Monday, October 10, 2011

PM Kena Susur Akar Jumpa Pengundi Akar Umbi oleh A Kadir Jasin


THURSDAY, OCTOBER 06, 2011

1.0 SETELAH dua “posting” bercakap mengenai bersunat (masuk jawi) dan tandas dua era, izinkan saya menyentuh sedikit mengenai prospek Barisan Nasional, Umno dan Perdana Menteri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

2.0 Ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan seawal April-Mei tahun depan atau pada penghujung tahun. Tetapi, semua sekata bahawa ia akan berupa PRU paling mencabar bagi BN akibat persekitaran politik dan ekonomi yang tidak merangsang.

3.0 Ramai yang menyokong atau bersimpati dengan BN berpendapat Mohd Najib Abdul Razak seolah-olah berseorangan dan keseorangan menghadapi ujian itu.

4.0 Jadi, kata mereka, beliau perlu segara turun ke padang, lembah dan luruh untuk berjumpa rakyat jelata, khasnya orang Melayu dan Bumiputera Sarawak dan Sabah.

5.0 Bukan turun macam dewata dari kayangan dengan segala adat istiadat dan dikepung para hulubalang sampai rakyat terpelanting dan terasing.

6.0 Bukan juga turun macam halilintar membelah bumi tapi hujan tidak turun dan bumi rekah dibakar kemarau seribu tahun akibat janji-janji yang mereka tidak fahami.

7.0 Turun menyusur akar berjumpa rakyat jelata bukan untuk mendengar cerita lama para panglima dan tuan-tuang perang parti yang berkata, segala-galanya OK tetapi Umno dekat-dekat KO pada PRU lalu.

8.0 Dan bukan juga perarakan jalanan berbas, berkereta atau bersampan ala-Obama yang lebih berupa sarkas media arus perdana daripada menemui rakyat jelata. Boleh naik bas, tetapi tengok jugalah bas jenis mana dan siapa yang Perdana Menteri bawa bersama.

Buktikan Yang Rakyat Diutamakan

9.0 Kalau betul rakyat didahulukan, dahulukanlah rakyat bila Perdana Menteri pergi berjalan-jalan. Bukan rombongan Umno Perhubungan, Umno Bahagian atau pegawai Kerajaan.

10.0 Dengarlah keluh-kesah rakyat bawahan – pesawah, nelayan, peniaga kecil dan Umno cawangan. Bukan cerita-cerita bermadu dan lagu merdu pegawai tinggi Kerajaan. Bukan cerita-cerita perebutan jawatan dan lobi hendak jadi calon negeri dan Parlimen.

11.0 Itu budi bicara dan hak Presiden Umno dan Pengerusi BN. Tapi kalau tidak berani buat keputusan dan hendak main selamat, janganlah cakap mengenai “winnable candidates”. “Winnable” macam mana kalau parti sendiri tolak seperti yang sedang berlaku kepada Koh Tsu Koon?

12.0 Tapi khabarnya hendak bertanding juga, kalau di Johor pun tidak mengapa. Memanglah Johor tidak mengapa sebab itulah pun negeri yang masih selamat. Yang sudah tidak laku itu, berhenti sajalah. Politik bukan kerjaya sepanjang hayat!

13.0 Kalau Mohd Najib hendak menang, hendak mendapat mandat sendiri, beliau kenalah pisahkan era beliau daripada era (Tun) Abdullah Ahmad Badawi.

14.0 Mandat sekarang bukan mandat beliau. Ia adalah mandat Abdullah. Cuma kerana tidak menang besar, Umno hilang sabar dan mereka tekan Abdullah supaya lekas-lekas beredar. Natijahnya, Mohd Najib wajib peroleh mandat yang lebih besar.

15.0 Seandainya beliau tidak berani atau terlalu bersimpati sehingga tidak sanggup menggugurkan beban era Abdullah sebelum PRU akan datang, pengundi tidak akan yakin yang beliau serius membuat transformasi. (Transformasi bukan istilah saya. Ia adalah antara kata kunci Pentadbiran Mohd Najib). Beliau mesti mengotakan janji merombak Kabinet sebelum adakan PRU.

Sokongan Melayu Faktor Penentu

16.0 Kalau orang Melayu tidak sokong, Umno akan lemah. Umno yang lemah tidak akan dapat meyakinkan orang bukan Melayu yang majoritinya akan terus mengundi Pakatan Rakyat kerana DAP.

17.0 Tanggapan bahawa Mohd Najib terlalu memihak kepada bukan Melayu dan elit liberal bandar tidak membantu meyakinkan penyokong terbanyak Umno di luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin dalam bandar.

18.0 Itu belum dikira lagi beban-beban sampingan yang sepatunya tidak ada yang datangnya daripada golongan dalaman – inner circle – daripada dalam rumah tangga kepada dalam Kabinet, dalam PMO, dalam sektor swasta sehingga penasihat-penasihat dalam dan luar negara.

19.0 Ramai daripada mereka, dengan izin, adalah lembu-lembu suci (terjemahan literal the sacred cows) yang tidak boleh disentuh langsung. “Wahyu” mereka amat ditakuti.

20.0 Susun sepuluh jari memohon maaf, sama benar, dusta atau persepsi semata-mata, cerita-cerita sebegini tidak membantu menyerlahkan imej Mohd Najib sebagai Perdana Menteri yang menguasai situasi.

21.0 Nada bahasa sebegini memanglah pedih dan hanya orang bebal, orang tidak cerdik atau orang tidak berkepentingan sahaja boleh mengucapkannya. Namun risikonya tetap ada.

22.0 Jadi, terpulanglah kepada yang empunya diri untuk menilai tulisan seperti ini sebagai kerja orang dengki, orang tak sedarkan diri dan orang iri hati atau sebagai peringatan yang mungkin, di sana sini, terselit sedikit kebenaran. Wallahualam.

Posted by A KADIR JASIN at 11:03 PM

terimakasih(sumber;http://kadirjasin.blogspot.com/2011/10/pm-kena-susur-akar-jumpa-pengundi-akar.html)

No comments: