FARUSH KHAN
$entry.content.caption.value














SEMAKIN hampir tarikh keramat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), semakin kencang denyutan jantung. Fikiran bertambah bercelaru.

Siapakah yang hendak dipilih; Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR)? Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Kerajaan BN sudah agihkan berbilion ringgit melalui Bantuan Rakyat IMalaysia (BR1M) kepada berjuta rakyat yang layak dan berjanji akan teruskan dengan bantuan itu setiap tahun, sudah beri bantuan perumahan dan barang keperluan kepada ramai lagi di bawah program-program berlambangkan 1Malaysia.

Pelajar, penjawat awam, anggota tentera dan polis adalah antara jutaan individu yang merasa nikmat, terutama dalam keadaan negara semakin hampir dengan pilihan raya yang disifatkan penganalisis dan rakyat jelata sebagai yang paling sengit dalam sejarah negara sejak PRU pertama diadakan 54 tahun lalu.

Terakhir - setakat ini - ialah pemberian permit teksi kepada 1,000 pemandu teksi.

Apakah semua ini ikhlas atau semata-mata umpan untuk memancing undi di luar keupayaan saya untuk membuat kesimpulan. Cuma kalau tidak ikhlas, rugi di akhirat.

Orang seperti saya tidak mendapat BR1M dan lain-lain di bawah logo 1 Malaysia, tetapi yang penting agama, bangsa dan tanah air; nasib masa depan golongan muda dan generasi akan datang.

PR, secara fisikal, belum menandingi kemurahan hati BN @ Najib dalam menaburkan goodies kepada rakyat, tetapi PR selalu mengulangi janji-janji besar; akan turunkan harga minyak 24 jam selepas mengambil alih Putrajaya, mansuhkan pinjaman PTPTN, ambil balik permit teksi daripada yang tidak layak dan diberi kepada yang layak, perangi gejala rasuah dan macam-macam lagi. Bahkan, mereka berjanji akan menyaingi dan menandingi BN dalam mengagihkan nikmat dan khidmat kepada rakyat berbilang kaum.

Memang sakit kepala membuat percaturan; BN atau PR, Najib atau Anwar?

Apakah Najib akan terus bertenaga turun padang, menemui dan mendengar suara rakyat dan membela nasib mereka, memberi goodies dan berkhidmat dengan sepenuh tenaga serta membanteras rasuah dan penyelewengan habis-habisan selepas diberi mandat oleh pengundi nanti?

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, meminta pengundi memberi Najib peluang sebagai ujian memimpin negara lima tahun kerana beliau sedang mempamerkan kerja yang baik.

Kita tengok bagaimana Najib memberi khidmat dan meneruskan dengan polisi transformasi beliau, kata Daim, dalam temu ramah dengan akhbar New Sunday Times, baru-baru ini.

Dalam masa sama, mampukan Anwar membuktikan beliau bukan seperti apa yang didakwa selama ini dan sebenarnya layak menjadi pemimpin yang baik, sekali gus mampu melonjakkan imej negara ke paras yang lebih tinggi di mata dunia dalam pelbagai bidang?

Apakah segala pengalaman pahit, termasuk penjara dan penghinaan, yang dilaluinya sejak disingkirkan dari Kabinet dan Umno pada 1998, sudah cukup memberi stamina kepada beliau menjadi bertambah kuat, insaf dan berazam bertahan sebagai pemimpin yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat? Atau beliau akan menjadi apa yang kerap didakwa musuhnya, sebagai ejen Amerika Syarikat (AS), ejen Israel dan macam-macam lagi hingga sanggup menggadai keselamatan negara serta menjadikan Malaysia bankrup?

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpendapat tidak adil anggap negara akan bankrap jika pembangkang memerintah negara.

“Itu kenyataan politik,” kata Musa, pada sidang media selepas menjadi tetamu Bicara Minda, anjuran Sinar Harian 12 Mac lalu.

Gabungan pembangkang itu, kata Musa, pastinya akan berusaha sedaya upaya mengembangkan ekonomi dan tidak akan biarkan negara bankrup kerana mereka mahu terus kekal sebagai pilihan rakyat dalam pilihan raya akan datang.Jadi, mana satu jadi idaman? BN atau PR? Najib atau Anwar?

Akhir kalam, siapa pun menjadi wakil rakyat tidak boleh anggap beliau berhak menentukan apa yang hendak diberikan pada rakyat, bukan apa yang rakyat mahu. Beliau tidak boleh mengongkong fikiran rakyat, tapi perlu bersama-sama rakyat melangkah ke arah kemajuan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan.

Politik Malaysia adalah politik akar umbi. Mereka yang mahu menjadi Yang Berhormat, tetapi tidak prihatin dengan denyutan nadi di paras akar umbi lebih baik lupa sahaja niat itu, kerana mereka bukan sahaja melemahkan kredibiliti diri dan pengaruh parti sendiri, malah merugikan rakyat.

Wakil rakyat mesti berkhidmat berteraskan ‘kepimpinan melalui tauladan’, mampu mendengar dan memahami kehendak rakyat dan melaksanakan apa yang patut, untuk rakyat; bukan sombong, tidak prihatin dan menyeleweng untuk memenuhi kepentingan peribadi serta kaum kerabat.

Itulah wakil rakyat idaman saya. Pembaca budiman, bagaimana?

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/farush-khan/yang-mana-satu-idaman-kalbu-1.143308)