Sunday, October 4, 2009

Dua penjuru di Bagan Pinang ...Isa tak percaya tuah nombor 1


Dua penjuru di Bagan Pinang ...Isa tak percaya tuah nombor 1

Oleh: ROSLAN BIAN DAN LUKMAN ABDULLAH




Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ketika di pentas sementara menanti SPR mengumumkan secara rasmi siapa layak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Bagan pinang acap kali mengangkat dan menayangkan jari telunjuknya.

Beliau memberi isyarat ‘1’ kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong BN serta UMNO yang turut menanti Pengurus Pilihanraya kecil itu, Abdul Wahab Samsuddin membuat pengumuman itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) pada jam 11.21 pagi Sabtu.

Terdengar penyokong yang menjerit ‘1 Malaysia’ apabila melihat isyarat Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu manakala calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar hanya tersenyum-senyum.

Malah pada kertas pencalonannya, Mohd Isa dicadang N.Kandiah @ Kanniah dan disokong Kaw Yoh See – simbol perpadadum kaum berbeza PAS meletakkan Melayu sebagai pencadang dan penyokong.

Isyarat angkat 1 ditunjukkan beliau pastinya nombor satu dalam kertas pengundian kelak.

Apakah angka 1 (satu) bakal bawa tuah kepada Mohd Isa dalam pilihan raya kecil 11 Oktober ini?



Namun ketika Agendadaily mengajukan soalan itu kepada Mohd Isa, secara berseloroh katanya, beliau tidak percaya pada nombor.

“Saya percaya pengundi-pengundi Bagan Pinang akan menyokong saya sebagai wakil rakyat mereka. Saya sudah beritahu, saya masih mampu jalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Dengan pengalaman yang ada dan tahu masalah dihadapi, saya yakin apabila terpilih nanti, saya akan cuba selesaikan,” katanya.

Bercakap kepada media selepas pengumuman itu, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga yakin penduduk di Bagan Pinang dari semua kaum akan menyokong beliau kerana ini adalah kali pertama beliau menjadi wakil rakyat di kampungnya.



Sebelum ini, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi sejak 1978 sehingga 2004 sebelum menjadi Ahli Parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang disandang sebelum meletakkan jawatan pada 2005.

Mohd Isa juga menolak cakap-cakap kononnya tidak mendapat sokongan padu UMNO Negeri Sembilan.

“Kalau tak dapat sokongan, saya tidak jadi calon,” jelasnya.

Beliau juga berkata, sokongan terhadap BN begitu baik sekali, cuma BN perlu berhati-hati bagi membetulkan kekeliruan yang akan diwujudkan oleh pembangkang.

"Umpamanya ada parti pembangkang menyatakan saya calon kitar semula tapi saya nak sebut di sini bahawa bapak penasihat Parti Keadilan, dia lagi kitar semula.

"Saya cuma tak bertanding tahun 2008 saja, yang dia tu tak bertanding dekat lebih enam tahun...dah hancurlah sampah tu kalau dikitar semula.

"Tapi pembangkang memang begitu, pembangkang ni, asalkan dia semua betul, asalkan kita, jadi tak betul...sama ada kes mahkamah, sama ada kes BPR, apa pun kes kalau untung pada dia, itu baik, maknanya benda itu betul, tapi kalau menyebelahi pihak kerajaan, dia akan menganggap itu semua tak betul...tak teluslah, tak saksama dan sebagainya," katanya.



Bekas Naib Presiden UMNO itu menasihatkan pengundi di Bagan Pinang supaya jangan terkeliru kerana pembangkang ni, yang cakapnya lain manakala perbuatannya lain.

Ditanya serangan oleh parti lawan yang bakal dihadapi sepanjang kempen yang bermula hari ini, Mohd Isa berkata, “ saya attack la dia orang juga. Kita tak boleh bertahan. Mereka juga banyak masalah, walaupun mereka pandai berlakon,”.

Menurutnya, beliau tidak tahu apa kelebihan calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang sudah tiga kali tewas pilihan raya tetapi tahu apa kelebihan dirinya sendiri.

“Saya nak pesan pada orang Bagan Pinang, beri saya jadi wakil rakyat, Isyaallah, saya akan tolong selesaikan masalah di kawasan ini,” ujarnya yang tampak yakin kerana inilah pertama kali beliau dapat bertanding untuk mewakili kampungnya.

Sebelum itu, Mohd Isa diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta pemimpin UMNO dan komponen BN ke pusat penamaan calon itu.

Zulkefly pula diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin Ayob, Datuk Dr Haron Din, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Azmin Mohd Ali.

Walaupun hujan lebat kira-kira jam 8.20 pagi, ianya tidak menghalang perarakan kira-kira 8,000 penyokong kedua-dua parti ke pusat penamaan calon sebaik sahaja hujan reda jam 8.45 pagi.-3/10/2009

(sumber;http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a)

No comments: