Wednesday, October 7, 2009

Paparan Iklan Barisan Nasional di N. 31 Bagan Pinang - adakah ianya melanggar undang-undang pilihanraya?




Tuesday, October 6, 2009

Paparan Iklan Barisan Nasional di N. 31 Bagan Pinang - adakah ianya melanggar undang-undang pilihanraya?

Salam Sejahtera,

Saya baru sahaja pulang daripada Port Dickson (DUN N. 31 Bagan Pinang) petang tadi. Sewaktu saya di sana, saya telah melihat banyak paparan iklan Barisan Nasional yang telah diletak di tepi jalan-jalan utama DUN Bagan Pinang. Paparan iklan itu antara lainnya menyatakan tentang manipulasi PAS terhadap kanak-kanak di bawah umur (bukan pengundi), janji-janji yang tidak ditepati dan juga politik 'tolak pembangunan' PAS.

Selanjutnya, saya juga sempat melihat paparan iklan PAS yang diletak di persimpangan jalan (berdekatan dengan PD Marina Resort) antara lainnya menyatakan bahawa BN gagal penuhi janji pengundi Rembau semasa PRU-12 dsb.

Sewaktu mengikuti Berita Awani jam 9.00 malam tadi, saya amat tertarik kepada 'amaran' Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS, Saudara Mohd Firdaus Jaafar yang memberi amaran kepada jentera BN agar menurunkan segala paparan iklan yang mengikut beliau berunsur 'fitnah' dan menyalahi undang-undang dalam masa 24 jam ataupun mereka akan menurunkannya (self-help).

Saya ingin mengulas pertama mengenai paparan iklan BN ataupun PAS dan kedua mengenai 'amaran' menurunkan dalam 24 jam ataupun akan diturunkan (self-help). Saya telah menyelidik undang-undang termaktub berkenaan kesalahan pilihanraya iaitu Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ("Akta tersebut"). Seksyen-seksyen yang relevan adalah Seksyen 9 dan 24B Akta tersebut. Seksyen 9 Akta tersebut tidak ada menyatakan, secara tersurat mahupun tersirat, bahawa ianya adalah suatu kesalahan pilihanraya jika paparan iklan yang bermaksud sebagaimana saya telah katakan tadi sebagai 'pengaruh tidak wajar'. Ini kerana Seksyen 9 Akta tersebut hanya berkata mengenai kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian keduniaan atau kerohanian. Apa yang dikatakan oleh paparan iklan BN hanyalah fakta sebenar atau paling kurang, adalah propaganda politik yang dibolehkan mengikut lunas undang-undang pilihanraya.

Seterusnya, Seksyen 24B Akta tersebut pula menetapkan bahawa apa-apa perjumpaan terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka, ucapan awam terbuka atau syarahan awam terbuka mestilah mempunyai permit daripada Ketua Polis Daerah (KPD). Tiada apa-apa berkenaan paparan iklan yang mesti mendapat permit KPD.

Saya berpendapat bahawa Seksyen yang relevan, jikalaupun hendak dijadikan sebagai asas rujukan Pasukan Petugas - Kempen Pilihanraya (PP-KPR), dalam mengarahkan penurunan paparan iklan BN hanyalah Seksyen 27E (b) Akta tersebut. Namun begitu, jika dilihat seksyen tersbeut, ianya spesifik kepada bahan-bahan kempen yang tidak mematuhi mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pilihan raya (justeru itu hanya Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang terpakai, Akta-akta lain seperti Akta Hasutan dsb adalah tidak terpakai). Sebagai contoh, jika dilihat kepada Seksyen 11 (1) (c) Akta tersebut, ianya hanya berkata tentang mencetak, menerbitkan, mengedarkan atau menampalkan atau menyebabkan supaya dicetak, diterbitkan, diedarkan atau ditampalkan apa-apa iklan, surat sebaran, pelekat atau poster yang berkenaan dengan mana-mana pilihan raya dan yang tidak mengandungi pada mukanya nama dan alamat pencetak dan penerbitnya. Jika dirujuk lagi, Seksyen 11 (1) (d) Akta tersebut, hanya menyatakan membuat atau menerbitkan apa-apa pernyataan palsu mengenai fakta berhubung dengan watak atau kelakuan peribadi calon itu sebelum atau semasa mana-mana pilihan raya bagi maksud menpengaruhi supaya mana-mana calon dipilih.

Oleh itu, paparan iklan BN tidak menyalahi mana-mana undang-undang berkenaan pilihanraya dan sepatutnya dikekalkan selagi ianya tidak melanggar seksyen-seksyen yang telah saya nyatakan diatas.

Berkenaan amaran Saudara Mohd Firdaus untuk menurunkan sendiri paparan iklan BN dalam masa 24 jam (jika tidak diturunkan oleh petugas BN), saya berpendapat ianya bersifat retorik politik sahaja tanpa asas undang-undang yang kukuh. Saya juga ingin menasihatkan agar beliau lebih berhati-hati aapabila bermain sentimen seperti ini kerana ianya boleh mencetus ketegangan dsb. Adalah lebih baik beliau fokus kepada isu-isu pembangunan setempat DUN Bagan Pinang yang ternyata kurang sekali disentuh oleh PAS di dalam pilihanraya kecil ini.

Sekian, terima kasih.
Posted by hafarizam at 6:30 AM

(sumber;http://puu-umno.blogspot.com/2009/10/paparan-iklan-barisan-nasional-di-n-31.html)

No comments: