Sunday, October 18, 2009

Tan Sri Muhyiddin Yassin: Bersedia tinggalkan fiil buruk



Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, semalam.

Alhamdulillah, pertama-tamanya marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin kurnia-Nya, kita telah dapat melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini dengan sempurna dan teratur.

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan hidayat-Nya, hati kita senantiasa setia dan beristiqamah untuk berada di landasan perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.

Terlebih dahulu izinkan saya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada petugas dan sukarelawan parti yang telah pun bertungkus lumus untuk menjayakan Perhimpunan Agung UMNO kita pada tahun ini.

Khususnya terima kasih kepada Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja dan pegawai-pegawai kanan yang telah pun memberikan sumbangan yang amat besar ertinya bagi menjayakan perhimpunan penting kita pada kali ini.

Di awal ucapan ini, izinkan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi syabas dan tahniah di atas ucapan dan amanat penting yang telah pun disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Presiden parti kita semalam. Satu ucapan yang amat bersejarah, mempunyai signifikannya yang istimewa untuk menentukan hala tuju parti kita dan harapan baru bagi UMNO, orang Melayu dan juga rakyat Malaysia. Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Presiden kita.

Tentunya ucapan itu bukan saja telah menyuntik semangat baru di sanubari kita sebagai perwakilan di sini. Tetapi lebih daripada itu ia telah pun memberikan kita suatu dorongan yang lebih kuat untuk sama-sama bekerja keras.

Untuk memikul suatu amanah dan tanggungjawab yang lebih besar. Untuk memastikan kelangsungan UMNO dan kedudukan UMNO sebagai teras kepada parti Barisan Nasional. Untuk mengekalkan kuasa di tanah air yang kita kasihi ini.

Perkataan yang saya lihat telah pun berkali-kali diungkapkan dalam perhimpunan ini ialah perubahan. Tentulah suatu perkara yang telah pun sama kita bicarakan kerana hampir semua perwakilan yang telah pun menyampaikan ucapan dalam perbahasan ucapan dasar tadi dan juga semalam. Mengupas tentang betapa pentingnya kita memikul tugas yang berat untuk berubah dalam suatu tempoh jangka masa yang cepat kerana masa tidak menyebelahi kita.

Tetapi kita tahu bahawa proses perubahan ataupun change yang biasa disebutkan oleh ramai juga tokoh-tokoh dunia, memakan masa dan perubahan yang penting itu biasanya terpaksa melalui masa sakit ataupun pain period.

Ini adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan. Kerana kalau kita sudah menyedari hakikat bahawa apa yang dikehendaki oleh orang Melayu dan juga masyarakat Malaysia khususnya, yang dapat kita lihat selepas kita menghadapi keputusan Pilihan Raya Umum yang ke-12 lalu, maka pastinya kita juga sedar bahawa di hadapan kita adalah suatu perkara yang amat kritikal.

Proses perubahan yang diharapkan oleh orang Melayu dan rakyat yang mesti berlaku dalam satu tempoh yang seberapa cepat yang mungkin.

Daripada pernyataan yang telah pun disebutkan oleh ramai para perwakilan, kita telah pun menyatakan kesanggupan kita. Kita telah pun menyatakan kesediaan kita untuk berubah.

Kerana di dalam sanubari, kita sedar kalau kita tidak melakukan perkara ini dengan cepat dan pantas, masa tidak menyebelahi kita.

Oleh sebab itu, kemungkinannya kita tidak dapat dilihat sebagai sudah mula berubah. Soal siapakah yang akan menilai tentang apakah langkah-langkah dan tindakan yang hendak kita lakukan dalam proses perubahan ini, pemimpin yang ada di atas ataupun saudara-saudara yang menjadi ahli persidangan di sini.

Ataupun rakyat jelata yang merupakan satu kelompok yang terbanyak yang sentiasa memerhati akan apa yang telah pun kita lakukan.

Apa yang kita lakukan di masa yang lalu dan apa yang akan kita lakukan di masa yang akan datang?

