Friday, December 11, 2015

Stoking belang KJ, Hisham dan masa depan UMNO


Oleh Kadir Dikoh





DARI kiri; Khairy Jamaluddin (KJ), Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Dato' Seri Mukhriz Mahathir.
KETIKA Khairy Jamaluddin (KJ) dilahirkan di Kuwait City pada 10 Januari 1976, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berada di tingkatan dua di sebuah sekolah di ibu negara. Pada tahun itu juga, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menuntut di Universiti Malaya.
Menjelang 10 Januari depan, KJ - Ketua Pemuda UMNO, menyambut hari lahir ke-40 dan pada 4 Januari depan juga, Zahid - Naib Presiden UMNO, menyambut hari lahir ke-63. Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Hishammuddin pula menyambut hari lahir ke-55 menjelang 5 Ogos 2016.
Zahid tua lapan tahun daripada Hishammuddin, manakala KJ muda 15 tahun daripada Hishammuddin atau 23 tahun jauh lebih muda berbanding Zahid. Itulah ringkasan saya beri apabila ditanya oleh seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengenai siapa bakal menerajui parti itu pada masa akan datang, sambil minum teh tarik. Tiada nama lain lagi, tanya beliau. Itulah yang ada setakat ini.
Dari segi usia muda, Mukhriz Mahathir yang baru menyambut hari lahir ke-51 bulan lalu, juga boleh dimasukkan sekali. Usia muda menyebelahi Hishammuddin, KJ dan Mukhriz, sebagai pemimpin pelapis. Tetapi sejarah UMNO membuktikan ketokohan pemimpin muda yang berada dalam kelompok tertinggi parti, tidak semestinya sampai ke puncak dan mereka tetap bersaing bermula di peringkat Naib Presiden, Timbalan Presiden hingga kepada jawatan Presiden. Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara pemimpin muda dalam UMNO yang tidak sampai ke puncak, dengan sejarah tersendiri.
Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik oleh Tun Hussein Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 5 Mac 1976, sedangkan Naib Presiden UMNO paling kanan ketika itu ialah Tun Ghafar Baba, diikuti Tengku Razaleigh.
Penulis bertanya sendiri kepada Hishammuddin dalam pertemuan baru-baru ini - bagaimana masa depannya dalam UMNO? "Masa depan saya tidak penting kalau parti tidak kuat," jawabnya. Tak rasa 'seksa' dah tak hisap rokok? "Memang seksa, dah dua tahun berhenti," katanya yang sebelum ini saluran arterinya pernah tersumbat. "Tetapi saya bukan macam KJ yang boleh pakai stokin belang.... boleh kayuh basikal 17 kilometer, bukan saya."
Adakah rasa terkilan bila Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri? "Tidak...dia lebih senior. Saya hormat Datuk Zahid." Ada persamaan antara ketiga-tiganya - pernah memimpin Pemuda UMNO dan kini giliran KJ, yang membayangkan sebelum ini mahu bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO akan datang.
Dalam pemilihan lalu, Hishammuddin hampir tewas pada Mukhriz untuk jawatan nombor tiga di barisan Naib Presiden, tetapi imej Hishammuddin selepas itu semakin naik, terutama apabila mengendalikan isu kehilangan pesawat MH370 ketika memangku jawatan Menteri Pengangkutan. "Ketika itu, saya berdoa setiap hari janganlah keluar daripada mulut saya sesuatu yang memalukan Malaysia. Wartawan CNN saja empat, lima orang dan seluruh dunia tengok," kata Hishammuddin. Malah, Presiden Barack Obama ketika melawat negara ini tahun lalu terhenti seketika apabila bersalam dengan barisan jemaah Menteri dan menegur Hishammuddin dengan kata-kata "Hi, your face look familiar... Minister incharge of Plane."

(terimakasih sumber:http://www.bharian.com.my/node/102826)