2.0 Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, dan PRU-2013 memperlihatkan bahawa UMNO yang dahulunya dianggap kebal, gagah dan penuh karamah dicabar oleh pakatan pembangkang yang bertekad dan mempunyai perjuangan terfokus iaitu menumbangkan UMNO.

3.0 Orang Melayu yang dulunya totok penyokong tegar UMNO kini sudah berubah kepada pakatan pembangkang. Dulunya orang Melayu cukup yakin dengan UMNO, kini keyakinan itu kian pudar. Kita boleh memberikan senarai panjang cabaran yang UMNO harus hadapi, tetapi saya ingin berkongsi lima cabaran utama yang membuatkan UMNO terumbang-ambing seperti sebuah bahtera yang sedang dilanda badai yang cukup kuat.
4.0 Cabaran Pertama: UMNO sedang berhadapan dengan dunia politik yang berbeza. Landskap politik negara berubah begitu drastik apabila teknologi dicipta oleh Barat yang diguna pakai secara menyeluruh oleh rakyat Malaysia. Rakyat sekarang tidak seperti dahulu. Rakyat tidak lagi boleh dibeli dengan pengumuman-pengumuman yang berbentuk laba-laba ekonomi atau dasar-dasar kepada mereka. Walaupun baik tetapi rakyat tidak lagi mahu mendengar tetapi mereka ingin merasa. Keyakinan mereka akan terbentuk dan wujud hanya apabila mereka dapat melihat dan merasa manfaat dasar UMNO yang menerajui Kerajaan Barisan Nasional.

5.0 Rakyat mahu UMNO menjadi pembela bukan pencipta krisis kehidupan mereka. Persepsi rakyat kini berubah kerana adanya peralatan teknologi yang digunakan untuk mengubah persepsi rakyat kepada UMNO. Jika UMNO tidak berjaya membendung dan mengurus fitnah yang dibuangkan ke dalam Internet melalui Facebook, Twitter, Whatsapp, Wechat, Telegram dan sebagainya, maka UMNO akan menghadapi perubahan gelombang polar pemikiran yang tidak terkawal. Ia akan bermula melalui rekaan suasana low Intensity Conflict yang diwujudkan oleh pembangkang maka tsunami besar akan mengoyak-rabakkan UMNO dan kekuasaannya. Akhirnya UMNO akan kehilangan kesemuanya.
6.0 Cabaran Kedua: UMNO harus walk the Talk jika UMNO mahu menjalankan peremajaan maka harus dizahirkan peremajaan tersebut. Tetapi UMNO hanya mengeluarkan janji-janji plastik kepada orang yang sedang menilai UMNO. UMNO harus berani membuat perubahan drastik dalam meremajakan parti UMNO itu sendiri. Janganlah bila tiba Perhimpunan Agung UMNO maka pelbagai janji plastik dilemparkan sehingga memualkan orang yang mendengar.

7.0 Apabila rakyat sudah merasakan UMNO ini gagal maka mereka akan bergerak untuk memilih pakatan pembangkang. Sebab itu ramai anak muda lepasan universiti, golongan profesional dan golongan yang berpendapatan menengah telah berubah angin – dulunya menyokong UMNO kini sudah bersedia untuk memberikan peluang kepada pakatan pembangkang untuk memerintah. UMNO harus melakukan deep rooted operaton dan melahirkan satu blue print peremajaan dengan telus. Golongan profesional hendaklah mewarnai kepimpinan UMNO dari peringkat negeri, bahagian dan cawangan. Mungkin mereka tidak mempunyai pengalaman, tetapi jika tidak diberi peluang sampai kiamat pun mereka tidak akan mendapat pengalaman tersebut.

8.0 Dasar UMNO telah berjaya menghantar ribuan anak Melayu ke luar negara menjadi anak-anak Melayu profesional. Tetapi di manakah mereka dalam UMNO. Bahagian mengetepikan mereka yang dianggap sebagai ancaman; cawangan takut mengetengahkan mereka kerana takut mereka ini akan mengambil jawatan. UMNO harus insaf kerana itulah kehendak golongan muda masa kini. UMNO wajib melakukannya jika tidak UMNO akan menghadapi masalah besar apabila PRU-14 nanti.

9.0 Cabaran Ketiga: Persepsi rakyat secara keseluruhannya tidak diurus dengan baik. Permasalahan yang ditimbulkan dan dipropagandakan oleh pihak pembangkang tidak dikendalikan dengan baik. Semua kepimpinan atasan dan bawahan dari peringkat negeri, bahagian dan cawangan tiada yang mengurus persepsi ini dengan berkesan. Unit Pengurusan Propaganda tidak diwujudkan maka segala dakyah fitnah dan propaganda yang dibuat tidak dapat dibalas semula dengan berkesan. Dulu UMNO tidak menghadapi dunia siber; dunia akhbar maya; komuniti diskusi siber, di mana segala tindak-tanduk UMNO akan dibincangkan secara terbuka oleh rakyat. Ini ditambah pula dengan pakatan pembangkang yang sangat aktif dan tersusun strategi mereka dalam membedal UMNO melalui dunia siber.

10.0 Hampir setiap hari ada saja isu baru yang diketengahkan. Bukan bererti segala isu yang dibawa itu benar tetapi tujuan utama pakatan pembangkang adalah untuk mewujudkan satu pola pemikiran pendapat yang akhirnya mengelabukan pemikiran rakyat sehingga keyakinan rakyat kepada UMNO menjadi negatif. Jika UMNO mahu menawan semula hati rakyat, UMNO harus dan wajib mempunyai kemahiran dan kekuatan untuk mengubah persepsi ini melalui dunia siber. Apakah UMNO tidak boleh mewujudkan portal akhbarnya sendiri. Apakah UMNO hanya berharap dengan blogger?

11.0 Cabaran Keempat: UMNO harus dibarisi oleh pemimpin yang boleh dipercayai dan diyakini. Apabila mulut pemimpin dibuka, maka tidak ada lagi perkataan dan kenyataan yang diperlihatkan “bodoh” oleh rakyat sehingga kepemimpinan UMNO diperbodohkan dalam dunia siber. Apakah UMNO berani melakukan perubahan dan pengubahan? Apakah sistem feudal masih kuat dalam UMNO? Pemimpin UMNO harus memperlihatkan dirinya sebagai bijaksana. Bila memberi kenyataan, biarlah bijaksana dan berhikmah tetapi akhir-akhir ini ada saja kenyataan yang tidak bijak keluar dari mulut pemimpin membuatkan kredibiliti pemimpin itu dipersoalkan.

12.0 UMNO harus membina pasukan yang baru daripada kalangan pemimpin yang bijaksana. Kekuatan UMNO bergantung pada dua perkara penting. 1. Ahli UMNO yang berkualiti dan 2. Pemimpin yang bijaksana dan amanah. Hilangnya kekuatan UMNO apabila UMNO gagal melahir dan menzahirkan kepimpinan sebegini di mata rakyat.

13.0 Cabaran Kelima: UMNO harus sedar bahawa dirinya sedang diasak oleh persepsi rakyat dan kepimpinan UMNO dipertikaikan kerana tindakan dan keputusan yang tidak menguntungkan rakyat. Walaupun, ia dijelaskan secara teknikal bahawa apa jua tindakan dan keputusan diperlihatkan akan memberikan faedah yang besar kepada rakyat namun demikian rakyat tidak mahu tahu jawapan berbentuk teknikal. Mereka mahu tahu apa yang “aku boleh dapat,” “adakah dasar ini akan mengurangkan kantungan aku sebagai ketua keluarga;” “adakah keputusan itu akan menjamin masa depan aku.” Rakyat mahu diri mereka terjamin.

14.0 Jika UMNO masih lagi melakukan tindakan dan keputusan yang tidak menyebelahi rakyat maka saya percaya UMNO akan ditolak dan rakyat akan menghukum mereka. UMNO harus tahu bahawa apa yang perlu dipertahankan ialah UMNO dan sistem UMNO itu sendiri. Kita bukan dalam dunia perniagaan, kita berada dalam dunia pemerintahan. Manusia boleh ditukar ganti tetapi yang harus terus wujud ialah UMNO. Ingatlah bahawa tanggungjawab yang UMNO pikul itu berat dan lagi berat bila amanah itu digalas demi rakyat Malaysia.