Wednesday, September 7, 2016

Amalan Yang Di Bawa Selepas Mati


Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."

(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

Pertama "Sedekah jariah" ialah harta benda yang diwaqafkan kerana Allah Taala, seperti:

(1) Mewaqafkan sebuah kebun bersama hasil tanamannya untuk kebajikan umum. Atau mewaqafkan sebidang tanah untuk menjadi tapak masjid, surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.

(2) Mendirikan - atau berkhairat ala kadarnya untuk mendirikan masjid surau, rumah anak yatim, madrasah, sekolah dan sebagainya.

(3) Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.

(4) Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya.

(5) Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mendirikan hospital dan kutub khanah, mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buka-buka pengetahuan yang berguna dan sebagainya.

Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w.(3) dan telah berkembang di negara-negara Islam hingga hari ini dan seterusnya, malah ada yang datang membentuk "Kementerian Waqaf di negara masing-masing.

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.

Kedua: "Ilmu yang berguna atau bermanfaat kepada orang lain," yang tersebut dalam hadith ini ialah ilmu yang berhubung dengan agama Islam secara khusus dan juga yang berhubung dengan kemajuan di dunia secara umum, sama ada melalui syarahannya kepada murid-muridnya dan orang ramai, atau melalui kitab-kitab dan buku-buku karangannya.

Selagi ilmu yang diajarkannya atau kitab-kitab dan buku-buku karangannya masih wujud dan dinikmati faedahnya oleh umum maka ia akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.

Ketiga: "Anaknya yang soleh yang berdoa untuknya"

Doa anak kepada kedua ibu bapanya, sama ada anak itu orang yang soleh atau sebaliknya adalah baik dan berguna. Tetapi doa anak yang soleh lebih diharap tentang makbulnya.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menarik perhatian tentang kelebihan anak yang soleh dalam hadithnya ini, supaya ibu bapa mendidik anak-anak masing-masing dengan sebaik-baiknya sehingga anak itu menjadi orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat.

Serentak dengan itu kedua ibu bapa akan mendapat rahmat disebabkan usahanya mendidik anak-anaknya dengan sebaik-baiknya dan mendapat rahmat pula disebabkan doa anaknya yang soleh itu.

Terimakasih sumber:http://tazkirah.ufairah.com/2006/04/amalan-yang-dibawa-selepas-mati.html?m=1

Friday, August 26, 2016

Membuat Aduan Rasmi Kepada MCMC Lebih Mudah Dengan WhatsApp


Share Button
Tahukah anda, jika anda berhadapan masalah berkaitan telekomunikasi seperti capaian kurang memuaskan, atau masalah berkaitan penyiaran yang tidak sesuai ditonton kanak-kanak, ataupun sebarang perkhidmatan internet di Malaysia, anda boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), atau dikenali jua sebagai MCMC?
MCMC adalah badan yang ditubuhkan kerajaan, untuk menyelia dan memantau perkara yang disebutkan tadi. Terdapat banyak saluran untuk membuat aduan kepada MCMC boleh dibuat, samada melalui telefon ataupun kelamanweb. Kini MCMC memudahkan lagi pengguna untuk membuat aduan, dengan membuka saluran baharu melalui sistem permesejan WhatsApp.
Pengguna yang mahu berbuat demikian, boleh menghantar WhatsApp terus ke nombor 016 220 6262. Walaupun aduan boleh dibuat bila-bila masa, tetapi ia hanya beroperasi di waktu pejabat sahaja. Dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang.
Pengadu akan mendapat perakuan penerimaan aduan dari MCMC, dalam tempoh 24 jam. Jika tidak, boleh cuba membuat aduan sekali lagi. Semua rakyat Malaysia digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada MCMC, menerusi saluran baharu ini.
P/S: Masalah berkenaan perkhidmatan pos dan juga perjudian dalam talian, juga boleh diadukan kepada Aduan MCMC.
[SUMBER]

terimakasih sumber: http://theskop.com/2016/03/membuat-aduan-rasmi-kepada-mcmc-lebih-mudah-dengan-whatsapp/

Nasib akhbar di tangan anda


  2  1 Google +0
MASA depan akhbar kini kelam akibat kebergantungan manusia terhadap media sosial. - Gambar hiasan
MASA depan akhbar kini kelam akibat kebergantungan manusia terhadap media sosial. - Gambar hiasan
JIKA pada 20 tahun lepas manusia begitu teruja dengan ciptaan telefon bimbit yang memungkinkan manusia berhubung dengan mudah, hanya di hujung jari. Ia umpama kisah kejayaan menghubungkan manusia secara pantas selain berkongsi maklumat dan informasi. Namun itu kisah 20 tahun lalu dan tiada siapa menyangka ciptaan yang begitu canggih ketika itu rupanya kini sudah begitu ketinggalan zaman. Apatah lagi telefon bimbit ketika itu hanya mempunyai aplikasi asas, sekadar berhubung dan menghantar mesej. Kini telefon bimbit sendiri mempunyai pelbagai aplikasi yang ada di antaranya memudahkan. Tetapi banyak juga hanya sekadar ‘menyemak’ selain mempunyai fungsi yang bertindih.

Namun dalam kehangatan manusia menggunakan pelbagai teknologi canggih ini ada pihak yang menerima kesan buruk akibat kebergantungan manusia kepada teknologi. Contoh jelas sudah tentu industri media terutama suratkhabar yang kini semakin suram akibat keghairahan manusia melayari dunia maya. Akhbar kini semakin hilang pembacanya akibat keghairahan manusia menggunakan sepenuhnya teknologi di hujung jari. Maka akhirnya jika dahulu manusia bergantung harap sepenuhnya kepada saluran cetak untuk menghadam maklumat dan sebagai sumber berita yang boleh dipercayai, kini ia semakin diragui.

Kemerosotan edaran yang mana satu ketika dahulu menjadi punca persaingan sengit akhbar-akhbar di negara ini dalam menonjolkan siapa nombor satu dan siapa paling berpengaruh, semakin sukar dibendung. Kalau 20 tahun lepas mereka berbangga dengan edaran mencecah 500,000 hingg 800,000 sehari, tapi kini hanya dalam lingkungan 150,000 atau kurang.

Sememangnya manusia bergantung harap pada teknologi dalam berevolusi. Sejak kebangkitan manusia dalam revolusi industri lebih 200 tahun lalu, teknologi itu sendiri menjadi penanda aras kebangkitan tamadun manusia dan tidak nampak tanda-tanda ia akan berhenti. Begitu juga dalam industri cetak seperti buku dan suratkhabar, jika dahulu hanya golongan elit yang mampu memilikinya namun teknologi menjadikan bahan dunia cetak semakin murah dan mudah dimiliki. Lebih 100 tahun manusia bergantung harap kepada akhbar dalam menjadikan mereka lebih cerdik, bermaklumat dan berani menyatakan pendapat.

Penguasaan

Jika dahulu manusia agak terperangkap di bawah tempurung namun dengan jasa akhbar, manusia berkongsi maklumat, ilmu dan isu semasa. Akhbar juga menyatukan manusia seperti mana peranan Utusan Melayu yang menjadi antara asas perjuangan dalam menuntut kemerdekaan apabila orang Melayu berjaya di satukan melalui peranan akhbar itu dan juga UMNO. Akhbar ini berjaya menyatukan pemikiran orang Melayu ketika itu bahawa penjajah perlu dihalau dan kemerdekaan adalah satu kepastian. Bagaimanapun seiring dengan ledakan teknologi yang pelbagai, peranan dan jasa suratkhabar semakin menipis. Manusia lebih melihat kepada media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Whatsapp sebagai sumber mereka memperoleh berita. Dan lebih teruk lagi kebanyakan berita-berita yang disiarkan di dunia maya ini kebanyakannya begitu diragui keabsahannya. Timbul persoalan apakah jawapan sebenar kenapa manusia semakin menolak akhbar. Apakah akhbar itu sendiri sudah sampai ke penghujung kewujudannya akibat penguasaan teknologi yang semakin ‘menggila’. Masalah utama kepada persoalan di atas adalah medium itu sendiri sudah berubah. Jika dahulu manusia begitu bergantung kepada akhbar hampir dalam kebanyakan urusan kini ia telah diambil alih secara ‘rakus’ oleh media sosial.

Kita lihat contoh mudah tentang peranan industri ini. Jika dahulu manusia hanya bergantung kepada akhbar untuk memasarkan produk, rumah untuk disewa atau untuk mencari orang atau barang yang hilang. Kini semua itu lebih mudah dilakukan di Mudah.com, atau kongsikan sahaja melalui Facebook atau Whatsapp. Malah dahulu jika ada maklumat sulit yang sukar didedahkan, maka akhbar adalah medium terbaik bagi mendedahkan skandal dan salah laku seperti mana yang berlaku dalam pendedahan skandal Watergate melibatkan akhbar seperti The Washington Post, Time, dan The New York Times.

Akhirnya Presiden Nixon terpaksa berundur kerana kredibiliti laporan dan pendedahan akhbar-akhbar tersebut.Namun kini manusia lebih selesa menggunakan medium dunia maya untuk melakukan pendedahan kontroversi dan ‘berani mati’ seperti yang dilakukan oleh Julian Assange dan Patrick Snowden kerana sasarannya, semua orang boleh mengaksesnya dan bukan hanya orang tertentu. Malah manusia kini juga boleh mencipta populariti sekelip mata dengan hanya viralkan apa-apa isu dan perlakuan melalui Youtube, Smule dan pelbagai lagi. Medium ini sememangnya berkapasiti untuk diviralkan sehingga mencecah jutaan penonton, maka hits atau jumlah penonton menjadi keutamaan supaya populariti meningkat berganda-ganda. Namun adakalanya perbuatan manusia di alam maya itu menjadikan mereka dilihat kurang cerdik dan memalukan diri sendiri.

Relevan

Namun itulah tarikan utama kenapa manusia semakin menolak akhbar dalam hidup mereka dan beralih kepada media sosial. Ada pihak yang berpandangan bahawa masalah penurunan edaran akhbar ini hanya berlaku di Malaysia tetapi kenyataan dangkal ini sudah tentu tidak benar sama sekali. Ini kerana AS sebagai negara kuasa besar dunia merupakan yang paling teruk terjejas dengan fenomena ini. Kalau dilihat di AS sahaja puluhan akhbar terutama akhbar negeri ditutup akibat gagal bersaing dengan kebangkitan sosial media. Antaranya The Rocky Mountain News, The Seattle Post-Intelligencer, San Francisco Chronicl, The Detroit News, dan Tucson Citizen yang terpaksa ditutup dan kebanyakannya tinggal beroperasi dalam talian.

Malah syarikat akhbar yang berpengaruh seperti New York Times terpaksa menjual sahamnya kepada antara manusia terkaya dunia, Carlos Slim Helu bagi menjamin operasinya tidak akan terjejas akibat penguasaan media sosial. Malah pemilik Amazon.com yang juga antara orang terkaya dunia, Jeff Bezos kini antara pemilik dalam syarikat akhbar The Washington Post. Negara jiran kita Indonesia juga turut berhadapan dengan masalah sama apabila akhbar seperti Harian Sinar Harapan telah ditutup pada 1 Januari lalu. Malah sebelum itu beberapa akhbar berpengaruh seperti Jakarta Globe, Koran Tempo Minggu, dan Harian Bola juga mengalami nasib yang sama.

Hakikatnya tiada jalan mudah bagi sebuah organisasi akhbar kini untuk terus beroperasi melainkan jalan berliku dan penuh ranjau, hanya untuk memastikan kewujudannya masih kekal relevan. Walaupun ada yang melihat sosial media sebagai ‘musuh’ yang perlu diberi pengajaran, namun realitinya tiada jalan lain kecuali bersama mereka untuk mencipta masa depan yang lebih baik. Apatah lagi tiada pihak yang lebih bagus dalam melakukan kerjanya selain media tradisional kerana merekalah wajah sebenar kewartawanan yang melakukan laporan, rencana dan berita lengkap dalam pelbagai konteks dari sukan ke ekonomi hinggalah politik dan skandal.

Apa yang perlu gabungan kedua pihak ini – media tradisional terutama akhbar dan media sosial sebagai pemangkin kepada pemberitaan yang tepat, kredibel dan telus tetapi pada masa yang sama mampu menjana keuntungan. Ketika ini masih belum ada formula untuk menjayakan kedua gabungan ini kerana akhbar secara atas talian tidak begitu menguntungkan. Nasib industri akhbar melalui episod yang sama seperti industri muzik. Satu ketika industri muzik mencapai kemuncak dengan menjana keuntungan berbilion dolar hasil penjualan kaset dan cakera padat. Namun zaman tersebut berakhir apabila kita dengan mudah memuat turun melalui Internet sekali gus menghancurkan industri tersebut.

Namun bagi industri persuratkhabaran, mungkin medium ini akan berakhir apabila tiba masanya namun tidak bererti semangat dan etika kewartawanan akan turut berlalu. Cumanya platformnya sahaja akan berubah. Perubahan telah berlaku ‘dihujung jari’ namun semangat itu tidak akan mungkin padam.

terimakasih sumber - See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/nasib-akhbar-di-tangan-anda-1.372912#sthash.aZYfFa6H.dpuf

Wednesday, July 13, 2016

Bilakah berakhir kemaruk spin?

ZULKIFLI JALIL  |  12 Julai 2016 12:43 AM


ADAKAH politik viral ‘jolok sarang tebuan’ akan berakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 sekitar 2018 nanti?

Semua tidak pasti dan kita sendiri kurang pasti.

Sejak 2008 lagi, gaya politik sebegini menjadikan calon sesuatu kerusi Parlimen dan kerajaan pemerintah sendiri pening kepala sehinggakan nyaris hilang kuasa.





Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lembah Pantai dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hampir sahaja menang kerusi itu. Tetapi kerana dek permainan spin atau putar belit pembangkang, beliau tewas.

Lihatlah bagaimana lawannya, Nurul Izzah Anwar begitu licik memanipulasi keada­an dengan membuat kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah membabitkan Nong Chik dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur iaitu sehari sebelum PRU-13 pada 5 Mei.

Penerbitan kenyataan itu dalam portal propembangkang, Malaysiakini pada 4 Mei 2013 mengakibatkan reputasi dan maruah Nong Chik sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator terjejas teruk.
Setahun tiga bulan kemudian, Nurul Izzah mengemukakan kenyataan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2014 dengan menyuarakan kekesalan mengeluarkan kenyataan itu dan berjanji untuk tidak akan mengulanginya.

Tetapi malangnya pada hari berkenaan, imej Raja Nong Chik sudah tercemar. Putar belit dan fitnah oleh Nurul Izzah itu ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran. Akhirnya dikatakan peti-peti undi Taman Seri Sentosa dan Taman Bukit Angkasa tidak memihak kepada Raja Nong Chik. Damage has been done.



Kita rakyat Malaysia amat sedih andai gaya politik sebegini masih melingkari minda pemimpin pembangkang.
Ia ibarat ‘menjolok sarang tebuan’ yang sarang itu adalah fikiran pengundi dan tebuannya pula adalah hasil tindak balas pengundi terhadap fitnah, spin dan tohmahan yang barangkali menyebabkannya terpengaruh.
Si Rafizi Ramli iaitu Setiausaha Agung PKR telah mencubanya dengan menjaja isu ‘cincin’ sebelum PRU-13 hanya untuk menimbulkan kebencian rakyat. Setelah diheret ke mahkamah, barulah dia bersuara mengatakan isu cincin isteri pemimpin kerajaan itu hanya lawak jenakanya.

Setelah 13 tahun Iraq diserang, barulah semalam inkuiri awam Britain mendapati Perdana Menterinya waktu itu melanggar undang-undang antarabangsa kerana menyerang negara Teluk tersebut.
Fakta ini mirip siasatan satu suruhanjaya bebas di The Hague, Belanda pada 2010 yang gagal mengesan senjata pemusnah di Iraq - punca negara itu di­serang Barat dengan presidennya, Saddam Hussein kononnya menjadi ancaman dunia.

Malangnya, nasi sudah jadi bubur. Sepanjang perang dan penaklukan enam tahun akibat spin barat ini, 150,000 rakyat Iraq terkorban dan negara itu bergolak, dibom sana sini sehinggalah sekarang.

terimakasih sumber - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bilakah-berakhir-kemaruk-i-spin-i-1.352457#sthash.yqZYoJjr.dpuf

Wednesday, June 22, 2016

Elakkan Ditipu Oleh Penjual Tayar Kereta, Anda WAJIB Tahu Maksud Kod Pada Tayar



Info Pasal tayar kenderaan;

1.Kod Tayar Kenderaan..
Contoh 205/65/R1594H..

205 = Lebar..
65 = Tinggi..
R = Radial..
15 = Saiz / Rim..
94 = Had Maksimum Bebanan..
H = Had Maksimum Kelajuan 210 KM / Jam..

Jika Ianya Abjad Yang Terakhir, Ianya Seperti Di Bawah;
S = Maksimum Had Laju 180 KM / Jam..
T = Maksimum Had Laju 190 KM / Jam..
U = Maksimum Had Laju 200 KM / Jam..
V = Maksimum Had Laju 240 KM / Jam..
Z = Maksimum Had Laju 240 KM / Jam..
W = Maksimum Had Laju 270 KM / Jam..
Y = Maksimum Had Laju 300 KM / Jam..

2. Setiap Tayar Ada 4 Angka Tercatit Di Sisi Tayar..

Contoh 0514..

Ianya Menunjukkan Tayar Baru Keluaran Kilang Pada Minggu Ke 5 Tahun 2014..

Tempoh Penggunaan Tayar Adalah Selama 5 Tahun Dari Tarikh Ianya Dikeluarkan..
Tayar Baru Yang Berusia Lebih Dari 5 Tahun Masih Boleh Digunakan Tetapi Ianya Telah Menjadi Keras Sebab Getah Tayar Sudah Tamat Tempoh (Expired)..

Jika Tukar Tayar Yang Baharu Pastikan Tahun Pengeluarannya Adalah Tahun Yang Terkini..
Jika Beli Tayar Keluaran Tahun 2013 Minta Diskaun Sebanyak 20% Daripada Harga Asal..

Berikut Adalah Diskaun Harga Tayar Mengikut Kepada Tahun Tayar Yang Dikelurkan Dari Tahun Semasa (contoh tahun 2014);
2012 = 40%
2011 = 60%
2010 = 80%
2009 = Percuma
Semoga Perkongsian Ini Membantu Kita Agar Tidak Ditipu Oleh Kedai Jual Tayar..
Share Lerrr Kepada Yang Lain....

Semoga ini memberi manfaat kepada kita semua...

(terimakasih sumber:http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2015/02/elakkan-ditipu-oleh-penjual-tayar.html)

Saturday, June 18, 2016

Penggunaan "Inhaler" di siang hari bulan Ramadan


'INHALER' Written by Syed Husaini Syed Hassan.

Soalan:

Saya menghidap penyakit athma. Adakah penggunaan inhaler di siang hari membatalkan puasa saya?

 Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Pertamanya, ingin kami tegaskan di sini bahawa isu ini adalah isu khilafiyah yang banyak dibincangkan oleh para ulama’ terutamanya dari golongan mu’assirin (semasa). Ini disebabkan perkembangan teknologi perubatan yang mana tidak dibincangkan pada zaman dahulu secara khusus.

Berbalik kepada persoalan di atas, para ulama’ terbahagi kepada dua pendapat:

PERTAMA: IANYA TIDAK MEMBATALKAN PUASA

Penggunaan inhaler di siang hari Ramadhan tidak membatalkan puasa. Ini adalah pendapat sebahagian besar ulama’ seperti al-Syeikh al-‘Allamah Abdul Aziz bin Baz Rahimahullah, al-Syeikh al-‘Allamah al-Faqeh al-Zaman Muhammad bin Soleh al-‘Uthaymeen Rahimahullah, al-Syeikh Abdullah bin Jibrin, al-Syeikh Dr. Muhammad al-Khayyat, al-Syeikh Dr. Muhammad ‘Uqlah Hafizahullah, al-Syeikh Dr. al-Siddiq al-Darir, al-Syeikh Dr. al-Tantawi, al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi Hafizahullah. Ianya juga adalah jawapan yang telah diputuskan oleh badan-badan yang berautoriti seperti:

Majma’ Fiqh IslamiFatwa Lajnah DaimahIslamic Organization for Medical Science (IOMS)

 Perbahasan dalil:

 Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyaskepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).

 Penjelasan mengenainya adalah seperti berikut:

 “Satu alat inhaler mengandungi 10 milimeter cecair, yang mengandungi bahan ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, ianya mengeluarkan jumlah yang sangat sedikit iaitu tidak sampai 1 milimeter yang mana ianya juga tidak sampai setitis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburaninhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar-x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaleryang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong[1].”

 Masuknya sesuatu ke dalam perut daripada inhaler itu bukanlah sesuatu yang qat’ie (pasti) bahkan ianya diragui. Boleh jadi ianya masuk ke dalam perut dan ianya tidak. Maka yang asalnya adalah tidak batal puasanya dan tidak pula puasanya itu rosak dan yakin itu tidak akan hilang dengan adanya syak.

Semburan inhaler itu bukanlah seperti makanan atau minuman. Bahkan ianya seperti pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi bahan bergizi (nutritive).[2]

 Adapun inhaler, bahan semburan tersebut akan keluar dalam bentuk wap dan tidak sampai ke perut sebaliknya hanya sampai ke ruang di dalam paru-paru sahaja.[3]

Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak(kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak. Di dalam Sahih al-Bukhari ada menyebutkan daripada ‘Amir bin Rabi’ah: “Aku telah melihat Rasulullah ﷺ bersiwak dan beliau sedang berpuasa dengan bilangan yang tidak dapat dihitung[4]”.

Sekiranya, bahan-bahan kimia yang termasuk ke dalam  tekak ini (melalui bersiwak) dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan begitulah juganya keadaan penggunaan inhaler yang mana memasuki tekak, maka ianya juga dimaafkan.

 KEDUA: IANYA MEMBATALKAN PUASA

Penggunaan inhaler membatalkan puasa. Maka tidak boleh mengambilnya di siang hari Ramadhan kecuali sekiranya sakit dan berhajat kepadanya. Oleh itu, dia boleh berbuka dan menggantikannya pada waktu yang lain. Ianya adalah pendapat dari al-Syeikh Dr. Fadhl Hasan ‘Abbas, al-Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami, Dr. Muhammad Alfai, al-Syeikh Taqiyuddin al-‘Uthmani dan al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli.

 Perbahasan dalil:Bahan-bahan yang terdapat di dalam inhaler akan sampai ke dalam perut melalui mulut. Oleh itu, ianya dianggap membatalkan puasa.

Namun alasan ini boleh dijawab berdasarkan jawapan pertama bagi pendapat yang mengatakan tidak batal puasa menggunakan inhaler pada siang hari di bulan Ramadhan.

Tidak ada (setakat pengetahuan kami) dalil yang lain melainkan alasan ini. Wallahu a’lam.

Tarjih

Setelah melihat kepada kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung mengatakan bahawa penggunaaninhaler di siang hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa.

Begitu juga kami mendapati bahawa penyakit athma ini berlaku pada waktu tertentu sedangkan pada waktu-waktu yang lain keadaannya sihat. Alangkah samahahnya agama Islam kita ini dalam memberikan pengecualian bagi pengunaan inhaler kepada golongan ini (tidak batal puasa mereka jika menggunakan inhaler ketika berpuasa) sedangkan mereka juga ingin meraih fadhilat berpuasa sepertimana yang lain.

Pendapat ini amat sesuai dan ianya juga logik. Qiyas yang digunakan, iaitu berkumur, istinsyak dan siwak adalah qiyas yang betul. Ini juga selaras dengan pendapat tokoh-tokoh yang terkemuka pada masa kini dan juga keputusan dari badan-badan yang berautoriti dalam mengeluarkan hukum.

 Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

6 Jun 2016 bersamaan 1 Ramadhan 1437H





[1] Lihat Mufattirat al-Siyam al-Mu’asirah oleh Prof. Madya Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah bahagian Syariah di Universiti al-Qasim, Arab Saudi. Beliau memetiknya dariMajalah al-Majma’.

[2] Ini sepertimana fatwa Syeikh Ibn Baz Rahimahullah (15/265).

[3] Ini sepertimana fatwa Syeikh Ibn ‘Uthaymeen Rahimahullah (19/211).

[4] Dikeluarkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq. Lihat juga Fath al-Bari (4/158).

http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-ramadhan/555-hukum-menggunakan-inhaler

Wednesday, June 15, 2016

PRK: Hala tuju politik Melayu


OBT


TERDAPAT dua perkara menarik berkaitan masa depan politik Melayu melalui PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini.

Pertama, apakah Umno masih menerima sokongan dan menjadi pilihan pertama bagi kaum Melayu dan kedua, sejauh mana keberkesanan isu hudud mampu meraih undi kaum Melayu?

Melalui analisis Sin Chew Jit Poh, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berjaya menguasai hampir semua bahagian di seluruh negara. Walaupun terdapat segelintir cawangan yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib, ia tidak mendatangkan sebarang ancaman.

Ketiadaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kempen Sungai Besar telah menjadi bualan hangat, namun apa yang lebih mengejutkan ialah, kelibat bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak kelihatan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk membantu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 'menumbangkan Najib'.
Apakah Muhyiddin dan Mukhriz bimbang dipecat oleh Umno sekiranya mereka hadir dalam aktiviti anjuran pembangkang?

Kempen menurunkan Najib yang dilaungkan Mahathir juga kini semakin hilang pengaruh. Naib Presiden Umno, Datuk Sri Shafie Afdal seperti sudah 'berpaling tadah'. Beliau dilihat hadir bersama-sama ribuan penyokong BN pada hari penamaan calon PRK Sungai Besar.

Jelas sekali, Umno tetap dalam hati orang Melayu. Ramai pemimpin dan ahli-ahli parti tidak mahu tinggalkan Umno. Tambahan pula ramai orang sudah menanam dalam jiwa mereka bahawa Umno dan Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan.

Di atas faktor inilah, diramalkan dalam dua PRK kali ini, Umno sekurang-kurangnya memperoleh lebih daripada separuh majoriti undi Melayu. Kemungkinan ada sebilangan kecil pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi atas faktor Dr Mahathir, namun ia tidak seharusnya menjadi kebimbangan. Umno bolehlah dikatakan hampir pasti menang, terutama sekali di Kuala Kangsar.

Sekiranya isu-isu seperti 1MDB dan GST tidak dapat menjejaskan kesetiaan orang Melayu terhadap Umno, Dr Mahathir perlulah terima hakikat bahawa apa yang dilakukan beliau selama ini sia-sia sahaja.  
Benteng Umno sememangnya sukar dirobohkan. Selain Dr Mahathir, Pakatan Harapan juga mesti mengubah perspektif Orang Melayu, barulah boleh menggugat kekebalan Umno.

Analisis ini turut percaya bahawa isu hudud akan menentukan hidup mati Pas dalam politik negara. Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus menggunakan isu agama ini untuk mengembalikan kegemilangan Pas.

Melihat beberapa PRU lalu, Pas tetap ada pengaruhnya tersendiri, namun ia hanya terhad di sebelah pantai timur dan Kedah. Dalam dua PRU lalu, atas kerjasama yang diberikan parti-parti pembangkang lain, Pas berjaya menambat hati kaum bukan Melayu di Johor, Selangor dan Perak.

Sekiranya dalam dua keputusan PRK ini Pas memperoleh undi Melayu yang lebih banyak berbanding PRU lalu, ini jelas mencerminkan isu hudud yang dihebohkan Pas dapat diterima masyarakat Melayu.
Ini juga akan memberi petanda kepada Umno bahawa parti itu juga perlu bersaing dengan Pas untuk terus menggunakan isu hudud dalam meraih sokongan sehingga memungkinkan undang-undang itu akhirnya betul-betul dilaksanakan di negara kita.

Sebaliknya, sekiranya undi Pas berkurangan dengan kehilangan sokongan daripada pengundi Melayu dan bukan Melayu, Pas kemungkinan perlu mencatur strategik mereka untuk menumpukan perhatian di Kelantan sahaja.
Keadaan akan lebih memalukan Pas sekiranya Amanah mendapat jumlah undi yang lebih banyak daripada mereka. Oleh itu, dua PRK ini cukup penting bagi Pas. Sekalipun kalah dalam dua PRK ini, tetapi Pas perlu memastikan jumlah undinya mesti mengatasi Amanah. Jika tidak, Pas mungkin  melihat akan ada lebih ramai ahlinya melompat ke Amanah.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah pertembungan daripada 'tiga kuasa politik Melayu', iaitu Umno, Pas dan PKR sehinggalah kepada 'lima kuasa politik Melayu' (ditambah dengan Amanah dan kumpulan Dr Mahathir).

Melayu semakin berpecah, namun Umno tetap menjadi peneraju. Apakah hala tuju politik Melayu selepas ini? Keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar mungkin akan memberi sedikit panduan untuk memahami dengan lebih jelas lagi.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/politik/prk-hala-tuju-politik-melayu-1.532419)