Friday, March 30, 2012

Kerajaan PR Telus & Adil? Ptuuiih… oleh mykmu.net


March 27, 2012 ·

speaker-ayat600[1]

Gegak gempita merata jagat alam siang malam ke hulu hilir mendakwa diri telus, integriti, adil dan berwibawa. Akhirnya kantoi juga segala dakwa dakwi comel lote itu hanyalah propaganda setaraf tahi khinzir saja.

Itulah bahana yang perlu pemimpin PR terima apabila kantoi besar setelah speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Kim dari DAP tersilap hantar SMS kepada bekas pemimpin Pas yang juga bekas Exco Agama negeri, Dr Hasan Ali yang kini merupakan Adun Bebas.

SMS dalam bahasa Inggeris itu antara lain berbunyi: “Ini mungkin penggulungan terakhir bagi exco, peluang harus digunakan sepenuhnya bagi menjelaskan tentang kejayaan kita sejak empat tahun lepas.”

Speaker DUN Selangor, Teng Chang Kim (DAP) / Mkini / 27 Mac 2012

Konon nak merancang untuk menonjolkan kejayaan diri dengan harapan akan mendapat liputan positif dalam media massa, lain yang di angan-angankan malu pula yang dapat. Kesian.

SMS yang di terima ADUN BN dari Dr. Hasan Ali.

Kalau dah dalam dewan yang mulia pun, speaker yang sewajarnya menunjukkan contoh ketelusan & keadilan serta sepatutnya tidak bias dalam melaksanakan tanggungjawab namun masih sempat merencanakan politik propaganda, payahlah kita nak yakin segala yang di takbir urus sepanjang 4 tahun PR memerintah Selangor benar-benar telus, terbuka dan adil.

Selama ini galak betul menuding jari menuduh kerajaan BN tidak adil, tidak telus dan integriti kurang. Hakikatnya empat jari merujuk pada diri mereka sendiri.

Bak kata pepatah, “macam ayam jantan gah berkokok tapi tahi lekat di ekor sendiri. Malu weh. Tapi pemimpin PR dan penyokongnya pernah kenal erti malu ke?

Lagi satu, apa sangat kejayaan kerajaan PR Selangor yang nak dihebah dan dibanggakan? Rumah urut yang kian bertambah mengalahkan cendawan tumbuh lepas hujan itu kah?

Atau nak berbangga dengan kejayaan meningkatkan aktiviti maksiat yang makin bersepah dan GRO dari China yang mesra alam mengalahkan kucing siam? Asrama & pusat kemahiran untuk pelajar miskin pun tergadai, sampah sarap bersepah dan lampu jalan sekejap menyala sekejap gelap, ada hati nak berkongsi cerita pasal kejayaan.

Jika penulis adalah penyokong Dap, PKR atau Pas mahunya setahun tak keluar rumah malu nak bertemu dengan jiran tetangga dan rakan taulan. Mana taknya kalau dah bertahun mempropagandakan perihal betapa telus dan adilnya perjuangan parti yang disokong alih-alih realiti sebenarnya jauh langit dari bumi.

Mereka hanya gah mendabik dada konon memperjuangkan ketelusan & keadilan walhal semuanya omong kosong bagai ketuk tong drum bertalu-talu bingit telinga bunyi bisingnya tapi isi di dalam yileks. Adil, telus dan bebas konon, ptuih…

(sumber;http://www.mykmu.net/?p=18013)

Wednesday, March 28, 2012

Bahaya tuntutan ultra kiasu oleh PROF. MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH



1.0 AHAD lalu kita dikejutkan dengan Perhimpunan 325 ultra kiasu sekitar kolej ala universiti merdeka di Kajang, Selangor. Saya tertanya-tanya bagaimana perhimpunan perkauman sebegini diberikan permit. Sepatutnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jawapannya. Tetapi kita tidak pernah lakukan. Ini toleransi dan mulianya hati budi pemimpin.

2.0 Berbanding dengan undang-undang di Singapura, panggilan ‘anjing’ sudah membolehkan seseorang itu dipenjara atau didenda dan beberapa kemudahan ditarik balik. Di negara kita, tiada sebarang tindakan dikenakan walaupun perkataan lebih hina dan lucah digunakan serta sentimen perkauman dimainkan.

3.0 Saya telah pergi ke kolej yang dipunyai oleh ultra kiasu ini (tempat perhimpunan) enam tahun lalu. Operasinya langsung tidak mencerminkan identiti kebangsaan, sama seperti kolej di negara China. Laman webnya pun langsung tidak menggunakan bahasa Melayu.

4.0 Saya tidak faham bagaimana kolej ini boleh diiktiraf sebagai salah satu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) negara ini. Apa boleh buat, semua telah diluluskan.

5.0 Kita tidak pernah bertegas, malah semakin tunduk kepada tuntutan dan tekanan. Malang sungguh, identiti kebangsaan langsung tidak tertonjol, yang menonjol adalah identiti orang lain.

6.0 Beberapa laman web ultra kiasu melaporkan perhimpunan tersebut disertai oleh lebih 5,000 orang. Manakala akhbar ultra kiasu melaporkan lebih 7,000 orang. Angka tidak penting, walaupun sering dimanipulasikan oleh akhbar ultra kiasu untuk menunjukkan mereka hebat.

7.0 Tidak mustahil bilangannya agak ramai kerana jika pelajar-pelajar dan ibu bapa kolej ultra kiasunya turun, sudah cukup mendapatkan angka tersebut. Pada saya, perhimpunan ini tidak perlu dianggap sebagai satu gugatan.

8.0 Apa yang penting adalah tindakan proaktif kita, bukan berorientasikan tindakan, takut kepada mereka. Agenda kebangsaan mesti diperkasakan daripada agenda perkauman mereka.

