Thursday, June 26, 2008

RAJA Dr. NAZRIN SHAH - Melayu Perlu Kuat



MELAYU PERLU KUAT - Jangan sampai terima nasib terpaksa musafir di bumi sendiri – RAJA Dr.NAZRIN SHAH

Oleh ABDUL RAZAK DIN (http://www.utusan.com.my/)

KUALA KANGSAR 21 Jun – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bangsa Melayu perlu kuat daripada segala aspek supaya terus gagah, berhati cekal, bersemangat waja dan berupaya mendaki gunung tinggi serta bertenaga menyeberangi lautan luas.

Titah baginda, adalah malang jika bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

“Anak bangsa yang telah berjaya, janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat bersifat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan diri dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung,’’ titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 2008 di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu.

Titah baginda, bangsa yang dapat meneruskan kelangsungan dan mengekalkan tamadun agungnya adalah bangsa yang tidak memutuskan diri dengan akar sejarah, malah senantiasa menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

Baginda bertitah, MCKK menjadi kampung cerdik pandai Melayu yang terpilih daripada kalangan yang paling cerdas berasaskan prestasi pencapaian akademik.
‘‘Di sinilah asuhan, di sinilah bimbingan dilakukan dalam usaha membina modal insan untuk meneruskan kelangsungan bangsa di bumi warisan turun temurun.

“Permata-permata bangsa ini diserahkan untuk digarap, dicanai oleh barisan para pendidik. Garap dan canailah permata-permata bangsa ini supaya dapat menyinar cahaya kepada bangsanya dan negara.

‘‘Bisikkan kepada mereka akan petua orang- orang tua bahawa kiambang adalah kiambang, biduk berlalu bertautlah ia.

‘‘Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman dahulu lagi, terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang membawa rebah.

‘‘Ingatkanlah mereka akan sejarah bangsanya yang bernegara berlandaskan adat rakyat bersultan, negeri beraja,’’ titahnya.

Raja Nazrin bertitah, untuk itu, negara perlu melihat kedudukan MCKK daripada kaca mata penilaian yang berbeza dan tidak wajar disamakan dengan mana-mana institusi pendidikan lain.

Titah baginda, berasaskan akar sejarah penubuhannya, identiti MCKK daripada segi bentuk, tenaga pengajar, kurikulum dan kokurikulum harus mempunyai keunikan.

‘‘MCKK perlu senantiasa disuntik dengan nafas baru agar kekal dihormati sebagai institusi pendidikan menengah yang terunggul di negara ini.

‘‘Beta insaf betapa pentingnya kualiti, betapa mustahaknya taraf pendidikan di kolej ini ditingkatkan bertaraf dunia agar tradisi melahirkan barisan pemimpin yang berwibawa dapat diteruskan.

‘‘Dan keupayaan menghasilkan wira bangsa yang hebat berpencak di gelanggang dunia dapat dilaksanakan,’’ titah baginda.


KEMBALIKAN ASAS PERJUANGAN
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN


KUALA LUMPUR 22 Jun - Orang Melayu diingatkan supaya kembali kepada asas perjuangan yang berlandaskan agama, bangsa dan tanah air.

Setiausaha Satu Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, jika pegangan itu dilupakan, orang Melayu akan mudah jatuh dan lemah di negara sendiri.

''Kelemahan yang ditunjukkan ini secara tidak langsung akan memberi ruang kepada sesiapa sahaja dari dalam atau luar negara untuk mempersenda dan mempergunakan kita,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam, yang tidak mahu melihat bangsa Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri.

Zainal Abidin berkata, kebanyakan perjuangan orang Melayu sekarang lebih bersifat peribadi dan mementingkan diri sendiri didorong oleh kepercayaan politik yang berbeza.

Katanya, ramai orang Melayu belum mempunyai kematangan berfikir dalam politik dan perjuangan menyebabkan mereka lebih mementingkan ketaksuban kepada pemimpin dan bukannya untuk membela nasib bangsa.

''Saya tidak menafikan memang perlu mempunyai perbezaan ideologi politik tapi itu hanyalah untuk tempoh dua minggu ketika kempen pilihan raya sahaja dan selepas tempoh itu, kita perlulah rapatkan semula barisan,'' jelasnya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin mengalu-alukan titah Raja Nazrin itu dan menyifatkannya sebagai tepat pada masanya.

Katanya, orang Melayu sekarang tidak mempunyai kesedaran untuk bersatu kerana tidak pernah menempuh detik-detik perpecahan suatu masa dahulu.

Menurut beliau, pemimpin-pemimpin Melayu juga perlu berfikir dan bertindak sebagai ketua yang baik agar dapat menjadi contoh kepada generasi muda.


JANGAN JADI SI TANGGANG - Surat 1

SAYA amat tertarik dan terharu membaca titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menerusi muka depan akhbar Mingguan Malaysia siaran 22 Jun 2008.

Saya baca berulang-ulang kali, pada fikiran saya titah baginda sarat dengan nasihat yang paling berguna kepada bangsa Melayu.

Titah tersebut mencakupi pelbagai hal yang wajar diikuti orang-orang Melayu jika mereka mahu menjadi kuat. Sejak akhir-akhir ini ramai orang Melayu yang lupa diri di dalam banyak hal.

Tidak payahlah saya mengulangi kata-kata Raja Nazrin. Tetapi yang penting Melayu jangan jadi Si Tanggang, baru jadi nakhoda sudah lupa ibunya yang terperuk di hulu kampung.

Contohnya mereka melupakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi ruang dan peluang kepada mereka bangun daripada kancah lingkaran ganas kemiskinan.

Dulu hidup mereka ‘haprak’ (meminjam bahasa Dr. Mahathir Mohamad) tetapi setelah berjaya menongkat menara ganding dan memegang jawatan tinggi, DEB dikatakan tidak berguna dan mesti dihapuskan.

Malah mereka bersatu dengan orang yang menganut falsafah ‘Malaysian Malaysia’ untuk menguburkan DEB. Inilah yang pernah Dr. Mahathir sebut, orang Melayu yang mudah lupa.

Ada yang bongkak walaupun kejayaan belum setinggi mana, hidung lebih tinggi daripada pucuk kelapa.

Mereka berkata, kejayaan mereka atas usaha sendiri bukan pertolongan daripada kerajaan. Sedangkan kerajaan telah menyediakan ruang, peluang dan suasana yang baik untuk mereka meningkat maju.

Fenomena kesombongan ini dapat kita lihat kepada golongan usia pertengahan Melayu yang menidakkan jasa-jasa kerajaan malah sanggup bersekongkol menjatuhkan kerajaan yang paling berjasa kepada rakyat.

Titah baginda juga menyebut, jangan mudah bermusuh dengan kawan dan jangan mudah berbaik dengan lawan.

Ini dapat kita lihat apabila Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang sanggup berdakap dengan DAP walaupun pemimpin DAP sampai bila pun tidak akan menerima konsep negara Islam.

Tetapi kerana seronok mendapat jawatan-jawatan penting, prinsip Pas sudah menjadi debu yang berterbangan ditiup angin.

Titah Raja Muda Perak amat berkesan di hati. Semoga ia dapat memberi peringatan kepada kita semua agar jangan lekas lupa diri, sombong dan bongkak terutama kepada anak bangsa sendiri.

Kalau diberi amanah memerintah, maka berhati-hatilah. Jangan membuang bangsa sendiri.

DR. GUNAWAN MAHMOOD
Kuala Lumpur

No comments: