10 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Sekitar 49 peratus pengundi memilih Barisan Nasional (BN) sebagai parti keutamaan mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bulan depan, berbanding 21 peratus yang mahu mengundi Pakatan Rakyat (PR).
Bagaimanapun hasil kajian yang dikendalikan baru-baru ini, dua minggu sebelum perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu, juga mendapati 30 peratus pengundi tidak pasti parti yang menjadi keutamaan mereka - yang dikategorikan sebagai pengundi atas pagar.
Dengan perkembangan itu, pengundi atas pagar dilihat mengalami peningkatan kali ini berbanding PRU12 dan dijangka akan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan sesebuah parti pada PRU13.
Kajian itu dikendalikan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM antara 31 Mac dan 15 April lalu melibatkan 2,282 pengundi berdaftar di Semenanjung. Kajian tidak melibatkan pengundi Sabah dan Sarawak - dua negeri yang menawarkan 56 daripada 222 kesemua kerusi Parlimen.
"Kumpulan 30 peratus ini, pada pandangan kami, yang akan menentukan siapa dan parti mana yang akan memperoleh kemenangan dalam PRU13 kelak," kata Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM, Amer Saifude Ghazali ketika membentangkan hasil kajian pada Wacana Politik dan Persepsi Semasa Pengundi Menjelang PRU13 di institusi pengajian tinggi itu, hari ini.
Menurut beliau, arah aliran sokongan 30 peratus pengundi atas pagar itu akan menentukan sama ada Bn atau PR akan menguasai Parlimen pada PRU13.
"Kadar ini boleh memihak kepada BN atau PR, bergantung pada strategi yang parti-parti politik yang bertanding. Jika parti politik bijak menggunakan strategi, mereka boleh menawan sokongan 30 peratus pengundi ini... jika mereka beralih kepada BN, maka BN akan menang dan jika pindah ke PR, PR berpeluang memperoleh kerusi majoriti Parlimen," kata Amer.
Paras 30 peratus yang tidak pasti ini juga sama di peringkat negeri. Pusat itu turut mengeluarkan penemuan di beberapa negeri khususnya negeri-negeri yang sedang diperintah PR.
Misalnya, di peringkat Selangor, 34 peratus pengundi Melayu menyatakan bahawa BN menjadi keutamaan mereka berbanding 33 peratus memilih PR dan 33 peratus lagi pula tidak pasti.
Di kalangan pengundi Cina, 16 peratus sokong BN berbanding 49 peratus memilih PR dan 20 peratus lagi tidak pasti.
Seramai 20 peratus pengundi kalangan kaum India di Selangor memilih BN dan 60 peratus cenderung kepada PR dan 20 peratus lagi berada dalam kategori tidak pasti.
Di Perak, 36 peratus pengundi Melayu memilih BN sebagai parti pilihan mereka dan masing-masing 30 peratus condong ke arah PR dan 34 peratus tidak pasti.
Berbanding di Selangor, 67 peratus pengundi India di Perak memilih BN dan hanya lima peratus memihak kepada PR dan mereka dalam kategori tidak pasti pula 28 peratus.
Di Kedah juga, senario itu tidak jauh berbeza tetapi bilangan pengundi yang tidak pasti lebih kecil iaitu 24 peratus di kalangan pengundi Melayu, Cina (12 peratus) dan India (25 peratus).
Malah, di Kedah, 33 peratus pengundi Melayu memilih BN manakala kalangan Cina dan India pula masing-masing 38 peratus dan 65 peratus. Seramai 43 peratus orang Melayu, 50 peratus Cina dan 10 peratus India memilih PR.
Bagaimanapun senario agak berbeza membabitkan Kelantan, yang dipimpin oleh Pas sejak 1990, kerana 44 peratus pengundi memilih PR berbanding 27 peratus melahirkan sokongan kepada BN. Seramai 29 peratus pengundi berada dalam kumpulan tidak pasti.
Menurut Amer, ia menunjukkan bahawa senario di Kelantan adalah agak berlainan berbanding Selangor dan Kedah.
Ketika ditanya mengenai signifikan peratusan pengundi tidak pasti dalam menentukan parti pilihan mereka dalam PRU13, Amer berkata, meskipun 30 peratus pengundi mengatakan tidak pasti, sebenarnya penemuan "kami juga menunjukkan bahawa sebahagian besar sudah membuat keputusan."
"Cuma mereka tidak mahu memberitahu parti yang menjadi keutamaan mereka secara terbuka. Pendirian mereka, kami dapat kenal pasti menerusi jawapan kepada soalan-soalan lain yang berkaitan, misalnya ada yang menentang dasar kerajaan," kata beliau.
Berkenaan dengan keutamaan pilihan antara parti dan calon, 37 peratus pengundi berkata bahawa mereka akan membuat pemilihan berdasarkan calon manakala 51 peratus lagi memilih dengan mempertimbangkan aspek parti. Seramai 12 peratus lagi tidak pasti.
Dari segi kaum, masing-masing 50 peratus pengundi Melayu, 54 peratus (Cina) dan 57 peratus (India) mengutamakan soal parti apabila mahu mengundi kelak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
4 comments:
49% dah OK.
30% tak pasti..maknanya 50-50 (15%)
49+15=64%.....
DAH MENANG DAAAAAAAH.
Tak payah kira.
Tengok dengan mata kasar pun dah tahu BN menang.
Kalau tengok dengan mata halus, lagi banyak BN menang.
BN akan menang besar...dengan syarat pandai letak calun.
Tuan empunya blog,
mohon di link www.dtubes.tv dengan blog tuan ini.
terima kasih.
Che chu bidin
Post a Comment