadi Perdana Menteri sekiranya PR menang? dan;

6. Apakah dasar ekonomi yang akan PR laksanakan?

Pranonton Pemerintahan PR

Di kalangan pemuka kanan PR, Anwar adalah yang paling berpengalaman dalam pemerintahan hasil 16 tahun menjadi putera mahkota Umno dan anak didik (Tun) Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi Anwar bukanlah seorang yang “detail” atau menyeluruh kepakarannya. Kepandaian beliau adalah berpidato dan menggunakan orang lain bagi membuat kerja atau menjadi “fall guys” kalau berlaku kepincangan.

Walaupun beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pengetahuannya dalam bidang ekonomi tidaklah mengagumkan.

Sekalipun beliau kini menguar-uarkan dasar popular seperti pengurangan cukai, kereta murah dan pendidikan percuma, dasar beliau ketika krisis kewangan 1997/98 berlainan sekali.

Beliau mirip melaksanakan penyelesaian ala Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), yang antara lain menaikkan cukai, mengurangkan perbelanjaan awam dan mengimbangi belanjawan. Beliau sangat akrab dengan Pengarah Urusan IMF ketika itu, Michel Camdessus, dan meyakini penyelesaian ikat perut IMF.

Adalah sukar memahami bagaimana Anwar boleh mencapai belanjawan seimbang yang dijanjikan jikalau pada masa yang sama beliau berikrar mengurangkan cukai pemotoran dan memberikan kemudahan asas seperti air dan elektrik secara percuma kepada pengguna?

Sebagai ahli politik arus perdana, acuan Anwar adalah acuan Umno. Sampai hari ini pun beliau masih mempamerkan perwatakan Umno. Yang berbeza hanyalah lambang, cogan kata dan mantera.

Kalau boleh saya sebut contoh mudah dan semasa (current) sebagai pranonton atau trailer kepada apa yang mungkin berlaku sekiranya PR menubuhkan kerajaan dan Anwar menjadi Perdana Menteri adalah kisah beliau dan pemuka PR menggunakan jet persendirian (private jet) yang khabarnya dipinjamkan oleh seorang “kawan” untuk menjelajah Sarawak/Sabah baru-baru ini.

Selera dan gaya Anwar adalah selera orang kaya baru yang diajarkan kepada beliau oleh “corruptors” yang mengelilingi beliau ketika beliau di puncak kuasa. Para “corruptors” ini masih ada. Malah bilangan mereka mungkin bertambah kerana yakin Anwar akan menang pada PRU nanti.

Namun begitu, kita kena akui bahawa bukan Anwar seorang saja yang berkuasa dan yang menentukan hala tuju PR. Tidak kurang berpengaruh dan berkuasa adalah watak-watak seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh, Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang. Wallahualam.

1 comment:

Anonymous said...

Sekiranya mahu membuka lembaran baru dan membuka era kegemilangan PR, semua pemimpin pakatan seharusnya bersatu mengembeleng tenaga menguatkan kepercayaan rakyat dengan melaksanakan apa yang dijanjikan di samping jangan mengikut perangai buruk kepimpinan BN. Erat dan mantapkan lagi hubungan 'grass-root' di dalam pakatan.
Semoga Berjaya. Lawan Tetap Lawan, Lawan Sampai Menang.