Sunday, October 11, 2009

Strategi provokasi, keganasan melampau...PAS terima padah


Strategi provokasi, keganasan melampau...PAS terima padah

Oleh: Roslan Bian dan Lukman Abdullah

Perang kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang berakhir tengah malam Sabtu.

Pengundi serta penduduk di kawasan pilihan raya itu ibarat sudah berpesta sepanjang tempoh kempen bermula 3 Oktober lalu.

Bermacam ragam dan cara BN dan PAS yang disokong PKR dan DAP berusaha memenangi 13.664 pengundi berdaftar yang layak menentukan siapakah wakil rakyat mereka bagi menggantikan Allahyarham Azman Mohd Nor yang meninggal dunia awal bulan lalu.

BN mahu mempertahankan maruah selepas tewas tujuh daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan dalam tempoh tidak sampai dua tahun selepas pilihan raya umum 2008.

Pembangkang melalui PAS pula mahu melebarkan sayap serta mengukuhkan cengkaman apabila berjaya mempertahankan semua kerusi dalam pilihan raya kecil itu malah berjaya merampas kerusi BN Parlimen Kuala Terengganu.

Sama ada BN mahupun pembangkang, menang atau tersungkur di Bagan Pinang boleh menggambarkan penerimaan rakyat terhadap parti masing-masing.

Bagaimanapun, calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mempunyai peluang menang selesa pada pengundian 11 Oktober berbanding calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Semua tanda-tanda kemenangan menjurus kepada beliau.

Cuma dikhuatirkan apabila pembangkang terus menggunakan strategi serangan di saat-saat akhir dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ‘berkampung’ di Bagan Pinang.

Masuk gelanggang sebagai under dog , PAS memanipulasi undi pos yang dianggap penentu calon pilihanraya kecil kali ini.

Itu juga taktik lama pembangkang cuba menjadikan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai kambing hitam selain isu pengundi hantu yang digunakan dalam beberapa pilihanraya sebelum ini.

Namun PAS melakukan kesilapan apabila mempertikai cadangan Kementerian Pertahanan mahu menyediakan kemudahan seperti padang futsal, kolam renang dan peruntukkan membaiki surau di kem tentera dan menganggapnya rasuah kerajaan BN.

Malah, parti itu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan ini jelas sesuatu yang bodoh kerana cuba menyekat kemudahan yang mahu disalurkan kepada mereka padahal Port Dickson yang diisytihar sebagai Bandar Tentera Darat harus ada kemudahan-kemudahan bagi keselesaan anggota tentera yang turut dikongsi bersama oleh orang awam di sana.

Apakah anggota tentera perlu memberi undi kepada parti yang cuba menghalang pemberian kemudahan kepada mereka?

Apakah dengan menyalurkan peruntukkan membaiki surau juga dianggap rasuah?

Jelas PAS terperangkap dalam isu ini selain SPR sendiri sudah telus bagi memastikan proses undi pos boleh dipantau wakil parti yang bertanding malah mereka boleh bawa tilam bantal serta ubat nyamuk jika mahu menunggu karung undi yang disimpan SPR dibuka untuk pengiraan.

Memang benar, 4,604 undi adalah satu jumlah besar daripada 13,664 pengundi berdaftar yang layak memilih pada Ahad ini.

Pembangkang sepatutnya tidak perlu membesar-besarkan soal undi pos kerana pada pilihan raya umum lalu, PAS memperolehi 1,189 undi pos atau hampir 30 peratus daripada keseluruhan jumlah undi pos.

PAS sebenarnya sudah merasa gelombang yang akan menolak mereka di Bagan Pinang pada pilihanraya ini.

Lebih malang nanti apabila anggota tentera yang kecewa dengan tindakan PAS cuba menghalang kerajaan menyediakan kemudahan kepada mereka menghukum PAS dengan memberi undi kepada BN.

Ada anggota tentera yang turut kecewa kerana pembangkang pernah melontorkan tuduhan bahawa pasukan beruniform di negara ini sebagai barua malah dianggap seperti anjing oleh parti tersebut. Penghinaan ini amat memeritkan pasukan berseragam ini yang berkhidmat kepada negara.

Selain itu, kempen keterlaluan sehingga mencetuskan provokasi keganasan, fitnah dan pembohongan keterlaluan sehingga pengundi rasa muak juga antara sebab PAS bakal tersungkur di Bagan Pinang.

Malah Pengarah Pilihan Raya PAS yang juga Naib Presiden parti itu, Salahuddin Ayub dikatakan telah mengeluarkan arahan agar sebarang tindakan yang hendak diambil mestilah dirujuk terlebih dahulu kepada jentera pusat PAS. Ini ekoran strategi provokasi kononnya ada petugas parti itu ditetak, dan SMS menyeru berjihad, menjadi senjata makan tuan.

Lebih menarik, Salahuddin juga mengingatkan kepada semua jentera parti itu, jika ada sebarang arahan atau perkara yang hendak dilakukan datang dari PKR ia mestilah mendapat kelulusan jentera pilihan raya PAS Pusat terlebih dahulu.

Dalam pada itu, PAS juga mungkin tidak menyedari sama ada pengundi PKR dan DAP akan terus menyokong calon mereka seperti pilihan raya umum lalu.

Ini kerana daripada tujuh kerusi, PAS hanya memperolehi satu kerusi dan jumlah kecil itu hanya menjadikan PAS ‘nyamuk’ dalam Pakatan Pembangkang sama seperti di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Ada ura-ura kononnya PKR dan DAP mensasarkan untuk menawan Negeri Sembilan pada pilihan aya akan datang dan tidak mahu PAS bersama mereka kerana khuatir soal perbezaan pendapat seperti sebelum ini menyebabkan PAS jadi beban kepada PKR dan DAP.

Faktor ini juga dijangka menyumbang kepada kemerosotan undi calon PAS.

BN pula mengharapkan tuan badan Mohd Isa, mantan Menteri Besar selama 22 tahun yang cukup dikenali hati budi serta jasa-jasanya kepada negeri yang masih tebal dengan Adat Perpateh itu.

Rata-rata dilihat pengundi golongan tua akan memberikan sokongan Mohd Isa manakala golongan muda yang mendengar nasihat ibu bapa dan mengenang jasa-jasa beliau sebelum ini akan memberi undi kepadanya.

UMNO mahupun BN tidak boleh mendabik dada mengatakan parti itu kembali diterima rakyat jika Mohd Isa hanya menang dengan majoriti 2,000 undi kerana Azman dahulu mendapat majoriti 2,333 undi.

Jentera BN pula harus belajar daripada kesilapan beberapa pilihanraya lalu apabila ramai jentera parti pulang awal ketika hari pengundian.

Kesempatan ini diambil peluang oleh pembangkang terutama penyokong-penyokong PAS yang datang beramai-ramai menyatakan sokongan moral pada malam dan hari mengundi.

Bagaimanapun, tinjauan dan bancian rambang Agendadaily, menjangkakan Mohd Isa akan memperolehi sekitar 3,000 hingga 3,300 majoriti selepas keputusan pilihan raya Bagan Pinang diumumkan.

Selain mengambil kira faktor di atas, jika 83 peratus keluar mengundi atau seramai kira-kira 11,200 orang, BN akan memperolehi 62 peratus daripada jumlah tersebut atau kira-kira 7,100 orang.

PAS pula bakal mendapat bakinya kira-kira 3,900 undi.

Apapun, hanya pengundi Bagan Pinang layak memutuskan siapa pilihan mereka yang bakal meneruskan pembangunan di daerah pantai peranginan itu.

Maka, moh kito samo-samo poie ngondi .

Buatlah keputusan bijak memilah parti yang boleh menjamin masa depan dan kestabilan negara. Seandainya ada keputusan drastik dengan calon BN tewas di Bagan Pinang, maka ‘ tak dapet den nolong dor’. -10/10/2009

(sumber;http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a)

No comments: