Thursday, April 19, 2012

50 Fakta Menarik ,Kisah dan Prinsip Hidup TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY

Tuesday, 17 April 2012


ORANG MELAYU TERKAYA DI MALAYSIA-semoga ianya dapat memberi teladan dan inspirasi buat kita semua dalam memajukan diri dan ummah,InsyaAllah..

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan WARISAN UNTUK ANAK BANGSA YANG KEKAL BERPANJANGAN.

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. SAYA PERCAYA SESIAPA PUN BOLEH MENJADI APA SAHAJA ASALKAN MEREKA BERUSAHA DENGAN TEKUN . Tetapi tentulah ia memakan masa. TIADA JALAN SINGKAT.

4. Saya MENGENALI KEKUATAN DAN KELEMAHAN SAYA. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, MEMANG KENA BANYAK SABAR DAN KUAT BERUSAHA .

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya TIDAK ADA STATUS, ADA MASA DI ATAS ADA MASA DI BAWAH.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. ALLAH BERI REZEKI MELALUI KITA UNTUK KITA TOLONG ORANG LAIN. REZEKI ITU BILA-BILA MASA SAJA DIA BOLEH AMBIL BALIK. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah.ORANG MELAYU KITA TIDAK MAHU BEKERJASAMA KERANA PERASAAN DENGKI MENGUASAI DIRI.SUDAHLAH TAK MAHU BERUSAHA,APABILA ORANG LAIN BERUSAHA MEREKA MARAH.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ADA EMOTIONAL ATTACHMENT KEPADA AGAMA,BANGSA DAN UMMAH. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa.APA YANG SAYA TIDAK TAHU SAYA BELAJAR MINTA TOLONG DARIPADA ORANG LAIN.SAYA TIDAK MALU . Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri.SIKAP PEMALAS DAN PEMALU INI ORANG MELAYU KENA ATASI .KITA KENA BERANI KERANA BENAR . Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19.KAYA ITU BUKANLAH KEPADA DIRI SENDIRI. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini,KEPADA BANGSA DAN KEPADA ORANG RAMAI .Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya HANYA PERKARA YANG BAIK YANG KITA LAKUKAN AKAN KEKAL. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu.DI KAMPUNG ORANG MELAYU BERPECAH KERANA POLITIK,DI BANDAR BERPECAH KERANA WANG .

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka HANYUT DARIPADA MENOLONG ORANG LAIN . Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi MESTI TAHU BAGAIMANA HENDAK MEMINJAM DAN MEMBAYARNYA SEMULA . Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab.BANYAK ORANG MAHU SENANG TAPI TIDAK RAMAI YANG MAHU BERTANGGUNG JAWAB .

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. SAYA SUKA KALAU NIKMAT SEDIKIT YANG SAYA DAPAT ITU ORANG LAIN BOLEH BERKONGSI BERSAMA.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.SAYA MANUSIA YANG BANYAK BUAT KESILAPAN.TETAPI SAYA INSAF,BERISTIGHFAR DAN TERUS BERJALAN LAGI . Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. KEKAYAAN INI TUHAN BERI KEPADA SAYA UNTUK SAYA MENOLONG ORANG LAIN PULA.SAYA PERCAYA KEPADA KEBERKATAN REZEKI.HARI INI KITA TOLONG ORANG,ESOK LUSA ORANG AKAN TOLONG KITA PULA DENGAN CARA YANG LAIN.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34.KITA JANGAN CEPAT PUTUS ASA.PUTUS ASA BOLEH TAPI KENA CEPAT-CEPAT KUATKAN SEMULA SEMANGAT UNTUK BANGKIT BALIK.JANGAN JADIKAN AGAMA HANYA SATU TEMPAT UNTUK KITA BERGANTUNG APABILA KITA SUSAH . Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38.KEJAYAAN DAN KELEMAHAN ORANG MELAYU BUKAN DISEBABKAN OLEH BANGSA DAN AGAMA KITA.TETAPI IA BERKAIT DENGAN SIKAP DAN CARA KITA BERFIKIR.GIGIH ,TEKUN DAN TIDAK PUTUS ASA MERUPAKAN KUNCI KEJAYAAN KITA.SAYANGNYA PERKARA INI KURANG WUJUD DALAM CARA ORANG MELAYU BERFIKIR .

39.TUHAN MEMBERI PELUANG KEPADA SESIAPA SAJA YANG BEKERJA KUAT. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41.ORANG MELAYU SEBENARNYA KENA BANTU DIRI SENDIRI,KENA BEKERJA KERAS DAN FOKUS .