Maka pastilah jawapan yang lebih tepat ialah orang Melayu dan rakyatlah yang akan menilai sejauh mana perubahan itu sudah pun berlaku.

Dan oleh sebab itu tentulah perkara yang harus kita berikan perhatian sekarang ialah untuk memulakan proses perubahan yang telah pun dengan lantang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden parti kita semalam.

Beliau telah pun menggariskan dengan jelas tentang apakah perubahan dan pembaharuan ataupun transformasi yang dikehendaki dilakukan oleh kita. Bukan sahaja oleh pemimpin yang ada di atas, ataupun kita yang ada di perhimpunan ini. Tetapi rata-rata seluruh lebih tiga juta ahli UMNO yang ada di seluruh negara dan didokong bersama oleh pemimpin serta ahli-ahli komponen parti Barisan Nasional.

Maka oleh sebab itu, saya ingin menyatakan di sini bahawa di peringkat jawatankuasa pengurusan parti, saya telah pun diamanahkan untuk menerajui jawatankuasa ini.

Sejak dilantik sebagai Timbalan Presiden, kita telah pun kerap berbincang dalam pertemuan-pertemuan yang telah pun kita adakan. Baik dengan Jawatankuasa Pengurusan yang termasuk di dalamnya Pergerakan Pemuda, Wanita dan juga Puteri, ataupun di kalangan pimpinan di peringkat negeri. Khususnya pada waktu kita melakukan retreat (pemukiman) di Janda Baik.

Mungkin ramai di sini tidak mendapat - orang kata - merasakan apakah denyutan nadi yang dapat kita rasakan waktu berhimpun di Janda Baik itu.

Tetapi sebagaimana yang telah disebutkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan sebagainya, kita akan menganjurkan kursus-kursus seterusnya untuk melibatkan sebahagian besar daripada pemimpin kita di semua peringkat dalam program untuk menambah baik perjuangan parti kita ini.

Maka dalam pertemuan-pertemuan itu, telah pun kita bersetuju supaya pelan tindakan untuk memperkukuhkan parti ini kita dapat laksanakan dalam satu tempoh yang cepat.

Dalam pertemuan yang telah pun kita adakan di Janda Baik, semua pimpinan di peringkat Perhubungan UMNO Negeri telah pun menggariskan inisiatif-inisiatif yang akan kita jalankan dengan seberapa cepat yang boleh.

Setiap negeri mempunyai perancangan, pelan tindakan yang akan disusun bukan sahaja di peringkat negeri tetapi yang tidak kurang penting ialah di peringkat bahagian yang mencakupi cawangan ataupun sayap-sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.

Saya ingin nyatakan di sini bahawa selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti, saya telah pun memberitahu kepada Yang Amat Berhormat Presiden parti, saya akan mengambil masa yang lebih untuk turun ke padang, untuk berjumpa dengan semua pemimpin UMNO yang ada di peringkat negeri dan juga di peringkat bahagian.

Perkara ini amat penting untuk melihat sejauh mana komitmen yang dijalankan mereka untuk menangani isu yang sudah dikenal pasti di setiap negeri.

Sasaran penting UMNO, tentunya bagaimana kita memastikan kawasan-kawasan di bawah kita, yang dimenangi UMNO selama ini atas mandat diberikan pengundi terus kekal dan kukuh dalam pilihan raya akan datang. Dan saya hendak ambil contoh Bagan Pinang.

Saya ucapkan terima kasih kepada semua pemimpin yang turun padang dan bertungkus-lumus memastikan kemenangan parti. Satu perkara, bagaimana usaha yang dilakukan ini mendapat kejayaan besar untuk mencipta satu kecemerlangan bagi meraih sokongan pengundi di Bagan Pinang.

Memang banyak faktor membantu kemenangan ini. Calon kita adalah calon terbaik yang diterima seluruh pengundi Melayu, Cina dan India. Ada peti-peti undi yang dulunya hitam legam warnanya dan kawasan ladang hitam legam bertukar warna menjadi putih melepak.

Daripada kalah menjadi menang. Hampir semua kita menang dengan cemerlang dan satu yang dapat saya pelajari di situ ialah hubungan persaudaraan. Ini penting untuk kita peringatkan waktu bila kita perlu menggerakkan program kita iaitu bila kesatuan dan perpaduan di kalangan ahli parti di peringkat bahagian, negeri serta komponen parti diperoleh untuk membantu kita mencapai kemenangan besar.

Mesej yang kita mahu sampaikan di sini, waktu rakan-rakan di atas berbincang di Janda Baik ialah waktu untuk kita memulakan langkah pertama inisiatif bagi memupuk perpaduan yang jitu di kalangan ahli kita di semua peringkat terutamanya pemimpin dan bahagian. Saya diberikan amanah untuk mengepalai hampir semua pilihan raya kecil.

Hari ini saya dapat pujian, tetapi yang kalah banyak juga sebelum ini. Kenyataan yang dapat saya sebutkan di sini antara faktor kekalahan adalah kerana tidak adanya semangat perpaduan dan kalau pun ada, terhad serta terbatas.

Faktor yang menyebabkan kita berjaya adalah disebabkan semangat persaudaraan ukhuwah kerjasama yang jitu dan kecemerlangan yang tidak kita duga.

Mesej yang hendak disebutkan ialah titik permulaan untuk perubahan yang kita sebutkan. Semangat perpaduan kita pupuk dan jalin untuk mendapatkan asas kukuh.

Perubahan tidak akan berlaku dalam keadaan berbalah, tidak akan tercerna kalau masih wujud dalam kalangan kita yang berpuak-puak dalam parti kita sendiri.

Proses kedua untuk berubah adalah perubahan daripada segi jiwa kita, yang digelar kesatuan minda (wahdatul fikr) dan kesatuan hati (wahdatul qalb). Ia seperti yang diperkatakan dalam empat rukun perubahan dan pembaharuan parti ketika dibahaskan dalam Perhimpunan Pemuda tiga hari lepas.

Ini memerlukan kita mempunyai kesanggupan untuk membawa kesedaran secara lebih dalam berdasarkan muhasabah kita sendiri.

Namun bersediakah untuk kita tinggalkan fiil kita yang buruk. Antara faktor yang agak merisaukan kepimpinan sekarang adalah gaya fiil-fiil yang lama yang mana masih mengongkong kita. Ini menyebabkan tiada kesediaan untuk melakukan pembaharuan dalam tempoh seberapa segera mungkin.

Sebenarnya susah mahu berubah, kerana sudah biasa bak kata orang "alah bisa tegal biasa". Kita sahut untuk berubah tapi bila pulang ke kawasan masing-masing, tiada berlaku sebarang perubahan atau lambat berlaku kerana tidak adanya sense of urgency. Atau kesediaan untuk menyegerakan perubahan selepas berada dalam sindrom selesa agak panjang.

Agak luar biasa apabila semua ahli parti sanggup berjuang untuk menyebarkan mesej kepada seluruh masyarakat. Tetapi apa yang penting adalah kesediaan untuk masing-masing melakukan perubahan dalam tempoh seberapa pantas yang mungkin.

Sebab itu pelan tindakan yang dilaksanakan semua peringkat akan diperhalusi. Dan aturkan gerak kerja daripada segi soal perubahan yang akan dilaksanakan seperti program-program mesra rakyat yang akan dilancarkan di semua peringkat. Supaya kita bersama-sama dapat memikul amanah untuk melaksanakan program yang berkesan. Biar rakyat dapat lihat sudah ada perubahan dan dinilai secara positif oleh rakyat.

Pimpinan tertinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan beberapa langkah untuk mendampingi rakyat.

Ia bukan setakat meninjau tetapi mengambil langkah segera untuk perubahan dan pembaharuan yang mana kemudiannya dalam tempoh enam bulan, perlu ada tinjauan semula untuk dilakukan. Dan kesan daripadanya terdapat kesan positif kepada rakyat.

Touch point adalah perkara yang dikehendaki oleh masyarakat. Jika langkah-langkah ini dilakukan walaupun kecil tetapi bermakna bagi masyarakat. Kalau dapat dilakukan masyarakat akan dapat menilai kita.

Perdana Menteri telah menggariskan inisiatif-inisiatif yang perlu dilakukan di peringkat pemimpin atau peringkat negeri dan sayap-sayap yang ada. Saya harap November ini akan menjadi permulaan untuk kita mulakan perubahan.

Soal kesukarelawan makin pudar, tanggungjawab lebih besar, kita jadi lesu, peruntukan program tak dapat dilaksanakan dan dibangkitkan pula oleh perwakilan.

Menjadi pemimpin sifatnya agung

Syarat dipakai adat dijunjung

Negeri dijaga rakyat dilindung

Kasihnya panjang sayang bersambung

Kepada yang miskin tiada sombong

Kepada kaya tiada menyanjung

Dijadikan pemimpin sejahtera kampung

Bersama rakyatnya sekain tudung

Dijadikan tua membawa tuah

Hidup rukun rezeki melimpah

Dijadikan induk membawa berkah

Wibawanya besar tuah bertambah

Umatnya tidak mengenal susah

Inilah ungkapan pantun yang boleh kita berikan kepada Presiden parti. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hishammuddin, Pengerusi Jawatakuasa Perlembagaan yang saya tahu telah mengambil masa berbulan, kalau pun tidak berminggu. Berbulan untuk membentangkannya pada persidangan agung.

Dan saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada saudara yang telah meluluskannya sebulat suara tentang pindaan perlembagaan yang dicadangkan. Apa yang penting ialah langkah-langkah susulan yang akan diambil.

Datuk Seri Hishammuddin akan membawa ke Jawatankuasa Pengurusan dan kita akan teliti sebahagian daripada perakuan yang disebut dalam perhimpunan ini oleh beberapa perwakilan. Kita akan ambil kira.

Kita pastinya tahu bahawa keputusan yang terbaru ini mungkin proses pemilihannya akan datang, bila proses pemilihan itu akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi dan dipersetujui oleh Presiden parti. Kalau kita mahu menggunakan fasa-fasa yang lepas, ada 18 bulan lagi iaitu sebelum tempoh itu tamat. Selepas tamat iaitu waktu untuk laksanakan proses pemilihan seperti yang diperakukan ini, tentunya akan mengambil masa yang lama sikit.

Tetapi apa pun sebab daripada pekara yang kita putuskan dalam perhimpunan ini akan memberi implikasi daripada segi perubahan mesyuarat-mesyuarat bahagian kita akan datang.

Saya ingin sebutkan di sini juga ialah soal tentang apa yang telah pun disuarakan saudara-saudari iaitu usaha untuk memperkemaskan senarai keahlian dan sistem pendaftaran yang perlu kita lakukan. Apabila setiap daripada kita tidak lagi perlu membayar yuran lebih daripada sekali yang telah pun dibayar untuk menjadi ahli seumur hidup, maka soal yang penting ialah untuk kita simpan rekod.

Kerana apa yang boleh terjadi ialah jika ada ahli-ahli yang telah keluar dari kampung dan balik selepas lima tahun, dan pulang semula untuk bertanding dan melaporkan kepada ketua cawangan baru, mungkin rekodnya tidak ada. Ini boleh menyebabkan timbul kesulitan-kesulitan.

Saya telah pun memberitahu Presiden parti mungkin satu caranya ialah untuk kita membuka senarai pendaftaran dan pengesahan keahlian di peringkat cawangan pada tiap-tiap tahun. Walaupun tidak bayar yuran tetapi hendaklah disahkan supaya nama itu masih hidup di dalam senarai di peringkat cawangan. Dan cawangan akan mengetahui berapa bilangan ahli di peringkat cawangan masing-masing. Ini satu daripada perkara yang kita akan ambil kira dan saya fikir bukanlah sukar untuk dilaksanakan.

Saya rasa dengan sistem yang telah pun diputuskan dalam perhimpunan ini, maka bukan saja ahli kita atau sistem dalam UMNO akan menjadi lebih demokratik tetapi ia akan memberikan ruang dan peluang untuk kita melahirkan barisan kepimpinan yang lebih jitu.

Yang pergi menerusi satu proses penilaian yang agak lebih jauh daripada hanya pada perhimpunan agung. Kerana waktu ini dengan pindaan baru ahli-ahli di peringkat cawangan mempunyai hak untuk menentukan siapa pemimpin mereka.

Maka dengan proses penilaian ini saya yakin bahawa pemimpin yang akan terpilih menerusi sistem baru yang telah kita laksanakan nanti bukan setakat demokratik tetapi pemimpin yang lebih berwibawa.

Tuan Pengerusi Tetap, saya cuma ingin nyatakan satu lagi tentang perkara yang dibangkitkan mengenai soal Kementerian Pendidikan. Ada beberapa perkara yang telah disebutkan, bukan sahaja di sini tetapi di perhimpunan Puteri terutamanya.

Saya mahu menyatakan tentang cadangan kita untuk menerapkan pendidikan agama di kalangan anak-anak kita.

Sememangnya pendidikan agama ini kita tahu penting dan untuk memastikan perkara ini terlaksana, kementerian kita telah pun mewajibkan pendidikan agama kepada semua murid beragama Islam.

Di samping itu mana-mana institusi pendidikan yang mempunyai lima murid beragama Islam dimestikan untuk menawarkan mata pelajaran agama Islam. Bagi memantapkan lagi pendidikan Islam, strategi yang digunakan ialah melalui pemantapan kegiatan-kegiatan di sekolah. Seperti kursus dakwah kepimpinan pelajar, tadarus al-Quran dan solat bistari.

Di samping itu perkara yang juga menjadi fokus di peringkat Kementerian Pelajaran ialah untuk memperkasakan pendidikan agama. Iaitu melalui program j-QAF di sekolah-sekolah.

Mesyuarat penyelarasan di antara kementerian saya, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini telah pun secara dasarnya bersetuju untuk memperluaskan program j-QAF di sekolah-sekolah. Dan menjadikan program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebagai sebahagian daripada program pendidikan Islam sepanjang hayat.

Kementerian Pelajaran juga menggalakkan sekolah agama rakyat mendaftar dengan pihak kementerian untuk membolehkan bantuan disalurkan ke sekolah-sekolah ini. Sehingga kini terdapat sebanyak 156 buah daripada 1,731 buah sekolah agama rakyat KAFA telah mendaftar dengan Kementerian Pelajaran.

Bagi tahun 2009, kerajaan telah pun membelanjakan sebanyak RM281.4 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan dan RM37 juta untuk sekolah agama rakyat atau menerusi program KAFA. Juga ada dicadangkan untuk pelajaran jawi, kerana sememangnya tulisan jawi merupakan satu elemen dalam mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah rendah.

Waktu pembelajaran adalah dua waktu bagi tahun satu dan satu waktu bagi tahun dua hingga tahun enam. Bagi sekolah menengah tulisan jawi telah pun diterapkan oleh guru-guru ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Setelah program j-QAF dilaksanakan pada 2005, kelas pemulihan jawi telah pun diperkenalkan bagi memulihkan murid-murid Islam yang tidak menguasai tulisan jawi. Mulai 2005 hingga kini, tulisan jawi telah disisipkan dalam akhbar Utusan Malaysia melalui usaha sama Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya akhirnya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada sidang perwakilan yang telah pun bersama-sama untuk beberapa hari ini membahaskan usul dan telah pun menyatakan satu komitmen baru untuk kita bekerja lebih keras. Dengan harapan itu, saya yakin UMNO akan terus hidup, pulih dan mampu untuk meneruskan wadah kita untuk membela nasib bangsa agama dan negara kita.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm)

No comments: