Monday, November 7, 2011

Pelobi lazimnya membencanakan



Oleh : TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Tarikh : November 5, 2011 (sinar harian)

1.0 Selamat Hari Raya Aidiladha/Korban. Kita harus bersusah payah dan berpenat lelah berhabis kudrat dan mental untuk mara ke depan, mengekalkan kebahagiaan dan keselamatan. Kolum hari ini membicarakan pelobi, perihal manusia pintar memujuk mereka yang berkuasa bagi kepentingan diri sendiri, diupah oleh orang lain. Gerakan/aktiviti cergas sudah bermula apabila ramai menjangka PRU13 akan berlangsung musim bunga atau musim panas tahun hadapan.

2.0 Lobi sebagai verb/kata kerja adalah usaha oleh individu, kumpulan untuk mempengaruhi dasar dan keputusan kerajaan; kompeni, organisasi atau individu yang berkuasa dan berpengaruh. Sebagai noun/kata nama pelobi atau lobbyists adalah mereka yang pekerjaannya melobi. Terma lobi jadi sebahagian bahasa kita dan popular selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 – memujuk pemimpin, menteri, politikus dan pegawai kerajaan, beruniform atau sebaliknya, menurut kehendak mereka (lobbyists) atau kepentingan tertentu diupah oleh bisnes, korporat, politikus dan pegawai kerajaan yang bercita-cita tinggi untuk mendapat kontrak, promosi, jadi calon pilihan raya, menteri, ketua setiausaha (KSU), Ketua Setiausaha Negara (KSN); Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hakim; dikurniakan bintang, pingat dan gelaran. Selepas peristiwa berdarah 13 Mei supaya MAGERAN (Majlis Tindakan Negara) dimansuhkan dan demokrasi berparlimen dipulihkan.

3.0 Di Amerika Syarikat (AS), Eropah, Jepun melobi satu profesion mewah, bajetnya amat besar. ‘Lobi Israel’ di AS dan Eropah adalah pelobi terbesar, terkaya dan amat berpengaruh serta berkesan. Di Malaysia, melobi satu kerja yang juga mewah, ramai bekas politikus, menteri, pegawai tinggi kerajaan, beruniform atau sebaliknya, dan keluarga diraja di semua peringkat menjadi lobbyists, bagi segala bentuk vested interests (kepentingan tertentu) - tempatan dan antarabangsa – dan juga agensi hatta kerajaan asing. Satu masa dahulu ‘lobi China’ terbesar di AS mewakili kepentingan pemerintahan Chiang Kai Shek yang akhirnya ditewaskan oleh parti Komunis China di bawah kepimpinan Mao Tse Tung tahun 1949 dan lari ke Taiwan.

4.0 Di Malaysia lobi yang paling berpengaruh ialah ‘lobi Cina’, ‘lobi bisnes’, ‘lobi India’ dan ‘lobi Bumiputra’ di bawah sekali. Saya telah memerhati gerakan pelobi semenjak zaman Tunku Abdul Rahman, kini lebih hebat. Generasi pelobi sekarang lebih berorganisasi, tersusun, savvy atau lebih canggih maka impaknya amat menguntungkan ‘big business’ dan ‘vested interests’.

5.0 Kehadiran mereka (pelobi) di merata majlis, pesta perkahwinan, rumah terbuka Hari Raya, hari jadi; perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali dan waktu keberangkatan dan kepulangan perdana menteri dan menteri-menteri kanan di lapangan terbang hatta di masjid pun. Pelobi yang benar-benar berpengaruh tidak kelihatan di majlis-majlis terbuka seperti itu. Mereka terus ke pejabat atau ke rumah menteri. Mereka ada ‘paspot besar’.

6.0 Kata orang Kelantan pelobi-pelobi kelas ini ada ‘cable sakti – dapat masuk hingga ke dapur, masa menteri rehat hatta ke bilik tidur pun’. Mereka akan menghadiri hari jadi, ulang tahun perkahwinan atau birthdays anak-anak, cucu menteri yang berlangsung secara private.

7.0 Apabila perdana menteri, menteri, pegawai tinggi dan politikus yang dilihat berpotensi dan keluarga mereka bercuti lazimnya di luar negara pelobi tertentu akan berada di samping mereka, shopping, main golf, belayar, memburu, ke night clubs, kasino dan restoran mewah. Selalunya pelobi dan ‘kawan-kawan ini’ ke destinasi holidays terlebih dahulu atau berasingan. Ada yang berani naik pesawat sama dan kelas serupa. Saya telah lihat semenjak kita merdeka beginilah. Hilang kuasa ‘kawan-kawan’ dan pelobi ini hilang. Habis air tebu diminum hampasnya dibuang.

8.0 Di AS dan banyak negara-negara maju, pelobi mesti didaftarkan seperti syarikat dan kompeni tetapi di Malaysia profesion ‘memujuk’, profesion ‘orang tengah’, profesion ‘intermediaries’ tidak payah didaftarkan. Saya rasa sudah sampai masanya profesion ‘menggeletek’ ini didaftar seperti peguam, doktor, akauntan dan sebagainya. Waktu saya di United Kingdom (UK) bulan lepas dan awal bulan Parti Konservatif dan Liberal Demokrat (kedua-dua berkongsi memerintah) dan Parti Buruh (pembangkang) telah mengadakan persidangan agung tahunan masing-masing.

9.0 Mengikut media dan kolumnis British, pelobi yang beroperasi secara terang apa lagi rahsia amat membahayakan demokrasi, meritokrasi dan ‘fairness’; (keadilan) komen Andy McSmith, ‘those (lobbyists) who operate in secret are a danger to democracy’ (Independent October 17, 2011). Tambahnya, ‘literally thousands of lobbyists took the trip north (Manchester tempat konferensi Parti Konservatif) for a week’s social networking and deal clinching at the Conservative Party Conference.

There were more of them than Tory representatives (delegates). Their presence went a long way to covering the cost of an expensive week that would otherwise have had to come from Conservative Party funds.’ Maksudnya lebih ramai pelobi daripada perwakilan! Pelobi ke sana kerana networking dan mendapat bisnes, membaharui dan memperkukuhkan political contacts. Kehadiran pelobi ini meringankan kos Parti Konservatif. Kehadiran pelobi di persidangan parti Buruh tidak seramai seperti di Manchester.



10.0 Parti Buruh telah melangsungkan mesyuarat agungnya di Liverpool terlebih dahulu. Apa pun pelobi membahayakan demokrasi kerana pengaruh mereka – tanpa dipilih rakyat, tanpa jawatan - mereka berpengaruh membuat secara tidak langsung keputusan! Seperti di sini pelobi hadir di majlis kerana ‘lobbying industry’ adalah satu perusahaan besar, penting dan bajetnya tiada had, tiada limit. Poket mereka dalam asalkan kehendak mereka berjaya. Sebelum parti Buruh kalah ramai pelobi berkerumun dekat dan sekeliling Tony Blair dan Gordon Brown, kedua-dua bekas perdana menteri.

11.0 Sekarang giliran David Cameron pula - penjawat PM British. Berpusu-pusu orang mahu berjumpa dengannya. Ada gula ada semut! Di Malaysia, pelobi berduyun ke Putrajaya, ke Kuching, ke Kota Kinabalu, ke Shah Alam, ke Pulau Pinang dan ibu negeri lain. Ada baiknya mereka ini didaftar dan diletak di bawah undang-undang, koda dan peraturan tertentu. Saya tidak setuju mereka dihapuskan apa lagi diharamkan.

12.0 Bisnes dan industri bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh parti berkuasa dan pegawai mereka maka bisnes dan industri perlu ada pelobi menjaga kepentingan, keuntungan lumayan; dapat peluang kontrak sebanyak mungkin dan kontrak raksasa tanpa tender, melalui ‘direct nego’ (direct negotiations) kata orang Kelantan. Di UK, industri melobi dianggar membelanjakan Sterling Pound 2 bilion – lebih kurang RM10 bilion setiap tahun.

13.0 Saya tidak tahu berapa perbelanjaan industri melobi di negara tercinta dan terpilih ini! Saya teka tidak kurang RM500 juta setahun, besar berkemungkinan RM1 bilion. Kerajaan hilang hasil dan kerugian lain, tiris melalui rasuah berlipat-lipat ganda lagi.

14.0 Jumlahnya besar. Amat memalapetaka keselamatan dan maruah negara sebab ada setengah pelobi yang juga ejen rahsia kerajaan tertentu. Paling kurang McSmith mengulangi, ‘a target of suspicion, and a potential source of corruption, is when it’s practitioners operate in secret, either by pretending that they are motivated by (political) beliefs when in fact there is money involved, or trying to disguise that they are lobbyists.’ Baris pemisah antara pelobi dan perasuah agak tipis! Apa yang dilakukan oleh pelobi sebenarnya salah tetapi tidak pula melanggar undang-undang. Maka wajarlah undang-undang diadakan segera bagi mengawal kegiatan ini.

15.0 Pelobi, ejen, orang tengah, pemujuk harus dikawal – mereka kini terlalu merdeka dan bebas ‘bending the rules’ yang merugikan kerajaan, rakyat dan bisnes kecil yang tidak ada pelobi profesional. Rakyat harus tahu siapa towkay, kerajaan di belakang pelobi yang hidup mewah. Sebelum skandal pelobi terbongkar menjadi isu besar dalam PRU13 eloklah peraturan dan koda tentang profesion memujuk ini digubal. Pelobi bijak menanam tebu di bibir – mengeluarkan kata-kata manis, memujuk, memuji tetapi maksudnya bermotifkan duit, pangkat; dapat tebu rebah tanpa bersusah payah!

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

(sumber:http://www.sinarharian.com.my/komentar/pelobi-lazimnya-membencanakan-1.4179)

No comments: