Jangan bahas isu sensitif
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah di majlis perasmian Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Johor di Persada, Johor Bahru, semalam.
1.0)SEBAGAIMANA yang kita ketahui, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang paling utama di Malaysia. Ia merupakan sebuah Perlembagaan yang lengkap dan telah mengambil kira kepentingan semua rakyat dan latar belakang sejarah negara ini.
2.0) Perlembagaan ini telah digubal dengan begitu teliti oleh Suruhanjaya Reid yang dianggotai oleh pakar-pakar undang-undang dari luar negara. Ia telah melalui pelbagai proses yang rumit, termasuklah meneliti 131 memorandum dari semua pihak dan mengadakan 118 persidangan dalam masa lima bulan.
3.0) Seterusnya, Rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah melalui proses maklum balas, kajian semula, pindaan dan akhirnya barulah diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan seterusnya berkuat kuasa pada 27 Ogos 1957.
4.0) Kita mesti faham bahawa Perlembagaan ini telah digubal bersandarkan kepada semangat toleransi oleh semua pihak untuk mencapai kemerdekaan. Oleh yang demikian, semua aspek agama, bangsa, budaya dan bahasa telah diambil kira dengan adil dan saksama untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang aman dan damai.
5.0) Yang paling jelas adalah semangat toleransi dalam Parti Perikatan di mana MCA dan MIC telah bersetuju menerima kedudukan “hak istimewa orang Melayu’’ dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Manakala pihak UMNO pula telah bersetuju menerima pemberian taraf kerakyatan kepada orang-orang asing secara jus soli.
6.0) Kita perlu ingat bahawa Perlembagaan Persekutuan ini bukan digubal dengan sewenang-wenangnya. Orang dahulu telah berfikir dengan mendalam dan berpandangan jauh tentang masa hadapan.
7.0) Oleh itu pada masa kini janganlah mudah sangat demi untuk kepentingan sesuatu pihak, Perlembagaan ini dipinda sesuka hati. Kerana akhirnya nanti Perlembagaan ini akan menjadi tidak bermakna dan mungkin tinggal sekeping kertas sahaja.
8.0) Di dalam seminar ini nanti, saudara saudari telitilah berapa banyak pindaan yang telah dibuat terhadap Perlembagaan ini dan sebab-sebab mengapa pindaan itu dibuat.
9.0) Dokumen asas kepada Perlembagaan Persekutuan adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang ditandatangani oleh pihak British dengan Raja-Raja Melayu. Di mana Raja-Raja Melayu telah bersetuju melepaskan sedikit kuasa pemerintahannya di negeri-negeri. Namun begitu kuasa Raja-Raja terhadap agama dan adat istiadat Melayu masih dikekalkan dan dinyatakan dengan jelas.
10.0) Begitu juga di dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja juga dinyatakan dengan jelas sebagai payung kepada negara dan negeri. Namun begitu ada juga pihak yang semasa senang, lupa akan pentingnya Institusi Diraja dan cuba menghapuskan kuasa Raja-Raja.
11.0) Tetapi malangnya, apabila timbul masalah di kemudian hari, mulalah mencari Raja untuk meminta bantuan dan perlindungan. Inilah sikap manusia yang lupa diri. Semasa hari redup, payung dicampak dan dibuang, tetapi bila hujan turun, masing-masing berlari mencari payung untuk berlindung.
12.0) Negeri Johor merupakan Negeri Tanah Melayu yang pertama mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaannya sendiri iaitu pada tahun 1895. Undang-undang ini mengambil masa 10 tahun untuk dibuat dan menjadi asas kepada undang-undang tubuh negeri lain dan juga Perlembagaan Persekutuan.
13.0) Di dalam Perjanjian Persekutuan juga, Raja-Raja Melayu telah berkorban dan bersetuju untuk menyerahkan sebahagian kuasa mutlaknya terhadap negeri bagi membentuk persekutuan yang merdeka. Ini bermakna, jika tidak ada negeri, tidak akan ada persekutuan.
14.0) Sehubungan dengan itu, pihak Persekutuan mestilah peka dengan apa yang hendak dilaksanakan di negeri-negeri. Walaupun hubungan hal ehwal luar negara adalah di bawah kuasa Persekutuan, tetapi sekiranya perjanjian yang hendak dibuat melibatkan tanah dan kepentingan negeri, rujuklah dahulu perkara tersebut kepada Raja negeri yang berkenaan.
15.0) Keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama telah menjadi contoh kepada negara-negara lain. Ini semua telah dapat dicapai dengan adanya semangat bertolak ansur dan hormat-menghormati antara semua bangsa dan agama di negara ini.
16.0) Namun begitu akhir-akhir ini, ada pihak yang begitu ghairah memperjuangkan kaumnya dan mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu yang telah diperuntukkan sekian lama di dalam Perlembagaan.
17.0) Mereka ini adalah golongan yang cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini akan hanya merosakkan keharmonian hubungan kaum dan kesejahteraan hidup masyarakat negara ini.
18.0) Kita perlu ingat, keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu tidak menghalang hak kaum lain, malah kaum lain juga diberi hak dan jaminan di dalam Perlembagaan. Ini semua terbentuk hasil dari sikap toleransi yang tinggi pemimpin-pemimpin kita dahulu.
19.0) Keharmonian negara ini mestilah dijaga dengan baik dan janganlah dibahaskan isu-isu sensitif yang boleh menggugat kesejahteraan negara. Jangan dipersoalkan kuasa Raja di dalam Perlembagaan atau Enakmen Negeri kerana itu bukanlah hak untuk dibahaskan.
20.0) Jangan tafsir Perlembagaan mengikut selera dan kepentingan sendiri dan tidak perlu mengajar Raja mengenai undang-undang dan kuasa kerana Raja telah dididik tentang kuasa sejak kecil lagi.
21.0) Belajarlah daripada peristiwa 13 Mei 1969, yang mana kedamaian negara tergadai akibat daripada hilangnya sikap toleransi dan wujudnya golongan pelampau atau extremist.
22.0) Di mana-mana juga, golongan extremist inilah yang menjadi dalang merosakkan kedamaian sesebuah negara. Oleh itu, kita harus bersikap sederhana dan bertolak ansur jika kita ingin hidup makmur dalam negara yang berbilang bangsa ini.
23.0) Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk kita sama-sama berganding bahu, bersatu padu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara kita untuk menjadi sebuah negara yang maju.
24.0) Di sini juga, suka saya ingatkan kepada semua pelaksana dan pengamal undang-undang supaya mengambil tindakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Pihak mahkamah atau badan kehakiman juga perlu lebih berhati-hati apabila menerima sesuatu kes untuk diadili.
25.0) Kes-kes sensitif yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana jika mahkamah mendengar kes tersebut dan membuat keputusan, sudah pasti ada pihak yang tidak berpuas hati. Oleh itu, adalah lebih baik jangan dilayan atau ditolak kes-kes yang sensitif terutamanya yang melibatkan kuasa Raja-Raja.
26.0) Sebarang bentuk perbahasan dan pertelingkahan mengenai isu-isu sensitif juga hendaklah dielakkan kerana ia hanya akan menambahkan lagi jurang perselisihan terutama antara agama dan bangsa.
27.0) Segala kekeliruan yang timbul pula perlu diperjelaskan dengan teliti supaya semua rakyat dalam negara ini dapat hidup dengan harmoni, aman damai, dan saling hormat menghormati bagi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan hidup semua.
28.0) Penganjuran seminar seperti ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan diperluaskan ke segenap lapisan masyarakat, terutama kepada generasi muda masa kini.
29.0) Saya percaya, sekiranya mereka faham dengan maksud-maksud yang terkandung di dalam Perlembagaan ini dan memahami asas dan sejarahnya, sudah pasti mereka akan sedar betapa beruntungnya mereka hidup di zaman kemerdekaan.
30.0) Kepada pembuat dan pelaksana dasar, gunakanlah kesempatan ini untuk mendapatkan kefahaman yang jelas agar segala keputusan dan tindakan yang diambil selari dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.
31.0) Saya juga berharap agar saudara saudari yang menghadiri seminar ini dapat mendalami dan memahami Perlembagaan yang ada seterusnya menjelaskan mengenainya kepada masyarakat umum. Berpeganglah kepada Perlembagaan yang ada dan yang paling mudah ingatlah Rukun Negara yang sering kita ikrarkan.
32.0) Akhir kata dengan lafaz Bismillahir Rahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Perlembagaan Malaysia Peringkat Negeri Johor pada hari yang mulia ini.
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)
3 comments:
salam, setuju!!!!!!
Ampun tuanku,
Saya amat beretuju dengan saranan dan peringatan kebawah duli tuanku agar semua pihak dan rakyat terutamanya untuk melihat dan menghayati pelembagaan persekutuan khusus yang melibatkan hak melayu yang diperlihara di bawaha perlembagaan persekutuan.
Walau bagitu, patik juga ingin mencemar duli menasihati pihak-pihak istana dari semua negeri yang memopunyai raja untuk menilai kembalai diri dan peranan mereka sebagai pelindung bangsa melayu supaya tidak akan ada lagi pengihinaan yang dilakukan oleh bangsan melayu sendiri sepeti yang terjadi keatas daulat kesulatan melayu seperit di negeri perak.
Patik inginmenyarankan beberapa perkara jika izinkan supay duli-duli tuanku juga beubah dan tidak melayani orang-orang melayu sendiri sebagai hamba sedangkan bangsa lain terutamnya kaum Cina ditatang sebagai gundik raja yang beolh menyediakan apa sahaja kemahuan dan kehendak pihak istana terutamanya wang ringgit. bukan niat patik untuk menghina tetapi itu lah kenyataan yang kita lihat dan perlu diakui oleh raka melayu yang memerintah serta penaung resimi atau sebagai ketua agama islam bagi negeri yang dinaungi nya.
Cth nya Selangor sekarang mempunyai Raja Muda berketurunan Inggeris, itu tidak mengapa dan tidak perlu kita persoalkan soa cinta dan jodoh tetapi apa akan terjadi sekiranya beliau naik takhta dan memerintah Negeri Selangor nanti sedang , apa yang diperhati dan dilihat perwatakan nya lansung seperti seorang bakal Sultan yang hanyut tanpa agama.
JAdi duli-duli perlu semua perlu lah berfikri malah jika perlu hantar lah anak-anak yang mungkin baka menaiki takhta supaya mendalami ugama Islam agar roh Islam sentiasa bersiar didalam tubuh seseorang pemerintah yang dikatakan berjiwa rakyat dan dianggap simbol ketaatan orang melayu yang pelu dipatuhi dan diikuti oleh rakayat berbangsa lain dari Melayu.
Wassalam
Ampun tuanku.
Sultan dan rakyat Johor mahu jambatan ganti Tambak Johor...
mana perginya Menteri dan kakitangannya untuk menjalankan titah Sultan? Jangan jadi PEMIMPIN yang DAYUS dan DERHAKA..!
Post a Comment