Thursday, August 14, 2008

Berita: BPR boleh siasat UMNO

ARKIB : 13/08/2008

BPR boleh siasat UMNO

Oleh NIZAM YATIM

SERDANG 12 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dibenarkan untuk menyiasat kes-kes tertentu membabitkan politik wang pada pemilihan UMNO sekarang.

Bagaimanapun, Presiden UMNO berkata, ia hanya membabitkan kes yang memerlukan campur tangan badan itu dan bukan kesemua aduan membabitkan politik wang.

‘‘Ibu pejabat UMNO sudah membuat ketentuan untuk membenarkan BPR masuk dan ini bergantung kepada kes tertentu yang boleh menyebabkan badan ini bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2008 di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas laporan akhbar hari ini bahawa seorang ketua UMNO bahagian bergelar datuk dan setiausaha bahagian itu di Sabah disoal siasat BPR berhubung dakwaan menyogok beberapa pemimpin cawangan sebanyak RM1,500 seorang bagi mendapatkan pencalonan menjelang pemilihan bahagian itu.

Pada 2 Ogos lalu, BPR juga telah menahan Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang kerana disyaki memberi sogokan wang RM500 kepada seorang ahli parti untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Mesyuarat Agung cawangan akan berlangsung sehingga 24 Ogos, manakala peringkat bahagian bermula 9 Oktober hingga 9 November sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada 16 hingga 20 Disember ini.

Abdullah berkata, beliau tidak dimaklumkan siapa yang terlibat dalam kes sogokan terbaru di Sabah tetapi yakin tentu ada aspek tertentu yang melibatkan BPR sehingga membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau yang mengakui berlaku gejala politik wang pada pemilihan parti kali ini, berharap mereka yang terlibat dengan kegiatan itu supaya menghentikannya.

‘‘Saya pun ada dengar juga, banyak cerita berkaitan dengan perkara ini. Tentu ada betulnya, kalau tidak, takkan cerita begitu meluas.

‘‘Tak ada ertinya mencari populariti dengan menggunakan politik wang. Tidak tulen jika seseorang itu mendapat sokongan dan kemenangan menggunakan cara ini. Ia hanya akan menyebabkan orang kaya sahaja boleh memegang jawatan. Orang yang tak ada wang banyak tak boleh,” ujarnya.

Menurut beliau, gejala politik wang itu tidak selaras dengan matlamat parti untuk memastikan pemimpin yang mendapat sokongan adalah terdiri daripada mereka yang berkemampuan, berjasa menolong rakyat dan terbukti membantu perjuangan parti.

http://www.utusan.com.my/



RASUAH POLITIK


| Permalink | Comments (282) | TrackBacks (0) | Previous Blog

1) Di waktu kita pinda perlembagaan Umno supaya sesiapa yang ingin bertanding jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan 30% daripada bahagian atau 60 bahagian, tujuan kita ialah untuk jawatan itu tidak ditandingi oleh orang yang tidak serius dan juga supaya wang tidak dapat disogok kepada jumlah bahagian yang begitu banyak.

2) Syarat ini dipercayai tidak akan menghalang mereka yang betul-betul berbakat untuk melayakkan mereka bertanding.

3) Sebelum ini dalam pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden walaupun saya sendiri dapat pencalonan daripada bahagian amat banyak tetapi undi yang saya dapat di Perhimpunan Agong amat kecil. Hanya 43 sahaja lebih daripada lawan saya. Dipercayai ada sesuatu yang berlaku kepada wakil-wakil setelah sampai ke Perhimpunan Agong. Pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan supaya sesiapa yang dicalonkan oleh bahagian akan dapat 10 undi bonus. Peruntukan ini tidak berkesan. Justeru itu diperkenal sistem kuota seperti yang terdapat sekarang.

4) Kita tidak sangka yang syarat ini pun boleh disalahgunakan dengan cara lain. Amat malang bagi Umno dan orang Melayu. Kita lihat sekarang bagaimana syarat ini diguna untuk menghalang sebarang cabaran terhadap Presiden semasa, dengan tujuan supaya Presiden dan juga Timbalan Presiden tidak ditandingi sama sekali.

5) Cara yang digunakan amatlah kotor. Jauh daripada menunjuk teladan yang baik bagi pemimpin-pemimpin lain dan ahli-ahli Umno, Presiden sendiri yang mula menggunakan wang dan salahguna kuasa untuk mendapat pencalonan bagi diri sendiri dan menghalang pencalonan bagi orang lain. Tidak ada guna menafikan yang semua ini berlaku kerana terlalu ramai yang terlibat dalam kegiatan ini dan terlalu ramai yang bercakap berkenaannya.

6) Sekarang kita dengar aduan daripada seorang Ketua Bahagian kepada Setiausaha Agong Umno. Aduan ini menyatakan bahawa sementara Ibu Pejabat Umno melarang cawangan dan bahagian daripada berkempen untuk apa-apa jawatan di peringkat cawangan dan bahagian, Presiden sendiri giat berkempen untuk dirinya dicalonkan sebagai Presiden.

7) Kempen ini seperti disebut diatas disertai dengan hadiah kain, sejadah dan wang tunai sebanyak 50 hingga 100 Ringgit, sementara semua perbelanjaan perjalanan daripada bahagian-bahagian seluruh negara, penginapan di hotel mewah dan makan minum selama berada di KL ditanggung.

8) Dalam pada itu Presiden memujuk Timbalan Presiden, Dato Seri Najib Razak, supaya tidak melawannya bertanding Presiden pada Disember ini, dengan menawar hadiah jawatan Presiden dan Perdana Menteri kepada Dato Seri Najib pada Jun 2010. Ini jelas satu jenis rasuah politik yang tidak harus dilakukan oleh Presiden Umno yang melarang sebarang jenis rasuah dalam pemilihan ketua-ketua cawangan dan bahagian dan Majlis Tertinggi Umno.

9) Perbuatan Presiden tidak terhad kepada memanggil pemimpin cawangan sahaja. Ada bukti yang gula-gula dan ugutan dibuat supaya semua ketua bahagian dan jawatankuasa bahagian ikut telunjuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan akan calon hanya dia seorang untuk jawatan Presiden dan Dato Seri Najib untuk Timbalan Presiden. Dengan mengguna rasuah, ugutan dan pelbagai cara tekanan, bahagian-bahagian tidak akan calon sesiapa lain. Sudah tentu calon-calon lain tidak akan dapat cukup bilangan pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

10) Bahawa rasuah dan tekanan diguna dilaporkan oleh ramai, tetapi tidak ada sesiapa yang berani mendakwa secara terbuka kerana takut tindakan diambil terhadap mereka. Lagipun mereka yang dahulu melapor bahawa mereka telah disogok dengan wang mendapati Jawatan Kuasa Disiplin Parti menolak "tuduhan" itu bulat-bulat. Bahkan laporan kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah) kes rasuah yang melibatkan seorang Timbalan Menteri didapati "tidak berasas" kerana yang dikatakan memberi wang rasuah menafi demikian. Justeru itu tidak ada yang sanggup membuat laporan lagi.

11) Sebab itu surat daripada Kapt. (B) Dato Zahar Hashim, Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang jelas mendakwa Dato Seri Abdullah melakukan "rasuah politik yang besar" amatlah berani dan luarbiasa. Didalamnya diceritakan bagaimana Dato Seri Abdullah berkempen untuk dirinya dan menyogok wang dan kain pelikat kepada pemimpin cawangan yang dibawa khas ke KL. Wang yang diguna adalah wang kerajaan iaitu peruntukan untuk JASA (Bahagian Khas) Kementerian Penerangan.

12) Tawaran oleh Dato Seri Abdullah dan penerimaan oleh Dato Seri Najib yang Dato Seri Najib tidak akan tanding jawatan Presiden lawan Dato Seri Abdullah dan dengan itu Dato Seri Abdullah akan beri jawatan Perdana Menteri pada Dato Seri Najib menjelang pertengahan tahun 2010 ditafsir dan ditakrif sebagai rasuah politik yang amat besar.

13) Kapt. (B) Zahar hanya meminta supaya pekeliling melarang kempen ditarik balik oleh ibu pejabat sehingga lepas pemilihan pada Disember 2008.

14) Tetapi veteran Umno dan bekas Ahli J.K. Pemuda (Dato' Mazlan Harun), berasas pada surat Kapt. (B) Zahar telah buat laporan kepada BPR bahawa Dato Seri Abdullah dan Dato Seri Najib telah melakukan rasuah politik dan salahguna kuasa kerajaan.

15) Saya percaya akhirnya surat dan laporan kepada BPR tidak akan menghasilkan apa-apa kerana ada sahaja alasan dan penjelasan yang akan diberi oleh kedua-dua pemimpin tertinggi Umno ini untuk "cover-up".

16) Pada pemilihan bulan Disember perwakilan Umno tetap akan akur dan pilih Presiden dan Timbalan Presiden seperti yang ditunjuk oleh Dato Seri Abdullah.

17) Tetapi rakyat Malaysia akan bertambah jelek dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya. Ini bukan lagi parti kebangsaan Melayu. Ini sudah jadi parti untuk orang-orang tertentu mendapat jawatan dan wang bagi diri mereka.

18) Dato Seri Abdullah, Dato Seri Najib dan lain-lain pemimpin Umno mungkin kekal dengan jawatan mereka dan akan terus jadi Menteri dan sebagainya tetapi ingat apa telah jadi kepada Tajol Rosli, Mahadzir Khalid dan Khir Toyo.

19) Apa telah jadi pada Awang Adek dan Annuar Musa dan ramai lagi pemimpin Umno yang lain.

20) Jawatan-jawatan mereka dalam parti mungkin kekal tetapi apabila rakyat tolak parti yang rasuah yang bergantung pada sogokan duit dan tekanan, ugutan dan salahguna kuasa, semua jawatan ini tidak berguna lagi.

21) Presiden tidak akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Presiden tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri. Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno jika menang pilihanraya pun akan jadi pembangkang seperti di Selangor, Perak dan Kedah.

22) Apabila parti sudah kalah ia akan hancur. Mereka yang tamak yang menggunakan cara yang haram untuk mengetuai parti akan dikutuk bukan sahaja oleh orang Melayu yang terima padahnya sekarang tetapi juga oleh pengasas-pengasas Umno yang sudah meninggal.

23) Ahli-ahli Umno yang mencari kesenangan, yang mengharap gula-gula dan kedudukan tertentu dan sanggup merestui perbuatan yang salah, perbuatan yang merosakkan parti, mereka akan menerima padahnya.

24) Hari ini pun kita sedang melihat bagaimana orang Melayu berada dalam keadaan tidak tentu arah, terancam, terpaksa menubuh badan-badan lain untuk mempertahankan hak mereka, berpecah dan bercempera dan umumnya hilang haluan.

25) Mereka ditohmah dan dipermainkan seolah-olah mereka menumpang di negeri orang.

26) Semua ini disebabkan oleh kepimpinan Umno yang rasuah dan ahli-ahli Umno yang tidak berani menegur, jauh sekali bertindak

http://test.chedet.com/che_det/2008/08/rasuah-politik.html



Saturday, August 9, 2008

Rencana: Pemimpin perlu bijak memimpin

ARKIB : 08/08/2008

Pemimpin perlu bijak memimpin

Oleh LOKMAN ISMAIL

TANGGUNGJAWAB sebagai pemimpin amat berat untuk dilaksanakan. Ia tidak sekadar dinilai di dunia, bahkan adalah antara amalan yang menjadi perhitungan berat di akhirat kelak. Setiap pemimpin akan menghadap Allah dan disoalkan apakah yang telah dilakukan berkaitan amanah sebagai pemimpin.

Antara ciri pemimpin yang baik ialah mengasihi dan mengambil berat soal kebajikan orang dipimpin, menyediakan keadaan selamat, selesa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Oleh itu setiap pemimpin perlu mempunyai visi dan misi untuk kepentingan semua pihak. Semua perancangan dilakukan dengan teliti, bijak, fleksibel, berasas dan memahami keperluan semasa bagi membantu kejayaan.

Pemimpin yang baik tidak sekadar melaungkan slogan retorik, tetapi apa lebih penting ialah memahami kebenaran dan kesan terhadap apa yang diucapkan. Pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan tidak bermegah dengan jawatan dipegangnya.

Mana-mana pemimpin yang menggunakan slogan, hukum, kata-kata dan keputusan mutlak daripadanya sebagai senjata mengabuli mata rakyat, sedangkan ia tidak benar dan tidak mampu dilaksanakan, sebenarnya telah melakukan pendustaan yang menyesatkan diri dari jalan kebenaran.

Sesungguhnya setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa diucapkan. Ucapan pemimpin adalah janji, arahan, kenyataan dan mungkin juga dianggap hukum. Sebab itu, pemimpin tidak wajar mengeluarkan kata-kata ikut sedap mulut.

Individu bergelar pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta sebagai perangkap meraih sokongan. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana ia adalah antara kezaliman lidah yang melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran.

Justeru, pemimpin perlu menjauhkan perbuatan dusta dan mengubah perkara yang berkaitan kepentingan umum secara sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri. Perbuatan itu samalah perbuatan khianat terhadap kepercayaan yang diberikan oleh rakyat atau ahli.

Satu lagi sifat mulia yang perlu dimiliki pemimpin ia sanggup menerima kritikan daripada orang bawahan. Kritikan adalah cara memperbaiki keburukan dilakukan pemimpin. Pemimpin juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.

Pemimpin yang mengaku kesilapan sebenarnya pemimpin paling amanah dan benar.

sumber: http://www.utusan.com.my/

Rencana: Pertimbangan pilih ketua

ARKIB : 08/08/2008

Pertimbangan pilih ketua

Oleh MOHD. SHAUKI ABDUL MAJID

Kehadiran Muhammad SAW sebagai pemimpin politik jika yang diingininya sekadar harta kekayaan atau inginkan kehormatan dan kemuliaan, hatta untuk jadi raja, semua itu adalah tidak sulit. Namun hakikat bukan serendah itu cita-citanya dan keinginan Nabi SAW kerana semua itu akan menghalang misi dakwah dan perjuangan baginda.

Ingatlah dalam ilmu politik ada istilah power tends to corrupt yang bermaksud 'kekuasaan cenderung kepada penyelewengan.' Maknanya pengertian kepimpinan itu sendiri adalah kekuasaan di mana ia boleh membawa seseorang lupa diri sehingga mengabaikan segala yang dijanjikan dan dicita-citakan. Akhirnya kehancuran yang akan diterimanya.

Justeru Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kepimpinan itu akan menjadi kedudukan yang diperebutkan di antara kamu dan pada hari kiamat kelak hal itu akan menjadikan kamu penuh penyesalan." (Hadis riwayat Bukhari)

Kepimpinan yang lahir hasil daripada kesulitan dan pengorbanan yang tulus seperti mana Nabi Muhammad SAW dengan penuh sabar menghadapi para pengikutnya yang disiksa dengan kejam, yang memungkinkan orang lain tidak berdaya untuk menanggung beban kepimpinan seperti itu.

Inilah kepimpinan yang lahir daripada satu proses yang tersendiri, kental sehingga terbentuk keperibadian tulen dan bukan keperibadian yang terbentuk daripada hasil pengaruh kekayaan atau pengaruh dalaman atau kronisme.

Imam Ghazali pernah menyatakan: "Apabila suatu tujuan teramat suci dan mulia, sukarlah jalan yang harus ditempuh, dan banyaklah penderitaan yang akan ditemui di tengah jalan."

Namun realiti tidak banyak pemimpin yang benar-benar berjiwa besar tapi lebih kepada besar nafsunya. Yang banyak dibicara ialah tentang projek itu dan ini, isteri berapa, jenis kereta yang dipandu dan yang dikira ialah harta kekayaan yang dimilikinya. Jauh sekali untuk mengambil secebis iktibar daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW yang sekadar tidur di atas tikar walhal ia adalah pemimpin besar jazirah Arab yang disegani pihak Rom dan Parsi.

Tuntutan mencintai ini harus berlandaskan ajaran agama bukan hawa nafsu. Tidak sedikit pemimpin hari ini melaksanakan dorongan fitrahnya melalui jalan yang salah kerana awal-awal lagi niatnya telah salah dan bertujuan kepentingan diri daripada membantu orang yang di bawah pimpinannya.

Bagi pemimpin yang meletakkan kemewahan menjadi matlamat utamanya, dengan sedikit kekuasaan di tangan, ia boleh melakukan 1,001 tipu daya dengan mengeksploitasi rakyat demi kepentingan diri. Dalam keadaan seperti ini rakyat bagaikan lembu dicucuk hidungnya, ditarik-tarik lehernya ke sana ke mari semahunya. Segala hajat hidupnya dihitam putihkan oleh sekelompok manusia yang disebut Allah SWT sebagai "para penguasa yang melakukan kejahatan, juga kerap disebut sebagai "orang yang hidup mewah".

Pengaruh golongan ini cukup kuat dalam membentuk watak manusia agar menghormatinya. Jika ada siapa yang berani menentangnya maka orang yang berjaya dibelinya itu akan mempertahankannya dan ikut sama menentang. Bahkan tidak sedikit yang rela mati untuk membela tuannya, yang tak lain para pemeras keringatnya.

Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi suatu kaum maka dijadikan para pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan para ulama mereka menangani hukum dengan adil, juga Allah jadikan harta benda di tangan orang-orang yang dermawan. Namun jika Allah menghendaki keburukan bagi suatu kaum maka Dia menjadikan para pemimpin mereka orang-orang yang berakhlak buruk. Dijadikan-Nya orang-orang bodoh menangani hukum dan keadilan, dan harta benda dikuasai orang-orang yang kedekut." (Hadis riwayat Ad-Dailami)

Lebih ditakuti lagi ialah peringatan Nabi Muhammad SAW dalam satu sabdanya yang bermaksud: "Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi bila telah turun mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk daripada bangkai." (Hadis riwayat At-Thabrani).

Kepimpinan yang baik ialah yang dapat menunaikan atau melaksanakan keperluan masyarakat. Jangan kita mencemuh orang yang menunggu di depan pintu rumah kita untuk sesuatu keperluan. Waspadalah kita daripada sifat buruk ini. Jika seseorang telah datang kepada anda kerana suatu kepentingan, maka janganlah kita menyibuk diri dengan hal-hal lain seperti buat-buat sibuk dengan ibadah sunnah.

Kepimpinan yang mementingkan diri sendiri tidak ada dalam kamus kelayakan dipilih sebagai pemimpin. Kepimpinan sebenarnya adalah amanah bukan kekuasaan. Kepimpinan adalah tugas dan tanggungjawab bukan keistimewaan.

Dalam memilih pemimpin yang baik, al-Quran memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek kehidupan awal manusia, termasuk persoalan "Siapakah yang layak kita pilih".

Dalam hal ini al-Quran membicara dua sifat utama yang harus dimiliki bagi seseorang yang dipertanggungjawab memikul sesuatu perkara yang berkaitan dengan hal-hal masyarakat.

Contoh yang jelas ialah pelantikan Nabi Yusuf sebagai Ketua Perbendaharaan Kerajaan Mesir oleh rajanya dan diabadikan pula oleh al-Quran. "Sesungguhnya engkau menurut penilaian Kami adalah seorang yang kuat lagi dipercayai." (Al-Quran surah Yusuf ayat 54)

Kelalaian melaksanakan kewajipan ini bermakna pemimpin tersebut telah mengkhianati amanah Allah dan mensia-siakan rakyatnya.

Bencana yang paling mengerikan ialah bergelumangnya para penguasa yang menyalahi syariat dan telinga-telinga mereka tertutup bagi setiap pemberi nasihat dan pemberi petunjuk.

Kita harus waspada dan jangan sampai termasuk ke dalam golongan yang disebut Allah dalam firmannya yang bermaksud: "Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong." (Surah Al-Qasas ayat 41)

Lebih dahsyat lagi Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Pada hari Kiamat didatangkan seorang laki-laki, lalu dilemparkan ke dalam neraka, usus daripada perutnya terburai, lalu dia berputar seperti keldai yang berputar di sekitar penggilingan. Para penghuni neraka mengerumuninya dan berkata: "Wahai Fulan, mengapa kamu seperti ini? Bukankah kamu memerintahkan kepada kebaikan dan melarang kemungkaran? Dia berkata: 'Ya, saya memerintahkan kebaikan, namun saya sendiri tidak melakukannya dan saya melarang kemungkaran namun saya juga melakukannya."

Justeru, dalam usaha kita membuat pilihan antara seorang pemimpin atau ketua yang baik dengan pemimpin yang tidak baik, pertimbangan yang waras dan penuh tanggungjawab perlu diutamakan demi kepentingan bangsa dan agama serta kehidupan generasi yang akan datang

sumber: http://www.utusan.com.my

forum "memeluk ISLAM" Majlis Peguam























ARKIB : 08/08/2008








BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

LANGKAH Majlis Peguam untuk menganjurkan forum bertajuk Memeluk Islam pada Sabtu ini, mencetuskan gelombang bantahan daripada pelbagai kalangan umat Islam.

Para pemimpin UMNO, Pas, persatuan ulama dan badan-badan bukan kerajaan bersatu pendirian mendesak dibatalkan forum tersebut yang dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Rata-rata bantahan itu bersandarkan hujah bahawa perkara tersebut amat sensitif dan tidak wajar dibincangkan secara terbuka.

Ia juga dilihat sebagai cubaan mempertikaikan kedudukan Islam yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Awang harap badan guaman itu akur dan tidak mengambil mudah kemarahan serta rasa tidak puas hati umat Islam berhubung isu tersebut.

Pendirian Majlis Peguam untuk meneruskan forum berkenaan biarpun setelah diberi amaran oleh Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar agar tidak bermain api, dikhuatiri mengundang masalah besar.

Persoalannya lagi mengapa Majlis Peguam memberi perhatian keterlaluan kepada isu-isu sensitif menyentuh kepentingan umat Islam dan Melayu?

Awang – Bimbang ledakan emosi.








Bar Council 2008/2009

Datuk Ambiga Sreenevasan (President)

Mr. Ragunath Kesavan (Vice-President)

Mr. Lim Chee Wee (Secretary)

Mr. George Varughese (Treasurer)

Pn. Hendon Mohamed

Haji Sulaiman Abdullah

Mr. Edmund Bon


Datuk Muhammad Shafee bin Md Abdullah

Datuk Hj. Kuthubul Zaman Bukhari

Mr. Roger Tan

Mr. Yeo Yang Poh

Ms. Low Beng Choo

Mr. Cecil Rajendra

Cik Yasmeen bte. Hj. Muhamad Shariff

Mr. Christopher Leong

Mr. K. Mohan a/l K Kumaran (Johor)

Mr Hisyam Teh Poh Teik (Johor)

Mr. G. Balakrishnan (Kedah/Perlis)

Mr. R. Kalianan Subramaniam (Kedah/Perlis)

Datuk Sukri bin Haji Mohamed (Kelantan)

Mr. Indran Rajalingam (Kelantan)

Mr. Ravindra Kumar (Kuala Lumpur)

Mr. Steven Thiruneelakandan (Kuala Lumpur)

Mr. Ng Kong Peng (Melaka)

Mr. R. R. Chelvarajah (Melaka)

Mr. Paul Krishnaraja Selladurai (Negri Sembilan)

Mr. Tony Woon Yeow Thong (Negri Sembilan)

En. Syed Azimal Amir Bin Syed Abu Bakar (Pahang)

Dato' Ramachelvam Manimuthu (Pahang)

Mr. Murelidaran s/o M Navaratnam (Penang)

Ms. Lalitha Menon (Penang)

Mr. Shan Theivanthiran (Perak)

Ms. Asbir Kaur Sangha (Perak Bar)

Mr. Rajpal Singh a/l Mukhtiar Singh (Selangor)

En. Anuwar B Mohd (Terengganu)
Mr. Lee Leng Guan (Terengganu)

sumber dari: http://www.malaysianbar.org.my/bar_council_members.html



KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh)

- Pelbagai pihak mendesak penganjuran forum awam bertajuk 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam yang akan diadakan di Auditorium Majlis Peguam esok dihentikan.

Sehubungan itu, umat Islam yang pritahin untuk mempertahankan kesucian Islam diajak beramai-ramai membuat bantahan secara aman terhadap Majlis Peguam mulai jam 8 pagi esok.
Koordinator Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya forum mengenai isu Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal memeluk Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu.

Dalam kenyataan yang dipersetujui 18 Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyatakan forum anjuran Jawatankuasa Undang-undang Keluarga Majlis Peguam itu menunjukkan Majlis Peguam cuba untuk memprovokasi masyarakat Islam.

Tegasnya, provokasi yang tidak perlu itu akan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana Majlis Peguam bukan pihak yang layak untuk membahaskan hal ehwal Islam.
"Kami mengingatkan agar Majlis Peguam jangan cuba bermain dengan api. Isu hal ehwal Islam adalah isu sangat sensitif kepada umat Islam.

"Tindakan ini jelas cuba menghidupkan semula usaha terdahulu yang dilakukan oleh beberapa kelompok dari Majlis Peguam bagi menubuhkan IFC dan kemudian diikuti pula oleh satu lagi usaha dari kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai Kumpulan Artikel 11,"katanya.
Tambahnya, usaha tersebut telah mendapat bantahan sebahgian besar masyarakat Islam dan dari pihak berkuasa sendiri.

Katanya, edaran surat jemputan mengenai pengenalan kepada forum tersebut jelas menunjukkan tujuan Majlis Peguam menganjurkan program tersebut adalah untuk mempersoalkan dan mencabar bidangkuasa Mahkamah Syariah yang termaktub dalam Artikel 121 (1A), yang mana Kes Subashini dan Shamala dijadikan asas untuk perbahasan ini diadakan.

"Kami menegaskan bahawa Majlis Peguam tidak ada hak untuk memandai-mandai dan cuba membahaskan hal yang berkaitan dengan undang-undang Islam secara terbuka.

"Kami mendesak supaya forum ini dihentikan oleh pihak berkuasa kerana ia boleh membawa kepada kemarahan masyarakat Islam yang tidak mahu undang-undang Islam dicabar oleh mana-mana pihak,"katanya yang mempersoalkan kenapa Majlis Peguam mahu mencampuri urusan yang bukan bidang kuasanya?

Mohamad Azmi menegaskan sebagai sebuah badan statutori sepatutnya menumpukan perhatian kepada memperkemaskan profesionalisme para peguam yang masih tidak diuruskan dengan sempurna.

Katanya, sebarang perbahasan yang berkaitan dengan urusan Islam hendaklah diutarakan kepada saluran khas.

Sehubungan itu katanya, Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam mencadangkan pihak kerajaan menubuhkan saluran khas ini supaya sebarang pandangan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam didengari oleh mereka yang pakar dalam ilmu agama Islam .
Saluran khas tersebut katanya bertujuan untuk mengelakkan urusan Islam dibahaskan secara terbuka dan menimbulkan kekeliruan yang tidak perlu dikalangan masyarakat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Roslan Mohd Nor juga berpandangan sebarang perbahasan mengenai hukum-hukum Islam, perundangan, sistem dan hak-hak orang-orang Islam yang terkandung dalam perlembagaan tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti akan mengakibatkan kekeliruan dan salah faham terhadap Islam.

"Tindakan berkenaan adalah suatu usaha yang terancang yang disusun oleh pihak tertentu untuk secara berterusan mempertikaikan hak-hak yang terkandung dalam perlembagaan terhadap Islam.

"Kami memberi amaran kepada Majlis Peguam agar menghentikan segera penganjuran forum berkenaan atau menghadapi tindakan penentangan serius umat Islam di negara ini," katanya.
Sementara itu Pengerusi Badan Bertindak Anti Murtad (FORKAD), Ustaz Riduan Mohamad Nor turut sama menggesa umat Islam menghentikan keangkuhan golongan anti Islam di sebalik program Majlis Peguam.

Katanya, hak agama Islam yang harus diutamakan dan kontrak sosial tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak.

"Justeru kami mahu perbincangan terbuka persoalan yang sensitif ini dihentikan segera.
"Majlis Peguam angkuh kerana enggan mendengar nasihat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta forum tersebut dihentikan," tegasnya. - mr _

Sumber dari: http://www.harakahdaily.net/



Jaga sensitiviti, kesabaran orang Melayu

Oleh zulkiflee bakar(wartawan utusan)

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan Majlis Peguam terus bermain dengan api apabila ingin menganjurkan forum awam bertajuk 'Memeluk Islam', hari ini.

Sama ada forum itu akan dibatalkan ataupun tidak berikutan pelbagai desakan termasuk daripada kerajaan dan parti politik Melayu tetapi apa yang jelas sudah ada keberanian di pihak tertentu untuk menyentuh perkara-perkara sensitif berkaitan dengan kedudukan orang Melayu dan Islam.

Sebelum ini, Majlis Peguam juga pada Jun lalu tanpa mempedulikan pelbagai kritikan turut menganjurkan forum bertajuk 'Kontrak Sosial'.

Namun adalah jelas majlis berkenaan yang dianggotai oleh mereka yang bijak pandai dalam undang-undang tidak memahami atau sengaja melupakan sensitiviti orang Melayu.

Mereka turut melakukan forum-forum seumpama itu yang disifatkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai 'bermain api'.

Oleh itu adalah perlu Majlis Peguam belajar untuk memahami sensitiviti berhubung perkara berkenaan dan jangan terlalu ghairah menganjurkan forum yang boleh mencetuskan kontroversi serta konflik di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Hakikatnya, majlis tersebut sengaja mencari fasal dengan berbuat demikian tetapi apabila kerajaan bertindak tegas maka mereka akan menjerit-jerit bahawa apa yang mereka lakukan adalah kebebasan bersuara.

Tetapi mereka lupa bahawa kebebasan tersebut bukan bererti mana-mana pihak berhak untuk mengadakan forum yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Selain itu, persoalan juga timbul kenapakah sejak kebelakangan ini Majlis Peguam menunjukkan keberanian luar biasa dengan menganjurkan forum berkaitan orang Melayu dan Islam, biarpun mereka mengetahui ia amat bahaya.

Mungkin bagi Majlis Peguam, mereka bertindak demikian kerana merasakan inilah saat terbaik berbuat demikian memandangkan orang Melayu kini berpecah akibat keputusan pilihan raya umum lalu.

Namun mereka terlupa bahawa isu yang disentuh akan dilihat oleh orang Melayu tanpa mengira apa juga ideologi politik yang mereka pegang.

Ketegasan pemimpin UMNO dan Pas yang sekata menentang forum 'Memeluk Islam' itu dengan jelas membuktikan bahawa orang Melayu akan bersatu jika kepentingan bangsa dan agama mereka digugat.

Oleh itu Majlis Peguam yang begitu bijak dalam bab undang-undang janganlah cuba mencabar kesabaran orang Melayu dan Islam.

Tidak perlu berdolak-dalih berhubung kenapa forum seumpama itu diadakan. Kalau Majlis Peguam jujur, mereka seharusnya menganjurkan forum yang lebih menjurus ke arah menyatukan semua kaum di negara ini dan bukannya berusaha mencabar kepentingan mana-mana kaum.

Mungkin majlis berkenaan mempunyai kedegilan tersendiri tetapi percayalah apa yang cuba mereka lakukan tidak akan menguntungkan rakyat.

Janganlah menganggap bahawa tujuan forum itu sudah disalah tafsir sedangkan hakikatnya Majlis Peguam yang berdolak-dalih.

Kenapakah forum itu hendak diadakan sekarang? Kenapa tidak diadakan ketika ada kes berkaitan tajuk forum tersebut? Semua ini jelas membuktikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan penganjuran berkenaan.

Kepada orang Melayu pula, mereka tidak harus memandang sepi tindakan majlis tersebut. Ini kerana ia jelas membuktikan perpecahan sesama mereka dan andaian bahawa cengkaman kuasa politik semakin longgar telah memungkinkan ada pihak-pihak tertentu cuba menggugat kepentingan dan hak mereka.

Selama ini, kita mungkin tidak pernah memikirkan bahawa ada pihak berani berbuat demikian tetapi tindakan Majlis Peguam sudah membuktikan sebaliknya.

Justeru pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu tidak harus duduk diam, mereka tidak boleh membiarkan sahaja UMNO dan Pas berjuang menghalang Majlis Peguam.
Sebaliknya mereka juga perlu tegas berbuat demikian bagi memberi isyarat yang jelas kepada majlis berkenaan bahawa apa yang mereka lakukan pada hakikatnya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Apa pun keadaannya adalah diharapkan Majlis Peguam yang kononnya semakin berani ini memahami bahawa mereka sedang melakukan perkara yang boleh menggugat demokrasi dan perpaduan di negara ini.

Ingatlah bahawa soal bangsa dan agama jika tersilap ditangani boleh menghancurkan sebuah negara majmuk seperti Malaysia, oleh itu jangan melampaui batas!

Sumber dari: http://www.utusan.com.my/


ZMSEGAMAT: teringat akan amaran dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa “jangan ajar anak harimau makan daging, jangan jolok sarang tebuan, jangan main api” “jangan ingat orang Islam dan Melayu berada dalam keadaan yang lemah” “Bila lemah, kura-kura naik pucuk tetapi kura-kura itu silap, pucuk kita masih sihat dan belum mati”









Thursday, August 7, 2008

Kisah: Nasib Kelapa Tua

Satu cerita untuk renungan bersama. KELAPA TUA:

Semua orang kenal dan tahu pula gunanya. Sangat penting dan sangat berguna

Kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan dan kelapa tua tak pernah jadi topik perbincangan, tak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalau kelapa tua ada emosi, tidak ramai yang dapat merasai dan menyelam perasaannya.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak pedulikannya. Dirinya terbuai-buai di atas pokok, bila ditiup angin terasa nyaman sekali. Elok-elok kelapa tergantung di pokoknya sambil menikmati keindahan buana, datang orang menjoloknya dengan galah panjang. Bukan selesa kena jolok macam tu.

Bila tangkainya menjadi lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-berpusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah, bukan setakat 5-10 kaki tapi sehingga 40-50 kaki. Bunyinya berdentum sampai ketanah. Kalau calang-calang buah, boleh berkecai.Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua bukan setakat ini sahaja. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk kedalam kulit sabutnya. Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan, lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat dan ini berterusan sehingga tinggal tempurung. Dah tinggal tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya, keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu nak menilai seni seperti ini.

Tempurung bulat yang cantik ditetak dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua, di tengah-tengahnya. Maka tersemburlah dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sampai tahap ini maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Baru muqaddimah. Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih diparut dan dikukur pula hingga lumat. Tempurungnya pula dibuang. Kadang-kadang dibakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi , dituang pula air kedalam isi parut, kemudian diramas-ramas dan diperah-perah. Kalau hendak dikirakan ini sudah terkeluar dari batas-batas keperimanusiaan. Kemudian ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah

menjadi cecair yang putih.

Setelah itu minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah lain ditumis. Bila dah cukup kuning dituanglah santan tadi dalam belanga. Maka berpanasanlah santan hingga pecah minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya: "Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?

Orang di dapur hanya menjawab,"Kari ikan bawal." Kari dapat nama. Ikan bawal dapat nama. Orang kata,"Oh! sedap kari ni." "Oh! sedap ikan bawal ni."

Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa ambil kira atau ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja tetapi ta'abud kepada ALLAH. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tetapi ada dalam perhatian Tuhan

Kisah: Perangkap Monyet

Di suatu hutan hiduplah sekelompok monyet.

Pada suatu hari ketika mereka sedang bermain, mereka nampak sebuah balang kaca berleher panjang dan sempit bahagian mulutnya manakala bahagian bawahnya tertanam dalam tanah.

Di dalam balang itu ada kacang yang sudah digaul dengan bauan yang disukai monyet.

Rupa-rupanya balang itu adalah perangkap yang diletakkan di sana oleh seorang pemburu.

Salah seekor monyet muda mendekati dan memasukkan tangannya ke dalam balang itu untuk mengambil kacang-kacang tersebut.

Tetapi tangannya yang menggenggam kacang tidak dapat dikeluarkan dari balang kerana kepalan tangannya lebih besar berbanding ukuran leher balang itu.

Si monyet muda meronta-ronta untuk mengeluarkan tangannya namun tetap gagal.

Seekor monyet tua menasihati monyet muda itu:

"Lepaskanlah genggamanmu ke atas kacang-kacang itu! Engkau akan bebas dengan mudah!"

Tapi monyet muda itu tidak mengendahkan nasihat itu, tetap berkeras menggenggam kacang yang jadi punca masalah.

Tidak berapa lama setelah itu, datanglah seorang pemburu.

Si monyet tua memberikan nasihat sekali lagi:

"Lepaskanlah genggamanmu sekarang juga supaya engkau selamat!"

Walau dalam ketakutan si monyet muda itu tetap tamakkan kacang.

Akhirnya ia ditangkap oleh pemburu.

Kadang kita asyik mengenggam dan tidak melepaskan hal-hal yang sepatutnya kita lepaskan.

Ini berkaitan dengan semua hal negatif seperti kuasa, kemarahan, kebencian, iri hati, tamak dan sebagainya.

Dalam pada kita asyik menggenggam dan tidak melepaskan, maka kematian datang 'menangkap' kita. Di kala itu semuanya sudah terlambat.

Bukankah lebih mudah jika kita melepaskan setiap masalah yang ada dan mencorakkan hari esok dengan lebih bijaksana?

Bukankah dunia akan menjadi lebih indah jika kita melepaskan genggaman kita dan berkongsi kebahagiaan dengan orang lain?

Semoga Allah merahmati kita semua. Wassalam.

Tuesday, August 5, 2008

picture: lawak 050808

pengantin of the year



sah tak cukup tido........