Saturday, December 24, 2011

Perangai samseng dan tabiat ketam bukan budaya UMNO - Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.



PERANGAI samseng dan ugutan bukan budaya UMNO dan gejala ini harus disingkirkan jika parti ingin dilihat beretika dan senangi rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Budaya itu jelas beliau, akan menjadi lumrah apabila ada sesetengah pemimpin UMNO yang enggan menerima teguran walaupun tingkah lakunya dilihat menjadi liabiliti kepada parti.

"Pemimpin UMNO sepatutnya menjadi teladan baik kepada generasi muda, bukannya angkuh dan mendabik dada kononnya apa yang mereka lakukan semuanya betul," tegasnya.

Beliau memberitahu, ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi tidak pernah bermasalah dan sentiasa ikhlas kepada parti.

"Yang menjadi masalah dan penyakit adalah pemimpin UMNO itu sendiri, inilah hakikat yang kita harus akui," ujarnya.

" Jangan kita asyik beretorik mahu ahli UMNO bersatu sedangkan ada sesetengah pemimpin parti seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Katanya lagi, keadaan akan bertambah parah dan menjadi barah kepada parti apabila ada pula segelintir individu yang berkepentingan menjadikan UMNO sebagai batu loncatan untuk mengaut keuntungan peribadi.

Katanya, individu yang berkepentingan lazimnya daripada golongan yang mudah kecewa sanggup lakukan apa sahaja asalkan mendapat habuan.

"Hanya mereka yang tidak ada harga diri dan tidak pernah berasa malu pada diri sendiri yang sanggup mencemarkan nama baik UMNO dan spesis seperti ini sewajarnya dibuang daripada parti," tegasnya.

Kadangkala katanya, mereka yang boleh disifatkan sebagai 'makan upah' ini pada kebiasaannya juga cetek pemikirannya disamping terbelenggu dengan masalah peribadi.

"UMNO akan mula dikeji apabila ada pula pemimpin parti yang sanggup menggunakan indvidu berkepentingan itu untuk melakukan kekacauan atau ketegangan jika tercetus sesuatu isu demi melindungi kepentingan mereka," tegasnya.

Bertambah menjekelkan kata beliau, golongan ini hanya sanggup memaki-hamun sesama ahli UMNO tetapi takut untuk menyerang pembangkang terutama DAP.

"Sesama ahli parti bukan main garangnya sehingga sanggup singsing baju dan selak kain, tetapi dengan PKR dan DAP, jadi tikus montel," katanya sinis.

Beliau berkata, budaya dan perangai buruk inilah yang menjadi buah mulut rakyat dan akhirnya timbul persepsi negatif di fikiran mereka.

Sesama ahli UMNO sangup singsing baju dan selak kain, tetapi dengan DAP dan PKR jadi tikus montel

Akhirnya tegas beliau, rakyat mula marahkan kepada pemimpin UMNO secara keseluruhannya dan tidak mustahil hukumannya akan dijatuhkan pada PRU akan datang.

Sindorom itu tegas Syed Ali lagi, tidak sepatutnya berlaku sewaktu UMNO sedang mengalami proses transformasi politik sepertimana yang sedang diusahakan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku presiden parti.

Menurut beliau, pemimpin UMNO harus insaf bahawa suara rakyat yang akan menentukan jatuh bangun kerjaya mereka dalam politik.

"Hari ini kita lihat ada yang angkuh mendabik dada kononnya ada jawatan penting dalam kerajaan dan parti, tetapi kita jangan lupa rakyat boleh menjatuhkan kita bila-bila masa," jelasnya.

Sehubungan itu beliau mahu seluruh pemimpin UMNO merealisasikan hasrat Najib supaya sentiasa merendah diri dan mengutamaklan kepentingan rakyat.

"Misalnya kita selalu salahkan rakyat apabila mereka tuduh ada pemimpin UMNO dikaitkan dengan penyelewengan atau ada kepentingan dalam sesuatu projek, walhal kita sebenarnya sengaja berbuat demikian kerana nafsu untuk cepat kaya," katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun perangai buruk itu hanya dilakukan oleh seorang dua tetapi tempiasnya terkena kepada seluruh pemimpin parti dan UMNO mendapat kecaman.

"Seperti susu sebelanga, kerana nila setitik, semuanya jadi rosak binasa, siapa yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal sebegini,?, soal beliau.

"Bertambah malangnya pula apabila yang rosakkan susu itu tidak mahu mengaku dan berdalih dengan pelbagai alasan yang kadangkalanya tidak masuk akal.

Oleh itu katanya, menjadi tangungjawab semua pemimpin untuk membersihkan UMNO daripada diresapi oleh kuman atau anai-anai yang boleh meruntuhkan kekuatan parti.

Menurut Syed Ali lagi, ingatan dan teguran yang sudah beberapa kali dibuat oleh Najib termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu dijadikan iktibar.

"Najib, sejak dua setengah tahun menjadi Perdana Menteri, sudah berulang kali mengingatkan pemimpin UMNO supaya berjiwa rakyat, ikhlas dan tidak mengutamakan kepentingan peribadi dan keluarga," tegasnya.

Katanya, jika Najib menunjukkan sikap mesra rakyat, ikhlas dan sentiasa merendah diri, mengapa masih ada lagi pemimpin UMNO yang tidak mahu mencontohi teladan baik tersebut.

Begitu juga Dr. Mahathir kata beliau, sentiasa berpesan supaya pemimpin UMNO terutama yang pegang jawatan supaya elok pekerti dan berbudi bahasa supaya menjadi sanjungan rakyat.

"Rakyat tidak hairan kalau kita ada harta setinggi gunung, tetepi kita akan lebih dihormati dan disayangi jika selalu merendah diri dan bersyukur dengan rahmat dan nikmat Allah swt," tegasnya.
Posted by syed ali alhabshee at 10:56 PG

(sumber;http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2011/12/perangai-samseng-dan-tabiat-ketam-bukan.html)

No comments: