Thursday, May 5, 2011

UTUSAN MALAYSIA 05.05.2011: ISU-ISU AKHBAR CINA


ISU-ISU AKHBAR CINA

1.0 AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 2 Mei 2011 menyiarkan artikel mengenai keputusan MCA baru-baru ini untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat Pusat dan negeri jika gagal meraih sokongan masyarakat Cina pada pilihan raya umum akan datang.

2.0 Penolakan tersebut turut melibatkan jawatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

3.0 Artikel bertajuk ‘MCA nampak berundur sebaliknya maju ke hadapan?’ itu tersiar dalam ruangan editorial pada halaman A14 akhbar berkenaan.

4.0 Keputusan yang dicapai oleh mesyuarat Majlis Presiden MCA pada Jumaat lalu sehingga kini masih tidak mendapat respons daripada kaum Cina. Mereka hanya mengambil pendekatan berdiam diri. Reaksi yang ada hanyalah daripada pemimpin parti pemerintah dan pembangkang. Respons mereka, mungkin hanya boleh ditafsir daripada sokongan kepada MCA dalam pilihan raya sebelum ini.

5.0 Kaum Cina sentiasa mahukan hasil yang berfaedah kepada mereka dan kadang-kadang bertindak mengikut emosi jika ia tidak diperolehi. Mereka sudah pasti akan menyokong mana-mana parti yang boleh membawa manfaat kepada kaum itu.

6.0 Bagi orang Cina, tiadanya wakil MCA dalam Kabinet tidak akan membawa apa-apa perbezaan kerana wakil parti itu yang berada dalam kerajaan selama ini dilihat tidak benar-benar memperjuang dan mempertahankan masyarakat Cina.

7.0 Hakikat ini adalah jelas apabila sokongan mereka kepada calon MCA sejak beberapa tahun dahulu semakin menurun.

8.0 Ada sesetengah pihak menganggap keputusan Majlis Presiden MCA hanya bertujuan mengugut masyarakat Cina, iaitu jika calon parti itu kalah, tiada lagi wakil kaum berkenaan dalam kerajaan. Apa yang dibuat oleh MCA itu hanya akan menyebabkan masyarakat Cina semakin tidak berpuas hati.

9.0 Ini kerana, masyarakat Cina berharap dengan berkurangnya sokongan kepada MCA, parti itu akan insaf dan meningkatkan kembali prestasi perkhidmatan mereka kepada kaum itu. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, apabila MCA mengugut kaum itu semata-mata untuk meraih undi.

10.0 Dalam pada itu, masyarakat Cina bukan sahaja tidak berpuas hati terhadap MCA malah mereka juga mempunyai perasaan sama terhadap Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO.

11.0 Sikap pemimpin UMNO yang turut menyokong keputusan Majlis Presiden MCA dengan memberi pilihan kepada pengundi kaum Cina supaya memilih DAP atau MCA, menyebabkan perasaan tidak puas hati kaum itu semakin bertambah. Jangan lupa kekalahan MCA, BN juga bertanggungjawab.
``````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````
UBAH PENDEKATAN TARIK CERDIK PANDAI

LANGKAH kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif bagi menarik cerdik pandai pulang ke tanah air turut mendapat reaksi Nanyang Siang Pau.

Artikel bertajuk ‘Yang dimahukan adalah peluang sama-rata’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun di muka surat A16 akhbar berkenaan bertarikh 29 April 2011.

Menurut penulis bebas, Chew Siew Yiang, terdapat di kalangan golongan profesional di negara ini yang tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan mengenakan cukai pendapatan sebanyak 15 peratus untuk tempoh lima tahun kepada cerdik pandai yang kembali berkhidmat di tanah air.

Mereka semua menyesal kerana tidak termasuk dalam golongan itu dan terpaksa tunduk dengan syarat membayar 26 peratus daripada pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Bekerja di dalam sektor profesional yang sama, kenapa mendapat layanan tidak serupa?

Jika kerajaan mahu menarik cerdik pandai pulang ke tanah air, jangan lupa pula untuk mengekalkan cerdik pandai sedia ada di Malaysia. Jika tidak, yang kembali tetap akan kembali dan yang berada di dalam negara akan ke negara asing. Sekiranya ini berlaku, insentif pengurangan potongan cukai pendapatan hanya akan membuang masa dan keringat sahaja.

Jika kita mahu kekalkan cerdik pandai dalam negara atau menarik mereka kembali ke tanah air, ia boleh dimulakan daripada peringkat bawah. Apabila kebolehan cerdik pandai mula berputik pada usia muda, kita harus memberi bimbingan dan layanan sama-rata kepada mereka.

Langkah ini dapat menghalang orang lain yang nampak kebolehan yang ada pada cerdik pandai berkenaan untuk menarik mereka berkhidmat di luar negara.

Jika ini tidak dilakukan, semua cerdik pandai kita akan mengalir keluar. Akhirnya nanti Malaysia menjadi sebuah negara pengeskport cerdik pandai. Berikutan langkah Malaysia yang tidak putus-putus mengimport tenaga buruh murahan, kita juga akan menjadi negara pengimport tenaga buruh.

Sementara itu, dalam usaha untuk membangunkan ekonomi negara, kita tidak harus bergantung harap kepada cerdik pandai semata-mata. Usaha ini tidak akan berjaya jika kita semua masih tidak membuang tradisi dan sikap-sikap lama.
````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````
KENAL PASTI PUNCA MASALAH

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 1 Mei 2011 dalam ruangan Pendapat Yuanlun berkongsi pandangan mengenai perlunya kerajaan mengenal pasti punca sesuatu masalah itu sebelum mencadangkan langkah-langkah penyelesaian.

Artikel yang ditulis oleh penulis bebas, Zhou Jia Hui di halaman A14 bertajuk ‘Tidak ambil berat pada masalah yang sebenar’. Menurut penulis, sesuatu masalah itu tidak boleh dipandang daripada satu sudut sahaja jika kerajaan mahu mencari penyelesaian yang bersifat menyeluruh.

Kegagalan kerajaan untuk melihat kepada punca masalah sangat jelas dalam isu menarik cerdik pandai pulang ke Malaysia apabila ia masih menganggap negara asing menggunakan wang untuk membeli mereka.

Akibat kegagalan mengenal pasti punca masalah sebenar, menyebabkan kerajaan memperkenalkan strategi tidak berkesan seperti mengurangkan kadar cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh golongan berkenaan. Ini hanya akan menjadi bahan ketawa pihak lain.

Dalam pada itu, situasi sama berlaku dalam politik apabila parti pemerintah kalah teruk di kawasan Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10, baru-baru ini.

Sepatutnya, tumpuan adalah untuk mengenal pasti apakah masalah orang Cina sehingga mereka menyokong DAP? Ini nampaknya tidak dilakukan. Sebaliknya pemimpin-pemimpin BN hanya mengeluarkan kenyataan supaya kaum Cina tidak dihiraukan kerana masih ada kaum lain yang menyokong gabungan itu. Apa yang berlaku ini, jelas membuktikan kerajaan BN lambat bertindak untuk menyelesaikan masalah kaum Cina. Ini akan menyebabkan kaum itu semakin marah dan geram.

Sepatutnya, kerajaan BN merasakan bahawa mereka berada dalam situasi bahaya berikutan keputusan PRN Sarawak ini. Keadaan ini bukan sesuatu yang buruk, kerana ia hanya bertujuan mendesak kerajaan supaya melakukan perubahan drastik.

Apa yang dilakukan oleh kaum Cina adalah umpama mereka menunjukkan jari ke bintang-bintang di langit. Kerajaan hanya perlu meneliti dan mengambil perhatian terhadap bintang-bintang yang ditunjuk itu, supaya ia dapat memahami kaum itu dengan lebih mendalam.

Sementara itu, kegagalan mencari punca masalah juga turut kelihatan dalam menangani isu kedudukan Malaysia yang masih berada dalam kumpulan negara sedang membangun. Pihak kerajaan asyik mengambil contoh negara mundur untuk dibandingkan dengan negara ini untuk mententeramkan jiwa rakyat. Ini menyebabkan rakyat berasa semakin kurang selesa.

Kegagalan kerajaan untuk mencari punca kenapa kita masih lagi menjadi negara sedang membangun sebenarnya telah memperdayakan harapan rakyat. Langkah kerajaan selama ini adalah umpama menyatakan wajah orang yang menghidap penyakit semput lebih ceria berbanding penghidap batuk kering atau membandingkan ukuran orang pendek dengan orang pendek.

Diharapkan pada masa akan datang, apabila kerajaan berhadapan dengan masalah, ia perlu berfikir sejenak dan membuat analisis bagi mengenal pasti sebab-sebab perkara itu terjadi. Jangan kita terus menyelesaikan masalah berkenaan tanpa menggunakan akal fikiran atau cuba menutup masalah itu supaya tidak diketahui orang ramai.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm)

No comments: