Sunday, July 12, 2015

Tiga pegawai kanan Bank Negara Malaysia disiasat?


  158  3 Google +0
a
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 11 Julai – Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendakwa, tiga pegawai kanan Bank Negara Malaysia (BNM) kini sedang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki membocorkan maklumat sulit kepada Wall Street Journal (WSJ).

Beliau berkata, laporan telah dibuat terhadap mereka dan kemungkinan besar pegawai kanan terbabit akan menerima nasib yang sama seperti bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid pada 1999.

Raja Petra memberitahu, perbuatan membocorkan maklumat sulit kepada WSJ itu adalah lebih serius daripada skandal yang me­li­batkan Abdul Murad.

“Pihak berkuasa dipercayai sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga pegawai kanan berkenaan cuba mengkhianati kerajaan.

“Perbuatan yang dianggap sebagai sabotaj terhadap kerajaan itu boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada negara,” katanya melalui entri bertajuk ‘The Bank Negara Scandal, Yet Again’ hari ini.
WSJ baru-baru ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, pelbagai pihak meminta pihak berkuasa termasuk BNM segera menjalankan siasatan berhubung pendedahan Raja Petra itu.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja mencemar integriti BNM sebagai pihak berkuasa yang mengawal operasi kesemua bank di negara ini malah turut menjatuhkan imej institusi kewangan negara yang selama ini bersih.

“Jika dakwaan itu benar, ini secara jelas telah melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) yang menjamin kerahsiaan setiap maklumat sulit perbankan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar meminta BNM menggantung tugas ketiga-tiga pegawai kanan berkenaan bagi memastikan siasatan dalaman dapat dijalankan dengan telus.

“Saya harap mereka digantung tugas sehingga siasatan selesai dan jika didapati bersalah hukuman setimpal perlu dikenakan kerana perbuatan itu sangat berbahaya,” katanya.

Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia (NGO1M), Mohammad Nazlee Aziz Yeop pula menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kerajaan kepada individu-individu berkenaan.

“Mereka adalah pemimpin kanan BNM tetapi sanggup membocorkan maklumat rahsia kepada media antarabangsa menyebabkan isu ini diputar-belit pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut tampil melakukan siasatan.

(terimakasih sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-pegawai-kanan-bank-negara-malaysia-disiasat-1.113087#sthash.O7NJrB19.dpuf)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

ANALISIS MINGGUAN: BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
RAHSIA BANK...

Negara yang hebat kedudukan ekonominya mempunyai undang-undang kerahsiaan bank yang ketat. Tanpa undang-undang kerahsiaan yang tegas,  tiada pelabur akan percaya kepada sistem perbankan dan kewangan negara itu.

Di Amerika Syarikat, undang-undang sedemikian wujud, sentiasa dikuatkuasakan dan menjadi simbol keteguhan ekonomi.

Di Singapura, Awang dapat tahu, jika ada mana-mana bank atau pegawai bank  memecahkan kerahsiaan pelanggan dengan membocorkan maklumat kewangannya, di bawah undang-undang republik itu, individu berkenaan boleh didenda sehingga S$125,000 (RM350,878) atau dipenjara sehingga tiga tahun. Di sana, bank-bank yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga S$250,000 (RM701,000) bagi setiap kes maklumat yang dibocorkan.

Malaysia turut mempunyai undang-undang seumpama itu yang diliputi di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958, Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan Akta Bank Islam 1983. Hukuman di Malaysia untuk kesalahan membocorkan maklumat peribadi dan kewangan agak minimum iaitu hanya setakat denda RM40,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Perkembangan semasa yang berlaku sejak akhir-akhir ini menunjukkan integriti sistem perbankan dan obligasi kerahsiaan bank-bank sedang dicabar oleh sesetengah pegawai bank yang tidak amanah sehingga terjadi kes transaksi dan maklumat perbankan rakyat negara ini disalahgunakan hingga  jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam laman web dan akhbar asing.

Awang sangat berharap suatu langkah drastik dan punitif disegerakan bagi menangani isu ini. Bank Negara Malaysia dan pihak-pihak berkuasa wajib menguatkuasakan undang-undang kerahsiaan perbankan yang telah sedia wujud di Malaysia sebelum keyakinan pendeposit, pelabur dan rakyat terhakis.

Ini kerana, sekali orang ramai telah hilang kepercayaan terhadap sifat amanah bank-bank, akan berlaku pengaliran wang keluar dari Malaysia untuk disimpan di bank-bank di seberang laut. Ekonomi negara kita kelak akan menerima tamparan maut daripada perbuatan tidak amanah pegawai-pegawai bank terbabit yang setakat ini nampaknya seolah-olah terlepas tanpa dihukum.

(terimakasih sumber:- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/analisis-mingguan-bisik-bisik-awang-selamat-1.113086#sthash.PgymgnRo.dpuf)

Saturday, July 11, 2015

1MDB: BANK atau TASK FORCE yang main politik persepsi?



Bank-bank dalam negara sudah tidak boleh dipercayai menyimpan maklumat pelanggan atau TASK FORCE yang tidak boleh dipercayai?





Satu demi satu maklumat akaun pelanggan bank dikeluarkan oleh portal berita dan media barat. Isunya kenapa maklumat ini keluar sedangkan siasatan belum dimuktamadkan dan dokumen-dokumen ini belum disahkan kesahihahnnya dan kaitannya dengan jenayah.

Maklumat yang dibocorkan ini telah mengakibatkan spekulasi liar dan pembohongan seperti yang berlaku dalam kes NFC, di mana baki dan transaksi dalam penyata bank ditafsirkan secara melulu dan diluar konteks.

Jika ia dilakukan oleh pihak Bank, maka Bank Negara Malaysia wajar sedar ia akan menghilangkan keyakinan pelanggan terhadap integriti Sistem Perbankan negara kita.

Jika ia dilakukan oleh anggota TASK FORCE, maka ini memberi bayangan bahawa mereka tidak mempunyai integriti dan menjaga kerahsiaan. Maka timbul persoalan, samada ada di kalangan mereka sudah tidak boleh berlaku adil atau mereka mungkin mendapat habuan wang ringgit/material atas penjualan maklumat ini.

Untuk berlaku adil, agar individu yang dituduh tidak dihukum melalui perbicaraan media, anggota TASK FORCE perlu disiasat sedalam-dalamnya, termasuk pergerakan, komunikasi dan akaun bank setiap mereka dan keluarga mereka.

Kes terbaru adalah pendedahan maklumat akaun DS Rosmah. Akaun ini sedang disiasat dan peliknya, sebelum siasatan dimuktamadkan, sejumlah maklumat yang boleh mengakibatkan spekulasi telah dibocorkan.

Siapa yang sedang bermain permainan persepsi ini? BANK AFFIN, AMBANK ATAU TASK FORCE?

Berita mengenai akaun DS Rosmah:-

Portal Majlis Ahli Parlimen BN - Peguam Rosmah jawab dakwaan RM2 juta dalam akaun

11 JULAI: Datin Seri Rosmah Mansor mengakui akaun bank yang didedahkan laman Sarawak Report adalah miliknya yang dibuka pada 1984.

Menerusi kenyataan melalui peguamnya firma guaman Messrs Norhairan Mohd Noor, isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menafikan sekeras-kerasnya mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

“Pelanggan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah atau penyalahgunaan dana danmenafikan dengan keras mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

“Laporan itu dianggap tidak patut, mengancam , palsu dan bertujuan untuk menyakitkan hati atau mengganggu pelanggan saya,” kata kenyataan itu.

Firma itu berpendapat, kesimpulan yang dibuat oleh Sarawak Report terhadap anak guam mereka  adalah serius, berniat jahat dan tidak berasas.

“Akaun bank yang dirujuk dalam laporan itu adalah akaun peribadi anak guam kami. Ianya dibuka pada 1984 ketika anak guam kami bekerja di Island & Penisular Sdn Bhd (sekarang ini dikenali sebagai I&P Group Sdn Bhd),” kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan itu juga, Rosmah turut mengakui akaun peribadinya kini disiasat oleh Pasukan Petugas Khas berhubung dana 1MDB.

“Pelanggan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah atau penyalahgunaan dana dan menafikan dengan keras mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

“Laporan itu dianggap tidak patut, mengancam , palsu dan bertujuan untuk menyakitkan hati atau mengganggu pelanggan saya,” kata kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu lagi, Rosmah berharap Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil tindakan serta merta berhubung kebocoran maklumat akaun peribadinya.

“Adalah diharapkan Bank Negara dengan serta-merta atau dalam masa 72 jam menjalankan siasatan berhubung pendedahan tanpa kebenaran maklumat bank tersebut.

“Anak guam saya berpandangan bahawa kegagalan oleh Bank Negara untuk segera menjalankan siasatan tersebut akan menghakis kepercayaan pelabur dan pengguna dan institusi kewangan,” kata kenyataan itu.

Pada Khamis Sarawak Report membuat dakwaan terhadap Rosmah berasaskan maklumat diterima berkaitan sebuah akaun dengan Affin Bank Berhad.

Laman itu mendakwa RM2,000,000 dimasukkan ke dua akaun secara berperingkat-peringkat.

(terimakasih sumber:http://tunfaisal.blogspot.com/2015/07/1mdb-bank-atau-task-force-yang-main.html)