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. SAYA SENDIRI BERHUTANG SAMBIL BERNIAGA DAN BUAT SUMBANGAN AMAL JARIAH.SAYA TAK MAHU TUNGGU HUTANG HABIS BARU HENDAK BUAT SEMUA NI .Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah,LEBIH BAIK BUAT SEDIKIT DARIPADA TIDAK BUAT LANGSUNG.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48.SAYA GEMBIRA DAPAT MEMBANTU.SAYA MAHU ORANG LAIN MERASAI KESENANGAN APA YANG PERNAH SAYA RASA.Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.

50. SAYA RASA KITA SUDAH TERLALU BANYAK KETINGGALAN.

(sumber:http://khairitajudin.blogspot.com/2012/04/50-fakta-menarik-kisah-dan-prinsip.html?m=0)

Saturday, April 14, 2012

Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby dipenjara 27 tahun, denda RM894,400 :arkib utusan 13.04.2012



Md. Zaki Othman


KUALA LUMPUR 12 April - Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. dihukum penjara 27 tahun dan denda RM894,400 selepas didapati bersalah atas lima tuduhan rasuah membabitkan penerimaan set perabot dan tiga utas jam tangan mewah berjumlah RM178,880 daripada seorang kontraktor antara 2007 dengan 2009.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ahmad Zamzani Mohd. Zain memutuskan demikian terhadap Md. Zaki Othman, 49, selepas mendapati pembelaan lelaki itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.

Ahmad Zamzani turut memerintahkan tertuduh dipenjara 112 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu dan kesemua hukuman berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh melalui peguamnya, S. Vijayan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zamzani dalam keputusannya berkata, keterangan pembelaan Md. Zaki bersifat penafian semata-mata selain penjelasan tertuduh tidak jujur dan tidak berasas.

''Keseluruhan keterangan Md. Zaki gagal membatalkan anggapan-anggapan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 50(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung menerima rasuah dengan niat,'' kata beliau.

Sebelum itu, Vijayan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyara seorang isteri dan empat anak, sudah berkhidmat di syarikat selama 25 tahun dan hilang pekerjaan selepas didakwa.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Saifuddin Hashim Musaini sebaliknya memohon hukuman setimpal dan adil dikenakan.

Beliau berkata, tertuduh yang bergaji bulanan RM39,000 pada waktu kejadian sepatutnya tidak melakukan kesalahan melibatkan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Mengikut pertuduhan, Md. Zaki didakwa menerima satu set perabot berharga RM33,600 dan seutas jam tangan Rolex RM21,700 daripada seorang kontraktor yang namanya tidak didedahkan bagi membantu melulus dan mempercepatkan kontrak bernilai RM23.9 juta. Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di No. 4, Jalan Austin Perdana 2/11, Taman Austin Perdana di Johor Bahru, masing-masing 10 pagi, 14 Disember 2007 dan 9 malam, 10 Mac 2009.

Bagi kesalahan menerima perabot, dia dipenjara empat tahun dan denda RM168,000 atau penjara 18 bulan manakala kesalahan menerima jam tangan Rolex, dia dipenjara lima tahun dan denda RM108,500 atau penjara 20 bulan. Md. Zaki turut dihukum penjara lima tahun dan denda RM153,000 atau penjara 20 bulan atas tuduhan meminta suapan seutas jam tangan jenama IWC bernilai RM32,980 daripada kontraktor sama di pejabat syarikat The Hour Glass Sdn. Bhd. Lot G1, Ground Floor, Lot 10 SC, Jalan Sultan Ismail di sini pada 13 Mac 2009.

Bagi tuduhan keempat, tertuduh dihukum penjara enam tahun dan denda RM164,900 atau penjara 24 bulan kerana bersetuju menerima seutas jam tangan Hublot bernilai RM60,000 daripada kontraktor terbabit di tempat sama pada pukul 10 pagi, 15 Mei 2009.

Sementara bagi tuduhan terakhir iaitu meminta suapan RM30,600 daripada kontraktor tersebut bagi bayaran tiga set perabot rumah pada 28 November 2009 di Europe Asia Furniture Expo Sdn. Bhd., No. 15A, Jalan Universiti, Petaling Jaya, Md. Zaki dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM300,000 atau penjara 30 bulan.

Kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama-sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Februari tahun lalu itu, sebanyak 29 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

Thursday, April 5, 2012

Nizar 'telan ludah' sendiri - utusan malaysia





IPOH 4 April - Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membantah pembinaan hab pengagihan projek bijih besi Vale International (Vale) di Teluk Rubiah, Lumut, memakan diri sendiri apabila beliau sebenarnya yang menandatangani surat menyokong projek itu.

Mohammad Nizar hari ini mengaku bahawa beliau menandatangani satu surat bertarikh 17 Disember 2008 yang menyokong pembinaan hab pengagihan bijih besi Vale International (Vale) di Teluk Rubiah, Lumut semasa menjadi Menteri Besar Perak.

Pengakuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu membuktikan kenyataan-kenyataan beliau sebelum ini kononnya tidak bersetuju projek tersebut dilaksanakan di Teluk Rubiah dan mencadangkan kawasan lain di Tanjung Hantu, Segari ternyata suatu pembohongan.

Beliau membuat pengakuan itu setelah Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Mohd. Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) menggunakan Perintah Tetap 23 (C) meminta Ketua Pembangkang DUN Perak berkenaan menyatakan sama ada surat tersebut yang dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebelum itu benar atau tidak.

"Syukur, saya mengaku saya tandatangani surat itu. Surat itu sahih dan benar. Saya ucapkan terima kasih kepada Pangkor (Zambry). Saya sahkan surat itu sebenar-benarnya benar," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Mohammad Nizar dan beberapa pemimpin pembangkang lain sebelum ini menggunakan isu Vale sebagai modal politik malah, turut menuduh Zambry menggadaikan tanah Melayu di Teluk Rubiah kepada syarikat asing.

Terdahulu, Zambry menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) mengenai alasan kerajaan negeri meluluskan projek pelaburan Vale di kawasan pelancongan Teluk Rubiah, Lumut dan bukannya di Tanjung Hantu seperti dicadangkan kerajaan negeri pembangkang.

Zambry menjelaskan, Vale sebelum ini telah membuat kajian kesesuaian untuk melakukan pelaburan sama ada di Thailand, Vietnam dan Filipina namun memilih Perak dan kawasan Teluk Rubiah pada 2007 kerana keadaan persekitarannya yang lebih kondusif.

Sehubungan itu katanya, Vale telah mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan pembangkang pada Mei 2008 tetapi dimaklumkan kawasan tersebut merupakan hak milik persendirian, Harta Makmur Sdn. Bhd. (Harta Makmur).

Pada masa itu, tambah beliau, syarikat itu juga dalam rundingan dengan Gulf Petroleum Sdn. Bhd. untuk cadangan projek petrokimia melibatkan pelabur dari Qatar.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri pembangkang ketika itu mencadangkan alternatif lain di kawasan Bagan Datoh dan Vale menilai kesesuaian kawasan tersebut tetapi pada masa sama mereka terus berurusan dengan Harta Makmur untuk membeli tapak padang golf di Teluk Rubiah," katanya.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pada Ogos 2008, Vale sekali lagi membuat susulan perbincangan status projek pelaburan dan ingin mendapatkan sokongan kerajaan negeri serta menyatakan rundingan mereka dengan Harta Makmur menunjukkan tanda-tanda positif selain memperoleh persetujuan Ahli Lembaga Pengarahnya.

"Kemudian, satu surat sokongan telah dikeluarkan bertarikh 17 Disember 2008. Kandungan surat tersebut menyatakan kerajaan negeri mengalu- alukan permohonan Vale untuk mendapatkan lesen pengilang dan insentif daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Surat itu juga menyatakan kerajaan negeri sukacita dengan perkembangan positif rundingan dengan Harta Makmur berkenaan tapak padang golf di Teluk Rubiah dan akan memproses pindah milik dan pertukaran syarat tanah apabila perjanjian jual beli antara Vale dengan Harta Makmur selesai dan menerima permohonan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, pada satu sidang akhbar selepas itu, Zambry memberitahu, beliau terpaksa mengelaskan semula dokumen sulit kerajaan negeri tersebut setelah berkali-kali dicabar Mohammad Nizar menerusi sidang medianya yang disiarkan akhbar-akhbar pro pembangkang.

Katanya, pengelasan itu dibuat kerana beliau tidak mahu isu pelaburan Vale dijadikan modal politik murahan sehingga menyebabkan rasa kurang senang di kalangan pelabur-pelabur asing lain.

Zambry menambah, Koo Ham ada memberitahunya bahawa dia terkejut kerana tidak mengetahui Mohammad Nizar ada menghantar surat tersebut.

Mengenai tuduhan Koo Ham bahawa beliau bersifat selektif dalam mendedahkan surat itu, Zambry meminta ADUN Sitiawan berkenaan mengemukakan bukti bahawa kerajaan pembangkang pernah mencadangkan projek Vale dipindahkan ke Tanjung Hantu.

Zambry juga menegaskan bahawa pelaburan Vale itu memenuhi kesemua 76 keperluan ketat yang ditetapkan termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA).