Kopi campur gelatin babi
Oleh Mary Victoria Dass dan Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: Sebuah kedai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dan dikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin babi.
Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan memang ada gelatin babi dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan.
“Sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin babi.
“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal.
“Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,” katanya.
Difahamkan, pengusaha premis terbabit akan hadir ke pejabat JAJ, hari ini. Selain di Johor, kedai kopi itu dikatakan turut memiliki cawangan di Lembah Klang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya menghantar lima pegawai ke premis terbabit, kelmarin.
“Selepas menerima aduan menerusi SMS, kami melakukan pemeriksaan di premis itu dan mendapati memang tiada tanda logo halal dipamerkan di situ.
“Berikutan itu, kami tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Abdul Hamid, jika premis terbabit memaparkan logo halal, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.
Sehubungan itu, menasihatkan pelanggan beragama Islam supaya berhati-hati memilih lokasi untuk menjamu selera.
“Sepatutnya orang Islam memastikan tanda logo halal sebelum memasuki sesuatu premis itu kerana dalam kes ini, tiada langsung logo berkenaan dipamerkan tapi pengguna Islam masih ke situ untuk menjamu selera.
“Pada masa sama, pengusaha terbabit juga perlu lebih bertanggungjawab kerana premis perniagaan mereka sering dikunjungi pelanggan beragama Islam,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Bumiputera Johor Bahru berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengusaha premis terbabit secepat mungkin dan menasihati pengusaha berkenaan supaya mempamerkan kandungan minuman dan makanan kepada pelanggan.
“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang selepas melihat sebaran berkaitan isu berkenaan di Internet dan laman web sosial,” katanya.
(sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/Kopicampurgelatinbabi/Article)
Friday, March 25, 2011
Thursday, March 10, 2011
NOBISHA: MERLIMAU & KERDAU: INGATAN UNTUK BARISAN NASIONAL
Konvensyen BN - satu permulaan yang baik, tetapi tidak cukup
MERLIMAU & KERDAU: INGATAN UNTUK BARISAN NASIONAL
Seperti dijangkakan, Barisan Nasional menang besar dalam pilihanraya kecil di Merlimau dan Kerdau. Di Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38. Di Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, mendapat majoriti 2,724 undi mengalahkan calon PAS, Hassanuddin Salim, 43. Tahniah kepada BN dan juga calon-calon berkenaan.
Dalam proses demokrasi, ada yang menang dan ada yang kalah. Bagi yang kalah, usah cipta alasan untuk menjustifikasi kekalahan tersebut. Muhasabah dan perbetulkan kesilapan yang dilakukan. Sejak mara bergaya dalam pilihanraya umum pada Mac 2008, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah melakukan banyak kesilapan. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur, maka mereka dilabel sebagai pecacai UMNO atau BN. Akhirnya, ramai juga yang mengatakan, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Nak kritik tak boleh, nak tegur pun tak boleh. Semua orang yang menegur Pakatan Rakyat dianggap "jahat" dan mempunyai motif tersembunyi. Mungkin atas sebab itu jugalah, sesetengah bloggers pro-Pakatan Rakyat mendiamkan diri sewaktu PRK Merlimau dan Kerdau.
Maka, ramai yang memilih untuk terus menegur Barisan Nasional yang dilihat sebagai lebih reseptif kepada kritikan. Malah, Pengerusi BN Dato' Seri Najib Tun Razak mengatakan zaman kerajaan (dalam konteks ini merujuk kepada kepimpinan BN) tahu semuanya sudah berakhir; maka pemimpin harus mendengar pendapat rakyat. Dalam beberapa ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO, Najib banyak mengingatkan perwakilan UMNO untuk mendengar suara rakyat dan membuang tabiat buruk yang menyebabkan parti dan pemimpin BN ditolak dalam pilihanraya umum lepas. Hal yang sama disebutkan berulangkali dalam Konvensyen BN.
Saya fikir "transformasi politik" yang disebutkan Najib adalah merupakan respon beliau kepada kritikan rakyat yang ingin melihat BN berubah. Kesediaan Najib untuk berubah adalah merupakan satu sikap yang cukup merendah diri. Bukan mudah untuk melihat pemimpin politik berkata, "Saya sanggup berubah." Yang ramai ialah pemimpin politik yang mendongak kepala ke langit dan tak boleh ditegur langsung. Pemimpin politik "semua orang salah, saya seorang saja yang betul" memang ramai.
Sepanjang lebih lima tahun saya menulis blog ini, beberapa orang Ketua UMNO Bahagian - termasuklah beberapa orang Timbalan Menteri - telah memanggil saya bagi mendengar kritikan kepada UMNO. Walaupun ada yang merah muka apabila saya bercakap, namun saya fikir mereka hargai kritikan ikhlas saya terhadap parti itu.
Atas perubahan inilah, maka saya fikir pengundi di Kerdau dan Merlimau memberikan sokongan yang besar kepada BN. Tentunya, saya tidak menafikan ada faktor-faktor lain termasuklah kepimpinan parti itu yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Dalam keghairahan BN meraikan kemenangan di kedua-dua pilihanraya itu, saya fikir parti itu belum lagi melepasi paras "bahaya". Sementara orang lain mengucapkan tahniah, biarlah saya memberikan ingatan kepada BN bahawa adalah menjadi satu kesilapan yang besar sekiranya ia merasakan kemenangan di Merlimau dan Kerdau itu sudah cukup membuktikan ia mampu menang besar dalam PRU13 nanti.
Sekiranya BN ingin kembali mendapat dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang, maka ia harus melakukan perkara-perkara berikut:
Pertama, tentukan momentum kemenangan di Galas, Batu Sapi dan Hulu Selangor yang kemudiannya dimantapkan dengan Tenang, Merlimau dan Kerdau diteruskan dalam pilihanraya Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi. Saya meramalkan pembangkang Sarawak akan menang sebanyak 13 daripada 71 kerusi DUN Sarawak. Bagaimanapun, sekiranya BN Sarawak dapat membuktikan saya salah dan kemenangan pembangkang tidak sampai 10 kerusi, maka itu adalah petanda yang baik bagi BN dalam menilai sokongan rakyat.
Kedua, menambahkan peratusan sokongan Melayu kepada sebanyak 10% dari tahap sokongan sekarang, Cina dan India di antara 15% hingga 20% lagi bagi semua kawasan, termasuklah kawasan bandar. BN tidak boleh bergantung kepada kawasan luar bandar semata-mata. Ia juga harus menang di kawasan-kawasan bandar untuk memperolehi legitimasi memerintah. Sementara sokongan pengundi Melayu penting, namun BN tidak boleh bergantung kepada undi satu bangsa saja untuk berkuasa.
Ketiga, membuang mentaliti "fixed deposit." Saya tidak percaya ada mana-mana negeri atau kawasan Parlimen / DUN yang merupakan "fixed deposit" kepada mana-mana parti politik. Saya pernah sebutkan sebelum ini bahawa pengundi sekarang - termasuklah di luar bandar - adalah merupakan pengundi nomad. Sokongan mereka berpindah-randah. Atas sebab itulah maka BN tidak harus memandang ringan serangan lawan walaupun di kawasan yang dianggap "putih." Sikap sedemikian akan hanya mengundang malapetaka.
Atas semangat itu, maka BN tidak boleh ambil mudah serangan lawan. Sikap BN sebelumnya - "tak apalah, pembangkang bukan boleh buat apa!" - harus dikikis. Saya melihat apabila Najib memberikan respon kepada "Buku Jingga," ia lahir dari sikap mengambil berat serangan lawan, walau bagaimana tidak signifikan sekali pun serangan tersebut. Begitu juga dengan tuduhan demi tuduhan kepada BN. Dalam politik persepsi, tohmahan yang tidak dijawab akan dianggap betul.
Keempat, meneruskan "transformasi politik" - khusus dalam soal pemilihan calon. Di Tenang, Merlimau dan Kerdau, ketiga-tiga calon BN adalah merupakan lepasan IPT, berumur di bawah 45 tahun dan merupakan bekas penjawat awam. Saya fikir calon muda, berpendidikan dan dari kalangan penjawat awam atau aktivis sosial lebih mudah diterima rakyat dan kurang kontroversi.
Di Kerdau, calon BN ialah Naib Ketua UMNO Bahagian, di Merlimau hanya Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, manakala di Tenang, Azhar Ibrahim hanyalah ahli biasa UMNO. Ini bermaksud BN harus mampu melebarkan jaringan pemilihan calon kepada semua 3.5 juta orang ahlinya, dan tidak menghadkan pemilihan itu kepada hanya Ahli-ahli Jawatankuasa UMNO, MCA, MIC dan Gerakan (sekadar menyebutkan beberapa nama parti komponen BN) saja. Najib telah menyebut bahawa penyandang jawatan dalam parti tidak semestinya menjadi calon.
Najib harus menyingkirkan pemimpin UMNO yang bertindak sebagai "war lord" yang menyebabkan parti itu disisih rakyat dalam PRU lalu. Ini termasuklah pemimpin yang menganggap mereka sajalah yang paling berkuasa di kawasan itu dan semua perkara yang hendak dilakukan mesti mendapat restu mereka. Cakap bergegar-gegar dan tepuk meja untuk memaksa orang mendengar pandangan. Pemimpin sebegini mungkin dianggap "hulubalang" di zaman Kesultanan Melaka dulu, tetapi hari ini rakyat ingin melihat pemimpin yang mampu melakukan "engagement" secara berterusan.
Berdasarkan "maklumat kedai kopi" yang diperolehi, khabarnya lima orang (dari keseluruhan 15 bahagian) Ketua UMNO Bahagian di Kedah tidak akan disenaraikan sebagai calon dalam PRU13 nanti. Sekiranya ini benar, maka ia memberikan peluang kepada muka-muka baru di negeri itu. Anda mungkin ingin tahu siapakah mereka itu. Ah, biarlah rahsia!
Sewaktu Konvensyen BN Sarawak hujung minggu lalu, Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud menyebut akan menampilkan lebih ramai muka baru dan profesional sebagai calon. Desas-desus awal mengatakan seramai 10 orang calon PBB (dari 36 kerusi PBB) akan digugurkan. Melihat kepada senarai wakil rakyat sedia ada, saya sarankan agar PBB mencalonkan lebih ramai lagi anak muda - malah saya ingin menyarankan agar 15 calon PBB sedia ada digugurkan bagi memberikan laluan kepada mereka.
Dan, kelima, berikan tumpuan kepada pengukuhan parti-parti komponen BN. Selepas pilihanraya umum lalu, UMNO telah melaksanakan pelbagai proses transformasi parti itu. Ada perubahan, namun saya fikir bukan mudah untuk mengajar gajah menari. Sementara UMNO sedang melaksanakan kursus pengukuhan organisasi untuk sekitar 56,000 pemimpin akar umbi parti itu, saya masih belum melihat usaha sedemikian di kalangan parti-parti komponen yang lain. Sewajarnya parti-parti komponen BN juga melaksanakan hal yang sama memandangkan pilihanraya umum sudah semakin hampir. Konvensyen BN bagus untuk membakar semangat, namun tidak cukup untuk memberikan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi pilihanraya.
Sementara tidak salah untuk penyokong-penyokong BN merayakan kemenangan di Merlimau dan Kerdau, namun saya fikir mereka harus membezakan antara pertempuran (battle) dan peperangan (war). Menang pertempuran tidak bermakna sekiranya BN tidak mampu menang peperangan!
(sumber:http://nobisha.blogspot.com/2011/03/merlimau-kerdau-ingatan-untuk-barisan.html)
Tuesday, March 1, 2011
Sikap taksub terhadap DAP bakal merugikan PAS di Kerdau
Sikap taksub terhadap DAP bakal merugikan PAS di Kerdau.
Memang sangat memalukan perangai pengikut-pengikut PAS ini semua tak kiralah di manapun mereka berada. Terutamanya jika ada majlis-majlis ceramah mereka, ataupun di kempen-kempen Piilihanraya Kecil di seluruh negara.
Selain dari menyemai sifat taksub melampau didalam diri mereka sendiri, mereka juga sanggup untuk mendoktrinkan sikap taksub melampau itu kepada anak-anak kecil mereka yang masih tak mengenal apa pun. Mungkin mereka berasa bangga apabila anak-anak mereka berkelakuan seperti mereka.
Gambar anak kecil yang mengusung bendera Roket diatas dirakam di Felda Jengka 22 sewaktu Datuk Seri Najib datang melawat ke situ kelmarin. Ketika Datuk Seri Najib merasmikan Gelanggang Serbaguna di dalam kawasan Felda tersebut, dua beranak PAS ini berjaya mencuri perhatian orang ramai.
Tanpa segan silu dua beranak tersebut melintas dikawasan tersebut sambil diperhatikan oleh ramai masyarakat Felda yang hadir untuk menyambut kedatangan Datuk Seri Najib.
Tak tahulah apa yang bermain didalam kepala bapak kepada budah tersebut. Bangga agaknya bila anak dia mengusung bendera cap Roket.. Dan mungkin juga dia bangga kerana mampu mentarbiah anaknya supaya berani mengusung fahaman politik komunis DAP.
Apa lagi yang hendak kita gelarkan kepada pengikut-pengikut PAS seperti ini kalau bukan pentaksub buta tuli parti. Bukankah DAP itu dengan secara jelas menolak penubuhan negara Islam dan juga jelas dari golongan kafir.
Tapi kumpulan kafir yang terang-terang tolak negara Islam macam DAP inilah yang sangat dibanggakan oleh pak lebai PAS. Mungkin bagi mereka, acara usung bendera DAP ini dapat memberikan pahala kepada mereka.
Disebabkan tingkah laku sebeginilah, PAS semakin ditolak oleh bangsa melayu di Kerdau ini mahupun di seluruh negara. Satu Negara sudah tahu siapa sebenarnya DAP dan juga dasar perjuangan parti chauvinist tersebut, tapi parti itu tetap menjadi pilihan PAS didalam perkongsian kerjasama mereka.
PAS hendak berkuasa menggantikan UMNO, tetapi mereka tak bijak didalam mengatur strategi. Apakah dengan membuatkan bangsa melayu jengkel kerana ingin mengambil hati DAP itu dapat menguatkan PAS? Inilah yang dilakukan oleh PAS sekarang.
Sebab itulah di PRK Kerdau ini bakal menyaksikan PAS kehilangan sokongan dari bangsa melayu sendiri. Pasti PAS akan menyesali “perkahwinan campur” diantara mereka dengan DAP yang akhirnya merugikan parti mereka sendiri.
(sumber;http://networkedblogs.com/eRZeN?ref=nf)
Subscribe to:
Posts (Atom)