9.0 Tuntutan mereka amat tidak logik dan melampau. Walaupun komunis telah tiada, tetapi pemikirannya masih kuat. Tuntut sebanyak-banyaknya, mereka tahu kerajaan tidak akan tunduk. Namun, kerajaan akan beri sedikit. Pemberian sedikit itulah kemenangan terbesar buat mereka.

10.0 Kerajaan sepatutnya sudah dapat membaca strategi lapuk ini. Jangan gentar sama sekali dengan ugutan menjelang pilihan raya. Biar kalah, tetapi bermaruah, daripada menang tetapi tergadai segala-galanya. Generasi akan datang menderita. Kita akan dikutuk sampai bila-bila.

Antara tuntutan kumpulan ini:

* Pertama, segera keluarkan guru Cina yang tiada latar belakang sekolah Cina atau mengambil Bahasa Mandarin dalam sijil SPM.

* Kedua, sediakan kursus khas bahasa Cina kepada guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, minimum tiga tahun supaya mereka dapat menguasai ketiga-tiga bahasa ini.

* Ketiga, rombak silibus latihan perguruan supaya guru bahasa Cina benar-benar layak untuk mengajar bahasa Cina.

* Keempat, rombak Akta Pelajaran bagi memastikan sekolah vernakular dilindungi dan setaraf dengan sekolah kebangsaan.

11.0 Siapakah ultra kiasu ini yang begitu biadab dan begitu berani mencabar kerajaan? Tuntutan ini tidak masuk akal. Sebahagian orang Cina sendiri tidak selesa dengan tuntutan terlalu ultra ini. Justeru, tidak wajar kita salahkan semua orang Cina.

12.0 Saya cadangkan ultra kiasu membawa tuntutan yang boleh memporakperandakan negara ini ke negara komunis China. Saya amat yakin, komunis China pun tidak dapat menerimanya walaupun berkaitan dengan agenda bangsa Cina, kerana memberi ancaman kepada keselamatan kerajaan.

13.0 Tidak perlu pergi jauh, lihatlah berapa ramai yang menjadi korban dalam peristiwa Tiananmen 1989, hanya kerana mereka menuntut kebebasan dan demokrasi. Seramai 400-800 orang (The New York Times) telah menjadi korban dan ribuan cedera.

14.0 Selain tindakan ketenteraan, kerajaan China telah melakukan penangkapan besar-besaran untuk menyekat kebangkitan penunjuk perasaan dan pengikut prodemokrasi di seluruh China.

15.0 Media asing diharamkan dari membuat liputan. Media awam dikawal dalam membuat segala liputan media mengenai kejadian tersebut.

16.0 Lihat betapa bertuahnya negara ini, media ultra kiasu mempropagandakan isu ini tidak pernah habis dan terus memainkan sentimen perkauman. Kita terus berlembut. Jika ada pun tindakan, hanya surat tunjuk sebab dan amaran, pun tidak berani menjentiknya. Kenapa? Nasihat saya, berilah sebanyak mana pun, ultra kiasu tidak akan mengundi kita.

17.0 Jika Kementerian Pelajaran tunduk kepada tuntutan ultra ini, maruah kita berada di tahap paling rendah sekali. Jangan terlalu mengharapkan undi sehingga maruah dan harga diri negara ini tergadai. Pentingkan agenda kebangsaan berbanding agenda bangsa.

18.0 Jika mereka benar-benar ikhlas sudah tentu agenda kebangsaan (bahasa Melayu) dibincang atau dibawa bersekali. Ini tidak, semuanya mesti Cina, Cina dan Cina.

19.0 Mereka tidak pernah risau sebahagian produk SJKC yang langsung tidak boleh menguasai dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Malah mereka tutup kedua-dua belah mata. Masalah yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran langsung tidak mahu diambil tahu.

20.0 Mereka hanya tahu hak mereka mesti dipenuhi. Hak orang lain langsung tidak dihiraukan. Sedangkan toleransi kerajaan sudah sampai ke tahap maksimum. Tindakan sebegini hanya akan membuahkan dendam.

21.0 Dalam pembinaan negara bangsa, tidak salah jika orang Cina kurang sedikit kecinaannya, lebih kepada kemalaysiaannya. Lagipun mereka bukan bangsa majoriti. Barulah betul dikatakan Malaysian first.

22.0 Saya tidak nampak identiti dan jati diri orang Melayu dan bumiputera hari ini begitu terangkat dan terdarjat walaupun mereka adalah majoriti. Mereka sanggup berkorban menggadaikan identiti bangsanya, demi menjaga hati orang lain. Namun, madu dibalas tuba.

23.0 Toleransi kita sudah tidak ada tolok banding. Dahulu, terdapat peruntukan Akta Pelajaran 1961 memberi kuasa mutlak kepada Menteri Pelajaran untuk menghapuskan sekolah vernakular.

24.0 Sebagai menghormati hak bangsa lain, peruntukan ini telah dimansuhkan dalam Akta Pelajaran 1996. Menteri Pelajaran tidak ada kuasa lagi menghapuskan sekolah vernakular. Nampaknya, golongan ini tidak pernah menghargai toleransi kerajaan.

25.0 SJKC yang dahulunya dikategorikan sebagai sekolah bantuan modal, hari ini hampir ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini tidak termasuk hampir 400 SJKC yang dibina sepenuhnya oleh kerajaan.

26.0 Menjelang pilihan raya, ke mana sahaja Perdana Menteri membuat lawatan ada sahaja SJKC/T baru yang diluluskan. Rumah ibadat janganlah dicerita.

27.0 Saya tidak pasti penambahan Sekolah Kebangsaan dan sekolah agama, sebab tidak dilaporkan. Yang pasti, bangsa lain semakin mendapat tempat dan diraikan menjelang pilihan raya umum.

28.0 Tidak cukup dengan itu, kaduk terus naik junjung, mereka terus mendesak ditambah lagi, seolah-olah tidak pernah cukup, termasuk penambahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJKC) dan Sekolah Persendirian Cina serta sijil-sijil sekolah perkauman (UEC) yang mesti diiktiraf oleh kerajaan.

29.0 Maka tidak hairanlah, baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi telah menerima 146 institusi pengajian tinggi di China menjadi kumpulan pertama yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), susulan Perjanjian Pengiktirafan Seiring (MRA) yang ditandatangani Malaysia dan China pada 28 April 2011.

30.0 Antara universiti China yang diiktiraf ialah Universiti Anhui, Universiti Beihang, Universiti Fudan dan Universiti Donghua. Ini tidak termasuk kerjasama dengan Taiwan.

31.0 Saya tidak menolak akan kerjasama tersebut, tetapi apakah mekanisme seterusnya. Siapakah yang akan belajar di sana? Apakah kriterianya? Menggunakan SPM atau UEC?

32.0 Bagaimana pemantauan boleh dilakukan dengan lambakan IPTS perkauman yang tidak terkawal terutama kolej ultra kiasu di Kajang itu. Selepas ini dan selama ini pun mereka terus mendesak supaya graduan-graduan mereka ini diterima memasuki perkhidmatan awam tanpa syarat.

33.0 Jika demonstrasi inilah yang mahu dijadikan ukuran untuk menggegarkan kerajaan, saya fikir sekolah agama rakyat pun akan berdemonstrasi juga. Lihatlah dan pergilah membuat lawatan ke sekolah agama rakyat, ibarat hidup segan mati tak mahu.

34.0 Pernahkah orang Islam membuat tunjuk perasaan seperti ultra kiasu. Sedangkan hak Islam dan orang Islam dijamin dengan jelas dalam Perlembagaan, terutama perkara berkaitan dengan pembinaan institusi Islam yang mesti dibiayai oleh negara.

35.0 Saya tidak pernah risau majoriti mereka mengejek Timbalan Menteri Pelajaran ketika perhimpunan. Ini sebahagian daripada taktik dan strategi mereka. Selepas ini perkara itu akan dibawa kepada Menteri Pelajaran dan diminta menebuskan balik penghinaan tersebut untuk menagih simpati. Akhirnya, kerajaan jadi sedih bersimpati, dan memberikan segala tuntutan mereka.

36.0 Taktik lapuk ini sudah lama saya fahami. Bila tuntutan itu dipenuhi, malah menteri tersebut akan dijulang kembali oleh ultra kiasu.

37.0 Bayangkan jika kita tunduk kepada tuntutan tersebut, apakah akan terjadi kepada agenda kebangsaan dan pembinaan negara bangsa. Sama ada tuntutan itu dipenuhi atau tidak, mereka tidak akan mengundi UMNO (BN) dalam pilihan raya akan datang. Bukti yang ada sudah cukup jelas. Jika tidak diberikan pun, mereka masih menang kerana sudah ada wakil dalam BN dan kerajaan ultra kiasu di beberapa negeri.

38.0 Justeru, janganlah lihat demonstrasi ultra kiasu ini sebagai ancaman. Tetapi lihat demonstrasi itu sebagai peluang untuk kita memperkasakan agenda kebangsaan.

PROF. MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)

Monday, March 26, 2012

Gembira lulus peperiksaan oleh TAN SRI ABDULLAH AHMAD



sinar harian 25 Mac 2012

1.0 Ibu bapa dan pelajar mana yang tidak riang lulus peperiksaan apa pun peringkat dan pangkatnya? Siapa tidak sedih kalau kandas dalam apa usaha pun apa lagilah bercinta! Yang sukses jangan keterlaluan seronok, cabaran dan ekspektasi tinggi menanti di depan; mereka yang gagal jangan terlalu sedu.

2.0 Saya tumpang senang hati keputusan peperiksaan SPM terbaik tempoh lima tahun. Tahniah kepada yang sukses, tingkatkan lagi pencapaian dalam peperiksaan yang mendatang. Kepada yang failed jangan kecewa – belajar terus belajar atau ceburi medan baru yang bukan akademik.

3.0 Sejarah lama dan baru banyak membariskan bilangan yang sukses akademik tetapi tidak dalam kehidupan; ramai juga yang hampa dalam peperiksaan jadi kaya-raya dan pemimpin. Sejumlah politikus, usahawan, penulis, wartawan dan penyumbang kepada negara, bangsa dan agama begitu.

4.0 Satu contoh, peribumi terkaya mengikut majalah Forbes, Syed Mokhtar Al Bukhary, tidak ada pun SPM. Sekarang dia membina Universiti Al Bukhary, di Alor Setar tempat kelahirannya.

5.0 Bukan semua pelajar yang lulus SPM dan STPM bagus, tidak seluruh yang tumpas bebal! Sijil SPM / STPM hanya sehelai kertas untuk mendapat kerja rendah atau bagi menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Pada akhirnya native intelligence, networking, kebolehan berkomunikasi, menulis dan berinteraksi dan bakat semula jadi yang all round menentukan matlamat tercapai atau tidak. Terpenting lagi walaupun ada bakat, wujud peluang dan nasib baik.

6.0 Saya baru sahaja membaca review buku: Eisenhower – In War and Peace, oleh Jean Edward Smith – Random House, 950 muka surat berharga RM120. Dwight “Ike” Eisenhower adalah Presiden Amerika Syarikat yang ke-34 dan sebelum itu jenderal lima bintang, panglima NATO pertama. Ike berjaya kerana orang atas suka padanya.

7.0 Mereka tahu dia berbakat. Sepanjang hidup dan kerjaya dia dinaungi oleh ketua-ketua dan jeneral yang suka padanya dan nasibnya amat baik pula. Dia naik pangkat demi pangkat. Dijadikan panglima tentera Amerika Syarikat di Afrika Timur semasa perang dunia kedua walaupun ada 228 pegawai yang lebih kanan daripadanya dan pandai pula.

