Tuesday, October 14, 2008

Rais syor kaji semula keahlian Gerakan dalam BN

Rais syor kaji semula keahlian Gerakan dalam BN
(http://www.bharian.com.my/)14OKTOBER2008

KUALA LUMPUR: Keahlian Gerakan dalam Barisan Nasional (BN) wajar dikaji semula berikutan tindakan pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan yang bukan saja menyinggung, malah menghina orang Melayu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tindakan itu wajar berikutan Gerakan bukan saja tidak mengambil iktibar terhadap kejadian lalu, malah biadab apabila menyeleweng fakta sejarah tanpa usul periksa.

“Kedudukan Gerakan dalam BN perlu ditimbang semula berikutan kenyataan pemimpin parti itu yang jelas mempersoal fakta sejarah asal usul Melayu secara membuta-tuli yang mampu meretakkan hubungan antara kaum.

“Gerakan tidak layak menjadi anggota BN jika terus menyinggung sentimen Melayu dengan mempersoal isu sensitif apalagi ia melukakan serta mengguris perasaan kita,” katanya.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, berkata semua komponen BN seharusnya menghentikan kenyataan berbaur perkauman sejak tindakan tegas diambil terhadap Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini.

“Semua komponen BN seharusnya menumpukan kepada usaha meningkatkan kembali kepercayaan rakyat kepada parti di samping mengeratkan kerjasama. Ini bukan masanya kita berbalah dan mencetuskan masalah kerana ia akan membantut proses perubahan BN yang sedang berlangsung,” katanya.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas, berkata Gerakan perlu menunjukkan bukti ketegasan dengan mengambil tindakan terhadap Lian Hoe bagi meredakan kemarahan orang Melayu.

“Jika Gerakan sebelum ini memberi tekanan terhadap Datuk Ahmad Ismail yang didakwa menggugat keharmonian negara, perkara yang sama perlu ditunjukkan parti itu terhadap Lian Hoe. Jika tidak mahu dituduh hanya memperjuangkan kepentingan sendiri saja.

“Ini seperti cubaan sabotaj terhadap usaha komponen BN membawa perubahan dan melanggar nasihat Pengerusi BN yang mahu semua pihak berhati-hati mengeluarkan kenyataan,” katanya.

No comments: