'INHALER' Written by Syed Husaini Syed Hassan.
Soalan:
Saya menghidap penyakit athma. Adakah penggunaan inhaler di siang hari membatalkan puasa saya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.
Pertamanya, ingin kami tegaskan di sini bahawa isu ini adalah isu khilafiyah yang banyak dibincangkan oleh para ulama’ terutamanya dari golongan mu’assirin (semasa). Ini disebabkan perkembangan teknologi perubatan yang mana tidak dibincangkan pada zaman dahulu secara khusus.
Berbalik kepada persoalan di atas, para ulama’ terbahagi kepada dua pendapat:
PERTAMA: IANYA TIDAK MEMBATALKAN PUASA
Penggunaan inhaler di siang hari Ramadhan tidak membatalkan puasa. Ini adalah pendapat sebahagian besar ulama’ seperti al-Syeikh al-‘Allamah Abdul Aziz bin Baz Rahimahullah, al-Syeikh al-‘Allamah al-Faqeh al-Zaman Muhammad bin Soleh al-‘Uthaymeen Rahimahullah, al-Syeikh Abdullah bin Jibrin, al-Syeikh Dr. Muhammad al-Khayyat, al-Syeikh Dr. Muhammad ‘Uqlah Hafizahullah, al-Syeikh Dr. al-Siddiq al-Darir, al-Syeikh Dr. al-Tantawi, al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi Hafizahullah. Ianya juga adalah jawapan yang telah diputuskan oleh badan-badan yang berautoriti seperti:
Majma’ Fiqh IslamiFatwa Lajnah DaimahIslamic Organization for Medical Science (IOMS)
Perbahasan dalil:
Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyaskepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
Penjelasan mengenainya adalah seperti berikut:
“Satu alat inhaler mengandungi 10 milimeter cecair, yang mengandungi bahan ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, ianya mengeluarkan jumlah yang sangat sedikit iaitu tidak sampai 1 milimeter yang mana ianya juga tidak sampai setitis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburaninhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar-x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaleryang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong[1].”
Masuknya sesuatu ke dalam perut daripada inhaler itu bukanlah sesuatu yang qat’ie (pasti) bahkan ianya diragui. Boleh jadi ianya masuk ke dalam perut dan ianya tidak. Maka yang asalnya adalah tidak batal puasanya dan tidak pula puasanya itu rosak dan yakin itu tidak akan hilang dengan adanya syak.
Semburan inhaler itu bukanlah seperti makanan atau minuman. Bahkan ianya seperti pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi bahan bergizi (nutritive).[2]
Adapun inhaler, bahan semburan tersebut akan keluar dalam bentuk wap dan tidak sampai ke perut sebaliknya hanya sampai ke ruang di dalam paru-paru sahaja.[3]
Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak(kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak. Di dalam Sahih al-Bukhari ada menyebutkan daripada ‘Amir bin Rabi’ah: “Aku telah melihat Rasulullah ﷺ bersiwak dan beliau sedang berpuasa dengan bilangan yang tidak dapat dihitung[4]”.
Sekiranya, bahan-bahan kimia yang termasuk ke dalam tekak ini (melalui bersiwak) dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan begitulah juganya keadaan penggunaan inhaler yang mana memasuki tekak, maka ianya juga dimaafkan.
KEDUA: IANYA MEMBATALKAN PUASA
Penggunaan inhaler membatalkan puasa. Maka tidak boleh mengambilnya di siang hari Ramadhan kecuali sekiranya sakit dan berhajat kepadanya. Oleh itu, dia boleh berbuka dan menggantikannya pada waktu yang lain. Ianya adalah pendapat dari al-Syeikh Dr. Fadhl Hasan ‘Abbas, al-Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami, Dr. Muhammad Alfai, al-Syeikh Taqiyuddin al-‘Uthmani dan al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli.
Perbahasan dalil:Bahan-bahan yang terdapat di dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ianya dianggap membatalkan puasa.
Namun alasan ini boleh dijawab berdasarkan jawapan pertama bagi pendapat yang mengatakan tidak batal puasa menggunakan inhaler pada siang hari di bulan Ramadhan.
Tidak ada (setakat pengetahuan kami) dalil yang lain melainkan alasan ini. Wallahu a’lam.
Tarjih
Setelah melihat kepada kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung mengatakan bahawa penggunaaninhaler di siang hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa.
Begitu juga kami mendapati bahawa penyakit athma ini berlaku pada waktu tertentu sedangkan pada waktu-waktu yang lain keadaannya sihat. Alangkah samahahnya agama Islam kita ini dalam memberikan pengecualian bagi pengunaan inhaler kepada golongan ini (tidak batal puasa mereka jika menggunakan inhaler ketika berpuasa) sedangkan mereka juga ingin meraih fadhilat berpuasa sepertimana yang lain.
Pendapat ini amat sesuai dan ianya juga logik. Qiyas yang digunakan, iaitu berkumur, istinsyak dan siwak adalah qiyas yang betul. Ini juga selaras dengan pendapat tokoh-tokoh yang terkemuka pada masa kini dan juga keputusan dari badan-badan yang berautoriti dalam mengeluarkan hukum.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
6 Jun 2016 bersamaan 1 Ramadhan 1437H
[1] Lihat Mufattirat al-Siyam al-Mu’asirah oleh Prof. Madya Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah bahagian Syariah di Universiti al-Qasim, Arab Saudi. Beliau memetiknya dariMajalah al-Majma’.
[2] Ini sepertimana fatwa Syeikh Ibn Baz Rahimahullah (15/265).
[3] Ini sepertimana fatwa Syeikh Ibn ‘Uthaymeen Rahimahullah (19/211).
[4] Dikeluarkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq. Lihat juga Fath al-Bari (4/158).
http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-ramadhan/555-hukum-menggunakan-inhaler