8.0 Apa sebab pun dia dipilih dan diyakini oleh orang atas. Bak kata Napoleon, kebolehan tidak penting bagi jenderal dan mereka dalam angkatan bersenjata. Saya suka menambahnya juga tidak penting dalam politik, media, dunia bisnes dan korporat dan perkhidmatan awam. Yang penting ialah mereka disukai oleh orang atasan.

9.0 Apa guna kebolehan atau bijak kalau orang di atas tidak mempercayai atau meyakini seseorang itu? Ramai yang cerdik, berbakat tetapi sayangnya mereka tidak bernasib baik, tidak ada peluang, tidak ada godfather; tidak ada mentor. Saya telah lama makan garam dan telah melihat mereka yang cerdik ditinggalkan dan dipinggirkan sebaliknya yang tidak cerdik sangat ditonjolkan kerana penerimaan orang atasan terhadapnya.

10.0 Saya sendiri naik ke tahap sekarang selain daripada kebolehan barangkali kerana patronage iaitu naungan Tun Razak, Tengku Razaleigh Hamzah kerana Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Razak – mereka memberi peluang kepada saya dan Tengku Razaleigh ketika kami berusia awal 20-an.

11.0 Hanif Omar kerana Tun Razak, Musa Hitam kerana Sardon Jubir, dan Tun Razak dan Dr Mahathir; Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin kerana Dr Mahathir. Dr Mahathir sendiri kerana Tun Razak. Tun Razak pula sebab Tunku. Semua mereka disebut ini seperti bak kata Niccolo Machiavelli terhutang budi kepada apa yang dalam bahasa Itali dipanggil “fortuna” iaitu nasib dapat naungan daripada orang yang berkuasa dan apa lagi dikasihi/disukai pula. Nasib dan kesempatan, saya kira, lebih utama daripada bakat.

11.0 Ada kehandalan, kepakaran dan ilmu tertentu membantu. Ike naik pangkat cepat selain daripada nasibnya dia juga ada bakat dan juga dalam situasi tertentu kerana politik antarabangsa.

12.0 Saya tahu di Malaysia, banyak orang tidak ke mana-mana kerana politik rebutan kuasa (kalau menang naiklah, kalau kalah tanggunglah), diISAkan atau kerana desakan kuasa asing supaya seseorang itu diketepikan seperti berlaku kepada saya sendiri antara 1976 - 1981 dan pada November 2003.

13.0 Contoh yang jelas dan didokumentasikan ialah tentang Ike. Presiden Roosevelt memilih Ike bukan Jeneral George Marshall yang lebih senior juga efisien dan bervisi sebagai Panglima Tentera Bersekutu melancarkan D-Day (merampas kembali Eropah dari Hitler yang mengakhiri Perang Dunia Kedua) kerana Churchill, sekutu Roosevelt, tidak suka pada Marshall. Di Malaysia, situasi sebegini pun berlaku zaman Tunku, zaman Tun Razak, zaman Hussein Onn, zaman Dr Mahathir, zaman Badawi dan kini pun.

14.0 Satu masa ke muka saya akan tulis satu kolum khusus tentang orang yang disukai naik pangkat yang tidak disukai dipinggirkan. Saya akan sebut nama satu persatu kerana ada yang masih hidup lagi dan kalau saya bercakap bohong, sila menafikan.

15.0 Pada muda-mudi saya anjur cari kerjaya yang kamu suka dari kecil lagi, turut hati dengan perhitungan yang logika; ambil risiko kerana tanpa risiko tiada sukses! Ijazah tidak menjamin sukses dalam kehidupan. Kamu sudah ada pendidikan asas, sudah mencukupi.

16.0 Berfikir dan bertindaklah di luar lingkaran atau kata orang sekarang di luar kotak. Kelayakan akademik tidak ada kolerasi dalam real life!

(sumber;http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/tan-sri-abdullah-ahmad/gembira-lulus-peperiksaan-1.34926)

Sunday, March 25, 2012

Wacana: Mengapa Undi Melayu Pecah (sinar harian)



WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Mac 2012
Wacana: Mengapa Undi Melayu Pecah

Wacana Sinar Harian siri ke-11 yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf yang membawa tajuk `Mengapa Undi Melayu Pecah' dipengerusikan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dan dihangatkan dua bekas menteri Datuk Seri Ong Tee Keat dan Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng selain Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Ikuti wawancara penuh Wacana Sinar Harian.

Soalan kepada semua. Tajuk hari ini kenapa undi Melayu pecah? Tetapi saya ingin bertanya adakah benar undi Melayu pecah, kalau benar siapa yang untung siapa yang rugi?

Tee Kiat: Undi sesuatu kaum itu pecah memang satu fakta. Dan sejak bila ia berpecah, kita perlu meneliti daripada satu sudut di mana bila undi sesuatu masyarakat itu pecah tidak bermakna kaum lain akan ambil kesempatan. Saya tidak bersetuju dengan perkara itu. Kita kena meneliti dalam soal kenegaraan, jika undi pecah, orang lain untung dan orang lain ambil kesempatan.

Itu saya rasa tidak kena. Sejak dahulu lagi undi ini telah berpecah tetapi kali ini semakin terserlah kerana banyak parti yang muncul yang kononnya memperjuangkan hak sesuatu kaum. Kita nampak bahawa undi itu tidak tertumpu kepada satu parti. Pada masa sama, saya ingin menjelaskan saya tidak mewakili MCA kerana saya tidak diberi kuasa untuk berbuat sedemikian. Saya datang hari ini kerana sebagai rakan kepada Sinar Harian.

Dzulkefly: Undi Melayu pecah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan, mungkin ada yang bertanya bila undi Melayu pecah. Undi Melayu pecah sejak dahulu lagi, ketika wujudnya dua parti yang mewakili kaum Melayu iaitu Umno dan Pas. Maka di situ bermulanya undi Melayu berpecah dan terbahagi kepada dua. Lalu persoalan undi Melayu pecah ini tidak timbul dalam pertikaian akademik. Ini bukan persoalannya. Kenapa Umno mengalami kemerosotan undi Melayu dan ia berlaku sebanyak dua kali. Pertama kali ketika Barisan Nasional (BN) yang dikenali sebagai Perikatan ketika dalam Pilihan Raya Umum Ketiga (PRU-3) tahun 1969, dan ketika itu Perikatan gagal memperoleh majoriti dua pertiga dan tumbang tiga negeri.

Ia berulang dalam PRU-12 yang lalu, sekali lagi kerajaan hilang kuasa dan yang lebih jelas kemerosotan undi Melayu yang dialami oleh Umno. Maka di sebalik membawa gagasan ini ke tengah untuk membicarakan kenapa Umno mengalami kemerosotan undi Melayu, kita juga perlu bertanya kenapa undi Melayu lari daripada Umno, dan hari ini orang Melayu tidak hanya ada dalam Pas atau PKR. Sebaliknya DAP juga mempunyai orang Melayu. Jika kita membincangkan tentang perpecahan itu, kini kita mempunyai Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan sekiranya Perkasa bertanding dalam tiket Bebas bertambah pecah undi Melayu. Persoalannya adakah siapa untung siapa rugi.


Ruslan: Apabila kita membicarakan tentang perpecahan ia ibaratkan `rambut sama hitam tapi hati lain-lain' sebagaimana dijadikan lelaki dan perempuan oleh Allah dengan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk kenal mengenali antara satu sama lain dan berkenalan di antara mereka. Bukannya menjadikan perbezaan itu sebagai alat untuk berpecah belah di antara kaum. Tidak mungkin seseorang itu mempunyai pemikiran, hati, jiwa dan kehendak yang sama, kita perlu akur dengan fakta sejarah bahawa perpaduan berlaku pada tahun 1946, ketika itu kita berhadapan dengan musuh Gagasan Malayan Union. Pada ketika itu juga bukan hanya orang Melayu bersatu tetapi membabitkan semua kaum iaitu Cina dan India dan diikuti oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada ketika itu.

Musuh kita pada itu adalah British dan misi yang membuat kita bersatu adalah untuk mencapai kemerdekaan. Kita perlu mencari satu visi yang boleh mengeratkan perpaduan Melayu khususnya apabila kita membicarakan tentang undi Melayu, seperti yang berlaku pada tahun 1974 ketika itu BN mendapat 87.7 peratus undi di mana ketika itu, Pas berada dalam BN ini tidak boleh nafi. Kalau berbicara tentang Melayu, realitinya adalah perpaduan antara Melayu Pas dan Melayu Umno. Ia adalah realiti yang harus kita terima bahawa perpaduan itu ada. Jika ditanya ada perpecahan. Saya mengakui berlakunya adanya perpecahan, sekiranya ada kerugian ia sememangnya ada kerugian yang berlaku.

Ibarat kata pepatah orang Melayu `Bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat'.

Saya cuma tertarik dengan ayat perpaduan Melayu Pas dan Melayu Umno bersatu. Melayu PKR hendak diletak di mana? Maksud Melayu ini amat luas untuk dikecilkan hanya pada Melayu Pas atau Melayu Umno. Datuk Chua sila mengulas mengenai tajuk yang kita perbincangan ini.


Jui Meng: Kita semua datang dari keturunan yang sama iaitu Adam dan Hawa. Bermakna apa juga bangsa kita, sama ada dari Cina atau India kita adalah adik beradik. Bagi saya soalan Melayu pecah, Cina pecah tidak relevan pada masa kini. Apa yang hendak saya utamakan adalah hak Melayu, Cina, India dan semua kaum di negara ini kerana kita dari satu keturunan.

Kalau dikatakan pecah, saya ingin mengambil pendekatan yang berlainan, kita hanya berbeza dalam pemikiran dan prinsip serta idealisme, kita tahu kehendak manusia. Mereka hendak kebebasan, mereka hendak satu kerajaan yang menjamin masa depan serta tidak rasuah. Konsep ini mendapat sokongan daripada pelbagai bangsa di negara ini, tetapi masih ada pihak yang ingin mengekalkan konsep lama tanpa memikirkan nasib rakyat.


Adakah memberi keuntungan kepada orang Cina jika undi Melayu pecah? Adakah undi orang Cina tidak pecah. Orang Cina boleh bersatu untuk kepentingan bangsa Cina.

Tee Keat: Saya percaya kalau kita berada dalam satu minda mengupas isu politik berdasarkan perkauman dengan mengatakan kaum ini berpecah-belah dan kaum lain mendapat keuntungan. Saya tidak berfikiran begitu, kerana bagi saya selama ini, jika mengamalkan parti berasakan kepada kaum dan memantapkan sokongan mungkin boleh digunakan pada masa lampau. Tetapi pada masa kini saya tidak nampak ia relevan lagi.

Bukan kerana saya tidak mempunyai jawatan atau mewakili MCA. Saya percaya kita kena peka terhadap kemahuan semasa, kerana keadaan sekarang sudah berbeza dan impian rakyat juga berbeza berbanding dengan dahulu. Berbalik kepada soalan tadi saya tidak nampak, kalau terus berpolitik dalam kaca mata perkauman, kita tidak akan ke mana dan masa depan kita terkubur. Ramai rakyat di negara ini khasnya di kalangan generasi muda baik dari mana-mana perjuangan mereka lebih kepada perkauman. Jika kita lihat di beberapa laman sosial, ramai yang menulis sesuatu fakta, mengikut pandangan dari kaca mata sendiri yang terkongkong dalam perkauman, ini saya rasa tidak relevan lagi.


Ruslan: Apabila kita berbicara tentang perpecahan yang berlaku, saya bersetuju dengan Tee Keat bahawa suasana sekarang ini adalah politik baru harus diikuti. Politik baru dalam erti kata tidak berasas perkauman kita akui, realiti parti yang ada sekarang lebih kepada perkauman, manakala politik baru ia perlu ada pendidikan dan ini akan memakan masa.

Kita lihat Umno Melayu, Pas Melayu, MCA Cina, DAP Cina dan PKR adalah campuran, saya pernah bersama mereka pada satu masa dahulu dan itu adalah realiti yang berlaku mereka masih meraikan perbezaan kaum yang mana mereka mempunyai sistem tersendiri. Dalam keadaan sekarang rakyat masih belum dapat menerima perkara yang berkaitan dengan perkauman dan sebagai contoh kenapa DAP tidak bertanding di kawasan Melayu dan Pas tidak bertanding di kawasan Cina. Ini menunjukkan bertanding pun berasaskan kaum dan ini adalah realiti yang berlaku di dalam negara sekarang.


Jui Meng: Kenapa saya masuk PKR, yang majoritinya Melayu, Cina 15 peratus, India 15 peratus serta Sabah dan Sarawak 15 peratus, kerana saya lebih selesa dengan PKR berbanding dengan MCA yang semuanya Cina. Kerana kita berada dalam MCA banyak perkara tidak dapat diselesaikan termasuk nasib kaum sendiri tetapi apa yang berlaku dalam PKR kita membincangkan masalah kenegaraan.


Kalau sebegitu halnya kenapa PKR, Pas masih merebut undi Melayu?

Dzulkefly:
Saya menegaskan walaupun sifatnya kepada orang Melayu tetapi atas sandaran agama ia cukup berbeza, kerana tumpuan yang diberi bukan sahaja kepada orang Melayu walaupun Pas parti yang berteraskan agama Islam. Pas kini mengalami transformasi yang begitu besar dengan mendahului proses itu, bagi memperkenalkan Islam bukan hanya untuk orang Melayu tetapi merangkumi untuk semua.

Ini adalah pendekatan kami. Ini yang kami bawa ke tengah. Kita berani bertanding di Kota Raja, kita lebih senang bertanding di kerusi campuran. Kini kita boleh lihat DAP dan PKR belajar mengenainya Islam dan boleh berbahasa Arab serta menggunakannya di Parlimen. Ini tidak disenangi oleh rakan-rakan daripada Umno yang mempertikaikan kenapa orang bukan Islam boleh menggunakan ayat-ayat al-Quran. Itu lah asas kami parti untuk orang Melayu tetapi terbuka kepada semua.


Adakah Pas bersedia Timbalan Presidennya daripada bukan Islam.

Dzulkefly:
Kami bersedia dan kami sudah mula melangkah ke arah itu seperti yang berlaku di luar negara apabila gerakan Islam yang turut melantik orang bukan Islam sebagai Naib Presiden. Pas dengan negara berkebajikan telah membawa masuk kepada era politik baru. Umno masih belajar apa itu politik baru. Kita mahu menjadikan Pas sebagai watak utama bagi membawa politik baru di negara ini, muafakat Melayu, Cina ataupun India sudah tidak relevan dalam politik baru. Politik baru menuntut wujud multi parti sistem yang diiktiraf oleh Islam, bukanya berpecah antara satu sama lain.


Ruslan: Saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Dr Dzulkefly, bahawa kita kena bersatu atas satu akidah. Cuma saya ingin bertanya kepada Pas kenapa boleh bersama dengan DAP yang tidak satu akidah, tetapi dengan Umno yang satu akidah tidak boleh satu dan berpadu, ini berbeza dengan apa yang diperkatakan oleh Dr Dzulkefly.

Dzulkefly: Kita bersama dengan DAP dan PKR seperti yang dituntut oleh agama. Kami sanggup minum kopi dengan DAP dan PKR daripada meminum arak dengan Umno, dan sekiranya bersama Umno kami terpaksa mengedarkan video lucah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jui Meng: Selama 40 tahun dalam BN, saya tidak faham Islam tetapi bila dengan Pas dan PKR saya faham idealismenya. Umno tidak pernah ajar agama sebaliknya Pas yang mengajar saya mengenai Islam.

Tee Keat: Saya rasa jangan kita lupa tajuk wacana kita. Bila ghairah orang politik sememangnya suka cakap politik hormati pihak Sinar Harian, sebagai pemimpin politik kita pegang teguh kepada teguh kepada prinsip. Kita datang sini bukan promosi parti masing-masing fokus kepada tajuk asal Mengapa Undi Melayu Pecah. Sebaliknya apa yang saya lihat ahli panel sama ada sengaja atau tidak membicarakan tentang isu tersebut.

Saya ingin menyatakan adakah semua parti dapat memperjuang masa depan negara dan kaum, setakat mana kita mampu laksanakan apa yang berlaku di arena politik. Setiap parti hendak kuasa, kita ghairah menabur janji. Adakah kita dapat melaksanakan apa yang dijanjikan.

Persoalan yang timbul di kalangan rakyat pada masa kini negara Islam yang akan dibawa oleh Pas jika mereka duduk di Putrajaya dan kerana kita sedia maklum mengetahui bahawa DAP tidak bersetuju mengenainya, tetapi tiada pendekatan yang diambil oleh kedua-dua parti tersebut dengan berdiamkan diri dan tidak pernah menjawab persoalan tersebut yang amat ditunggui oleh semula lapisan masyarakat di negara ini. Bagaimana mereka hendak menyelesaikannya jika benar mereka ini berjaya menawan Putrajaya nanti.

Apakah kebimbangan Perkasa jika PR ke Putrajaya.

Ruslan:
Saya tidak bimbang mengenai perkara tersebut, mana-mana parti boleh ke Putrajaya tetapi saya suka mengingatkan parti yang ke sana jangan lupa tanggungjawab mereka dan janji mereka kepada rakyat.

Dr Dzulkefly: Kita hormati Sinar Harian, dalam pada masa yang sama saya ditanya dengan soalan lain yang mempunyai hubung kait dengan Islam, orang Melayu tidak bimbang dengan negara Islam yang akan dibawa jika kami berada di Putrajaya tetapi apa yang saya orang Cina yang bimbang mengenai perkara ini malah ia telah dibangkitkan oleh MCA.


Apakah peranan Perkasa?

RUSLAN:
Perkasa ditubuhkan bukan untuk berperang dengan sesiapa sebaliknya untuk mempertahankan hak yang dijamin di dalam perlembagaan yang boleh diterima pakai sejak dulu sampai sekarang melalui kontrak sosial yang diterima di negara kita. Maknanya tak betullah orang kata Perkasa ini perkauman, tak betullah ada yang kata Perkasa hanya memperjuangkan untuk kaumnya sahaja. Perkasa mengikut hak perlembagaan dan dipersetujui dulu sejak turun-temurun.

Dalam suatu keadaan, Kadang-kadang ada isu itu ada dalam perlembagaan, ada yang mengatakan itu perkauman. Tapi bila pihak lain mereka memperjuangkan hak mereka dikatakan keadilan, apabila Perkasa perkauman. Jadi tak kenalah. Tak betullah macam tu. Apa peranan Perkasa ketika Pilihan raya. sudah tentu Perkasa akan menyokong siapa sahaja yang diyakini boleh membawa rakyat ke tempatnya. Kita tak beri arahan tapi Perkasa memberi kebebasan berdasarkan pemikiran mereka yang waras. Jika saudara percaya bahawa ini politik baru, antara ciri-ciri politik baru adalah membimbing kebebasan membuat keputusan dengan bijaksana melalui pemahaman mereka dan bukannya emosi seperti sebahagian daripada penonton yang hadir pada hari ini (semalam).

Yang kedua adalah 'Third Force' yang dikatakan alat kepada Umno, Padahal kalau saudara baca (saya perlu jawab walaupun tidak ada kena mengena dengan soalan) itu tidak betul. Jika ada kesilapan yang Umno lakukan, kita akan tegur. Ada mata, baca laman web Perkasa. Ada telinga dengar ceramah Perkasa. Ada hati cuba faham. Jangan tutup mata, tutup telinga, tutup hati kepada satu pihak sahaja. Ini yang berlaku.


Presiden MCA sekarang, Datuk Chua Soi Lek, Perkasa sokong tak?

Ruslan:
Saya bergantung tempat beliau bertanding. Tengok siapa yang beliau lawan. Kalau lawannya lebih baik, lebih memberikan jaminan untuk memajukan negara, memajukan masyarakat, sudah tentu, kita pilih yang satu lagi.


Apa kayu ukur calon itu lebih baik daripada Chua Soi Lek?

Ruslan: Sudah tentulah, kita kena mengenali. Kalau orang itu Datuk Seri Ong Tee Kiat, sudah pastilah saya sokong Datuk Seri.

Dzulkefly: Saya respons tentang perkara tadi. Bagaimana Perkasa, saya boleh sebutkan kalau kita mengimbau perkataan yang digunakan Haji Ruslan bagaimana rakyat digabungkan, dipunggah dan diangkat satu kebersamaan dalam menentang Malayan Union. Hari ini, Umno tidak boleh 'survive' kerana kuasa serangan luar itu tidak ada. Tetapi, malangnya ketika serangan luar itu tidak ada, Umno mencipta serangan dari dalam yang hari ini saya nampak jelas diangkat agenda itu oleh Perkasa.

Seolah-olah Melayu diserang, Islam diserang, Kristian akan mengambil alih kerana perlembagaan Kristian. Kristian akan ambil alih. Kristian akan jadi perdana menteri. Apa semua ini? Kalau tidak politik usang, politik takut menakut. Hari ini, Perkasa menjalankan tugasan dan agenda itu. Ini cukup malang. Ini tidak akan dapat memperkasakan dan penjernihan dan pencernaan minda yang bebas dan jiwa merdeka. Kita mahu Perkasa "cakap serupa bikin, dan bikin apa yang serupa cakap."

(sumber:http://www.sinarharian.com.my/wawancara/wacana-mengapa-undi-melayu-pecah-1.28441)

Sunday, March 18, 2012

Radiasi telefon pengaruhi janin (kosmo online)


PENGGUNAAN telefon bimbit oleh wanita hamil membawa kesan negatif pada bayi dalam rahim.


PENGGUNAAN telefon bimbit oleh wanita hamil boleh meningkatkan risiko terhadap anak dalam kandungan.

Para penyelidik dari Universiti Yale, Amerika Syarikat (AS) mendakwa, pendedahan radiasi telefon bimbit ketika hamil boleh menjejaskan perkembangan otak janin dengan risiko janin hiperaktif sehingga 30 peratus, ketakutan dan rendah daya ingatan.

Penyelidikan yang diketuai Prof. Hugh Taylor mendapati telefon bimbit boleh membawa kesan negatif terhadap bayi dalam rahim berdasarkan hasil uji kaji yang dijalankan ke atas seekor tikus bunting.

Beliau menyarankan wanita hamil memastikan jarak telefon bimbit dengan mereka lebih kurang semeter.

Namun, sekumpulan saintis Britain yang diketuai Prof. Katya Rubia, menafikan kajian itu.

Rubia menjelaskan anak tikus yang belum dilahirkan itu mungkin telah didedahkan dos radiasi yang tinggi berbanding bayi yang belum dilahirkan.

Sementara itu, sekumpulan pakar dari Kolej Universiti London, mendakwa perbandingan antara tikus dan manusia tidak relevan kerana anak tikus dilahirkan selepas 19 hari berbanding manusia yang mengandung selama sembilan bulan.

(sumber:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm)

Ferrari lebih RM1 juta hangus di Lebuhraya Lekas : (kosmo online)



KEADAAN sebuah kereta Ferrari yang terbakar di Kilometer 28.2, Lebuhraya Lekas, Mantin semalam.


NILAI - Seorang lelaki hanya mampu melihat kereta Ferrari F430 bernilai lebih RM1 juta yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Kilometer 28.2, Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) dekat Mantin di sini semalam.

Difahamkan, ketika kejadian lelaki tersebut memandu jentera mewahnya itu dalam satu konvoi kenderaan menghala ke Seremban.

Bagaimanapun, enjin kereta itu tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum pemandunya yang berusia 50-an bertindak memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum ia terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Jayagaren Jaganatha Thevar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kes itu kira-kira pukul 10.21 pagi.

"Apabila sampai di lokasi kejadian kereta itu sudah hangus sama sekali.

"Pemandu itu terselamat apabila sempat keluar dari kenderaannya sebelum kereta itu dijilat api," katanya di sini semalam.

Menurutnya, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

(sumber;http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm)

Menyingkap sejarah lebuh raya : utusan online



JALAN Slim River-Tanjung Malim ini merupakan lebuh raya bertol terawal di Malaysia, dibuka pada 1966. Laluan sepanjang 33 kilometer ini kemudian ditukar status menjadi jalan persekutuan pada 1994, sekali gus memansuhkan bayaran tol 50 sen hingga RM2. Di kanan jalan ialah Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang dikekalkan.


SEJARAH pembinaan jalan raya negara bermula pada tahun 1860 apabila Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim membina jalan pertama menggunakan kayu balak yang diikat dengan rotan.

Jalan tersebut dibina bagi mengangkut bijih timah dari lombong di Kamunting ke jeti Teluk Kertang (kini Kuala Sepetang), Perak.

Jalan kedua pula dipercayai dibina oleh pekerja lombong bijih timah dari Ampang ke Kuala Lumpur.

Pembinaan jalan raya di negara ini hanya berkembang pesat selepas kemasukan British.

Selain mempunyai teknologi dan kepakaran dalam membina jalan raya, perkembangan pesat itu turut didorong oleh pertumbuhan industri bijih timah.

Faktor lain jalan raya banyak dibina bertujuan memudahkan British mentadbir negeri-negeri di bawah pemerintahannya terutama Negeri-Negeri Selat.

Disebabkan itu, banyak kemudahan jalan raya dan pengangkutan awal dibina di negeri tersebut sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Setelah merdeka, sistem jaringan jalan raya terus berkembang bagi menghubungkan lebih banyak kawasan.

Jalan-jalan tersebut kemudiannya dirujuk sebagai Jalan Persekutuan yang mempunyai satu lorong.

Jalan dua lorong pertama pula dibina di Jalan Gasing dan Jalan Universiti di Petaling Jaya sebelum Lebuh Raya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang dibina.

Mungkin ramai berpendapat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) merupakan lebuh raya bertol pertama negara.

Pendapat itu tidak tepat kerana lebuh raya bertol pertama negara terletak di antara Slim River ke Tanjung Malim, Perak sebelum PLUS dibuka sepenuhnya pada tahun 1994.

Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI, FAUZI BAHARUDIN, MOHD. NAIM AZIZ dan MOHD. NOOR AMIN menyingkap sejarah pembinaan lebuh raya negara dalam memastikan jaringan pengangkutan darat bergerak lancar.

Kini terdapat lebih 29 buah lebuh raya di seluruh negara termasuk di ibu negara yang memberikan kemudahan, keselesaan dan penjimatan masa kepada pengguna.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_01.htm)

Siasat siapa bocor dokumen sulit FGVH : arkib utusan



Anuar Manap (kiri) bercakap pada sidang akhbar tentang penyenaraian FGVH dalam Bursa Malaysia di Menara UOA, Bangsar Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Mac - Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat pihak yang membocorkan dokumen sulit berkaitan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) kepada pembangkang.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd. Manap berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana proses penyenaraian FGVH masih dalam pemantauan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Setahu saya, mana-mana dokumen yang diklasifikasikan sebagai sulit tidak boleh didedahkan kepada umum dengan sewenang-wenangnya.

"Kita sangat kesal kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu memberi ruang kepada pembangkang memutar-belitkan maklumat sulit tersebut dalam usaha menggagalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Bawa Peluang Baru Kepada Generasi Felda di Menara UOA Bangsar, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Panel Gabungan Pemikiran Profesional Felda (Gaprof), Datuk Khairil Anuar Aziz dan Presiden Alumni Asrama Felda Malaysia (AAFM), Abdul Malik Jalil.

Dalam pada itu, Khairil Anuar memberitahu, generasi kedua Felda menolak campur tangan pembangkang yang sering memutar-belitkan isu penyenaraian FGVH untuk kepentingan politik.

Menurut beliau, pihak tertentu yang menentang penyenaraian FGVH disifatkan sebagai tidak tahu bersyukur dan cuba menafikan hak peneroka untuk mengecapi kemakmuran.

"Perbuatan mereka itu amat menjijikkan kerana sanggup menabur pelbagai fitnah bagi menghasut para peneroka. Saya nasihatkan kesemua warga Felda supaya tidak terpedaya dengan hasutan pembangkang," jelasnya.

Sementara itu, kata Abdul Malik, generasi muda Felda khususnya yang berpendidikan tinggi perlu melihat peluang pekerjaan yang terbuka luas di FGVH selepas ia disenaraikan

(sumaber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm)