Monday, December 29, 2008

RENCANA; kes mahkamah paling ganjil 2008 sepanjang 2008

(SUMBER; BERITA HARIAN 27122008)

Oleh Siti Suriani Othman

ARTIKEL dalam akhbar The Times baru-baru ini amat menarik perhatian umum. Rencana mengenai 'kes mahkamah paling ganjil sepanjang 2008' di dunia umumnya menyenaraikan 10 kes paling menarik yang ingin saya kongsi dengan pembaca.

Ada kes yang lawak, ada pula tidak disangka-sangka. Sesungguhnya, kes inilah antaranya yang mewarnai 2008 di serata dunia. Kes ke-10 paling ganjil di mahkamah Britain ialah denda sebanyak 70 pound (kira-kira RM450) yang dikenakan terhadap seorang ahli bina badan selepas latihannya membina badan disahkan sebagai tidak bertoleransi terhadap jirannya.

Alat angkat beratnya dikatakan mengeluarkan bunyi bising sehingga mencecah 100 desibel yang dilakukan setiap dua jam sehari. Mahkamah juga memberi amaran kepada ahli bina badan ini untuk tidak menggunakan mesin tertentu dan hanya menumpukan kepada aktiviti latihan angkat berat.



Kes kesembilan dalam senarai yang dikemukakan oleh Profesor Gary Slapper ini pula mengenai seorang wanita di Amerika Syarikat yang menyaman syarikat kosmetik L'Oreal selepas warna rambutnya berubah daripada blonde (warna rambut putih asli sesetengah individu Barat) menjadi coklat pekat selepas menggunakan pewarna keluaran L'Oreal.

Samannya dibuat berasaskan kepada kesan perubahan warna rambut yang sudah menjadikannya tertekan dan menyekat kegiatan sosialnya. Namun, kes ini ditolak mahkamah kerana wanita bernama Feeney ini dikatakan 'tiada fakta, tiada pendapat dan tiada piawaian' untuk menyokong kesnya.

Kes di tangga kelapan dalam senarai kes mahkamah paling ganjil di dunia sepanjang 2008 pula berlaku di Greece. Dua wanita lesbian mengambil tindakan mahkamah untuk memenangi hak eksklusif dan membolehkan mereka diterima rasmi sebagai pasangan lesbian. Bagaimanapun, kes ini ditolak.

Kes ketujuh amat unik sekali. Di Itali, pasangan kembar seiras menggunakan adiknya untuk menyamar sebagai dirinya dan membolehkan mereka mengeluarkan wang serentak di dua tempat berbeza.

Kakak kepada pasangan itu yang juga seorang peguam dan hakim sambilan menggunakan adiknya untuk menyamar sebagai dirinya untuk tujuan itu. Hanya selepas tiga tahun menjalankan kegiatan tidak bermoral itu, 'tupai ini jatuh ke tanah juga' selepas pelanggan mereka terdengar perancangan yang dibuat.

Kes selanjutnya berlaku di Romania, salah satu negara di Eropah apabila ahli politiknya cuba melepaskan undang-undang berkaitan radio dan televisyen. Media massa disarankan untuk menyiarkan sekurang-kurangnya satu berita baik apabila menyiarkan satu berita buruk. Namun, mahkamah negara itu mendakwa bahawa berita tetap berita, tiada baik atau buruk. Berita adalah gambaran kepada realiti.

Kes kelima paling ganjil ini pula berlaku di Austria. Kumpulan hak haiwan menyuarakan agar Matthew Hiasl Pan, seekor cimpanzi diumumkan secara rasmi sebagai seorang manusia. Dengan hujah DNA cimpanzi 99.4 peratus menyamai DNA manusia, kumpulan hak haiwan itu mengharap agar Matthew diberikan status sama seperti seorang individu normal untuk membolehkannya meneruskan hidup selepas kehilangan tempat tinggal. Namun, mahkamah tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan Matthew tidak boleh bercakap.

Kes berikutnya tidak kurang ganjilnya. Seorang remaja di Florida, Amerika Syarikat ditangkap polis kerana memakai seluar yang terlondeh melepasi pinggang dan menampakkan seluar dalamnya. Penduduk kawasan itu sendiri sudah tidak tahan melihat kerenah anak muda yang memakai seluar terlondeh sehingga dilihat memalukan.

Namun, remaja tadi terlepas daripada sebarang denda kerana 'undang-undang seluar londeh' yang wujud di kawasan itu bukan undang-undang yang sah di sisi perlembagaan.

Tiga kes di tangga teratas memperlihat kes di Macedonia, Eropah di mana seekor beruang coklat dituduh mencuri madu. Seperti cerita dongeng, seorang penternak lebah mencuba pelbagai cara untuk mengelak madunya dicuri, termasuk untuk mengelakkan daripada beruang tadi.

Selepas tidak berjaya, tindakan mahkamah diambil dan dia menang dalam kes itu. Memandangkan beruang itu tidak boleh membayar apa-apa kepadanya, mahkamah memutuskan kerajaan negeri untuk membayar ganti rugi kepada penternak lebah itu dengan jumlah 1,700 pound iaitu kira-kira RM11,000.

Kes di tangga kedua berlaku di London, Britain. Seorang wanita terlepas daripada denda tempat letak kereta dengan alasan yang 'rapi'. Wanita itu meletakkan kenderaan di kawasan larangan dan membiarkan enjin keretanya terpasang sementara dia mengadakan satu persembahan. Selepas disaman, dia menjelaskan terpaksa berbuat demikian kerana dalam bonet keretanya penuh dengan ular yang diperlukan untuk persembahannya.

Enjin terpaksa dihidupkan untuk memanaskan ular berkenaan dan mengelakkan ular tertidur sebelum persembahan. Dia terlepas daripada saman.

Kes paling pelik di dunia sepanjang 2008 berkaitan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di New Zealand yang menarik perhatian dunia dengan namanya, Talula Does The Hula From Hawaii (Talula menari hula di Hawaii). Nama itu dikatakan membuatkan kanak-kanak terbabit akan berasa malu dan 'cacat' serta memalukan keturunannya nanti.

Hakim memutuskan bahawa nama itu mempunyai unsur 'penderaan' dan mengarahkan kanak-kanak itu diletakkan di bawah penjagaan mahkamah supaya dia boleh menukar namanya. Namun, hakim itu juga menyatakan bahawa memberi nama ganjil kepada anak kian menjadi fenomena di sana dengan menamakan anak dengan nama Number 16 Bus Shelter (Hentian Bas Nombor 16) dan untuk anak kembar, Benson dan Hedges (sejenis jenama rokok keluaran Britain) serta Fish dan Chips (sejenis menu Barat).

Untuk 2009, kita nantikan apa pula kes menarik yang akan berlaku. Dalam pada itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada seluruh warga Malaysia. Semoga tahun baru ini menjanjikan yang lebih baik untuk kita semua.

Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom

Cetak artikel | Hantar

UMNO; Tan Sri Rahim Tamby Chik


Kepercayaan rakyat terhadap parti mesti dipulihkan

(SUMBER; BERITA MINGGU 28DIS2008)

Tan Sri Rahim Tamby Chik

JAWATAN Naib Presiden adalah hierarki ketiga terpenting dalam Umno. Pada pemilihan Umno yang akan diadakan Mac depan, menyaksikan sembilan orang layak bertanding, jumlah yang dijangka menjadikan suasana agak sengit. Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Hussain Said dengan dua calon jawatan itu iaitu masing-masing Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Rahim Tamby Chik yang berjaya melayakkan diri bertanding jawatan itu semalam.

BERITA MINGGU; Apakah perasaan Tan Sri selepas mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada saat-saat akhir.

Saya bersyukur kerana melepasi kriteria dan saya mungkin yang terakhir selepas mendapat pencalonan bahagian Seremban dan bahagian lain. Ini membolehkan saya membuat keputusan bertanding jawatan Naib Presiden. Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua bahagian yang mencalonkan saya.

BERITA MINGGU; Tidakkah pencalonan minimum membayangkan kesukaran dalam pertandingan nanti, terutama apabila dibandingkan dengan calon lain yang mendapat pencalonan tinggi.

Saya berpendapat pencalonan adalah keghairahan mendapat lesen untuk bertanding. Kalau nak menyatakan seseorang yang tinggi pencalonan akan mendapat undi yang tinggi dalam pertandingan sebenar, itu tidak berapa tepat.

Sebagai contoh dalam pertandingan pada 2004, saya antara yang menerima pencalonan paling rendah tetapi apabila bertanding dalam Majlis Tertinggi (MT), saya mendapat tempat agak baik, iaitu 14 daripada 25 MT. Ini menunjukkan pencalonan sama sekali tidak menggambarkan kebijaksanaan pengundi untuk memilih barisan kepemimpinan.

BERITA MINGGU; Apakah yang menyebabkan Tan Sri bertekad untuk bertanding Naib Presiden.

Saya melihat bahawa suasana dan kedudukan Umno amat tenat dari segi perpaduan di seluruh negara selepas kita memperlihatkan kelemahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dari segi sambutan rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-12.

Kita memerlukan kepemimpinan berpengalaman yang teruji, mempunyai trek rekod dan tenaga untuk meneruskan kepemimpinan Umno dan BN yang mungkin lebih tercabar selepas Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan pada Mac nanti.

Antara cabaran besar yang kita hadapi ialah kekuatan pembangkang yang semakin meningkat. Ini adalah cabaran paling hebat yang Umno hadapi. Kebolehan pembangkang untuk mengurangkan sokongan rakyat kepada Umno dan BN serta menarik sokongan generasi muda menyokong pembangkang adalah cabaran yang mesti ditangani Umno.

Umno mesti mempunyai kepemimpinan yang pemimpinnya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah serta mempunyai kelebihan membanteras fitnah dan propaganda pembangkang. Untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, konsep parti menguasai kerajaan hendaklah dilaksanakan dengan lebih berkesan supaya orang Melayu dan ahli Umno berasa bahawa masa depan mereka boleh dipertahankan oleh Umno.

Cabaran lain ialah melihat disiplin yang lebih kuat dan berkesan dalam gagasan BN. Kita melihat parti komponen BN suka membuat kenyataan yang mencabar kewibawaan kepemimpinan parti seolah-olah tidak menghormati hierarki dalam parti ini.

Oleh itu, kita mahu melihat kebangkitan Umno dan BN yang lebih kukuh supaya kita mempunyai komponen BN yang patuh, taat dan mempunyai silaturahim yang kuat serta bekerja sebagai satu pasukan dan bukan ugut-mengugut antara satu sama lain.

Ini yang menyebabkan saya terpanggil untuk datang ke depan bersama pemimpin lain bagi membolehkan Umno menyahut cabaran yang amat berat ini dan akan menentukan, sama ada Umno dan BN akan hidup atau mati dalam pilihan raya umum akan datang.

BERITA MINGGU; Enam daripada calon yang layak bertanding memegang jawatan Kabinet yang sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mereka. Adakah keadaan ini akan menggugat peluang menang nanti.

Saya berpendapat ahli Umno amat bijaksana apabila mengundi. Saya mempunyai jawatan dalam kerajaan sebagai Pengerusi Risda, sebuah agensi yang amat besar yang menjaga 350,000 pekebun kecil dengan usaha untuk membanteras dan membekalkan kehidupan yang baik kepada rakyat luar bandar.

Saya berpendapat jawatan dalam Kabinet tidak mempamerkan kebolehan seseorang untuk membekalkan kepemimpinan yang dikehendaki oleh Umno. Apabila kita menyahut cabaran yang besar, jawatan dalam Kabinet hanya satu lantikan yang boleh berubah pada bila-bila masa dan boleh berubah apabila Perdana Menteri berubah dari semasa ke semasa.

Oleh itu, menteri yang ada sekarang mungkin pada Mac nanti apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kepemimpinan parti dan negara, beliau memerlukan satu barisan pemimpin baru. Kita juga melihat kebijaksanaan perwakilan ketika mengundi dengan merujuk kepada pemimpin yang mempunyai kualiti dan boleh menyuarakan pendapat secara bebas.

Selama ini dalam MT, saya memainkan peranan yang berkesan ketika membuat teguran, pemerhatian dan memberi maklum balas dari akar umbi supaya beberapa perkara penting dapat diberi perhatian serius tanpa terikat. Seseorang menteri mempunyai etika, iaitu tidak boleh menegur menteri lain walaupun mendapati ada kelemahan yang patut ditegur.

Oleh itu, satu kombinasi kepemimpinan Naib Presiden diperlukan. Kita perlukan orang yang ada jawatan dan perlukan orang yang bebas bagi membolehkan parti bergerak. Orang yang ada jawatan mesti laksanakan tugas sebagai menteri, manakala pemimpin yang bebas mesti menjadi pemantau yang berkesan bagi membuat penilaian terhadap mereka yang diamanahkan menjalankan tugas dalam kerajaan seperti dikehendaki.

BERITA MINGGU; Apakah ciri yang perlu ada pada Naib Presiden. Pelengkap kepada Presiden dan Timbalan Presiden atau mesti bersikap kritis dan vokal.

Pertama mesti menjadi pelengkap. Kedua sebagai pemantau dan ketiga sebagai penegur. Pelengkap ialah bekerja sebagai satu pasukan seperti menghadapi cabaran pembangkang yang amat agresif dari segi strategi untuk menghancurkan Umno. Adakah kita mempunyai pemimpin yang begitu agresif dan boleh mematahkan strategi ganas pembangkang?

Kita juga sebagai pemantau setiap usaha yang dibuat mesti tepat kepada sasaran. Rakyat mesti mendapat manfaat dikehendaki. Jika RM100 juta diperuntukkan kepada rakyat, kita mahu lihat jumlah itu sampai kepada rakyat. Kita akan pantau, tegur dan kecam jika rakyat tidak dapat manfaat.

Dalam satu kajian bebas, hampir 85 peratus responden menganggap pemimpin Umno sekarang sombong, bongkak dan rasuah. Imej ini perlu diperbetulkan dan kepemimpinan yang dipilih mesti mengambil langkah mewujudkan imej baru kepada Umno. Jika gagal, mungkin ini akan menjadi kecelakaan besar kepada Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, saya berhasrat bersama-sama dalam pasukan baru ini untuk timbulkan imej yang lebih bersih, dinamik dan baik untuk Umno dan BN.

BERITA MINGGU; Jika berjaya membuat kejutan, adakah ini boleh dianggap sebagai 'political come back' dalam politik arus perdana.

Saya tak berapa meletakkan 'political come back' sebagai penting. Tak ada kedudukan dalam parti pun, saya boleh menyumbang menerusi kaedah lain seperti dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kerajaan mencapai matlamat.

Yang penting ialah kita mempunyai barisan pemimpin berpengalaman, matang, ketahanan, mempunyai trek rekod, tahan diuji. Cabaran yang kita hadapi, sama ada politik, ekonomi dan sosial adalah berat dan bukan main-main.

Kita tak mahu kali ini, kita memilih pemimpin kerana mereka disuapkan dengan bayaran untuk memilih pemimpin tertentu. Oleh itu, Umno perlu memberi peluang kepada pemimpin untuk memperkenalkan wawasan mereka supaya perwakilan yang mengundi tahu mengenai kebolehan dan kemampuan mereka.

UMNO; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi


Soal Jawab: Sokongan akar umbi beri kelebihan tanding jawatan

(SUMBER: BERITA MINGGU)

JAWATAN Naib Presiden adalah hierarki ketiga terpenting dalam Umno. Pada pemilihan Umno yang akan diadakan Mac depan, menyaksikan sembilan orang layak bertanding, jumlah yang dijangka menjadikan suasana agak sengit. Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Hussain Said dengan dua calon jawatan itu iaitu masing-masing Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Rahim Tamby Chik yang berjaya melayakkan diri bertanding jawatan itu semalam.



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BERITA MINGGU; MENGAPA Datuk Seri membuat keputusan bertanding jawatan Naib Presiden.



Saya berpegang kepada prinsip bahawa pemimpin harus ditolak dari bawah ke atas dan bukan perlu sangat menonjolkan diri untuk memegang sesuatu jawatan. Demi menghormati kehendak ahli akar umbi, saya memberi pertimbangan sedalam-dalamnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

BERITA MINGGU; Sebelum ini, Datuk Seri mengisytiharkan mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi kemudian menarik diri. Adakah peluang lebih cerah pada peringkat Naib Presiden.

Walaupun sebelum ini, saya berhasrat menawarkan diri bertanding sebagai Timbalan Presiden, itu sudah berada dalam lipatan sejarah politik saya.

Saya ingin menghormati kepemimpinan parti, maka keputusan menawarkan diri (jawatan Timbalan Presiden) dan kemudian hanya bertanding sebagai Naib Presiden adalah kerana kedua-dua pemimpin di atas memberikan pandangan dan menasihati saya menumpukan jawatan lebih rendah.

BERITA MINGGU; Apakah kriteria seorang Naib Presiden. Pelengkap kepada Presiden dan Timbalan Presiden atau menjadi seorang yang vokal dan kritikal.

Tidak adil untuk saya menentukan kriteria tertentu, tetapi mengikut pandangan pelbagai pihak, terutama ahli akar umbi, saya mempunyai latar belakang sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno selama lebih 11 tahun. Ini bererti saya berada dalam kepemimpinan Pemuda Umno nasional lebih sedikit dari satu dekad.

Saya juga pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT). Pada pemilihan 2000, saya menduduki tempat keempat dan empat tahun kemudian (2004), saya menduduki tempat kedua. Jadi sudah tiba waktu untuk saya menawarkan diri berada pada peringkat lebih tinggi dari MT.

Ahli akar umbi juga berpendapat kepemimpinan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak memang diterima semua ahli dan ini adalah hasil kemantapan kepemimpinan yang digarap beliau. Namun sebagai seorang yang pernah berkhidmat kira-kira tujuh tahun dengan Najib sebagai setiausaha politik sepanjang beliau menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, jadi ahli akar umbi juga berpendapat saya harus mendampingi beliau yang akan menjadi Presiden Umno.

Ini adalah untuk terus bersama-sama beliau kerana sebagai Naib Presiden, lazimnya menganggotai Jawatankuasa Pengurusan dan menduduki Biro Politik. Mungkin dengan kedudukan saya sebagai Naib Presiden, hubungan dengan Najib sebagai Presiden dan Perdana Menteri ketika itu boleh terus diberikan kesinambungan seperti saya pernah berperanan sebagai setiausaha politik sebelum ini.

BERITA MINGGU; Adakah kedudukan sebagai anggota Kabinet memberi kelebihan kepada calon yang bertanding.

Kedudukan dalam Kabinet memberikan pendedahan kepada seseorang calon untuk bergerak lebih jauh jangkau jaraknya ke semua negeri. Saya fikir walaupun kurang setahun sebagai menteri, ketika saya seorang pemimpin dalam Pergerakan Pemuda, kebanyakan kawan-kawan saya kini berada pada peringkat bahagian.

Jika tidak pun sebagai ketua bahagian, sebahagian mereka adalah timbalan atau naib ketua atau sekurang-kurangnya perwakilan. Mungkin ini memberikan sedikit peluang kepada saya untuk terus mengetengahkan jaringan persahabatan dengan rakan peringkat akar umbi, khususnya kepemimpinan peringkat bahagian dan perwakilan.

BERITA MINGGU; Mendapat pencalonan kedua tertinggi. Adakah ini menunjukkan populariti Datuk Seri di kalangan ahli Umno yang bakal memberi kelebihan dalam pemilihan nanti.

Saya mengucapkan terima kasih terhadap kepercayaan melalui pencalonan yang diberikan kepada saya oleh bahagian. Kepada saya, pencalonan itu menggambarkan bahawa itulah kehendak perwakilan, cawangan dan bahagian terhadap mana-mana calon, termasuk saya.

Namun ada juga bahagian yang tidak berkesempatan untuk mencalonkan saya. Mungkin kerana ketika itu ruangan sudah mencukupi untuk turut mencalonkan saya dan mungkin ada faktor dalaman lain yang menyebabkan saya tidak mendapat pencalonan.

Atas dasar itu pada saya, walaupun jumlah pencalonan adalah ukuran untuk menentukan kelayakan, populariti seseorang calon sebenarnya banyak bergantung kepada sejauh manakah calon itu mengakar umbi dan membumi di kalangan perwakilan.

BERITA MINGGU; Datuk Seri pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib dan ketika Pemuda mempunyai hubungan yang rapat dengan beliau hingga dilihat sebagai orang Najib. Adakah faktor ini memberi kelebihan.

Semua orang dan calon pada mana-mana zaman, terutama mereka yang mahu bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden atau Ahli Majlis Tertinggi sedaya mungkin yang boleh mahu menggambarkan bahawa mereka adalah orang Presiden.

Dalam hal ini, umum mengetahui bahawa memang saya rapat dengan Najib bukan hanya ketika hendak menjadi calon Naib Presiden.

Saya mula menjadi setiausaha politik beliau pada 1 Oktober 1987 dan saya belum pernah merungkaikan hubungan peribadi dan rasmi saya dengan Najib sejak itu. Proses ini berjalan lebih 21 tahun dan saya fikir itu adalah tempoh seseorang memahami bosnya, bukan sekadar arahan dan kehendaknya, tetapi tentu sekali wawasan dan bentuk kerja yang diperlukan jika seseorang itu diberi kesempatan sebagai orang yang akan memperkukuhkan institusi kepresidenan sendiri, apatah lagi berada pada tahap kepemimpinan ketiga dalam parti.

BERITA MINGGU; Apakah yang Datuk Seri boleh tawarkan jika menang jawatan Naib Presiden.

Prinsip pertama, seseorang Naib Presiden mesti dapat bekerjasama dengan Timbalan Presiden dan Presiden sendiri. Institusi Naib Presiden adalah hierarki ketiga bagi memperkukuhkan institusi kepresidenan.

Sebagai anggota Jawatankuasa Pengurusan dan Biro Politik, seseorang Naib Presiden mesti mampu bukan saja bekerjasama dengan Presiden dan Timbalan Presiden untuk memperkukuhkan parti, Naib Presiden mesti mampu bekerja untuk meremajakan Umno supaya parti terus relevan dan program parti dapat dilaksanakan pada peringkat akar umbi.

Selain itu, ada portfolio tertentu yang akan diberikan oleh Presiden seperti bertanggungjawab terhadap keahlian, latihan dan peraturan parti. Itulah peranan yang akan dimainkan oleh mana-mana Naib Presiden di samping jaringan di bawah itu akan dapat menyebabkan seseorang Naib Presiden lebih diterima di bawah dengan dijemput untuk menyampaikan ceramah dan menjalankan gerak kerja untuk memperkukuhkan parti, terutama bagi meraih sokongan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

BERITA MINGGU; Adakah perbezaan kedudukan seseorang sebagai Naib Presiden dan yang menduduki Naib Presiden atas tiket Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri.

Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri mempunyai sayap masing-masing. Mereka mempunyai pergerakan yang boleh dipimpin. Sebagai Naib Presiden yang dipilih, dia tidak mempunyai sayap namun tugas yang diberikan dalam portfolio oleh Presiden nanti akan menentukan tugas secara khusus seperti yang dijalankan oleh Naib Presiden sebelum ini.

Bagi saya, portfolio agama dalam Kabinet boleh membantu parti untuk menterjemahkan agenda merapatkan hubungan antara ulama dan umara (pemerintah). Kedua-dua golongan ini mesti disatukan bagi menterjemahkan agenda agama demi kepentingan ummah.

Di samping itu, jika saya terus diberi kepercayaan dalam Kabinet untuk memegang portfolio agama, dengan jawatan sebagai Naib Presiden, ia adalah kombinasi yang baik untuk juga membawa pemuka dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk terus bekerjasama menterjemahkan program keislaman sama ada yang ditentukan oleh kerajaan atau NGO sendiri.

Kita juga boleh merapatkan hubungan dengan pemimpin agama lain supaya mereka memahami Islam itu sendiri dan Umno sebagai sebuah parti yang mendukung Islam. Namun ada tiga pemimpin bahagian yang beragama Kristian.

Selain itu, kita mahu terus merelevankan Islam untuk semua zaman kerana perjuangan yang didukung oleh Umno termasuk mendukung Islam tanpa mengetepikan agama lain.

BERITA MINGGU; Isu politik wang masih diperkatakan dalam proses pencalonan kali ini. Mengapa keadaan ini berlaku dan apakah kesannya jika masyarakat mempunyai tanggapan bahawa pemimpin Umno bertanding dan menang terbabit dalam politik wang.

Dalam politik, jika tiada pemberi tidak ada penerima. Begitu juga tidak ada penerima jika tiada pemberi. Dalam hal ini, menuduh secara jamak (umum) bahawa semua perwakilan memerlukan wang untuk menaikkan seseorang adalah lemparan yang kurang adil kerana masih ramai perwakilan yang rasional dan tidak menjadikan wang sebagai kriteria utama menentukan pemilihan.

Pada hemat saya, cara terbaik adalah untuk tidak menggembar-gemburkan politik wang kerana ia hanya membabitkan segelintir daripada perwakilan atau calon.

BERITA MINGGU; Isu lain ialah kesan pertandingan terhadap perpaduan parti. Ada pandangan pertandingan memberi kesan negatif dan ada yang melihat adalah proses biasa demokrasi. Pandangan Datuk Seri.

Jika jawatan tertinggi ditandingi, pada hemat saya ada banyak kesan negatif. Tetapi kalau jawatan nombor dua, tiga dan seterusnya, walaupun ada sedikit sebanyak kesan negatif, tetapi ia berbentuk sementara kerana dalam demokrasi, jika tiada proses pemilihan dalam kepemimpinan parti, maka parti itu menjadi jumud.

Mungkin ia menempatkan pemimpin ditonjolkan dan bukan pemimpin yang dilonjakkan oleh akar umbi untuk berada di atas.

BERITA MINGGU; Timbul kebimbangan pemimpin yang bertanding lebih ghairah berkempen sedangkan tugas lebih penting ialah memperkukuhkan parti untuk menghadapi cabaran pembangkang, terutama di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Walaupun tempoh kempen kali ini agak panjang, sebenarnya seseorang calon itu tidak melupakan tugas asal jawatan yang dipegang dalam parti, iaitu memperkukuhkan parti, apatah lagi saya adalah antara yang datang dari negeri yang diperintah pembangkang.

Saya yakin semua pemimpin yang bertanding, sama ada menang atau kalah selepas perhimpunan agung nanti akan terus memperkukuhkan parti dengan bergerak pada peringkat akar umbi kerana pilihan raya umum tidak terlalu jauh, tetapi masih mempunyai ruang waktu yang mencukupi jika kita bekerja keras dan bijaksana untuk terus menterjemahkan agenda parti.

Wednesday, December 24, 2008

UMNO; Sabah Tak Solid Sokong Shafie Afdal


Rabu, Disember 24, 2008
SABAH TAK SOLID SOKONG SHAFIE AFDAL


Usaha menonjolkan pemimpin UMNO Sabah sebagai Naib Presiden bermula pada tahun 2000 ketika Datuk Osu Sukam menjadi Ketua Menteri Sabah. Tetapi usaha itu kecundang apabila Osu mendapat tempat keempat dalam pertandingan tersebut.



Pada pemilihan 2009, sekali lagi perwakilan Sabah cuba menonjolkan calon mereka sebagai Naib Presiden UMNO.Kali ini mereka menonjolkan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal yang dianggap oleh ahli parlimen Kalabakan, Datuk Ghafur Salleh sebagai menteri yang jaga darling darling (satu tarian tradisi Sabah).



Shafie bukan orang baru dalam politik Sabah. Apabila UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1991, beliau dilantik sebagai setiausaha politik Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi (Tun Sakaran Dandai). Sebelum itu beliau adalah pegawai kerajaan yang pernah menjadi Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Pembangunan Industri Sabah.



Sebelum menerjuni bidang politik, Shafie adalah Timbalan Presiden Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) diketuai oleh Datuk Salleh Said Keruak.Saya mengenali Shafie ketika beliau belum masuk politik lagi pada tahun 1989 ketika bertugas di Sabah sebagai wakil akhbar WATAN.



Pada tahun 1993, Shafie menang Exco Pemuda UMNO Malaysia. Pada tahun 1995, beliau dipilih sebagai calon BN Semporna menggantikan bapa saudaranya, Sakaran Dandai. Pada tahun yang sama beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan.



Pada tahun 1996, beliau bertanding kerusi ahli majlis tertinggi UMNO dan dengan kedudukannya sebagai setiausaha parlimen beliau menang. Pada tahun 2000, sekali lagi beliau menang kerusi tersebut. Kali ini beliau adalah Timbalan Menteri Pertahanan.



Pada tahun 2004, sekali lagi beliau berjaya mempertahankan kerusi ahli majlis tertinggi UMNO dengan kedudukannya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.



Kini sebagai Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, beliau bertanding kerusi naib presiden UMNO buat kali pertama. Beliau seangkatan dengan Hishamuddin dan Dr. Zahid kerana ketika beliau dipilih Exco Pemuda pada tahun 1993, Hishamuddin pun baru menang Exco Pemuda. Dr. Zahid pun sama dan dilantik Ketua Penerangan pemuda. Jadi dari segi layak bertanding kerusi Naib Presiden, Shafie memang layak bertanding bersama Dr. Zahid dan Hishamuddin.



Beliau mendapat 81 pencalonan, tempat ketiga berbanding lapan orang calon Naib Presiden UMNO yang layak bertanding. Oleh itu peluang beliau untuk menang tetap ada.



Cuma sejauh mana para perwakilan Sabah seramai 325 orang (25 bahagian) dapat mengundi Shafie sedangkan sewaktu Osu bertanding dahulu, para perwakilan dari Sabah tidak solid mengundi Osu. Adakah para penyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dapat menerima Shafie sebagai Naib Presiden UMNO yang mewakili Sabah?



Bagi saya, Shafie kurang menolong orang.Saya bercakap berdasarkan pengalaman peribadi saya. Sebagai kawan lama di Sabah, saya pernah temuinya minta tolong masukkan saya bekerja di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sebagai menteri yang jaga SSM, beliau ada kuasa penuh untuk arahkan Ketua Pegawai Eksekutif SSM untuk mengambil saya bekerja di situ. Tetapi beliau tidak menolong saya malah surat sokongan dari beliau pun sampai sekarang saya tidak dapat.



Mungkin dia marahi saya kerana ketika di Sabah dahulu saya lebih banyak menonjolkan Presiden PSBB, Salleh Said Keruak daripada dirinya yang merupakan timbalan presiden.



Kali kedua saya cuba minta tolongnya untuk proposal mengurus subsidi. Saya pergi ke rumahnya dengan seorang kawan yang membuat proposal itu. Dia suruh saya datang ke pejabat dan buat appointment dengan setiausaha sulitnya, Karim. Sampai ke sudah saya tidak dapat appointment itu. Bila menteri baru, Datuk Seri Shahrir Samad ambilalih kementerian, semudah itu pula Shahrir sudi menerima proposal kami kerana proposal itu dapat menjimatkan wang rakyat dari segi subsidi.



Saya terfikir ketika itu jika Shafie sedia membaca proposal itu, dia dapat menyelesaikan masalah subsidi tetapi oleh kerana beliau tidak proaktif dengan cadangan orang, maka Shahrir yang dapat nama kerana MOF dan UPU sedang meneliti proposal itu.



Ketika Datuk Seri Dr. Rais Yatim berada di KEKWA beliau banyak idea kerana melaksanakan program baru. Sebaliknya Shafie yang tidak ada idea baru sekadar meneruskan program Dr.Rais sahaja.



Jika inilah gaya calon Naib Presiden UMNO yang tidak ada idea baru, bagaimana Shafie boleh menang? Tambahan pula undi dari Sabah sendiri tidak solid mengundi beliau.
Disediakan oleh Zabidi Hj Saidi - @ 12:57 PM 0 ulasan
Label: sokong, solid

UMNO; Dr. Zahid Ada Peluang

Isnin, Disember 22, 2008
DR.ZAHID ADA PELUANG



Calon naib presiden UMNO yang kedua yang mahu ditulis dalam kolum ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau mendapat 106 pencalonan.



Beliau telah lama melahirkan hasrat untuk bertanding jawatan naib presiden UMNO tetapi menjelang hari raya adil fitri yang lalu, beliau telah mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden UMNO. Namun demikian akhirnya beliau tidak jadi bertanding jawatan tersebut dan membuat keputusan untuk tanding jawatan naib presiden UMNO sahaja.



Dr. Zahid lebih dahulu dari Datuk Seri Hishamuddin Hussein jadi ketua pemuda. Beliau jadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1996 sedangkan Hishamuddin jadi ketua pemuda pada tahun 2000 tetapi Hishamuddin lebih awal jadi menteri daripada Dr. Zahid. Hishamuddin dilantik menteri penuh pada tahun 1999 sedangkan Dr. Zaid dilantik menteri penuh pada tahun 2008.



Oleh kerana Dr. Zahid bekas ketua pemuda ketika Hishamuddin menjadi naibnya, peluang untuk menang adalah cerah kerana majoriti perwakilan UMNO bahagian kini adalah bekas perwakilan pemuda di zaman beliau menjadi ketua pemuda.



Saya sendiri ada kenangan manis dengan Dr. Zahid ketika menjadi perwakilan pemuda dari bahagian UMNO Kemaman ke perhimpunan pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1997. Ketika itu Dr. Zahid adalah ketua pemuda UMNO Malaysia.




Tiga orang perwakilan pemuda dari Kemaman ialah Ahmad Said selaku ketua pemuda bahagian (kini Menteri Besar Terengganu), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (kini Setiausaha politik kepada Menteri Besar) dan saya sendiri.



Sehari sebelum perhimpunan bermula, kebetulan ketika mendaftar sebagai perwakilan, saya terserempak dengan Dr. Zahid yang sedang meninjau suasana pendaftaran perwakilan di PWTC. Saya pun terus menemuinya dan dia terkejut bila melihat saya menjadi perwakilan pemuda.




Saya kenali Dr. Zahid semasa saya jadi wakil Watan di Sabah pada tahun 1989. Ketika itu beliau adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Najib Tun Razak).



“Datuk, saya nak jadi perwakilan pemuda (30 orang) ke perhimpunan agung UMNO lusa,”kata saya.



“Zabidi, u beritahu Ketua Pemuda negeri, Rahin Mohd. Said,” jawab beliau.



Saya pun pergi cari Rahin yang ada dalam Dewan Tun Dr. Ismail ketika itu. Kebetulan Rahin adalah rakan sekelas ketika belajar di sekolah rendah di Banggol Peradong, Kuala Terengganu dari tahun 1968-1971.



“I nak beri kepada Basir, naib ketua pemuda I,” kata Rahin yang masa itu adalah ahli parlimen Kuala Nerus.



“Tolonglah YB, kan kita kawan satu sekolah,” jawab saya.



“Nanti I tanya ketua pemuda u dulu,Ahmad Said,”kata Rahin.



Esoknya perhimpunan pemuda berlangsung. Saya tak follow-up dengan Rahin sama ada dapat jadi perwakilan dari pemuda UMNO mewakili pemuda UMNO Terengganu ke perhimpunan agung UMNO Malaysia.




Apabila pencalonan 30 orang wakil dari pemuda UMNO Malaysia dibuka, saya terkejut apabila ketua pemuda Pasir Putih, Razali mencadangkan nama saya sebagai salah seorang perwakilan pemuda ke perhimpunan agung UMNO Malaysia pada hari esoknya.




Bila 30 nama sudah dicadang dan ada penyokong. Cadangan itu terus ditutup dan saya adalah salah seorang dari 30 wakil pemuda ke perhimpunan agung UMNO Malaysia pada tahun tersebut. Inilah salah satu kenangan manis yang saya perolehi daripada Dr. Zahid yang memberi peluang ini setelah mendapat restu dari Rahin Mohd. Said dan Ahmad Said.



Dalam karier politik Dr. Zahid, beliau bermula dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO di zaman Najib menjadi ketua pemuda UMNO Malaysia. Di zaman Tan Sri Rahim Thamby Chik menjadi ketua pemuda, beliau masih ketua penerangan pemuda dan berjaya mengalahkan Rahim, Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Anuar Musa dalam pertandingan empat penjuru pada tahun 1996.



Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO, beliau melepaskan jawatan ketua pemuda dan pada tahun 2000, beliau menang dalam pertandingan ahli majlis tertinggi UMNO walaupun beliau hanya ahli parlimen Bagan Datuk. Pada tahun 2004, sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, beliau menang di tempat kedua dalam barisan ahli majlis tertinggi UMNO.



Berdasarkan populariti ini, peluang beliau untuk menang jawatan naib presiden amat cerah kerana senarai perwakilan 2008 tidak banyak berubah dengan senarai perwakilan 2004.



Dengan pengalaman luas beliau sebagai setiausaha politik, senator, ahli parlimen, timbalan menteri dan kini menteri, Dr. Zahid memang ada peluang untuk menang. Tambahan pula PR beliau dengan para perwakilan UMNO amat mesra.
Disediakan oleh Zabidi Hj Saidi - @ 4:41 PM 0 ulasan
Label: dr.zahid, peluang

UMNO; Menteri Pelajaran Mudah Menang


Khamis, Disember 18, 2008
MENTERI PELAJARAN MUDAH MENANG

Mulai keluaran ini, saya ingin menyorot calon-calon Naib Presiden UMNO yang akan bertanding pada Mac depan. Saya mulakan dengan Hishamuddin Hussein yang mendapat pencalonan tertinggi, 152 pencalonan.


Sebagai calon favourite, beliau ada peluang untuk menang kerana beliau adalah Menteri Pelajaran. Dalam sejarah pertandingan Naib Presiden UMNO, Menteri Pelajaran tidak pernah kalah.


Pada tahun 1972, Dr. Mahathir Mohamad kalah dalam pertandingan naib presiden itu tetapi setelah dilantik Menteri Pelajaran pada tahun 1974, beliau menang dalam pertandingan tersebut pada tahun 1975. Pada tahun 1976, Musa Hitam dilantik Menteri Pelajaran. Dua tahun kemudian beliau menang Naib Presiden UMNO.


Pada tahun 1986, Anwar Ibrahim dilantik Menteri Pelajaran. Setahun kemudian beliau dipilih naib presiden. Sesiapa sahaja yang dilantik Menteri Pelajaran, mudah menang jawatan Naib Presiden UMNO.Sebab itu selepas itu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pernah memberikan kepada ahli parlimen bukan UMNO, Dr. Sulaiman Daud jawatan Menteri Pelajaran. Malah beliau pernah melantik tokoh akademik, Musa Mohamad sebagai Menteri Pelajaran kerana tidak mahu jawatan itu dipolitikkan.


Selepas Pak Lah menerajui negara pada tahun 2003, Pak Lah melantik orang politik semula sebagai Menteri Pelajaran selepas pilihan raya umum 2004. Adakah Hishamuddin akan mengulangi kejayaan bekas-bekas Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir, Musa dan Anwar? Kita tunggulah Mac ini.


Meneliti pula sejarah politik Hishamuddin, ia agak menarik. Beliau aktif dalam politik selepas ayahnya, Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga meninggal dunia. Pada tahun 1993, beliau, seorang peguam dibawa oleh Ghani Othman untuk melawan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, arwah Jamaluddin Abu Bakar. Ghani ketika itu Menteri Belia dan Sukan dan Ketua UMNO Bahagian Ledang.


Ketika itu politik wang sudah ada tetapi tidak sehebat sekarang. Seorang rakan yang berkempen untuk arwah Jamaluddin pernah berkata, arwah beri RM50 kepada setiap perwakilan tetapi Hishamuddin beri RM500, maka menanglah Hishamuddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang. Sama ada dakwaan ini betul atau tidak, wallahukalam.


Walaupun Tangkak bukan kampungnya, tetapi Hishamuddin diterima menjadi ketua pemuda Ledang. Pada tahun yang sama beliau telah menang Exco Pemuda UMNO mendapat undi tertinggi.


Pada tahun 1996, beliau merebut kerusi naib ketua pemuda. Kebetulan kerusi itu kosong. Ia jadi rebutan antara beliau dengan Exco Kerajaan Selangor, Fatah Iskandar. Beliau menang. Ketika itu beliau sudah menjadi ahli parlimen sejak tahun 1995 dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Maknanya Hishamuddin pernah bekerja di bawah Rafidah Aziz.


Pada tahun 1995, saya sering ke parlimen dan saya dapati cara beliau menjawab soalan tambahan agak hebat juga. Ada ahli parlimen beritahu saya bahawa soalan tambahan itu semua sudah dirancang dan bila dua tiga ahli parlimen yang bangun bertanya soalan tambahan, Hishamuddin sudah bersedia untuk menjawabnya. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan ahli parlimen ini.


Selepas beliau menang naib ketua pemuda, beliau dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Beliau bekerja di bawah Dr. Lim Kheng Yaik. Selepas pilihan raya umum 1999, Dr. Mahathir melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan. Ketika itu beliau memangku jawatan ketua pemuda selepas Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya.


Pada tahun 2000, beliau menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda. Pada tahun 2004, sekali lagi beliau menang ketua pemuda tanpa bertanding. Selepas dua kali menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda, inilah kali pertama beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pertandingan lapan penjuru. Dapatkah beliau menewaskan tujuh orang calon lain seperti Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Rais Yatim, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Dr. Jamaluddin Jarjis?


Hishamuddin tidak pernah tahu sejauh mana undi popularnya di dalam barisan ahli majlis tertinggi UMNO sedangkan tujuh calon Naib Presiden lain tahu sejauh mana mereka popular di kalangan 2,500 orang perwakilan.Oleh itu Hishamuddin perlu terjemahkan pencalonan kepada pengundian sebenar pada Mac ini.


Pernah berlaku Ghani Othman mendapat pencalonan tertinggi untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas bila dikira undi. Semoga Hishamuddin tidak menerima nasib yang sama seperti Ghani.
Disediakan oleh Zabidi Hj Saidi - @ 2:03 PM 1 ulasan
Label: hishamuddin, menteri

UMNO: Kempen guna blog boleh kena tindakan disiplin

(sumber:ARKIB Utusan : 23/12/2008)

Kempen guna blog boleh kena tindakan disiplin

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Mana-mana calon yang menggunakan blog untuk berkempen sebarang jawatan parti sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO Mac depan boleh dikenakan tindakan disiplin kerana ia melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, ahli-ahli parti masih dibenarkan memiliki blog sendiri tetapi ia tidak boleh sama sekali memiliki sebarang unsur yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen untuk diri sendiri atau pihak lain.

Katanya, Tataetika Ahli UMNO mempunyai garis panduan yang jelas berhubung perkara itu.

"Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO menghalang apa jua penerbitan, penyiaran, penulisan dalam risalah, majalah, makalah, buku atau lain-lain karya yang mengandungi unsur menyokong, memfitnah, mencela dan mengeji ahli-ahli parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Lembaga Disiplin UMNO di Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahmad Rithauddeen berkata, selaras dengan kandungan Tataetika Ahli UMNO itu, pihaknya telah mengambil tindakan memberi amaran kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor kerana didapati bersalah berkempen menggunakan blog pada pemilihan UMNO peringkat bahagian yang lalu.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO yang mempunyai sebarang masalah melibatkan pemilihan dalam parti agar tidak membawa kes mereka ke mahkamah kerana boleh digugurkan keahlian jika berbuat demikian.

Beliau berkata, Perkara 20.7 Perlembagaan UMNO dan Perkara 18C Akta Pertubuhan 1966 dengan jelas menyatakan apa jua kepentingan melibatkan parti politik adalah dilarang dibawa ke mahkamah.

Katanya, setakat ini, tiga kes daripada UMNO Bahagian Tanah Merah, Ledang dan Kota Tinggi telah dibawa ke mahkamah.

Akibat perbuatan itu, katanya, ketiga-tiga pihak yang membawa kes berkenaan telah dipanggil oleh pihaknya dan wakil UMNO Bahagian Tanah Merah sudah pun digugurkan keahlian.

Sementara itu, wakil daripada dua bahagian lagi sedang melalui perbicaraan untuk memberikan penjelasan mengapa mereka membawa kes ke mahkamah.

"Perlembagaan UMNO dengan jelas menyatakan jika ada pihak mengetengahkan sebarang kes parti ke mahkamah, akan gugur keahlian," katanya.

Menurut beliau, jika ada sebarang masalah atau rasa tidak puas hati, ia perlu dibawa kepada saluran yang betul dalam parti seperti Lembaga Disiplin dan bukannya kepada pihak diluar.

(zmsegamat; hehehehehe)

Thursday, December 18, 2008

Tun Dr. Mahathir; Melayu mudah Lupa 23.06.2001


UCAPAN PENGGULUNGAN
PRESIDEN UMNO MALAYSIA,
DATUK SERI DR MAHATHIR MOHAMAD

PADA HARI TERAKHIR PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC)
23 JUN, 2001

1.0 Terlebih dahulu saya nak minta maaf daripada Datuk Seri Najib kerana sewaktu dianya membuat ucapan tadi, saya terpaksa keluar sebentar. Sebabnya ialah kerana saya perlu "nyanyi". Yang Amat Berbahagia Tun Pengerusi tetap, Yang berhormat Timbalan Pengerusi tetap, yang amat berhormat timbalan presiden, naib presiden, ahli majlis tertinggi, para wakil pemerhati daripada kelab UMNO di luar negeri pemerhati daripada puteri pemerhati-pemerhati yang lain seterusnya hadirin sekalian, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

2.0 Yang pertamanya saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan tahniah kepada jurucakap-jurucakap daripada negeri-negeri yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan-perbahasan ini. Ada pihak-pihak yang berkata bahawa persidangan pada tahun ini nampaknya kurang bersemangat. Kononnya tidak begitu ghairah berbanding dengan tahun-tahun yang lepas. Memanglah kalau dipandang daripada satu sudut iaitu kalau kita pandang daripada sudut mengecam parti sendiri tahun ini memang sunyi sedikit. Tetapi kalau kita ambil kira kecaman terhadap orang yang patut dikecam iaitu musuh-musuh parti kita, tahun ini ucapan-ucapannya amat bersemangat.

3.0 Dan saya ucap tahniah kepada semua terutama mereka yang bercakap di bawah perbahasan berkenaan dengan tajuk agama. Dan juga saya kagum dengan mereka yang begitu fasih dalam bahasa kebangsaan, bahasa Melayu, bahasa Arab dan juga bahasa inggeris. Saya ingin memberi amaran kepada mereka-mereka yang berminat untuk menjadi pemimpin UMNO akan pentingnya mereka menguasai 3 bahasa ini. Kerana kita tahu tokoh-tokoh Islam di zaman silam seperti ibnu sinar, al qualizmi dan lain-lain mereka adalah pakar dalam berbagai bidang. Dalam bidang matematik, dalam bidang astronomi, dalam bidang perubatan di masa yang sama mereka juga begitu cekap dalam agama. Dengan itu apa yang diperkatakan oleh mereka lebih mudah diterima oleh penganut-penganut agama Islam. Saya sendiri agak lewat sedikit tetapi cuba juga belajar sedikit sebanyak untuk mengetahui setakat mana Pas sanggup bohong dan saya dapati kebanyakan daripada apa yang disarankan oleh Pas memang pun fitnah dan pembohongan.

4.0 Saya juga ingin memohon maaf kepada ahli-ahli UMNO, wakil-wakil UMNO kerana ego saya. Saya kata ego saya kerana apabila disebut presiden yang disayangi, saya kata tak payahlah puji-puji presiden. Sebenarnya yang dipuji bukan dr. mahathir tetapi presiden UMNO. Presiden UMNO perlu dipuji dan perlu ditaati. Mungkin yang kedua tu lebih penting lagi. Taat kepada presiden kerana apabila kita taat kepada presiden, dan kita patuh kepada arahannya, maka segala-galanya akan selamat. Melainkan kalau kita pilih presiden kerana kita dapat sogokan seperti yang disebutkan tadi. Sebab itu amat penting sekali, jangan pilih pemimpin yang menghulur derma kepada kita.

5.0 Dengan itu kita dapat tentukan presiden kita akan terdiri daripada satu orang yang boleh kita taati kepadanya. Taat kepada presiden ini adalah penting kerana saya amat tertarik dengan ucapan daripada wakil daripada Kelantan. Wakil daripada kelantan berkata para wakil berpeluang memilih hanya 3 tahun sekali. Tetapi presiden boleh pilih hari-hari. Ya memang benar, memang benar dan dia tentu tahu benar-benar berkenaan dengan perkara ini apabila dia kalah bertanding untuk menjadi ahli majlis tertinggi saya pilih dia sebagai ahli majlis tertinggi yang dilantik. Apabila dia kalah dalam pilihan raya saya lantik dia menjadi ahli dewan senget, dewan senat. Dari dewan senat ini dia naik jadi setiausaha parlimen. Lepas itu cuma dua bulan saja. Lepas itu dilantik menjadi timbalan menteri. Itu adalah kuasa perdana menteri dan juga presiden parti. Dan baginya tentulah pilihan ini tepat, cukup baik. Cukup baik tetapi yang dia tak tahu apabila saya pilih dia, banyak orang komplain. Apa ni pilih orang ni tak kena. Tak kena pilihan saya ni. Ha ini masalah presiden pilih orang yang tak kena ini menjadi masalah besar kepada parti kita. Tak pernah yang saya pilih yang kena kepada semua orang.

6.0 Selalunya kalau saya pilih calon dalam pilihan raya ada orang yang berkata "Ini calon tak kena. Dia tak boleh menang punya". Semua orang yakin dia tak boleh menang kenapa saya pilih dia. Saya pilih dia kerana ada orang yang yakin dia boleh menang. Sebab itu saya pilih dia. Tetapi ada orang yang kata dia tak boleh menang. Jadi bila dia kata tak boleh menang, nak tunjuk bahawa dia punya apa nama ramalan itu tepat, dia berusaha menentukan calon itu akan kalah. Ha, bila kalah, tengok presiden tak tahu pilih calon. Sebab itu kita kalah. Bukan kerana kita tak kuat, kita cukup kuat. Tetapi presiden pilih calon tak kena. Awat tak kalah. Dia sabotaj. Dia sabotaj. Dan kalau kita pilih dia pun, dah yang ini pulak sabotaj. Kerana yang ini pulak, bila saya pilih yang ini, yang kata tak kena tadi, pilih dia. Yang ini pulak kata, you pilih tak kena. Nak tentukan kata yang dia pulak betul, dia juga sabotaj. Kalah juga.

7.0 Inilah masalah dan saya mempunyai pengalaman 10 tahun sebagai ketua perhubungan di sebuah negeri yang terkenal. Inilah masalahnya tak pernah saya dapat pilih calon mana pun. Semua calon yang saya pilih tak kena belaka. Tak pilih yang ini, pilih yang itu, tak kena juga. Dan bila tak kena pilih tu ditentukan supaya calon itu akan kalah. Dan nak kalah bukan susah, nak menang yang susah. Nak kalah, ha saya tarik orang kita penyokong kuat kita 100 200 so cukuplah, kalah lah kita. Inilah sebabnya yang kita kalah. Bukan kerana parti lawan kuat.

8.0 Saya tak boleh fikir bahawa orang yakin perjuangan Pas itu adalah perjuangan Islam. Macam-macam yang dia buat yang bertentangan dengan ajaran Islam. Takkan lah orang nak begitu ramai orang yang hendak menyokong orang ini. Tetapi oleh kerana orang kita sendiri sabotaj. Bila dia tak dipilih dia dan rakan-rakan dia tidak akan memberikan sokongan. Yang lebih teruk lagi, kadang-kadang sokong parti lawan. Nak tentukan presiden salah pilih. Sokong parti lawan. Kalahlah kita.

9.0 Sebaliknya kita tengok parti lawan kita ini, dia parti yang akan undi tongkol kayu. Lebih daripada tongkol kayu lagi. Mat Sabu ni, ulamak al ustaz Ahmad bin Sabu. Yang berkhalwat, inilah kes khalwat yang terang sekali. Dia berada dengan isteri orang dalam satu bilik dan dia dilihat oleh 4 orang daripada jabatan agama. Orang yang tak ada dosa besar. Orang ini saksi tapi terlepas. Entah macam mana terlepas. Itulah undang-undang Islam Pas. Terlepas setelah 4 orang bagi apa nama bukti pun terlepas. Orang yang macam ini bukan sahaja menang, tetapi menang dengan lebih undi pulak. Campak pi ke Kuala Kedah pun menang juga lagi kerana apa? Kerana puak ni taksub dengan puak mereka. Jenis macam ni pun, mereka akan sokong. Tidak ada soal. Orang UMNO baru sahaja menyeberang, baru sahaja masuk parti Pas dipilih jadi calon, menang. Macam-macam jenis manusia yang tak ada otak yang tak boleh fikir yang tak tahu agama semuanya kalau jadi calon Pas, menang.

10.0 Tetapi di sini di UMNO, di dalam UMNO ni, presiden yang disayangi ni, bila presiden yang disayangi ini memilih calon, ada yang kata calon tak kena. Kerana tak kena, kami tak boleh sokong lah. Bukan kami tak kuat UMNO, kami semangat UMNO cukup kuat. Sampai kedut muka-muka dia bila dia cakap macam tu. Semangat cukup kuat tetapi kami tak boleh terima orang ini. Parti Pas tongkol kayu. Ada sekali dia bawa kasut, kasut calon dia, dia bawa keliling. Menang lagi. Saya pilih manusia, orang UMNO terkenal sebagai orang UMNO, saya pilih sebagai calon, kalah. Sebab itu kalau kita nak tentukan, nak tentukan parti kita menang janganlah sayang presiden sahaja. Taatilah arahan presiden. Presiden tidak ada kepentingan lain melainkan untuk memberi kemenangan kepada parti sahaja. Tak ada kepentingan lain. Saya ingin beritahu orang yang saya pilih jadi calon itu, tak bagi satu sen pun dengan saya. Bukan sahaja itu, setengah itu dulu dia menentang saya, pun saya pilih. Tak payahlah saya sebut siapa. Saya tak kira asalkan orang itu orang UMNO berjiwa UMNO, berjuang untuk UMNO walaupun saya rasa terkilan sikitlah dulu dia lawan dengan saya, tapi saya tidak ada hak. Yang terkilan itu Dr. Mahathir. Presiden tak boleh terkilan. Saya tidak ada kepentingan apabila memilih seseorang menjadi calon. Saya mintalah, saya minta supaya kita semua berikrar sekarang ini. Supaya tiap calon yang kita sudah pilih, tidak ada lagi soal yang akan dibangkit sama ada dia sesuai atau pun tidak. Betul ke tepuk ni. Kalau betul semua bangun.

11.0 Alhamdulillah, alhamdulillah segala puji bagi Allah. Terima kasih. Syukran. Ya pemerhati juga bangun. Alhamdulillah. Kalau ada semangat ini tahun 2004 kita sapu bersih. Dan kita akan tawan balik Terengganu dan Kelantan. Jangan ada soal lagi, kerana saya telah fikir habis-habisan sebelum saya tentukan siapa menjadi calon. Dia mungkin tidak baik daripada pandangan satu orang tetapi mungkin kepada pandangan orang lain dia baik. Penilaian dibuat saya minta supaya disokong tiap calon tiap satu calon sama ada dia terdiri daripada orang kesayangan kita atau pun tidak. Bahkan sama ada dia terdiri daripada orang UMNO atau pun tidak. Kalau kita letak calon daripada orang Cina ataupun orang india, rakan kita. Demi kepentingan parti UMNO yang menerajui Barisan Nasional maka kita akan memberi kemenangan kepada mereka. Inilah makna sayang kepada presiden. Kalau sayang, taatlah kepada presiden. Tak payah kita ada jawatankuasa apa-apa. Bila kita kata jangan guna wang, berhenti.

12.0 Dalam pengadilan tetap ada perasaan tidak adil kepada yang kena hukuman. Kalau kita ada dalam tentera kita berperang. Akan ada askarnya yang diletak di barisan hadapan dan akan ada askar yang diletak di barisan belakang. Tentulah barisan hadapan merasa dia teraniaya kerana apabila pertempuran berlaku yang akan cedera dan terbunuh ialah barisan hadapan. Tetapi untuk memenangi dalam perjuangan ini kita perlu ada barisan hadapan. Kalau yang ada di hadapan berkata ini tidak adil sarjan. Saya nak pergi ke barisan belakang, dan terus lari ke belakang, habislah pasukan itu. Apabila dia lari ke belakang, pasukan dia akan kalah dan dia juga akan menjadi mangsa bukan sahaja yang duduk di belakang. Sebabnya yang ada di belakang ini ialah oleh kerana apabila gugur yang depan, maka yang belakang akan mengambil tempat. Ini adalah cara untuk menjayakan sesuatu.

13.0 Dalam bidang penghakiman juga kadang-kadang kita dapati sesuatu hukuman itu ternampak tidak adil. Kita tidak boleh yakin, semua hukum dalam dunia ini dalam apa juga sistem akan menentukan keadilan berlaku. Kadang-kadang berlaku ketidakadilan. Sehingga ada orang yang tidak membunuh tetapi telah dihukum bunuh, dihukum gantung. Ini telah berlaku dalam sejarah manusia. Kita tidak boleh jadi perfect. Dalam sistem kehakiman kita, tidak ada keadaan yang mana tidak ada yang cacat sama sekali. Mungkin ada yang cacat. Biar kita memberi peluang untuk merayu dan sebagainya. Tetapi janganlah pulak setelah dirayu dan masih juga dikekalkan hukuman, kita berasa tak senang hati. Kita terima itu nasib kita, itu ditakdirkan. Segala-gala yang hendak dibuat untuk keadilan sudah dibuat. Maka kita terima keputusannya. Kerana kita sayang kepada parti.

14.0 Disiplin parti, kebersihan parti amat penting bagi kejayaan parti kita kerana kalau persepsi orang lain ialah UMNO ini dipimpin oleh orang yang terlibat dengan rasuah maka orang lain di luar UMNO tidak akan memberi sokongan dan undi mereka kepada UMNO dan calon-calon UMNO. Ingat kita tidak boleh menang dengan 2,000,900 orang ahli UMNO. Kita perlu kepada orang lain juga menyokong kita. Orang yang bersimpati dengan kita. Sebab itu kita mesti buktikan kepada mereka bahawa kita adalah sebuah parti yang bersih yang bergerak semata-mata kerana bangsa, agama dan tanah air. Tidak lain daripada itu.

15.0 Percayalah apabila kita berjaya kikiskan amalan yang tidak baik ini, kita bukan sahaja akan mendapat banyak sokongan daripada orang yang bukan ada dalam UMNO tetapi kemungkinannya ialah lebih ramai akan menyertai UMNO. Saya yakin tahun depan apabila Datuk Seri Najib menjalankan tugasnya untuk mengumpul lebih ramai ahli-ahli UMNO kita akan dapat mereka dengan mudah. Persepsi mereka ialah inilah parti yang memperjuangkan nasib mereka.

16.0 Tuan-tuan dan puan-puan, saya telah membuat ucapan yang panjang lebar dan lama, saya mengambil masa yang panjang untuk menulis ucapan itu, ada masa saya panik kerana tak datang ilham sama sekali, sudah 19 kali saya buat ucapan pembukaan UMNO ini, idea baru nak cari cukup susah, tapi Alhamdullillah, last minute dia datang jugak dan saya harap ucapan saya ini, dapat difahami oleh kita semua.

17.0 Namun demikian, saya berasa ada juga yang tidak begitu faham. Tidak begitu faham maksud saya. Saya berpendapat, bahawa orang Melayu ini mempunyai kebolehan yang sama dengan kaum-kaum yang lain. Yang menyebabkan kita ketinggalan dalam bidang pelajaran, dalam bidang ekonomi dan lain-lain bidang ialah kerana kita tidak berusaha dengan secukupnya. Tidak ada alasan lain kenapa kemasukan dalam Universiti, 80% terdiri daripada wanita, 20% terdiri daripada lelaki. Kita tidak percaya bahawa lelaki begitu bodoh. Cuma satu perempat sahaja daripada kecerdasan wanita.

18.0 Sebabnya yang bilangan penuntut lelaki mempunyai kelulusan yang rendah ialah kerana mereka tidak belajar. Sekolahnya sama, bilik darjahnya sama, gurunya sama, alasannya sama, bukunya sama, kenapakah kelulusan penuntut lelaki begitu rendah sekali. Sebabnya, kerana mereka tidak belajar, kerana berbagai sebab. Tetapi tak kurang kesannya ialah kerana kadang-kadang malas sikit.

19.0 Nak belajar bukan susah, apa jugak kita buat. Kita akan jadi pandai kalau kita buat berulang-ulang kali. Itu naluri manusia, tuhan jadikan kita sebegitu. Kalau kita buat sesuatu berkali-kali, kita tetap akan cekap. Kalau kita tak buat langsung kita tak mungkin cekap. Saya percaya bahawa ramai daripada penuntut-penuntut lelaki tidak belajar sama sekali. Sebab itu mereka tidak dapat kelulusan yang tinggi.

20.0 Tetapi saya masih dengar dengan sedihnya, tentang cara yang mudah. Apa dia cara yang mudah. Makan telur pagi-pagi. Wakil daripada Kedah, saya kagum dengan ucapannya yang lain, tetapi yang itu saya tak boleh terima. Kalau dengan makan telur sahaja maka kita boleh jadi cergas otak, saya nak donatelah telur banyak-banyak. Bila dia kata jangan makan nasi lemak pagi-pagi, saya terfikir, dia nak kata bangun pagi-pagi baca buku. Tak, dia tak kata bangun pagi-pagi baca buku, dia kata bangun pagi-pagi makan telur. Jangan makan nasi lemak. Teruklah kawan yang jual nasi lemak. Dia pun rugi, kita pun tak pandai.

21.0 Sebenarnya tidak ada shortcut. Tidak ada jalan yang mudah. Kita mesti tekun belajar. Bangun pagi buka buka baca dan baca lagi. Yalah, sembahyang subuh kita sembahyang. Kita tak tinggal ibadat kita. Tapi jangan campur dengan yang lain-lain lagi. Jangan pergi dengan syarahan politik Pas. Itu tak akan menolong kita dapat kelulusan yang tinggi. Bahkan tidak akan menolong kita dalam bidang agama pun. Bila kita bangun pagi kita baca kita belajar, kita ulang segala kerja-kerja rumah yang perlu kita buat. Saya yakin, malam kita belajar, pagi kita belajar, bila ada masa sahaja kita belajar, bila habis sekolah, balik rumah tak pergi pusat beli belah, Percayalah, yang lagi berapa ribu penuntut lelaki ini akan dapat kelulusan yang tinggi dan akan melayakkan diri mereka masuk ke dalam Universiti.

22.0 Saya mintak supaya kita tidak bergantung kepada kuota, kuota 55, dengan orang lain 40, kita 55 orang lain 45, bukan baik sangat. Sebenarnya kota itu 55, kita cuma dapat 25% sahaja, kalau dijumlah, IPTS dengan IPTA kalau kita jumlah kita cuma 25% sahaja. Puas hati, dapat 25%. Kita kata senang, jalan yang senang sekali, ada kuota untuk IPTA. Sebenarnya, IPTS, kita nak masuk kalau kita lulus, 100% pun dia terima. Kerana dia nak pulus. IPTS dia nak pulus. Dia nak bayar yuran sahaja masuklah. Dia tak ada kuota. Kalau orang Melayu masuk, orang Siam nak masuk, orang Kadazan nak masuk, masuk. Bayar duit, masuk. Dia bukan kira bangsa apa. Dia sanggup terima kita. Tetapi yang pentingnya, ialah kelulusan kita. Kalau kelulusan kita cukup tinggi, Kerajaan sanggup memberi biasiswa kepada mereka, supaya mereka boleh masuk. Masuk dalam IPTS, IPTA berapa banyak sekali pun. Kalau kelulusan mereka begitu tinggi, takkanlah kita nak tahan setakat 55 sahaja, lebih daripada 55 pun kita boleh bagi.

23.0 Yang jadi masalah sekarang ini ialah untuk penuntut Melayu, kita kena turunkan paras kelulusan itu kepada peringkat yang cukup rendah. Supaya kita dapat isi 55%. Kalau kita ada paras yang sama dengan kaum lain, kita tak dapat 55%. Cuma 25% sahaja. Bermaknalah bahawa, kualiti anak-anak kita yang pergi ke Universiti, walaupun dapat masuk ke Universiti, kualitinya rendah, sebab itu tak dapat kelas A, apa nama first class honours, tak boleh dapat. Apakah tak boleh anak kita belajar sehingga dia dapat 10A.

24.0 Siapa kata Melayu bodoh. Tak boleh dapat 10A. Saya tak percaya, kalau belajar. Kalau tak percaya, saya nak tunjuk macam mana. macam mana kita boleh belajar sehingga kita boleh kuasai segala ilmu. Tetapi kena sanggup bertekun, belajar betul-betul, siang dan malam. Di zaman dulu orang Melayu tinggal di kampung tak ada lampu, tak apalah masa dulu. Sekarang ini, kita ada elektrik sampai ke kampung. Mak pun dah tak makan sirih lagi dah. Tidak dulu saya duduk aja nak belajar, mak kata pi beli sirih. Tak ada dah. No more, no more. Sekarang ni mak tak makan sirih, dia gosok gigi dengan Colgate. Tak kacau dah anak. Anak nak belajar, belajarlah. Lampu nak, lampu dia bagi. Bukan payah sangat nak belajar.

25.0 Saya yakin kita boleh. Mesej yang saya cuba nak sampaikan, tidak ada shortcut, tidak ada jalan yang mudah. Kita kena terima dalam apa juga usaha yang kita buat. Jangan cari jalan mudah. Kalau kita cari jalan mudah, shortcut, kita akan jatuh tersungkur.

26.0 Dalam bidang ekonomi, dalam bidang perniagaan, perusahaan, dalam bidang menuntut pelajaran sama sahaja. Tidak ada shortcut. Orang Cina yang pandai tu, bukan dia pandai kerana otak dia, bergeliga. Dia pandai kerana dia belajar. Kita perkenalkan sempoa. Banyak orang kacau kata nak belajar Cina ni buat apa. Saya tengok macam mana dia boleh buat kira-kira lebih cepat daripada pakai kalkulator. Budak umur 4 tahun, tak boleh duduk diam, melompat ke sana melompat ke sini, suruh dia darab 12 angka kali 12 angka, bermacam-macam. Dia gitu sahaja, boleh keluar gitu sahaja, cepat. Cepat daripada kalkulator.

27.0 Sebab tu kita suruh orang Cina boleh buat, orang Melayu pun boleh buat. Adapun anak Melayu kita ni yang belajar, menggunakan sempoa ini, dia boleh buat mental arithmetic dengan lebih cepat lagi daripada budak Melayu yang lain, sama dengan budak-budak Cina. Bermakna bahawa potensi kita ada. Yakinlah bahawa kita boleh. Dan berusahalah.

28.0 Kita di sini tentu ada anak. Semua orang UMNO ada anak belaka. Kita ada doktor, kita ada bidan semua nak bagi ramai. Kita semua ada anak 5 orang, seorang 1 kelamin. Ini, wajib. 5 orang satu kelamin. Takkan tak boleh kut. Jangan cerita kata nak ambil isteri lagi satu. Yang nak beranak bukan yang suami tu. Yang nak beranak isteri. Dia kahwin dengan siapapun dia boleh dapat 5 orang. Kita tak payahlah. Tiap kali kita kahwin lebih daripada satu nayalah orang lain tak dapat. Kita sama banyak.

29.0 Kita boleh buat semua ini. Itu mesej yang cuba saya nak sampaikan. Saya bercakap 1 jam 57 minit, sampai "rengkong" nak keluar. Menangis dah menangis dah. Rayu, pujuk, macam-macam dah buat. Sehingga lagi tak berdiri atas kepala aja. Kalau tidak, saya nak buat yoga sama.

30.0 Tuan-tuan dan puan-puan, selain daripada masalah yang kita hadapi, iaitu ramai daripada kita tidak menumpukan kepada pelajaran terutama dalam bidang-bidang yang menjadi begitu penting di zaman ini, kita jugak menghadapi masalah, parti Pas. Orang Pas, yang dia boleh nampak hanya undi aja. Daripada yang kita kata dalam tadika, dah diajar dah, anak-anak itu supaya benci, benci kepada UMNO, benci kepada pemimpin UMNO dan jangan belajar ini, kerana ini sekular. Belajar matematik sekular, belajar sains semua sekular, ini semua adalah pelajaran orang kafir, kita sebagai orang Islam patut belajar agama sahaja, kalau kita belajar dalam bidang lain pun masa yang terbanyak hendaklah ditumpukan kepada syarahan-syarahan agama yang sebenarnya bukan syarahan agama tetapi syarahan propaganda parti Pas, orang ini menjadi penghalang kepada pencapaian orang-orang Melayu yang berbakat. Mereka menghalang orang Melayu daripada mencapai kejayaan.

31.0 Saya dapati setelah saya meneliti keadaan di negara-negara Islam yang lain, kenapakah hari ini negara-negara Islam begitu mundur dan begitu mudah ditindas oleh orang lain, oleh kuasa-kuasa besar. Sebabnya ialah apabila ada saja pemerintah ataupun Kerajaan negara Islam mencuba memodenkan negaranya, memperkenalkan ilmu-ilmu yang dianggap penting untuk pembangunan negara, maka akan muncullah satu kumpulan yang akan menentang segala usaha ini kerana kononnya usaha ini tidak Islam.

32.0 Saya masih ingat semasa saya kecil, perbahasan yang hangat ialah sama ada lampu elektrik boleh dipasang dalam masjid atau tidak. Haram guna lampu elektrik. Mayat mesti diusung, tak boleh diguna kereta yang ada enjin. Kerana enjin ni orang "kapiag". Orang Kedahlah cakap. Ini menjadi perbahasan, berbulan-bulan, bertahun-tahun sementara itu orang barat telah menguasai ilmu telah membentuk industri mereka dan kita ketinggalan di belakang.

33.0 Sekarang ini, kalau ada negara-negara Islam yang cuba untuk membangunkan negaranya, akan muncullah kumpulan-kumpulan seperti ini, yang sanggup menentang sehingga sanggup membunuh pun, membunuh pun pemimpin-pemimpin yang cuba memajukan negara mereka. Sebab itu kita lihat apa yang berlaku di Mesir, di Algeria, dan di lain-lain negara Islam, apa juga percubaan dibuat untuk memodenkan negara ini maka akan muncullah orang ini yang sanggup sehingga membunuh pun, kalau tak ikut tafsiran Islam yang dibuat oleh mereka. Kita tahu ada satu kumpulan satu mazhab yang percaya bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk membunuh orang Islam kerana orang Islam lain dianggap sebagai tidak Islam dan kerana itu untuk membersihkan Islam, mereka perlu membunuh orang Islam yang tidak mengikuti tafsiran mereka. Inilah kumpulan yang akhirnya memberi perkataan "assassin" kepada dalam Bahasa Inggeris. Dr. Hamid mungkin tahu apa dia dalam Bahasa Arab. Mereka membunuh orang Islam lain kerana dikatakan kafir.

34.0 Apabila Pas berkata bahawa UMNO ini adalah kafir, mereka membuat tuduhan ini kerana mereka menentang segala usaha oleh UMNO untuk memajukan negara kita ini. Untuk menjadikan kita orang Melayu, orang Islam sebagai satu bangsa yang mampu bersaing dengan bangsa-bangsa yang maju yang lain. Mereka menentang kononnya ini adalah sekular. Ini adalah kafir. Orang UMNO adalah kafir, dan halal bagi mereka menentang orang Kafir, dan kita sudah lihat ada kumpulan-kumpulan yang sudah sanggup untuk mencuri senjata dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan ini dengan secara kekerasan. Inilah kesan daripada mengkafirkan orang UMNO, supaya darah orang UMNO ini dihalalkan oleh mereka yang tidak berprinsip yang tidak berpegang kepada ajaran Islam sebenar. Kita tidak boleh merasa perkara ini, satu perkara yang ringan kerana mereka mempunyai tujuan tertentu apabila mengkafirkan orang Islam, orang UMNO.

35.0 Hari ini, mereka sudah mula, kita telah lihat apa yang berlaku apabila Al-Maunah ini telah bergerak dan baru-baru ini juga kita telah jumpa orang-orang yang telah mendapat latihan daripada negara-negara tertentu untuk mencetuskan huru-hara, membunuh sesiapa sahaja yang mereka tidak suka. Ini adalah permulaan. Kalau kita tidak dapat menghalang mereka ini, maka dia akan berkembang dan akan ramai lagi yang percaya bahawa membunuh orang UMNO adalah halal kerana orang UMNO ini kafir.

36.0 Inilah orangnya yang menyebabkan orang Islam tak dapat maju di mana-mana jugak. Apabila sahaja ternampak orang Islam yang maju, maka akan muncullah kumpulan ini untuk mendakwa bahawa orang Islam ini adalah kafir harus dibunuh. Darah mereka adalah dihalalkan. Dengan itu, tidak ada negara Islam yang mungkin maju. Kita menjadi negara-negara yang lemah, yang mudah ditindas. Sebab itu kita lihat bagaimana orang Islam dibunuh dengan sewenang-wenangnya, di Bosnia Herzegovina, di Kosovo, di Palestin, di Iraq, di Iran dan di lain-lain tempat. Mereka dibunuh dengan mudahnya oleh musuh-musuh Islam, dan kadang-kadang juga boleh orang Islam sendiri yang percaya kononnya bahawa mereka ini bukan Islam.

37.0 Sebenarnya orang seperti Pas ini, orang seperti kumpulan-kumpulan yang menentang kemajuan negara Islam, mereka adalah pengkhianat kepada orang Islam dan negara Islam. Pas mengkhianati orang Islam, mengkhianati negara Islam. Dunia mengiktirafkan Malaysia sebagai negara Islam yang menjadi contoh kepada mereka. Tetapi Pas sebagai pengkhianat cuba menidakkan keIslaman ini kerana kononnya Kerajaan ini sekular.

38.0 Kenapakah Kerajaan ini sekular? Jawab Haji Hadi, "kerana kita gunakan sistem pentadbiran yang ditinggal oleh penjajah dulu. Kita menggunakan civil court. Tidak hanya mahkamah syariah sahaja. Sebab itu kita dianggap sekular". Ini jawapan Nik Aziz, bukan Nik Aziz, Haji Hadi. Itulah sebabnya yang kita dianggap sekular, kerana kita gunakan sistem penjajah dahulu. Kita ada civil court. Saya nak tanya, sama ada bila dia ini pemerintah, dia nak hapuskan civil court atau tidak. Jawab betul-betul.

39.0 Tetapi, kalau kita baca Harakah dalam Bahasa Inggeris, yang bukan untuk orang kampung. Dalam Bahasa Inggeris tentulah untuk orang yang faham Bahasa Inggeris. Orang Cinalah tu. Apa jawapannya Haji Hadi, ini Harakah dalam Bahasa Inggeris dan ini adalah wawancara eksklusif oleh MalaysiaKini, Zakiah Koya dan satu daripada soalan yang ditanya ialah "if Terengganu will to become an Islamic state, would it be like another Afghanistan under the rule of the Taliban or another Iran or another Saudi Arabia". Apakah ini yang menjadi contoh kepada Pas. Apa jawab Haji Hadi, dalam Bahasa Inggeris, saya tak tahulah dia bercakap Bahasa Inggeris ataupun tidak.

40.0 Tapi dalam ni dalam Bahasa Inggerislah. Jawapannya, "the source and guide of the Islamic state is not Iran or Taliban but based on the Quran and Hadis. The environment of those countries are different from ours and the communities that characters are also different. We have to be aware of that, furthermore the population there is almost 100% Muslim where we have non-Muslim in Malaysia. Jadi, dulu nak buat Islamic state nak suruh kita buat hukum hudud dan lain-lain, kita tak boleh kira tentang orang Cina, orang india, tetapi la ni dah lain pulak. Kononnya, pasal composition la ni ada orang Islam, dia nak buat, macam UMNO buat. Kita masih ada civil court, dia pun nak ada civil courtlah. Tolong tulis terang-terang dalam Bahasa Melayu, orang putih dan Cina, jika kami diri Kerajaan, tidak akan ada civil court. Nak tahu sama ada DAP nak sokong dia atau tak.

41.0 Dia punya syok nak dapat DAP punya sokongan, tak kiralah, apa pun jadi la ni. Nak ambil hak orang Melayu ambil, tak apa, Quran kata boleh ambil. Hak istimewa dalam Quran tak ada sebut hak istimewa orang-orang Melayu, dia lupa kita orang Melayu tu Islam. Orang DAP bukan Islam. Tak apalah. Sekarang ni dah boleh. Tadi dah, pensyarah-pensyarah tadi dah cerita berkenaan dengan apa sebenarnya.
42.0 Tetapi Pas sanggup jual apa saja yang dimiliki oleh orang Melayu untuk mendapat undi daripada DAP dan orang-orang Cina. Kalau Suqiu kata samakan agama Islam dengan agama-agama lain, Pas terima. Hapuskan hak istimewa orang-orang Melayu, Pas terima. Apa pun Pas terima. Bahasa apa pun boleh guna. Kononnya kalau kita pi negeri Cina kita kena belajar bahasa Cina. Tak ada larangan nak belajar bahasa Cina. Siapa yang larang, kita tak larang. Tapi dia nak Bahasa Melayu ini dikebelakangkan sama sekali.

43.0 Macam-macam janji dibuat dan bila kita minta supaya kita ada pertemuan untuk berbincang tentang perpaduan orang Melayu ini, tak mahu perpaduan orang Melayu, kami mahu perpaduan nasional. Bila kata perpaduan nasional tu, dah nampak dah undi orang Cina. Itulah tujuan Pas.

44.0 Kalau hancur orang Melayu pun tak apa. Asalkan dia boleh dapat undi daripada orang-orang Cina. Kalau Suqiu boleh bagi sokong, dia sokong Suqiu. Kalau persatuan guru-guru Cina ni nak bagi sokongan kepada dia, dia sokong. Apa pun hak milik orang Melayu ni dia nak bagi, kerana dia hendak. Dia hendak undi daripada orang ni, kerana dia nak tempat, di dunia ni, bukan di akhirat. Kalau dia nak tempat di akhirat, kita boleh bawa dia cepat-cepat pergi sana.

45.0 Tuan-tuan dan puan-puan, dalam pilihan raya tahun 1999, DAP kalah teruk. DAP kalah seperti dia tak pernah kalah dahulu. Buat kalai pertama, Kit Siang dengan Karpal Singh kalah di peringkat parlimen dan di peringkat state jugak. Apa maknanya. Bermakna bahawa orang-orang Cina menolak DAP. Oleh kerana orang-orang Cina menolak DAP, hari ini DAP akan membuat apa saja untuk menarik balik sokongan orang Cina dan untuk menimbulkan kebencian orang Cina kepada Barisan Nasional khususnya kepada Perdana Menteri. Apa juga yang saya kata, akan dikaitkan dengan hak orang Cina. Rupanya ada hak istimewa orang Cina ni.

46.0 Saya tak boleh sebut apa. Saya sebut saja sesuatu, ini dijadikan isu dan dibesarkan dalam suratkhabar-suratkhabar Cina. Ada suratkhabar Cina di sini. Saya nak cakap terang-terang kepada mereka, sila lapor benar-benar apa yang saya kata, jangan putar belit. Apabila Suqiu ini telah menuntut supaya hak istimewa orang Melayu dihapuskan, agama Islam disamakan dan lain -lain tuntutan, 83 perkara, saya telah membuat ucapan dalam TV dan radio yang berkata bahawa tuntutan mereka adalah sama dengan komunis. Mereka dengan serta merta mendakwa bahawa saya menganggap bahawa semua orang Cina sebagai komunis. Mereka mengapi-apikan perasan orang-orang Cina supaya menentang kerajaan, membenci kerajaan dan akhbar-akhbar Cina terutamanya Nanyang Siang Pau dan juga China Press memainkan isu ini supaya orang-orang Cina membencikan saya dan membencikan kerajaan Barisan Nasional dengan harapan, mereka akan kembali memberi sokongan kepada DAP yang memain peranan juga pada DAP, Suqiu, guru-guru sekolah Cina ini, mereka memainkan isu supaya menimbul kebencian kepada saya sendiri dan melalui saya kepada Barisan Nasional.

47.0 Apabila kita cuba pindah sekolah Damansara ke tempat baru, ini juga dijadikan isu dan sekali lagi kerajaan dihentam. Kenapa memindahkan sekolah ini ke tempat yang lain walaupun majoriti daripada ibu bapa minta supaya dipindah kerana 70 orang penuntut sahaja, maka ini menyebabkan mereka menuduh bahawa kerajaan ini zalim kepada pelajaran negeri Cina, bahasa Cina. Apakah ini benar?

48.0 Apabila kita mencadangkan supaya diadakan sekolah wawasan, kenapa kita cadangkan sekolah wawasan, kerana sekarang ini sudah tumbuh bandar-bandar baru yang tidak ada sekerat pun orang Melayu. Kalau kita ada hanya sekolah Cina di bandar-bandar baru ini maka anak-anak Cina tidak lagi akan berdamping dengan anak-anak orang Melayu ataupun orang india. Dan ini tidak baik kepada perpaduan kaum di dalam negara kita. Sebab itu kita cadang sekolah wawasan. Dan ini juga dijadikan isu. Dan diperbesarkan oleh suratkhabar Cina hari-hari, Nanyang Siang Pau dan juga China Press.

49.0 Tuan-tuan dan puan-puan, sebenarnya hanya Malaysia sahaja yang membenarkan sekolah Cina diadakan. Tidak ada sekolah Cina di Indonesia, tidak ada sekolah Cina di Filipina, tidak ada sekolah Cina di negeri Siam, tidak ada di Burma, di ada di Cambodia, tidak ada di Vietnam, di Laos, tidak ada di Australia, tidak ada di England, tidak ada di New Zealand, tidak ada di Amerika, tidak ada di Kanada. Hanya yang diadakan di Malaysia dengan pembiayaan Kerajaan sendiri.

50.0 Ini mat salleh ni, mat salleh dari Australia dalam Mesyuarat Agung ni dia orang datang nak tengok kita, ha.. tengoklah. Siapa lebih adil, dia ataupun kita. Kenapa dia tak benar sekolah Cina didirikan di Australia sedangkan bilangan orang Cina sudah begitu ramai. Kenapa nak tentukan semua orang yang duduk di Australia cakap Strine. Strine tu bahasa orang putih English Australialah, Strine. Dia tak tahu kata the rain in spain falls badly in the plane dia kata the rain in spain falls badly in the plane. Kita orang Melayu kata, It is a good day today, dia kata it is a good die to die. Ini semua orang Cina yang duduk di sana belajar cakap Strine ni. Dia pun bila balik sini, bunyinya is a good die to die. Kenapa, kenapa paksa orang ni belajar Bahasa Inggeris, biarlah mereka ada sekolah-sekolah Cina di sana dibiayai oleh Kerajaan. Mereka tidak, kononnya mereka itu begitu demokratik, begitu liberal, tapi Malaysia kita benar, kita beri segala-galanya kepada kaum Cina, inilah negara yang begitu liberal sekali.

51.0 Tuan-tuan dan puan-puan, dalam usaha mereka untuk memburukkan imej kerajaan, untuk menunjukkan kerajaan ini anti Chinese, mereka sekarang ini sudah mengaitkan soal Nanyang dibeli oleh MCA dengan saya, kononnya saya yang suruh MCA beli Nanyang Siang Pau dan China Press.

52.0 Kenapa? Supaya orang Cina yang kononnya marah sangat kepada MCA kerana membeli suratkhabar ini, juga marah kepada saya dan marah kepada kerajaan. Dan bila marah kepada kerajaan sokonglah DAP. Inilah tujuan mereka. Kerana nak dapat sokongan daripada orang-orang Cina, mereka saja mengaitkan saya dan kerajaan dengan pembelian Nanyang Siang Pau ini oleh MCA.

53.0 Saya akui MCA tanya saya, apakah dia boleh beli Nanyang Siang Pau dan China Press. Saya kata boleh.. No problem. Rupa-rupanya orang ini kata, the Chinese community tidak hendak suratkhabar Cina dimiliki oleh mana-mana parti politik, istimewa betul. Kerana suratkhabar Melayu ada yang dikuasai oleh parti politik. BukanHharakah aja, Utusan, Harakah kata, dia punya parti punya paper. Utusan dimiliki sahamnya oleh UMNO, tidak secara langsunglah, macam MCA juga dia suruh Huaren beli, bukan dia nak beli. Kalau kita boleh beli, suratkhabar Melayu, kenapa MCA tidak boleh beli suratkhabar Cina. Rupanya surat khabar Cina mesti bebas. Bermakna bahawa orang Melayu tak boleh bebas suratkhabar. Itu hak istimewa ke?

54.0 Bagi saya nak beli, belilah. Tak ada salah. Kalau MCA nak jual pun juallah, itupun hak dia juga. Ini kononnya orang-orang Cina tak boleh benar MCA beli suratkhabar Cina. Beli The Star tak apa, tapi suratkhabar Cina tak boleh. Kenapa tak boleh. Apa ada dalam surat khabar Cina tu. Apakah dianya ada benda-benda yang kita tak tahu. Kerana kita tak reti Bahasa Cina, dia tahu Bahasa Melayu. Kita tak boleh kata banyak dalam Utusan, dia tahu. Apa dia tulis dalam Nanyang Siang Pau dan China Press kita tak tahu.

55.0 Apakah adil kalau kita kawal Utusan supaya jangan keterlaluan apabila berhadapan dengan masalah ketegangan antara Melayu-Cina ini, tetapi mereka tidak mengawal suratkhabar mereka apabila membangkit kebencian kepada orang Melayu. Bukan kita nak suruh ambil semua. Sit Chew Jit Poh sikitlah, tak apalah, siapa, Tiong ke nak beli, belilah. Tapi takkanlah dua suratkhabar ni dimiliki oleh seorang parti politik Cina. Kalau parti politik Melayu lainlah. Mereka berkata bahawa ini masyarakat Cina tidak bersetuju. Siapa yang berkata, saya nampak orang MCA tak kata, orang MCA pun Cina juga. Orang MCA 100% Chinese, UMNO ada juga Cina. Jadi orang Cina juga nak pilih tak boleh ke.

56.0 Saya bukan nak kempen bagi Liong Sik, tetapi saya berasa amat kecewa dengan percubaan nak heret nama saya dalam kontroversi Nanyang ini. Dan mereka akan cuba apikan perasaan orang Cina terhadap kerajaan, membencikan kerajaan, saya tahu mereka ini bukan mendapat sokongan daripada semua, tetapi mereka boleh, seperti di Lunas, mereka sengaja membangkitkan kebencian orang-orang Cina kepada Kerajaan. Walaupun kita baru menang saja dalam tahun 1999, dengan sokongan orang Cina yang begitu kuat, tetapi di Lunas kita kalah. Kenapa? Peranan yang dimainkan oleh Nanyang dan China Press, untuk menimbulkan kebencian pengundi di Lunas terhadap Kerajaan. Mereka selalunya mengutamakan pendirian parti lawan. Kononnya mereka ingin bebas. Sembilan orang penulis mereka kononnya bebas. Tetapi tak pernah sokong kerajaan. Bebas apa. I see, I see.

57.0 Saya nak minta kepada suratkhabar ini, jangan main isu, jangan cuba melibatkan saya dalam perkara ini. Suratkhabar Cina bebas seperti suratkhabar lain, tetapi kalau kamu main isu perkauman.......

58.0 Kit Siang di suatu peluk Nanyang. Di satu pihak peluk Hadilah. Hadi pun peluk Kit Siang lepas tu bila di kampung nak buat negara Islam hoi bukan main nak buat negara Islam tapi la ni nak ternak babi pun boleh semua boleh dah. Asalkan dapat undi. Jual semua. Dahlah tipu orang Melayu ni nak tipu Cina pulak.

59.0 Saya cakap terus terang dengan orang Melayu pun saya marah, dengan orang Cina pun saya marah. Apabila saya tegur orang Melayu saya tegur UMNO, saya marah kepada UMNO saya tegur banyak orang Melayu yang keterlaluan orang Melayu semua tak kata Dr. Mahathir ini anti Melayu. Tetapi kenapakah akhbar Cina berkata bahawa oleh kerana saya buat ucapan yang menegurkan hanya Suqiu satu kumpulan kecil kenapakah itu ditakrifkan sebagai mengecam orang-orang Cina keseluruhannya. Tidak benar sama sekali saya dapat ada banyak kawan Cina. Saya mengaku menantu saya pun Cina.

60.0 Saya bukan anti Chinese tetapi saya nak keadilan bagi orang Melayu. Bagi semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh ada satu kaum bebas untuk melempar bermacam fitnah dan tuduhan untuk memburukkan kerajaan dan satu kaum lain mesti ditariknya tali ras jangan bergerak. Oh saya cakap pasal tali ras tu pasal saya naik kuda la ni.


61.0 Tuan-tuan dan puan-puan saya cuba jelaskan pendirian kita. Saya fikir apa yang saya perkatakan ini bukan pendirian saya seorang tetapi pendirian parti UMNO ini.

62.0 Tiap tahun kita mengadakan mesyuarat agung ini mesyuarat agung ini adalah peristiwa yang terpenting dan terbesar bagi parti kita. Di sini lah kita boleh berjumpa sesama kita membahas masalah-masalah berkenaan dengan parti kita berkenaan dengan bangsa kita, agama kita dan negara kita. Mesyuarat agung ini amat penting dan saya anggap di antara ucapan-ucapan yang saya buat sepanjang tahun yang terpenting dan terbesar sekali ialah ucapan kepada UMNO ini. Tiap kali saya bercakap saya berharap saya dapat sampaikan satu mesej kepada UMNO. Mesej untuk kebaikan UMNO. Saya telah berleter macam orang tua bukan macam orang tua la ni pun dah jadi orang tua. Belum nyanyuk lagi, boleh lagi bercakap. 2 jam pun boleh 3 jam pun boleh juga. Tahun depan saya janji 3 jam.

63.0 Saya nak minta, saya nak minta kepada kita ahli UMNO sekurang-kurangnya, kepada orang Melayu supaya kita kenalkan masalah kita. Kenalkan sebab-sebabnya yang kita gagal. Kenalkan kelemahan yang ada kepada kita. Dan kita membuat satu resolusi bukan untuk kerajaan melaksanakan tetapi untuk tiap seorang daripada kita melaksanakan. Kita buat resolusi untuk diri kita sendiri. Apakah yang perlu kita buat yang boleh menyumbang kepada kebahagiaan bangsa kita, agama kita dan negara kita. Banyak yang boleh kita buat. Kita harus akui yang kita tidak bekerja begitu kuat. Kita mesti kerja kuat,tidak ada jalan yang mudah untuk mendapat sesuatu kita mesti berusaha bersungguh-sungguh bertubi-tubi, jatuh kita bangun lagi, jatuh kita bangun lagi. Insya-Allah suatu hari kita akan berdiri tinggi di kalangan bangsa-bangsa yang lain.

64.0 Tuan-tuan dan puan-puan, hari ini bukanlah sesuatu yang terjadi begitu sahaja. Yang begitu ramai wakil daripada parti-parti lain datang melihat upacara mesyuarat agung tahunan kita. Mereka datang kerana mereka kagum dengan parti ini, kagum dengan pemerintahan yang diterajui oleh parti ini. Mereka memuji Malaysia. Sampai kata orang kedah memuji sampai naik asap. Secara ikhlas.

65.0 Tuan-tuan tentu tahu belah petang saya tak ada di sini daripada pukul 5.00 sampai pukul 7.30 saya duduk berjumpa dengan delegasi daripada 20 lebih parti daripada berapa puluh negara, mereka datang berjumpa dan bertanya ingin tahu apa lagi yang perlu mereka buat untuk membangunkan negara mereka supaya jadi seperti Malaysia ini. Mereka mengucap terima kasih kepada mereka kerana bantuan yang kita beri kepada mereka, Bosnia Herzegovina kita hantar pasukan kita dengan duit kita sendiri untuk menolong mereka. Bukan kita kenal mereka. Kita pun tak tahu ada orang Islam di sana. Tetapi apabila kita tahu ada orang Islam di sana, kita sanggup belanja wang kita hantar askar kita ke Bosnia Herzegovina. Dan mereka berterima kasih.

66.0 Di Sudan, di Sudan adalah sebuah negara yang miskin, begitu miskin sekali. Tanah padang pasir segala, yang ada di sana. Kononnya ada minyak sedikit. Mat Salleh bagi tahu kepada kerajaan Sudan habis banyak 10,000 tong sehari. Lepas itu mat salleh tak dibenarkan bekerja di Sudan kerana Sudan ini adalah terrorist state negara pengganas. Tak boleh tolong negara pengganas ini. Kita hantar petronas pergi. Hari ini petronas mengeluarkan 200,000 tong satu hari dan mereka datang untuk mengucapkan banyak terima kasih kepada kita.

67.0 Kita tak sangka Malaysia ini hari ini boleh tolong orang. Dulu kita ingat kita bodoh, kita tak ada keupayaan. Tetapi kita lihat orang-orang Petronas yang kadang-kadang kita kecam mereka sanggup duduk di padang pasir, mereka tinggal di Sudan dengan bahaya serangan daripada orang-orang daripada selatan, mereka sanggup menolong Sudan mengeluarkan minyak supaya hari ini Sudan menjadi sebuah negara yang mempunyai sedikit punca pendapatan. Dan mereka amat berterima kasih kepada kita. Kita mengeluarkan gas di Algeria di tengah-tengah padang pasir, pegawai-pegawai kakitangan Petronas berada di sana untuk mengeluarkan gas yang akan dibekalkan ke eropah dan akan menolong ekonomi Algeria. Mereka kagum dengan Malaysia. Sebab itu mereka datang. Kita boleh sampai setakat ini tak bolehlah kita lonjak ke hadapan sedikit lagi.

68.0 Nak jadi negara maju tahun 2020. Nak jadi negara maju tahun 2020 kita tahu bagaimana untuk melakukannya. Kita tahu kita sudah rancang dan kita sudah punyai pengalaman. Kuala Lumpur adalah sebuah bandar negara maju. Di Kuala Lumpur sudah sampai kepada takrif maju. Tetapi kita nak apa yang kita lihat di Kuala Lumpur ini diperkembangkan ke seluruh negara kita.

69.0 Datang orang asing berkata kepada saya, saya ni membohong. Mereka kata Malaysia sudah menjadi negara maju. Melihat kuala lumpur, saya kata betul awak lihat Kuala lLmpur tapi saya perlu lihat di kampung. Jadi di kampung belum cukup maju. Sebab itu kami masih anggap diri kami sebagai negara membangun. Kami nak majukan kawasan di seluruh negara.

70.0 Dan untuk itu kita perlu bekerja keras. Kita perlu menguasai segala ilmu termasuk IT ini. IT ini mesti dikuasai oleh kita. Bukan susah. Bukan nak ambil cangkul nak buat apa cuma nak picit dengan jari ini saja. Tak boleh ke? Boleh.

71.0 Saya nak minta saya nak rayu tak payahlah saya menangis dan berdoa lagi. Orang lain boleh buat doa lagi, lebih baik daripada saya. Saya nak minta UMNO menjadi pelopor pembawa obor untuk memajukan bangsa Melayu supaya kita bangsa kita mempunyai potensi untuk menjadi bangsa yang maju. Saya yakin. Sejak kita memerintah kita lihat bagaimana kita telah maju dalam jangka masa 15 tahun. Engineer-engineer Melayu dapat mereka bentuk kereta Proton sendiri. Tak payah pergi ke Jepun. Kita boleh buat segala-galanya sendiri.

72.0 Petronas adalah sama dengan the majors. Syarikat-syarikat minyak seperti Shell, Esso, Mobil, BP dan lain-lain dunia anggap Petronas sebagai sama setaraf. Sebab itu negara-negara ini meminta supaya Petronas pergi ke negara mereka. Dalam dunia ini banyak national oil corporation. Semua negara, Arab Saudi ada national oil corporation. Tetapi hanya Petronas sahaja yang pergi luar daripada Malaysia kepada 25 buah negara. Kita mampu mencari gali, kita mampu mengeluarkan minyak, kita mampu mentransportkan minyak, membuatkan pipeline dan mengadakan tanker-tanker dan kita mampu berniaga di 25 buah negara. Daripada Argentina di selatan Amerika sehinggalah ke Australia.

73.0 Kita boleh buat. Dulu kita tak boleh, sekarang kita boleh. Esok kita lebih boleh, kalau kita berusaha. Timbullah semangat kepercayaan kepada diri sendiri bahawa kita boleh buat dan kita mesti usaha.

74.0 Janganlah cuma buat seperti yang saya sebutkan. Kita adakan seminar berkenaan dengan Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia. Maka bercakaplah mereka berkenaan bangsa Melayu ini tapi apa guna tak hilang kalau jadi kuli orang. Melayu yang tak hilang ni mesti jadi masters of themselves, tuan kepada diri sendiri. Dan kita boleh buat. Kita suruh orang Melayu kerabat Mount Everest. Dia kerabat. Dia dekat nak sampailah tapi orang lain sampai dulu. Boleh buat. Itu satu kecapaian yang cukup tinggi. Kerana biasanya yang memanjat Mount Everest ini orangnya datangnya daripada orang daripada negara sejuk, negara salji. Ini kali pertama orang daripada negara tropika sanggup panjat gunung ais ini. Jadi kecapaian kita lebih tinggi daripada mereka.

75.0 Kita boleh buat. Kita boleh buat kereta. Kita boleh buat macam-macam barang daripada Malaysia. Periksa tengok apa juga barangan yang dikeluarkan oleh dunia, mikrocipnya made in Malaysia. Bukan oleh syarikat orang putih sahaja. Sekarang ini kita ada dua buah syarikat sendiri, Ciltera satu First Silikon satu, yang keluar mikrocip ni. Yang begitu canggih. Di atas mikrocip yang sebesar itu ada 2 million switches. Switch macam switch kita buat di dinding tu. Dia jadi kecil, lagi kecil, lagi kecil. 2 million duduk atas sekeping besar itu sahaja. Tak nampak. Siapa buat, orang Melayu buat di Malaysia. Apa lagi yang saya nak kata nak menunjuk bahawa kita boleh. Kita boleh, kita boleh buat tetapi kena usaha. Jangan makan telur banyak.

76.0 Anak-anak kita suruh dia baca buku, buat kira-kira bila dok di rumah. Dulu kalau kena rotan la saya nak cerita sikit berkenaan dengan diri saya yang nasib tak baik ni. Pak saya asalnya guru. Walaupun dia jadi auditor kemudian. Dia guru. Saya cukup takut kat dia. Bila dia balik saja belah petang daripada office sampai ke jambatan kecil tu nak masuk ke dalam rumah, dia batuk. Kami semua lari pi ke meja baca buku. Baca buku sampai pening kepala. Kena pakai cermin. Umur 12 tahun pakai cermin. La ni ada yang muda-muda lagi pun pakai cermin tapi dulu umur 12 tahun cukup "ping". Agak-agak yang lain lebih tu. Takut-takut kepada bapa saya. Walaupun kemudian dia cukup baik dengan saya. Tetapi semasa di sekolah, dia cukup strict. Macam cikgu aje. Balik di rumah bukan cikgu jenis la ni, la ni kalau cikgu pukul sikit aje, mak bapa komplain lah, report kat polis langsung. Master Hassan, master saya. Bila dia mark saya punya paper, satu tangan pegang pen di sini satu tangan duduk di tepi sini. Silap sini aje, top dicubit. Tak boleh silap sikit, rotan. Ni kayu rule kena, rotan kena, tapak tangan ni sampai nak gengam pun tak boleh. Kalau tidak tak boleh belajar.

77.0 Zaman dulu tidak ada quota bumiputera. Tak ada quota. Nasib baiklah boleh pi belajar jadi doktor. Tak ada pun scholarship. Oh kalau la ni scholarship dikurangkan sikit jadi masalah, nanti ada tunjuk perasaan. Saya diberi elaun RM25 sebulan. Semua yuran-yuran dibayarlah tapi RM25.00 nak buat apa dengan RM25.00. Panggil interview lagi tanya saya pak saya hantar berapa banyak duit. Saya kata dia hantar RM15.00 sebulan. Ha potong RM15.00. Balik RM25.00 juga. Isteri saya pun dipotong RM10.00 pasal dia dapat daripada rumah RM10.00. Sekarang ni kalau potong, ha besok dapat surat berkajang-kajanglah. Ada demonstrasilah. La ni kita punya penuntut di setengah-setengah negeri ada simpan pembantu rumah gaya bayar gaji daripada elaun dia. Pembantu rumah pulak ada. Tak tahulah di mana saya tak mahu sebut lah.

78.0 Saya nak rayu saya nak minta kita UMNO, UMNO adalah orang di barisan hadapan pejuangan bangsa Melayu ini bukan Pas. Pas penkhianat, penipu bagi orang Melayu. Kita adalah contoh kita nak tunjuk kepada orang Melayu apa orang Melayu boleh buat. Kalau kita betul-betul berdisiplin dan sanggup berusaha dan berusaha dan berusaha dengan cukup-cukup. Jatuh bangun, jatuh bangun kerana kita nak capai kejayaan bagi bangsa kita.

79.0 Bangsa kita juga adalah bangsa yang beragama Islam. Pencapaian orang-orang Melayu bermakna pencapaian orang Islam. Jadi ada 2 sebab kenapa kita perlu berusaha jauh lebih kuat daripada bangsa-bangsa yang lain kerana kita berjuang untuk bangsa dan di masa yang lain untuk agama kita. Sebagai, sebagai pemegang obor pembawa obor pejuangan Melayu, UMNO mesti sanggup membuat segala-galanya untuk menjayakan kaum bangsa kita ini.

80.0 Saya nak minta sekali lagi berdisiplinlah kita. Tanpa disiplin kita tidak boleh menang. Saya tak suka nak mengata kat tok Arab tapi orang Arab tak boleh perang. Siapa yang biasa pi ke negeri Arab tahulah. Dia panggil kita makan tengah hari pukul 1.00 kita pun tak makan apalah ni nak makan nasi beriani yang sebanyak-banyak ni. Sampai pukul 4.00 tak makan lagi. Kalau dia kata nak ada perjumpaan pada sebelah pagi, bagi dia sebelah pagi daripada pagi sampai pukul 2.00, itu pagi lah. Tak tentu bila nak jumpa dengan dia. Dia tak ada timing langsung. Dia tak hormat masa langsung. Sebab itu bila dia perang dengan Yahudi dia rancang untuk menyerang Yahudi pada pukul 9.00 pagi. Lepas tu pasukan dia ada yang serang pada pukul 10.00. ada yang serang pada pukul 11.00. ada pukul 12.00. ada yang postpone esok hari lah. macam mana nak menang. Tak ada disiplin macam mana nak menang. Kalahlah selalu. Sebab itu walaupun Yahudi bukan ramai cuma 3 million sahaja, orang Arab bukan main banyak. Tak boleh lawan dengan Yahudi.

81.0 Kita kena disiplin. Disiplin ini penting. Kalau kita berdisiplin dan kita patuh kepada arahan yang amat berhormat Presiden parti bukan Dr. Mahathir dak, saya tak penting. Satu hari Pak Lah akan jadi presiden. Kalau pun arahan itu tak kena tetapi kalau kita semua buat bersama Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan.

82.0 Tuan-tuan dan puan-puan saya dah bercakap dengan panjang dan lebar ada satu hamba Allah telah tulis kepada saya suruh saya baca untuk penghabisan ini sebelum saya ucap terima kasih kepada Tun speaker saya nak baca ini sikit. Satu sajak ke apa ke tak tahu. Tapi bunyi sedap juga. Dia ada kaitan dengan ucapan saya, tajuk ucapan saya. Tajuk ucapan saya ialah Melayu Mudah Lupa. Dan bunyinya sajak ni:

Melayu mudah lupa

Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya dipijak,
Melayu mudah lupa,
Dulu bangsanya retak,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya teriak,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya haprak,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya kelas dua,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya hina,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya sengketa,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya derita,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya kerdil,
Melayu mudah lupa.
Dulu bangsanya terpencil,
tiada daulat tiada maruah tiada bebas.
Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa,
Melayu mudah lupa.
Sejarah bangsanya yang lena,
tanah lahirnya yang merekah berdarah.
Ingatlah ingatlah ingatlah.
Wahai bangsaku,
jangan mudah lupa lagi
kerana perjuangan mu belum selesai.....

83.0 Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Saya bagi pihak majlis tertinggi bagi pihak para wakil mengucap berbanyak terima kasih kepada Tun Speaker yang tidak sihat. Sekali lagi saya ucap tahniah kerana dianugerahkan oleh Yang Dipertuan Agung PSM sebagai Tun.

84.0 Saya juga ucap terima kasih kepada timbalan speaker dan saya ucap berbanyak terima kasih kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah pun bertungkus lumus menjayakan persidangan kita ini.

85.0 Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tun Dr. Mahathir; MELAYU MUDAH LUPA 21.06.2001


Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA PUSAT DAGANGAN
DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 21-06-2001
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Versi :
Penyampai : PM



"MELAYU MUDAH LUPA"



Alhamdulillah. Dalam lautan politik dan ekonomi
yang bergelora di rantau ini, Malaysia masih tenang
dan dapat mengatasi serangan bertubi-tubi terhadap
politik dan ekonominya, dari luar dan juga sahabat
mereka dari dalam.


CUBAAN ADAKAN REFORMASI

2. Tidak berapa lama dahulu ramai juga daripada
rakyat Malaysia yang teringin mengadakan apa yang
mereka namakan Reformasi, kononnya untuk membetulkan
keadaan di Malaysia. Mereka mendapat ilham daripada
apa yang berlaku di negara lain. Tanpa mengambil kira
situasi yang berlainan di negara berkenaan, mereka cuba
melaksanakan pendekatan yang tidak bertanggungjawab
untuk memaksa Kerajaan tunduk kepada kehendak mereka,
malah untuk mengguling Kerajaan pun.

3. Pemimpin mereka telah pergi ke negara asing untuk
mendapat bantuan supaya keganasan jalanan yang mereka
rancang dapat diadakan. Mereka tahu bahawa rakyat
Malaysia sendiri tidak berminat bertindak ganas walau
pun diupah. Sebab itu rakyat asing diperlukan.

4. Malang bagi perancang keganasan jalanan ini
kepimpinan negara asing berkenaan berpendapat
memadailah huru-hara berlaku di negaranya sahaja.
Mereka tidak ingin melihat huru-hara merebak ke
Malaysia. Mereka tidak pun nampak kebaikan daripada
huru-hara yang terdapat di negara mereka. Justeru itu,
mereka tidak menggalakkan sebarang bantuan kepada orang
yang merancang untuk mencetus huru-hara di Malaysia.
Alhamdulillah. Kita menghargai sikap dan pendirian
pemimpin asing ini.

5. Keadaan di Malaysia bukanlah terlalu baik, dan ini
perlu kita akui. Kerajaan juga mengakuinya. Tetapi
kita harus menghargai sebarang nikmat yang kita terima.
Kita harus bersyukur kepada Allah S.W.T. Ramai orang
asing yang memandang kita begitu bernasib baik dan
bertuah sehingga ramai yang sanggup bermati-matian
untuk berhijrah ke negara kita.

6. Negara lain mungkin memerlukan reformasi dan
pertukaran sistem politik dan Kerajaan. Apakah kerana
orang lain perlu mengadakan reformasi maka kita juga
perlu kepada reformasi? Sebenarnya perubahan yang baru
hendak dibuat di negara lain sudah pun berada di
Malaysia sejak kita mencapai kemerdekaan. Negara ini
tidak pernah ditadbir secara otokratik ataupun oleh
tentera. Hanya pada tahun 1969 sahaja kita terpaksa
mengadakan pemerintahan darurat. Tetapi dalam
jangkamasa yang singkat kita telah kembali kepada
sistem demokrasi dan mengadakan pilihanraya mengikut
jadual pada tahun 1974. Sejak merdeka kita telah
mengadakan 10 kali pilihanraya dalam jangkamasa 43
tahun. Rakyat Malaysia bebas memilih siapa sahaja dan
bukan hanya calon daripada parti Kerajaan seperti yang
berlaku di sesetengah negara lain. Parti lawan juga
dapat memenangi pilihanraya dan pernah mendirikan
Kerajaan di empat buah negeri. Dan ini telah berlaku
berkali-kali. Tidak ada tindakan undang-undang diambil
untuk menyekat wakil rakyat daripada parti pembangkang
mengambil tempat dalam dewan seperti yang berlaku di
negara lain.

7. Justeru itu, apa perlunya reformasi kepada sistem
pemerintahan demokratik kita? Apa perlunya demonstrasi
di jalan-jalan yang hanya merugikan peniaga, terutama
peniaga kecil yang kais pagi, makan pagi, kais petang,
makan petang?

8. Kononnya mereka ingin melihat pemerintahan
mengikut undang-undang - `the rule of law'. Apakah
untuk mendaulatkan pemerintahan mengikut undang-undang,
maka mereka perlu bertindak menyalahi undang-undang
dengan merusuh di jalan-jalan, menyekat perjalanan
kereta, memaksa kedai-kedai ditutup dan mengganggu
keamanan rakyat? Orang yang berhasrat mendaulatkan
undang-undang tidak harus mencabul undang-undang.
Mereka sepatutnya menggunakan proses undang-undang
untuk menghalang pencabulan undang-undang oleh mana-
mana pihak, termasuk Kerajaan. Kita tahu di Malaysia
tidak semua kes dimenangi oleh Kerajaan. Dan tidak
semua calon parti Kerajaan menang pilihanraya.
Demikian kadang-kadang, kerana ingin membuktikan
kebebasan, Kerajaan tidak mendapat keadilan, menjadi
mangsa. Jika Kerajaan berani membantah, tekanan ke
atasnya ditingkatkan. Ada pihak luar yang bersedia
untuk mengutuk Kerajaan jika tersilap sedikit. Pihak
tertentu tahu dan menjadi lebih berani. Keadilan pun
terpesong.


HASIL REFORMASI MENGECEWAKAN

9. Hari ini mereka dapat lihat bahawa hasil reformasi
yang mereka begitu kagumkan di negara berkenaan
tidaklah begitu menarik. Yang ternampak jelas ialah
pemerintahan mengikut undang-undang tidak dapat
diadakan kerana pihak yang ditugaskan untuk
menguatkuasakan undang-undang sudah tidak berwibawa
lagi. Rakyat tidak lagi selamat. Di tempat-tempat
tertentu rakyat merusuh, mengganas dan membunuh dengan
sewenang-wenangnya. Jauh daripada menikmati proses
demokrasi, yang ternampak sebagai hasil reformasi ialah
`mob-rule', pemerintahan tanpa undang-undang oleh
perusuh jalanan. Keadaan tidak menjadi lebih baik
daripada apa yang terdapat semasa pemerintahan
otokratik dahulu.

10. Yang anehnya ialah mereka yang ingin kepada
reformasi, pemerintahan mengikut undang-undang dan
begitu mendukung hak asasi manusia adalah orang yang
dahulu dengan senang hati menyertai Kerajaan.
Kenapakah mereka tidak mendakwa Kerajaan yang mereka
menyertai tidak demokratik dan mencabul hak asasi
semasa mereka berada dalam Kerajaan? Sebenarnya yang
mengecewakan mereka bukan sistem pemerintahan tetapi
kerana cita-cita besar mereka tidak tercapai. Mereka
suka membodek orang putih dan begitu gembira jika
dicampakkan gula-gula oleh `Mat Salleh'. Sebenarnya
mereka yang haprak ini tidak ada apa-apa pun selain
daripada yang kita anugerahkan kepada mereka.
Malangnya mereka tidak biasa dengan sedikit kuasa.
Apabila terdapat sahaja sedikit tempat, kepala mereka
menjadi besar, maka berkokoklah mereka mengikut rentak
tuan mereka.

11. Mereka yang cuba memperjuangkan reformasi sudah
tertipu dan diperalatkan oleh orang tertentu.
Sementara tidak ada sesuatu apa pun yang diperolehi
oleh mereka, orang yang memperalatkan mereka mendapat
keuntungan besar dengan berpura-pura bersimpati dengan
idola mereka. Sampai bilakah mereka akan terus bodoh?

12. Apabila budaya `mob-rule' sudah diterima oleh
negara kegemaran mereka, pemerintahan tidak dapat
membuat apa-apa untuk memulihkan ekonomi. Tiap suatu
yang dibuat ada sahaja yang tidak bersetuju. Mereka
merusuh dan rusuhan itu sendiri menyebabkan usaha
pemerintah gagal mencapai matlamatnya. Kata pepatah
Inggeris, "Those who live by the sword, shall die by
the sword". Mereka yang menjadi pemerintah melalui
rusuhan jalanan akan jatuh melalui rusuhan jalanan.

13. Pemerintahan menjadi lemah dan tidak dapat
bertindak dengan tegas. Tekanan ke atas pemerintah
boleh dibuat oleh siapa sahaja, termasuk orang asing.
Dengan itu bukan sahaja pemulihan ekonomi tidak dapat
dijayakan tetapi kebebasan yang begitu dibanggakan
dahulu pun hampir tidak ada lagi. Inilah hasil
daripada reformasi dan demonstrasi jalanan. Apakah
kita hendak melihat semua ini dibawa ke negara kita
oleh puak reformasi ini?


EKONOMI NEGARA KITA SENDIRI KUASAI

14. Ekonomi Malaysia sudah pulih walaupun belum
sepenuhnya. Ini bukanlah kerana pendekatan kita kurang
baik tetapi kerana kemerosotan ekonomi di negara lain.

15. Kita telah mengalami tekanan ekonomi sama seperti
yang dialami oleh negara-negara lain di Asia Timur.
Kita tidak dapat menentukan sama ada serangan serentak
ke atas matawang negara-negara Timur yang dahulu
dikenali sebagai ekonomi harimau, dirancang atau tidak.
Tetapi yang nyata ialah kerosakan yang teruk berlaku
kepada ekonomi negara-negara ini dan mereka tidak lagi
mungkin mencabar ekonomi Barat. Lebih daripada itu
kuasa asing mengambil peluang untuk menguasai urusan
ekonomi mereka melalui agensi antarabangsa seperti Dana
Wang Antarabangsa dan Bank Dunia.

16. Terpaksanya negara-negara yang diserang tunduk
kepada kuasa asing bukanlah semata-mata kerana
kegawatan ekonomi tetapi kerana rakyat bertindak secara
tidak bertanggungjawab. Kerana ada rakyat yang ingin
menjatuhkan pemerintah, kegawatan ekonomi yang
diusahakan oleh musuh asing digunakan sehingga
ketahanan ekonomi negara menjadi lemah. Dan akibatnya
kebebasan negara terhakis.

17. Jika Malaysia hari ini tetap bebas dan ekonominya
dikuasai sepenuhnya oleh kita sendiri, sebabnya ialah
kerana tidak ramai rakyat yang belot yang secara
langsung atau tidak langsung bersubahat dengan orang
asing. Kerana ini kita dapat memulihkan ekonomi negara
jauh lebih baik daripada negara-negara yang mendapat
pinjaman dan "bantuan" daripada pihak asing. Dunia
sekarang, termasuk pengkritik yang mencemuh kita,
terpaksa akui hakikat ini. Cuma ada segelintir orang
di Malaysia yang buta hati kerana benci dan tidak dapat
melihat kenyataan di depan mata.

18. Kita yakin dengan kestabilan dan ketenteraman yang
terdapat di Malaysia, pemulihan ekonomi negara akan
berjalan dengan baik. Pemulihan ekonomi negara juga
membuktikan pengurusan ekonomi dan wang di negara ini
memang baik. Mustahil kita akan dapat memulihkan
ekonomi jika benar kononnya Kerajaan membazir wang
negara dengan projek mega. Sebenarnya kedudukan
kewangan negara amat kukuh. Semasa kegawatan, duit
kita disedut ke luar negara kerana tawaran faedah yang
amat tinggi. Buat beberapa bulan bank-bank Malaysia
kekeringan modal. Tetapi Kerajaan berjaya menyekat
pengaliran Ringgit ke luar negeri dan memaksa ringgit
kita kembali ke tanahair. Sejak itu kedudukan kewangan
kita menjadi begitu kukuh, dan ekonomi dipulihkan
dengan cepat.

19. Sesungguhnya rakyat Malaysia amat bertuah. Yang
perlu lebih bersyukur dengan tuah ini ialah orang
Melayu. Tetapi ramai yang tidak tahu bersyukur yang
mengharapkan rezeki datang bergolek dengan sendirinya
tanpa sebarang usaha oleh mereka. Dalam pilihanraya
1999 ternampak jelas betapa ramai orang Melayu tidak
bersyukur dan cuba menjatuhkan Kerajaan yang
menyelamatkan negara dan orang Melayu sendiri. Yang
menghargai kebolehan Kerajaan Malaysia ialah bukan
Melayu.

20. Semasa kita berjuang untuk kemerdekaan kita
percaya bahawa dengan adanya kuasa di tangan kita maka
dapatlah kita pulihkan keadaan orang Melayu yang serba
daif. Mereka miskin, tidak berpelajaran dan
ketinggalan dalam semua bidang. Di negeri-negeri
mereka sendiri mereka menjadi kuli orang asing yang
mereka pertuankan.

21. Tetapi kuasa di tangan semata-mata tidak akan
menjayakan kita. Kuasa sebenarnya boleh merosakkan
kita. Dan hari ini kita lihat bagaimana kuasa kita
menjadikan ramai daripada kita begitu tidak
bertanggungjawab, begitu tamak sehingga matlamat yang
kita harapkan semasa berjuang untuk kemerdekaan
dilupakan.

22. Dalam bidang pelajaran umpamanya masalah kita
dahulu ialah kurang peluang dan kemampuan untuk belajar
hingga ke peringkat tinggi. Hari ini peluang bercambah
dan biasiswa untuk anak Melayu tidak sukar diperolehi.
Tetapi kita dapati ramai daripada anak-anak kita tidak
berminat untuk mengejar ilmu.

23. Dengan begitu banyak sekolah dan guru, dengan
peruntukan wang dan alatan yang lebih daripada
mencukupi, amatlah menyedihkan melihat anak Melayu
mendapat kelulusan yang begitu rendah sehingga tanpa
kuota khas bagi mereka mungkin ramai daripada mereka
tidak akan dapat memasuki universiti. Anak Melayu
tidak kurang pandai tetapi tanpa rajin belajar, yang
berotak geliga pun tidak akan dapat kelulusan yang
tinggi. Yang kita tahu ialah ramai anak Melayu yang
malas dan tidak berminat untuk belajar. Mereka lebih
suka melepak dan berfoya-foya. Mereka amat marah jika
kebenaran ini disebut. Sama ada disebut atau tidak
kebenaran tetap kebenaran.

24. Hari ini kita dapati lebih ramai penuntut wanita
Melayu yang diterima masuk ke universiti berbanding
dengan penuntut lelaki. Mereka pergi ke sekolah yang
sama tetapi sementara penuntut lelaki tidak serius
belajar, penuntut wanita lebih tekun belajar. Mereka
tidak merayau-rayau. Mereka lebih bertanggungjawab.
Alhamdulillah. Jika tidak kerana penuntut wanita,
jumlah penuntut Melayu di universiti akan tinggal hanya
separuh.

25. Tidak ada bukti yang penuntut wanita lebih pandai
daripada penuntut lelaki. Kebolehan mereka lebih
kurang sama. Tetapi prestasi kurang baik penuntut
lelaki ini sudah sampai kepada nisbah 20 lelaki
berbanding dengan 80 wanita. Jika kita terima bahawa
tidak ada perbezaan yang ketara di antara lelaki dan
wanita daripada segi kecerdasan otak, maka sudah tentu
jika penuntut lelaki berusaha dan tekun mengejar ilmu,
mereka juga boleh mencapai kejayaan cemerlang seperti
wanita. Kita kagum melihat sementara bilangan penuntut
lelaki Melayu tidak ramai dan kelulusan mereka tidak
baik, tetapi kepimpinan persatuan penuntut semuanya
dibolot oleh mereka. Bilakah anak lelaki Melayu akan
sedar akan tanggungjawab mereka terhadap diri mereka,
jika pun tidak kepada bangsa, agama dan tanahair?
Apakah mereka fikir masyarakat mesti dukung mereka
sepanjang masa?

26. Sebenarnya kecerdasan otak orang Melayu tidak
kurang daripada kaum-kaum lain. Yang menyebabkan kita
perlu mengadakan kuota untuk penuntut Melayu ke
universiti adalah juga kerana sikap kita berkenaan
dengan menuntut ilmu. Bukan Melayu menganggap menuntut
ilmu sebagai sesuatu yang mulia dan masyarakat
memandang tinggi mereka yang berilmu. Dengan itu ibu
bapa dan guru-guru mereka memberi perhatian yang serius
terhadap penerapan ilmu oleh anak-anak dan orang muda.
Bahkan mereka meneruskan tuntutan ilmu sepanjang hayat.


PENGUASAAN SEMUA ILMU PENTING

27. Orang Melayu tidak begitu menitikberatkan
penguasaan ilmu. Ibu bapa tidak mendesak anak supaya
belajar. Ada yang berpendapat bahawa oleh kerana kuota
disediakan untuk penuntut Melayu, kelulusan yang
sederhana pun mencukupi untuk ke universiti. Kerajaan
akan tentukan kemasukan penuntut Melayu ke dalam IPTA.
Ini adalah tanggungjawab Kerajaan. Mana-mana Kerajaan
pun akan membuat demikian. Ini adalah hak keistimewaan
orang Melayu yang terjamin sehingga akhir zaman.

28. Ada pula yang dipengaruhi oleh parti PAS bahawa
pelajaran yang harus dituntut oleh anak Melayu sebagai
orang Islam hanyalah pelajaran agama. Ilmu-ilmu lain
adalah sekular dan tidak penting. Jika dipelajari
sekali pun, masa yang lebih patut diberi kepada acara
dan kegiatan agama tambahan yang diwajibkan oleh orang
yang anti ilmu ini selain daripada fardu `ain dan
ibadat-ibadat yang wajib. Tidak menghadiri qiamulail
dan kuliah subuh dan aktiviti-aktiviti lain akan
menyebabkan penuntut berkenaan dicemuh kerana kononnya
mereka kurang Islam. Yang lebih menyedihkan ialah yang
diajar semasa kuliah-kuliah ini bukan ajaran Islam yang
sebenar, yang sudah tentu akan memberangsangkan
penuntut supaya mengejar ilmu dengan bersungguh-
sungguh. Yang disampaikan kepada penuntut ialah
politik menentang Kerajaan, dengan diselit berbagai-
bagai hadis dan firman yang ditafsir mengikut
kepentingan politik pihak ini. Biarlah anak Melayu
gagal asalkan mereka dapat diperalatkan oleh parti ini.

29. Sebenarnya usaha memesongkan anak Melayu daripada
menuntut ilmu bermula dari tadika yang diadakan oleh
PAS. Di peringkat ini kanak-kanak yang masih mentah
sudah pun diajar membenci UMNO, supaya mereka akan
menjadi penyokong PAS seumur hidup. Bagi PAS ilmu
tidak penting. Agama juga tidak penting. Yang penting
hanyalah kemenangan PAS dalam pilihanraya.

30. Apabila dijelaskan bahawa ilmu-ilmu lain tidak
kurang penting dalam Islam dan memang pun Islam
mewajibkan penguasaannya kerana ia berkaitan dengan
menjamin kesejahteraan dan keselamatan umat Islam,
membebaskan mereka daripada cengkaman musuh-musuh Islam
dan memang pun dituntut oleh agama Islam, seperti yang
terdapat dalam surah Al-Ghaasyiyah ayat 17 hingga 20,
yang bermaksud:

"(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari
akhirat), tidakkah mereka memperhatikan keadaan
unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan
langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan keadaan
gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan
keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?"

-- memerhati bagaimana sesuatu dicipta bermakna
mendapat sesuatu pengajaran daripadanya. Bagaimanapun,
pihak PAS dan penyokong mereka masih menuduh orang yang
merujuk kepada ayat ini sebagai sekular dan
mengutamakan dunia dan tidak akhirat. Walaupun
dijelaskan bahawa Islam mementingkan perimbangan di
antara dunia dengan akhirat, seperti dalam doa yang
dibacakan setiap hari dalam surah Al-Baqarah Ayat 201,
yang bermaksud:

"Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat"

pihak ini masih mendakwa tumpuan kepada ilmu lain
walaupun tanpa membelakangkan agama masih bermakna
mengenepikan akhirat, bermakna sekular. Ayat Quran pun
mereka tidak terima.

31. Seperti biasa polemik berkenaan dengan soal dunia
dan akhirat ini akan berpanjangan tanpa apa-apa
keputusan. Hasilnya ialah penuntut akan begitu keliru
dan akan ragu-ragu tentang perlunya menuntut ilmu yang
bukan khusus berkenaan agama. Ibu bapa juga demikian.
Dengan itu prestasi penuntut Melayu lelaki terutamanya
dalam ilmu-ilmu sains dan teknologi yang begitu penting
untuk menangkis percubaan untuk menjajah orang Islam
semula, terus berada di tahap yang rendah.

32. Orang Melayu perlu tentukan sama ada mereka
percaya ilmu-ilmu selain daripada yang khusus berkenaan
dengan agama Islam penting atau tidak bagi mereka
sebagai orang Islam dan bagi agama Islam itu sendiri.
Jika kita percaya ilmu-ilmu lain ini tidak penting
adalah lebih baik Kerajaan tidak memberi tempat kepada
penuntut Melayu di IPTA dalam bidang-bidang ini. Tidak
perlulah kita adakan kuota bagi penuntut Melayu dengan
menidakkan peluang bagi penuntut bukan Melayu.
Janganlah kita marah atau kecewa jika bilangan doktor,
jurutera, saintis, arkitek, akauntan, peguam, doktor
veterinar dan doktor gigi Melayu begitu berkurangan.
Janganlah kita marah apabila kita sakit tidak ada
doktor Melayu yang merawat kita.

33. Jika kita percaya bahawa ilmu-ilmu sains dan
teknologi, yang sedang berkembang pesat sekarang ini
amat penting bagi kita orang Melayu sebagai orang Islam
maka kita tidak harus bergantung kepada kuota sahaja.
Pelajar-pelajar Melayu di sekolah hendaklah betul-betul
bertekun mengejar ilmu-ilmu ini supaya kelulusan mereka
begitu tinggi sehingga kemasukan ke universiti melebihi
kuota untuk kita. Mereka tidak perlu membelakangkan
segala ibadat yang wajib semasa mengejar ilmu. Tetapi
janganlah menambah dan mewajibkan yang tidak wajib
sehingga tidak ada masa untuk ilmu yang dituntut.
Ingatlah ilmu-ilmu ini tidak kurang pentingnya kepada
agama Islam dan orang Islam. Anggaplah orang yang
mengganggu penuntut Melayu kerana kepentingan politik
mereka sebagai pengkhianat kepada agama Islam dan
bangsa Melayu.




JANGAN TERLEPAS ZAMAN I.T.

34. Kita sekarang sudah memasuki zaman teknologi
maklumat -- Information Age. Kita bersama dengan
negara-negara Islam lain telah terlepas dan tidak
terlibat dengan Revolusi Industri dan Zaman Industri.
Dengan itu kita jauh tertinggal di belakang daripada
segi menguasai ilmu yang menjadi pemangkin kepada
proses industrialisasi. Soalnya ialah apakah kita juga
akan terlepas dalam perkembangan zaman teknologi
maklumat yang akan menukar secara radikal cara hidup
manusia, termasuk juga kita orang Melayu di Malaysia?

35. Jika kita tidak hendak terlepas, tertinggal dan
menjadi mangsa perkembangan teknologi maklumat, kita
perlu secara serius dan bersungguh-sungguh mempelajari
ilmu yang baru ini. Untuk menguasai ilmu ini satu
daripada syaratnya ialah penguasaan bahasa Inggeris.

36. Penguasaan bahasa Inggeris tidak akan menjadikan
kita kurang Melayu atau kurang Islam. Sebenarnya
perkembangan bahasa Melayu bukan bergantung kepada
penolakan bahasa lain, tetapi melalui penguasaan bahasa
asing. Bahasa Melayu diperkayakan dengan penerapan
bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, bahasa Cina pun dan sudah
tentu bahasa Inggeris. Kenapa kita serapkan bahasa-
bahasa ini? Sebabnya ialah kerana bangsa-bangsa ini
adalah bangsa yang bertamadun tinggi, yang menjelajah
ke negara kita dan memiliki banyak ilmu.

37. Untuk mengembangkan bahasa Melayu, orang Melayu
sendiri mestilah menjadi bangsa yang berjaya, berilmu
dan di zaman ini memiliki daya beli atau `purchasing
power' yang tinggi (dengan perkataan harian Melayu
mesti `kaya'). Tidak ada bahasa bangsa yang mundur dan
miskin yang berkembang maju di dunia ini.

38. Maklumat di zaman maklumat ini tidak datang dari
punca orang Melayu. Sembilan puluh sembilan peratus
daripada maklumat yang kita perlukan akan datang
daripada bangsa-bangsa asing dalam Bahasa Inggeris.
Demikian juga teknologi untuk `hardware' dan `software'
diterokai dan diedarkan dalam bahasa Inggeris. Tidak
mungkin maklumat ini diterjemahkan kepada bahasa Melayu
untuk kita menggunakannya -- walaupun akan ada alat
penterjemahan yang canggih. Lagipun kita tidak boleh
tugaskan hanya beberapa kerat orang Melayu yang
terlatih dalam bidang I.T. untuk membuat penterjemahan
yang begitu banyak. Kita perlu tenaga mereka untuk
menangani maklumat dan teknologi yang bercambah yang
akan datang untuk kegunaan kita.

39. Adalah lebih praktikal bagi kita mempelajari
bahasa Inggeris yang sekarang sudah menjadi bahasa
antarabangsa. Tidak usahlah kita memberi alasan bahawa
kita sayang kepada bahasa kita, kita adalah nasionalis
bahasa dan kita hendak kembangkan bahasa kita.
Nasionalis yang sebenar ialah orang Melayu yang
menjayakan bangsanya dengan menguasai ilmu dan
memperolehi kejayaan sehingga ramai ingin belajar
bahasa bangsa yang berjaya ini. Di zaman teknologi
maklumat ini hanya mereka yang menguasai bahasa
Inggeris sahaja yang akan maju dan berjaya. Orang
Jepun, orang Peranchis dan orang China pun mengakui
hakikat ini dan sedang giat mempelajarinya.

40. Janganlah kerana pandangan yang sempit terhadap
bahasa Melayu maka orang Melayu sekali lagi terlepas
revolusi zaman maklumat, menjadi bangsa yang mundur,
dihina dan diperbodoh oleh orang lain. Janganlah orang
Melayu sekali lagi "beli di kedai Cina" kerana buta
maklumat. Percayalah kita akan dijajah semula jika
tidak menguasai bahasa ilmu ini. PAS yang akan
memutarbelitkan ucapan ini untuk memburukkan UMNO
adalah pengkhianat kepada bahasa, bangsa dan agama.


EKONOMI MELAYU SEBELUM MERDEKA

41. Seperti juga dengan bidang pelajaran tinggi,
keadaan orang Melayu dalam bidang ekonomi sebelum
merdeka tertinggal jauh berbanding dengan kaum-kaum
lain. Penjajah membolot 60 peratus daripada kekayaan
negara sementara yang baki dimiliki oleh bukan Melayu.
Mengikut perhitungan kasar yang dibuat, hanya satu
peratus sahaja daripada kekayaan ekonomi negara yang
berada di tangan orang Melayu di zaman penjajah. Di
bandar-bandar biasanya tidak ada kedai yang dimiliki
oleh orang Melayu. Semua perniagaan dimiliki dan
diusahakan oleh orang bukan Melayu. Pekerja, selain
daripada pemandu kereta dan `orderly' atau budak
pejabat, semuanya terdiri daripada bukan Melayu.

42. Di negeri-negeri yang tidak bersekutu di mana
Kerajaan tidak dikuasai sepenuhnya oleh Inggeris,
terdapat ramai juga pegawai pentadbiran dan kerani
Melayu. Mereka ini tinggal di bandar. Di negara
bersekutu iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri
Sembilan pegawai British mengepalai semua jabatan dan
ramai daripada pegawai rendah dan kerani terdiri
daripada orang India dan Ceylon.

43. Majoriti orang Melayu menjadi penanam padi atau
nelayan kecil dengan pendapatan yang amat rendah
sekali.

44. Jika kemerdekaan hendak dijadikan sesuatu yang
bermakna kepada orang Melayu, penyertaan mereka dalam
bidang ekonomi mestilah dipertingkatkan. Mereka perlu
diberi kesempatan berniaga dan meraih kekayaan yang
seimbang dengan kaum-kaum lain.

45. Pada mulanya Kerajaan Malaysia yang merdeka
memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar kerana
ramai daripada orang Melayu hanya tahu bercucuk tanam.
Tetapi ini hanya mengekalkan perpisahan orang Melayu
dari bandar dan tidak memberi mereka bahagian yang
berpatutan daripada kekayaan negara.


PELANCARAN DASAR EKONOMI BARU

46. Usaha untuk mengagihkan peluang untuk perniagaan
bagi Bumiputera tidak bermula secara bersungguh-sungguh
sehinggalah berlaku rusuhan kaum pada 1969. Apabila
Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk barulah terdapat
peluang yang berpatutan untuk orang Melayu menyertai
dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

47. Untuk maksud ini lesen, permit, kontrak Kerajaan,
kedai, kawasan hutan dan kawasan perniagaan, modal,
berbagai-bagai dana diadakan. Saham dari syarikat-
syarikat yang tersenarai dan syarikat baru diagihkan
kepada Bumiputera untuk menaikkan bahagian mereka dalam
perniagaan dan perusahaan. Latihan dan pelajaran
pengurusan diberi kepada yang berminat berniaga.
Kakitangan Kerajaan pun dibenarkan bersara lebih awal
dan kemudian diberi latihan dan peluang untuk menyertai
bidang perniagaan dan perusahaan.

48. Sepatutnya dengan bantuan Kerajaan yang begitu
besar, matlamat meningkatkan bahagian Bumiputera kepada
30 peratus daripada ekonomi negara tercapai. Malangnya
orang Melayu dan Bumiputera lain tidak mempunyai budaya
perniagaan. Walaupun ada yang berjaya sehingga dapat
memiliki perniagaan dan perusahaan yang agak besar,
tetapi majoriti daripada orang Melayu gagal mengekal
dan membesarkan perniagaan mereka. Segala bantuan dan
peluang gagal menjayakan matlamat sepenuhnya DEB.

49. Satu kelemahan yang ada pada peniaga Melayu ialah
mereka tidak sabar untuk menjadi kaya. Dengan itu
mereka menjual apa sahaja peluang dan peruntukan yang
diberi kepada mereka. Saham, lesen, permit, kontrak
dan lain-lain yang dikhaskan kepada mereka dijual terus
kepada orang lain untuk mendapat keuntungan serta-
merta. Selepas itu mereka memohon lagi. Dengan itu
perniagaan yang disertai oleh Bumiputera hanyalah
penjualan keistimewaan mereka. Selagi ini berlaku,
tidak mungkin Bumiputera mendapat bahagian mereka dalam
ekonomi.

50. Untuk saham yang diagih kepada Bumiputera terus
kekal di tangan mereka Kerajaan terpaksa menubuhkan
saham-saham amanah dan pelbagai agensi Bumiputera.
Alhamdulillah melalui cara ini bukan sahaja saham-saham
kekal di tangan Bumiputera dan menyumbang kepada
peratusan ekonomi yang dikhaskan bagi mereka, tetapi
lebih ramai Bumiputera dapat memiliki saham dalam
syarikat-syarikat besar. Daripada 12 juta Bumiputera,
tujuh juta lebih memiliki saham dalam syarikat besar
melalui saham amanah. Jelaslah bahawa tuduhan yang DEB
menguntungkan beberapa kroni Kerajaan sahaja adalah
tidak benar. Jika kita hendak memperkayakan kroni
adalah mudah bagi kita mengagihkan semua saham kepada
mereka sahaja dan tidak kepada tujuh juta Bumiputera
lain.

51. Tetapi cara ini tidak memberi peluang kepada
Bumiputera melibatkan diri secara langsung dalam
pengurusan perniagaan. Mereka akan hanya menjadi
`sleeping partner' sahaja yang jahil dalam pengurusan
perniagaan. Lagipun banyak daripada syarikat yang
pemilik terbesar ialah PNB tidak cergas kerana PNB juga
tidak dapat mengambil bahagian secara langsung dalam
pengurusan kebanyakan syarikat yang disertainya. Ini
bermakna sampai bila-bila pun orang Melayu akan jahil
dalam bidang perniagaan. Ini tidak akan menepati DEB.

52. Oleh sebab itu Kerajaan telah mengenalpasti tokoh-
tokoh perniagaan Bumiputera yang telah mencapai
kejayaan dalam pengurusan syarikat sendirian atau awam.
Bilangan mereka tidaklah ramai. Mereka ini diberi
peluang untuk membeli jumlah saham yang lebih besar
atau diberi projek-projek Kerajaan yang hendak
diswastakan. Sesiapa sahaja yang berbakat diberi
peluang.

53. Umumnya mereka ini berjaya dalam mengendali dan
menguruskan perniagaan yang besar ini. Kejayaan mereka
ini tidak disenangi oleh orang asing dan oleh beberapa
kerat orang Melayu sendiri. Tuduhan dibuat oleh media
asing bahawa semua mereka yang diberi peluang adalah
kroni Kerajaan, tanpa mengambilkira siapa mereka. Ini
bermakna tidak akan ada sesiapa pun daripada Bumiputera
yang boleh diberi peluang tanpa dituduh menjadi kroni
Kerajaan. Jika Kerajaan tidak hendak dituduh maka
individu Bumiputera tidak boleh diberi peluang sama
sekali dalam bidang korporat. Jika kita puas hati
melihat tidak adanya Bumiputera di peringkat perniagaan
besar dalam negara, tidak perlulah Kerajaan mendedahkan
diri kepada bermacam fitnah dan tohmahan dengan memberi
peluang kepada tokoh perniagaan Melayu. Jualkan sahaja
segala-galanya kepada orang asing dan mereka tidak lagi
akan tuduh Kerajaan mengamal kronisme. Atau jangan ada
penswastaan dan teruskan dengan pemilikan oleh
Kerajaan. Sila tanya pekerja telekom sama ada mereka
sanggup kembali menjadi pekerja Kerajaan dan dibayar
gaji Kerajaan. Lagipun kita tahu semua syarikat milik
Kerajaan tidak pernah maju.

54. DEB dan bermacam-macam usaha lain telah dibuat
oleh Kerajaan untuk mendapat penyertaan yang bermakna
oleh orang Melayu. Malangnya setelah mencuba lebih
dari 30 tahun kita tidak juga mencapai 30 peratus
daripada ekonomi/kekayaan negara bagi Bumiputera.
Desakan akan dibuat untuk Kerajaan berusaha lagi,
mengadakan pelbagai rancangan, menubuhkan berbagai-
bagai dana lagi untuk tujuan itu dan ini. Mungkin juga
kita akan mengadakan kongres ekonomi Bumiputera berkali-
kali untuk membuat berbagai-bagai resolusi bagi
Kerajaan melaksanakannya. Desakan akan dibuat untuk
Kerajaan mengambil tindakan terhadap resolusi-resolusi
yang dirumuskan.


PENCAPAIAN MELAYU MASIH RENDAH

55. Setelah 43 tahun berusaha, setelah berbilion
ringgit diperuntukkan, setelah beberapa bank dan
pelbagai dana ditubuhkan, hari ini pencapaian orang
Melayu dalam bidang perniagaan dan perusahaan masih
rendah. Kita masih berniaga di gerai tepi jalan dan
belum pun masuk ke kedai batu. Bandar-bandar baru di
Malaysia tidak mencerminkan penduduk berbilang kaum di
Malaysia. Di bandar-bandar lama kebanyakan warga kota
Melayu hanya terdiri daripada setinggan.

56. Apakah ini disebabkan Kerajaan tidak berusaha?
Kaum yang tidak diberi bantuan oleh Kerajaan jelas
berjaya. Kenapakah orang Melayu yang diberi bermacam-
macam bantuan tidak berjaya?

57. Selagi orang Melayu tidak mahu mengaku bahawa
kelemahan yang sebenar berada pada diri mereka sendiri,
selagi mereka tidak sanggup membetulkan kesalahan
mereka, selama itulah mereka akan gagal dalam bidang
perniagaan dan perusahaan. Apa dianya kelemahan ini
tidak perlu saya sebutkan di sini. Hanya yang saya
ingin perkatakan ialah mereka yang ingin kaya cepat
akan miskin cepat. Dalam dunia dan di akhirat juga
tidak ada yang mudah, tidak ada yang percuma. Hanya
mereka yang rajin, tekun, sabar dan jujur sahaja yang
akan berjaya baik dalam bidang ekonomi ataupun dalam
apa juga bidang.


MELAYU DI ZAMAN PENJAJAH

58. Penubuhan UMNO sebagai parti politik pada tahun
1946 menandakan tamatnya hampir 450 tahun bangsa Melayu
dan negeri-negeri Melayu dijajah. Sebelum ini siapa
sahaja boleh menjajah orang Melayu. Mereka tunduk
kepada sesiapa sahaja. Portugis, Belanda, British,
Jepun dan Siam pun semuanya diterima dan dihormati oleh
orang Melayu sebagai tuan kepada mereka.

59. Orang Melayu di zaman penjajah tidak bermaruah dan
tidak bersemangat. Mereka anggap diri mereka sebagai
manusia kelas dua dan mereka sedia menyerah apa sahaja
kepada orang lain yang mereka percaya lebih
berkebolehan daripada mereka. Pentadbiran negara,
perniagaan dan perusahaan, kerja biasa pun semuanya
diserah kepada orang asing.

60. Dengan itu pada satu masa awal abad ke-20 jumlah
orang asing di negeri-negeri Melayu melebihi jumlah
orang Melayu. Jika tidak kerana resesi dunia yang
teruk pada tahun tiga puluhan, hari ini orang Melayu
mungkin menjadi kaum minoriti di Malaysia seperti di
Singapura. Tetapi resesi 1930 telah menyebabkan ramai
daripada orang Cina dan India balik ke negara mereka.
Dengan itu jumlah orang Melayu melebihi sedikit
daripada orang mendatang. Dengan itu yang menuntut
kemerdekaan dan menerajui Kerajaan Malaysia yang
merdeka ialah orang Melayu. Kita nyaris menjadi Melayu
Singapura.

61. Inilah kesan daripada menyerah segala kerja dan
urusan kepada orang lain. Inilah kesan daripada sikap
tidak sanggup membuat kerja yang berat sedikit, yang
susah sedikit, yang berbeza sedikit daripada kerja
biasa -- iaitu menanam padi dan menangkap ikan. Orang
Melayu tidak sanggup dan tidak mahu bekerja dalam kebun
getah atau lombong bijih, atau belajar berniaga selain
daripada membuka gerai di tepi jalan atau menghampar
tikar di pasar dan duduk di tengah-tengah barangan yang
hendak dijual. Perniagaan mereka tidak membesar dan
peniaga Melayu biasanya tidak pindah ke kedai yang
lebih sempurna, lebih besar. Rezeki secupak orang
Melayu tidak pernah jadi segantang. Kais pagi makan
pagi, kais petang makan petang. Tidak ada esok bagi
perniagaan orang Melayu.

62. Sesungguhnya keadaan ekonomi orang Melayu di zaman
penjajah British amat buruk dan memalukan. Tetapi di
zaman Jepun orang Melayu masih ingin mengalu-alukan
kembalinya penjajah British.

63. Alangkah terkejutnya orang Melayu apabila mereka
diberitahu British berhasrat menjadikan negeri-negeri
Melayu sebagai milik mereka terus dan tidak lagi negeri
Melayu yang dilindungi British. Buat kali pertama
selama hampir 450 tahun mereka dijajah, orang Melayu
berhadapan dengan kehilangan secara langsung negeri-
negeri kerdil mereka, tanahair mereka. Mereka tidak
lagi akan mempunyai taraf sebagai anak watan Bumiputera
dalam sebuah negara mereka sendiri. Mereka akan
menjadi satu daripada kaum yang setaraf dengan kaum
mendatang. Lebih buruk lagi sementara mereka boleh
memiliki kewarganegaraan Malayan Union sahaja, kaum
pendatang boleh memiliki kewarganegaraan dua negara --
Malayan Union dan negara asal daripada mana mereka
datang. Dalam Malayan Union ciptaan British, orang
Melayu akan menjadi secara rasmi warganegara kelas dua.

64. Di zaman British politik dilarang bagi rakyat
biasa. Politik hanya untuk raja-raja dengan pembesar
mereka dan British. Dengan mudahnya British
mengambilalih semua kegiatan pentadbiran yang penting.
Raja-raja berkuasa secara terhad hanya dalam
pentadbiran agama Islam dan adat-istiadat Melayu.

65. Alhamdulillah kuasa yang sedikit ini telah
menyelamatkan orang Melayu daripada nasib yang menimpa
penduduk tanah jajahan Barat yang lain. Dalam
perjanjian dengan British yang berkuatkuasa selagi ada
matahari, bulan dan bintang di langit, syarat yang
penting ialah perkembangan agama Kristian di kalangan
orang Melayu tidak dibenarkan. Dengan itu
terselamatlah agama orang Melayu. Jika tidak, apa yang
berlaku di Maluku akan terjadi di Malaysia hari ini.

66. Kerana politik ditegah di kalangan orang Melayu,
dan tidak ada jawatan atau pangkat dalam pentadbiran
yang dipertandingkan, tidak ada perebutan tempat oleh
orang Melayu. Tokoh-tokoh agama memang ada dan mereka
mendirikan sekolah-sekolah agama pondok di utara
Semenanjung. Mereka juga tidak berpolitik dan mereka
menerima pemerintahan British seperti orang Melayu
lain. Dengan itu tidak ada persaingan antara orang
yang terpelajar dalam bidang agama dengan orang
daripada sekolah Melayu atau sekolah Inggeris.
Perpecahan kerana agama tidak berlaku. Alhamdulillah.

67. Apabila gerakan menentang Malayan Union berlaku,
tidak ada masalah bagi orang Melayu lulusan sekolah
agama, sekolah Melayu dan sekolah Inggeris bekerjasama
rapat untuk menentangnya. Semua orang Melayu menyertai
UMNO dan semua sama-sama menyokong perjuangan orang
Melayu melawan penjajah.

68. Berhadapan dengan bahaya negeri-negeri mereka
dirampas oleh British, raja-raja Melayu juga menyertai
secara tidak langsung gerakan menentang British.
Dahulu raja-raja Melayu dan pembesar jajahan sering
bertelingkah kerana perebutan tempat dan takhta.
Perebutan ini memberi peluang kepada penjajah memihak
kepada pihak tertentu untuk mengembangkan lagi pengaruh
mereka. Tetapi setelah British berkuasa pewaris kepada
takhta dan pembesar ditentukan oleh British dan
perebutan tidak berlaku lagi.


PERPADUAN KUATKAN MELAYU

69. Dalam keadaan orang Melayu tertekan dan daif,
dalam keadaan politik Melayu terhad dan tidak ada orang
agama atau orang lain yang memecahbelahkan orang
Melayu, dalam keadaan raja dan rakyat berhadapan dengan
bahaya yang sama, seruan kepada perpaduan menarik
`response' yang menggalakkan. Tidak ada sesuatu yang
lebih berkesan menyatupadukan orang Melayu daripada
percubaan merampas negeri-negeri mereka oleh penjajah.
Walaupun mereka serba daif, tidak mempunyai kewangan,
tidak berpelajaran dan berilmu, tidak mempunyai
senjata, namun perpaduan yang kukuh telah menyelamatkan
mereka.

70. British, satu kuasa besar dunia, yang baru menang
perang, yang begitu pintar dan cekap, terpaksa tunduk
kepada Melayu yang bersatu dalam sebuah parti politik
yang baru sahaja ditubuhkan oleh mereka. UMNO,
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, di bawah pimpinan
seorang anak Johor telah menyatupadukan semua orang
Melayu dan pertubuhan-pertubuhan mereka daripada semua
lapisan dalam satu pertubuhan politik, iaitu UMNO.
Pemimpin-pemimpin UMNO sahaja yang diberi mandat untuk
memprotes dan menuntut balik hak orang Melayu ke atas
negeri-negeri mereka.

71. Sebenarnya ini adalah kali pertama dalam sejarah
orang Melayu sejak sebelum kesultanan Melayu Melaka
yang orang Melayu sedar akan Kemelayuan mereka dan
bersatu sebagai orang Melayu. Sebelum ini mereka
menganggap diri mereka sebagai rakyat negeri masing-
masing dan kesetiaan mereka adalah kepada raja-raja
negeri mereka. Nasib yang malang yang menimpa sesuatu
negeri Melayu tidak mengundang simpati dan pertolongan
daripada orang Melayu negeri lain.

72. Terbahagi kepada negeri-negeri yang kecil, mereka
amat lemah dan mudah diperkosa oleh sesiapa sahaja.
Sebab itu satu demi satu daripada negeri-negeri ini
menerima naungan atau ditakluk oleh bangsa-bangsa
asing. Sejak kejatuhan kesultanan Melaka, di waktu
mana hampir semua negeri Melayu dan orang Melayu
menerima naungan Sultan Melaka; sejak itu negeri-negeri
Melayu terpaksa mencari penaung dari negara-negara
Barat dan negara jiran seperti Siam. Sejak kesultanan
Melaka tidak ada suatu masa yang negeri-negeri Melayu
betul-betul bebas dan merdeka, dan tidak pernah orang
Melayu bersatu kerana Kemelayuan mereka.

73. Kejayaan UMNO yang tercemerlang sekali ialah
penyatuan orang Melayu daripada semua negeri Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu. Penyatuan ini memberi
kekuatan kepada bangsa Melayu yang tidak pernah dirasai
oleh orang Melayu selama 450 tahun.


PELAJARI SEJARAH

74. Kata George Santayana, seorang ahli fikir Barat,
"Mereka yang tidak belajar daripada sejarah akan didera
dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali".

75. Apakah orang Melayu mendapat pelajaran daripada
sejarah mereka, terutama sejarah 450 tahun mereka
dijajah; lebih tepat lagi sejarah mereka dijajah oleh
British? Apakah mereka belajar daripada sejarah
politik mereka, daripada sejarah ekonomi mereka,
daripada sejarah agama mereka dan sejarah keilmuan
mereka?

76. Orang Melayu nampaknya tidak banyak mempelajari
daripada sejarah mereka. Melayu mudah lupa sejarah
mereka. Sebaliknya mereka amat gemar mewarnakan
sejarah mereka dengan cerita dongeng untuk ego mereka,
untuk menyedapkan hati dan berbangga dengan cerita-
cerita dongeng yang mereka cipta.

77. Demikian mereka suka menyebut ungkapan Hang Tuah
yang kononnya berkata, "Tak akan Melayu hilang di
dunia".

78. Sehingga hari ini benarlah kita tidak hilang.
Tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini.
Selama 450 tahun mereka hidup di negeri mereka sendiri
sebagai hamba bangsa-bangsa asing. Sekarang mereka
sudah bebas dan dapat memerintah diri sendiri. Tetapi
apakah mereka sudah menjadi bangsa yang berjaya dan
bermaruah.


KEBIJAKSANAAN PEMIMPIN UMNO

79. Orang Melayu boleh dikatakan bijak juga dalam
mentadbirkan sebuah negara yang penduduknya terdiri
daripada pelbagai kaum dan suku kaum. Umum mengetahui
bahawa negara berbilang kaum biasanya diancam oleh
permusuhan antara kaum yang kerapkali diikuti dengan
peperangan yang tidak berhenti-henti. Jika tidak ada
peperangan pun perhubungan antara kaum biasanya tegang.

80. Di Malaysia bukan sahaja terdapat kaum yang
berlainan tetapi perbezaan ini ditokok-tambah dengan
kelainan bahasa, budaya dan agama. Sesungguhnya
campuran ini amat mudah meletup.

81. Tetapi pemimpin-pemimpin Melayu UMNO di waktu
perjuangan untuk kemerdekaan telah menjalin satu sistem
kerjasama antara kaum yang amat bijak dan istimewa.
Sementara identiti kaum dikekalkan, kerjasama dalam
satu parti campuran dicipta yang tidak membelakangkan
kedudukan orang Melayu sebagai Bumiputera anak watan.
Kejayaan sistem ciptaan Melayu UMNO ini lebih
mengkagumkan kerana ianya dibentuk semasa pengganas
yang majoritinya daripada keturunan Cina sedang
melakukan serangan terhadap Kerajaan dengan tujuan
mendirikan sebuah republik yang akan dikuasai oleh
orang berketurunan Cina. Bahawa majoriti orang Cina
sanggup menyokong sebuah parti campuran kepimpinan
Melayu yang begitu keras menentang pengganas Cina
adalah bukti kemampuan kepimpinan orang Melayu UMNO
menangani masalah perkauman yang tebal di Malaysia;
menanganinya dengan tidak menggadai hak bangsa Melayu.
Tidak ada negara berbilang kaum yang lain yang berjaya
mengatasi masalah perkauman seperti Malaysia di bawah
pimpinan orang Melayu UMNO.

82. Inilah bukti kebijaksanaan orang Melayu dan
pemimpin-pemimpin mereka, iaitu pemimpin UMNO yang
menggunakan akal fikiran dan tidak nafsu dalam
pengurusan negara yang baru sahaja merdeka. Walaupun
ada saranan supaya orang Melayu merebut semua kuasa dan
menidakkan hak penduduk bukan Melayu, yang mana ini
sudah tentu akan memaksa orang Cina terutamanya
menyokong perebutan kuasa oleh pengganas Cina, tetapi
kepimpinan Melayu menolak desakan ini. Dengan itu
akhirnya pengganas di bawah kepimpinan orang
berketurunan Cina ditewaskan. Jika pada masa itu kita
mempunyai pemimpin Melayu yang tamak yang cuba merebut
semua untuk kita, hari ini Malaysia bukan sahaja tidak
aman tetapi tetap mundur seperti kebanyakan negara
membangun yang lain. Mungkin rusuhan berlaku sepanjang
masa.

83. Demikian kebijaksanaan kepimpinan Melayu UMNO
dalam politik dan pentadbiran. Dalam bidang
pembangunan ekonomi negara juga prestasi pemerintahan
yang diterajui Melayu UMNO jauh lebih baik daripada
yang dijangka. Pertumbuhan ekonomi di Malaysia
meningkat sepanjang masa, sehingga ia menjadi satu
daripada ekonomi ajaib di Timur Asia.


KELEMAHAN MELAYU

84. Tetapi pencapaian orang Melayu sendiri tidak boleh
dibanggakan. Ingatan mereka terlalu pendek. Selepas
hanya dua generasi, pengajaran daripada sejarah lama
dan baru sudah dilupakan atau tidak dapat difahami.
Bagi generasi yang membesar atau dilahirkan selepas
merdeka, kemerdekaan tidak mempunyai makna yang sama
seperti kepada mereka yang dilahirkan dan membesar di
zaman penjajah. Dan mereka tidak juga dapat
mempercayai tentang kemungkinan mereka dijajah semula.
Sekali merdeka, kononnya selama-lamanya merdeka, kata
mereka. Amatlah sukar bagi mereka menerima konsep
seperti neo-kolonialisme. Apakah orang putih yang
memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan,
pemerintahan mengikut undang-undang, demokrasi; apakah
orang ini berniat untuk menjajah mereka semula? Ini
semua adalah helah Kerajaan UMNO untuk menakutkan orang
Melayu supaya memberi sokongan kepada parti UMNO.
Generasi muda tidak boleh ditipu dan ditakutkan.
Kemerdekaan, kebebasan dan keselamatan orang Melayu
adalah terjamin. Mana-mana Kerajaan di Malaysia pun
akan menjamin keselamatan dan keselesaan hidup orang
Melayu.

85. Dengan ini percubaan tidak dibuat untuk mengubah
sikap dan mengatasi kelemahan-kelemahan yang dahulu
telah menyebabkan negeri-negeri Melayu dijajah,
dibanjiri oleh orang asing sehingga orang Melayu
menjadi minoriti. Orang Melayu masih mudah bersengketa
dan berpecah. Orang Melayu masih tidak sanggup
mengejar ilmu, tidak sanggup bekerja kuat, tidak mahu
belajar pengurusan perniagaan dan menghadapi risiko
perniagaan. Orang Melayu masih mencari jalan yang
mudah untuk cepat kaya. Dan ini termasuk menerima
sogokan.

86. Oleh itu di hari ini orang Melayu masih lemah
setelah 43 tahun bebas dan berkuasa di negeri sendiri.
Tanpa Kerajaan yang memihak dan membantu mereka dalam
semua segi, mereka akan jatuh tersungkur. Tanpa
diskriminasi positif oleh Kerajaan hanya 20 peratus
daripada kemasukan ke universiti akan terdiri daripada
anak-anak Melayu. Dan mereka ini pun akan lulus dengan
pangkat yang rendah, jika mereka lulus. Tanpa Kerajaan
yang prihatin terhadap nasib orang Melayu Naib Canselor
dan profesor, dan pensyarah akan terdiri daripada orang
lain dan bukan dimonopoli oleh orang Melayu seperti
sekarang.

87. Dalam Kerajaan pegawai tinggi dan pegawai
profesional bukan Melayu akan menjadi majoriti yang
terbesar. Kebanyakan Ketua Setiausaha Kementerian-
Kementerian akan terdiri daripada bukan Melayu.
Keadaan di mana hampir semua pejabat dipenuhi oleh
pegawai dan kakitangan Melayu akan berubah. Mungkin
juga orang yang hanya tahu bahasa Melayu akan
menghadapi masalah semasa berurusan dengan Kerajaan.

88. Dalam bidang ekonomi perniagaan orang Melayu akan
terhad kepada gerai-gerai yang berbumbung plastik biru
di tepi-tepi jalan. Tidak akan ada kedai batu Melayu
dalam bandar. Sudah tentu tidak akan ada bangunan
pencakar langit milik ahli korporat Melayu, bahkan oleh
dana-dana kepentingan Melayu.

89. Kerajaan yang tidak bersimpati dengan orang Melayu
akan menswastakan semua perniagaan awam dan jabatan-
jabatan kepada orang asing atau rakyat bukan Melayu.
Di bawah mereka entiti yang diswastakan ini akan
berkembang maju dan menjadi gergasi korporat. Mungkin
ada beberapa kerat orang Melayu sahaja yang akan
dilihat antara ramai pegawai lain.


MELAYU SUDAH LUPA PERJUANGAN

90. Sukar bagi kita menggambarkan keadaan seperti ini.
Setelah merdeka 43 tahun sukar bagi orang Melayu hari
ini memikir akan keadaan semasa kita dijajah dahulu.
Yang kita tahu ialah hari ini kita merdeka, hari ini
kita mempunyai Kerajaan yang dikuasai oleh kita, hari
ini Kerajaan melindungi kita. Takkanlah Malaysia boleh
mengadakan Kerajaan yang mengabaikan kepentingan
Melayu. Apa juga yang dibuat oleh orang Melayu mereka
tetap selamat. Jika mereka berpecah, berperang sesama
sendiri pun mereka akan selamat. Bahawa mereka masih
lemah dalam semua bidang, lemah daripada segi ekonomi,
tidak berilmu, kurang cerdik, mudah disogok, menjadi
penagih dadah, menghidap penyakit aids dan lain-lain;
semua ini tidak mengapa kerana mereka tetap selamat,
tetap akan mendapat perlindungan daripada Kerajaan
Malaysia.

91. Yang ternampak oleh orang Melayu ialah politik
demokrasi memberi jalan yang mudah untuk mendapat
sesuatu bagi diri sendiri. Sedikit sahaja usaha yang
perlu dibuat tetapi keuntungan yang akan didapati amat
besar. Dalam parti pemerintah dan parti-parti Melayu
lain, yang diutamakan ialah perebutan tempat.
Keupayaan memberi khidmat atau menyumbang kepada
kebaikan, kepada pembangunan orang Melayu dan negara
Malaysia tidak penting.

92. Perebutan inilah yang membawa kepada keruntuhan
akhlak sehingga kawan yang menolong kita pun sanggup
kita caci, sanggup kita jatuhkan. Rasuah sanggup
dihulur, agama sanggup diputarbelitkan dan bangsa
dipecahbelahkan. Tidak ada langsung penghargaan kepada
jasa dan bakti. Kita cantas, kita kebas, kita buat apa
sahaja untuk mencapai cita-cita besar kita.

93. Parti yang begitu berjasa kepada bangsa, agama dan
tanahair, bahkan kepada kita sendiri sanggup kita buruk
dan lemahkan dalam usaha kita untuk mendapat sesuatu
bagi diri kita. Perpaduan dalam parti, dan perpaduan
orang Melayu sendiri sanggup kita tolak dan sanggup
kita pecahkan.

94. Orang Melayu sudah lupa. Mereka sudah lupa
bagaimana dahulu mereka dijajah dan dihina kerana
mereka berpecah, tidak bersatupadu. Mereka sudah lupa
akan kekuatan dan kejayaan mereka apabila mereka
bersatu dan melawan British dan mencapai kemerdekaan.

95. Mereka sudah lupa akan tujuan sebenar perjuangan
politik mereka. Apakah perlu bahasa Melayu sahaja
dijadikan bahasa rasmi? Apakah taraf agama lain tidak
boleh disamakan dengan taraf agama Islam? Apakah perlu
ada perbezaan di antara Bumiputera dengan bukan
Bumiputera? Semua ini dilupakan. Dalam keghairahan
untuk mendapat undi daripada pihak tertentu semua
kepentingan Melayu yang diperjuangkan ini dijadikan
tajuk untuk tawar-menawar. Bagi undi dan kami sanggup
gugur apa sahaja yang dianggap hak orang Melayu.

96. Apakah perasaan orang Melayu terhadap penderhakaan
kepada kepentingan Melayu oleh parti Melayu tertentu
ini? Apakah mereka akan menyokong juga parti yang
secara terang-terang menolak hak keistimewaan orang
Melayu? Jawabnya "Ya", mereka akan terus menyokong.
Penyokong parti yang sanggup menggadai hak orang Melayu
akan meyakinkan diri mereka bahawa pendirian pemimpin
parti mereka hanyalah tipu helah untuk mendapat
sokongan bukan Melayu. Kononnya pemimpin mereka begitu
kuat pegangan kepada agama Islam dan tidak mungkin
membenarkan hak orang Melayu Islam tergadai. Apabila
sudah berjaya maka pemimpin dan parti mereka akan
teruskan agenda Islam mereka dan menipu orang bukan
Islam. Oleh itu penyokong mereka akan teruskan
sokongan mereka secara fanatik.

97. Cuba hitung. Hari ini 72 daripada wakil rakyat
Melayu adalah daripada parti Kerajaan dan 32 daripada
parti lawan. Jika hanya 21 kerusi lagi dimenangi oleh
parti lawan mereka akan dapat 53 dan UMNO dapat 51.
Untuk mendapat 21 kerusi lagi tidak susah. Dalam
kawasan yang mana UMNO menang sedikit sahaja, 200-300
undi daripada kaum lain akan memberi kemenangan kepada
parti lawan. Oleh itu membelakangkan kepentingan
Melayu untuk mendapat sokongan bukan Melayu memang
bijak.

98. Tetapi untuk memerintah perlu ada sekurang-
kurangnya 97 kerusi. Oleh itu jual-beli, tawar-menawar
mesti diteruskan. Apakah yang hendak dijual jika tidak
kepentingan Melayu? Kerajaan yang akan didirikan
dengan parti-parti tertentu tetap lemah kerana siapa
sahaja boleh menjatuhkannya. Jika parti yang berkongsi
menarik diri, Kerajaan campuran PAS akan jatuh.

99. Apakah Kerajaan yang lemah seperti ini boleh
memerintah dengan tegas? Apakah Kerajaan seperti ini
boleh melindungi orang Melayu yang masih lemah? Sama-
samalah kita renungkan.


DEMOKRASI ADA CACATNYA

100. Demokrasi adalah satu sistem politik yang terpaksa
diterima pakai oleh seluruh dunia sekarang. Demokrat
liberal Barat yang dikatakan percaya kepada kebebasan
telah bersumpah tidak akan membenarkan sistem-sistem
lain digunakan oleh mana-mana negara di dunia.
Kebebasan hanyalah untuk memilih demokrasi. Inilah
demokrasi dan kebebasan yang dimaksudkan oleh demokrat
liberal Barat.

101. Kita akui demokrasi baik. Ia memberi hak kepada
rakyat memilih orang yang terbaik untuk memerintah
negara mereka. Tentulah majoriti rakyat tidak akan
menganiaya diri mereka dengan memilih penyangak untuk
mendirikan Kerajaan.

102. Tetapi kita sudah lihat bagaimana rakyat beberapa
negara demokratik memilih orang yang tidak begitu
lurus, tidak berkemampuan untuk mendirikan Kerajaan dan
memerintah negara.

103. Rakyat mudah dipengaruhi. Jika rakyat begitu kuat
pegangan kepada agama, agama boleh dijual,
diputarbelitkan supaya majoriti rakyat tertipu dan
menyokong parti yang salah. Rakyat takut neraka. Oleh
itu beritahu mereka jika mereka ingin ke syurga
sokonglah parti yang mempunyai nama Islam walaupun ia
jelas mempermainkan Islam, bahkan menghina Tuhan. Jika
rakyat takut menjadi kafir, kata pada mereka, walaupun
kamu mengucap dua kalimah syahadat, kamu masih kafir
jika tidak menyertai parti `Islam', tidak mengundi
parti Islam ini.

104. Hari ini orang Melayu sudah dibiasakan dengan
rasuah, dengan sogokan. Mereka meyakinkan diri mereka
bahawa perbuatan mereka seorang tidak akan menukar
keputusan pilihanraya. Tetapi yang berfikiran demikian
bukan seorang sahaja. Beratus dan beribu akan berfikir
demikian. Dengan itu bangsa, agama dan negara boleh
dijual kepada sesiapa yang menghulur wang dan lain-
lain. Siapa yang menghulur lebih banyak akan menang.
Jelaslah demokrasi tidak menjamin Kerajaan yang dipilih
oleh majoriti rakyat tetap Kerajaan yang baik.
Penyangak, ulama songsang, pengamal rasuah dan kaki
maksiat juga boleh jadi pemimpin negara. Lihatlah
negara-negara yang mempunyai penyangak sebagai
pemimpin. Hancur negara dibuatnya, tetapi masih ramai
yang menyokong dan tidak mudah untuk menyingkirkannya.

105. Penolakan perpaduan oleh orang Melayu, kecacatan
dalam sistem demokrasi, putarbelit oleh ahli politik
yang rakus yang sanggup jual apa sahaja termasuk agama,
perasaan kebencian yang tidak berasas dan keruntuhan
moral orang Melayu sendiri, kehilangan semangat
kebangsaan -- semua ini boleh menyebabkan kuasa politik
Melayu menjadi luntur dan terlepas daripada tangan
mereka.

106. Apakah kita percaya apabila kita lemah orang lain
akan memelihara kita, melindungi hak kita? Apakah mana-
mana Kerajaan pun akan memberi layanan yang sama
seperti yang kita dapati sekarang ini? Apakah kita
berasa bangga apabila bangsa Melayu yang tak akan
hilang di dunia ini terpaksa diberi lindungan seperti
orang Red Indian di Amerika, disimpan dalam kawasan
rizab, dan dijadikan produk pelancongan?

107. Kemungkinan-kemungkinan ini semuanya cerita
dongeng untuk menakutkan orang Melayu supaya menyokong
Kerajaan. Orang asing tidak seburuk yang digambarkan.
Tidakkah mereka menunjuk simpati dan sokongan mereka
apabila Kerajaan melakukan kezaliman? Mereka, orang
asing, berperikemanusiaan. Mereka mendokong hak asasi
manusia. Mereka prihatin dan ingin melihat manusia
bebas. Mereka tidak akan menganiaya kita.

108. Apakah kita tidak lihat apa yang sedang berlaku di
sekeliling kita. Kononnya untuk mendisiplinkan
Kerajaan, penyangak matawang dilepaskan untuk
menjatuhkan nilai matawang, merosakkan ekonomi dan
memiskinkan negara yang sedang pesat membangun.
Berjuta pekerja menganggur, merusuh di jalan raya,
membakar kereta dan bangunan, merogol dan membunuh.
Pemerintah dijatuhkan kerana kononnya akan diganti
dengan pemerintah yang lebih adil dan demokratik.
Apakah kita tidak percaya semua ini mungkin berlaku
kepada kita apabila kita lemah dan kita memberi
kesempatan kepada bekas-bekas penjajah? Apakah benar
mereka ikhlas dan tidak akan menganiayakan kita? Sudah
lupakah kita sejarah penjajah kita dahulu, kesan
perpecahan di kalangan kita, kesan menyerah
pemerintahan kepada orang lain, kesan menyerah semua
pekerjaan dan perniagaan kepada orang lain.

109. Hanya yang buta dan yang pekak, atau yang celik
tetapi tidak mahu lihat, atau yang suka menipu diri
sahaja yang akan berkata semua yang diperkatakan ini
adalah percubaan untuk menakutkan orang Melayu dan ahli
UMNO supaya tidak menggunakan rasuah dan politik untuk
kepentingan diri.


ORANG ASING BENCI MALAYSIA

110. Bangsa asing yang dahulu menjajah kita, yang tidak
pernah menolong kita; bangsa asing ini tidak ada niat
baik kepada kita. Ya, benar hari ini mereka mengecam
Kerajaan Malaysia dan kepimpinannya kerana kononnya
tidak berlaku adil kepada pihak tertentu, kerana tidak
demokratik, kerana mengamalkan kapitalisme kroni dan
lain-lain. Mereka nampak begitu simpati dengan puak
yang kononnya ingin reformasi dan keadilan.

111. Ini adalah helah mereka sahaja. Kenapa mereka
tidak menyelamatkan orang Islam Bosnia dan Kosovar
daripada penjenayah Serb, kenapa biar sehingga 200,000
orang dibunuh, ramai dicederakan, dirogol sebelum
bertindak? Kenapa tidak pertahankan orang Palestin
daripada serangan Israel, yang membunuh kanak-kanak;
kenapa sekat makanan dan ubat bagi rakyat Iraq sehingga
ramai kanak-kanak lahir cacat dan ramai mati kelaparan
dan kurang rawatan?

112. Orang Islam di mana-mana sahaja ditindas. Apakah
mungkin di Malaysia mereka ini begitu bersimpati dengan
pembangkang, dengan sebuah parti yang kononnya berjuang
untuk mendirikan negara Islam? Islam bagi mereka
adalah sinonim dengan pengganas.

113. Jawapannya "Tidak". Tidak mungkin mereka
hendakkan Kerajaan oleh orang yang mereka cap sebagai
pengganas. Mereka hanya ingin menjatuhkan Kerajaan
Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan yang
sanggup mengkritik mereka apabila mereka mengganas,
Kerajaan yang menolak nasihat mereka untuk menyerah
pengurusan ekonomi negara kepada agen mereka, IMF dan
Bank Dunia.

114. Mereka benci kepada Malaysia terutama kepimpinan
yang ada sekarang, benci yang tidak terhingga, benci
dan sakit hati yang amat sangat. Mereka lebih benci
kerana Malaysia mampu menangkis serangan ekonomi dan
kewangan yang dilancar oleh mereka, dan berjaya tanpa
pertolongan sesiapa, berjaya dengan pendekatan sendiri,
dengan duit ringgit sendiri. Mereka benci kerana
setelah meramal Malaysia dan Kerajaannya akan jatuh
tersungkur, hari ini amat jelas bahawa bencana yang
mereka ramal tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya
Malaysia dapat pulih ekonominya sehingga pada tahun
2000 tumbuh dengan pesat semula, lebih pesat dari
negara-negara yang menerima `pertolongan' mereka.

115. Mereka benci kepada Kerajaan Malaysia kerana
mendedah niat jahat mereka apabila memperkenalkan
konsep globalisasi dan dunia tanpa sempadan.
Malaysialah yang mula mencabar dan menentang konsep ini
yang bertujuan menakluk dunia dengan kekuatan ekonomi,
dengan manipulasi wang dan dengan syarikat-syarikat
gergasi yang lebih besar dan lebih kaya daripada
kebanyakan negara di dunia. Hanya haprak yang suka
menjunjung orang putih sahaja yang tidak mengakui semua
ini.

116. Ya, memang Malaysia dibenci amat sangat, dibenci
dengan tidak terhingga, dibenci kerana bukan sahaja
kita negara membangun yang dianggap besar kepala tetapi
negara ini dipimpin oleh orang Islam dan negara ini
adalah negara Islam -- negara `terrorist', negara
pengganas. Media merekalah yang amat benci sekali
kerana segala-gala yang mereka ramal tidak berlaku.
Mereka meramal perkauman akan menghalang pembangunan
Malaysia setelah kita merdeka. Tetapi kita berjaya
menangani perkauman dengan cara kita sendiri. Apabila
berlaku peristiwa 1969 mereka begitu gembira kerana
ramalan mereka ternampak telah menjadi kenyataan.
Tetapi dalam masa yang pendek kita kembali tenang dan
kita cipta `affirmative action' yang berjaya
mengendurkan ketegangan antara kaum dan memulihkan
ekonomi negara.

117. Kita bukan sahaja pulih tetapi kita menjadi satu
daripada harimau ekonomi Asia. Proses industrialisasi
kita berjalan dengan lancar. Daripada negara pertanian
yang bergantung hanya kepada getah dan timah kita
berjaya menjadi negara industri pembuatan dan pedagang
yang ke-17 terbesar di dunia.

118. Mereka serang Ringgit kita dan media mereka
menanti-nanti kita mengemis kepada IMF dan Bank Dunia.
Kita tidak mengemis. Kita pulih negara kita dengan
usaha kita sendiri, dengan wang kita sendiri. Maka
bertambah marahlah mereka. Dan ada tanda-tanda yang
mereka sedang berusaha lagi untuk meruntuhkan ekonomi
negara kita melalui laporan dan tulisan mereka supaya
pelabur asing menolak Malaysia, pelancong tidak datang
ke Malaysia, supaya pasaran saham kita jatuh, hutang
tidak berbayar meningkat, bank dan syarikat menjadi
tenat. Kita memerhati percubaan mereka ini dan kita
menyediakan strategi pertahanan kita.

119. Orang asing dan media mereka tidak ada niat baik
terhadap kita. Mereka bukan ingin tukar Kerajaan ini
dengan Kerajaan yang lebih adil dan demokratik. Yang
mereka ingin melihat ialah negara kita ini mengalami
nasib buruk seperti yang berlaku kepada negara-negara
tertentu, di mana Kerajaan tidak mampu menstabilkan
negara, menjamin keselamatan dan memulihkan ekonomi.
Mereka hanya ingin melihat kerosakan dan masalah yang
menimpa negara lain menimpa negara kita juga. Mereka
ingin kita menjadi `client state' boneka mereka.

120. Mereka bukan sayang kepada parti lawan dan ingin
melihat mereka mengambilalih Kerajaan Malaysia. Mereka
hanya menggunakan parti lawan sebagai alat untuk
menjayakan niat buruk mereka. Jika ada orang tertentu
untuk ditonjolkan sebagai obor untuk mengumpul rakyat
dan mempengaruhi dunia tentang keburukan Kerajaan yang
mereka tidak suka maka nasib buruk orang itu akan
dijaja di seluruh dunia. Kononnya layanan terhadap
orang tertentu ini menunjuk betapa tidak adilnya negara
tertentu, betapa tidak demokratik dan tidak
berperikemanusiaan. Tetapi apabila beribu-ribu orang
di Palestin, Bosnia, Kosovo dibunuh dengan kejam mereka
tidak memburukkan Israel atau Serbia. Di negara mereka
sendiri ketidakadilan yang ketara berlaku kerana
sentimen perkauman kulit putih dan mahkamah mereka
selalunya berat sebelah. Ini tidak pula menarik
tuduhan oleh media mereka bahawa mereka tidak adil.

121. Mereka mendakwa tunjuk perasaan dan demonstrasi
adalah hak asasi manusia dan demokratik. Tetapi
apabila ini berlaku di negara mereka sendiri, mereka
pukul, mereka tembak dan mereka tangkap pejuang-pejuang
yang mengamalkan hak-hak ini. Cakap tak serupa bikin.
Dua kali lima sahaja. Katakan orang kita yang lebih.


JANGAN BENAR DITIPU

122. Orang Melayu jangan benar diri ditipu oleh orang
asing. Jangan menjadi alat orang asing untuk
merosakkan negara sendiri. Jangan mengkhianati bangsa
dan agama. Jangan menderhaka. Jangan lupa sejarah
penindasan kita oleh penjajah dahulu.

123. Kita akui negara kita dan Kerajaan yang ada ini
tidak bebas daripada kesalahan, daripada kecacatan.
Sebagai bangsa yang bebas dan berdaulat kita harus
selesaikan masalah kita dengan usaha kita sendiri.
Proses demokrasi walaupun tidak boleh menjamin semua
hasilnya baik, tetapi masih boleh diguna untuk
mengatasi masalah-masalah sesama kita dan dalam negara
kita. Jangan cepat lari untuk mencari pertolongan
daripada `sherif' bangsa lain.

124. Orang Melayu perlu berfikiran waras. Jangan benar
nafsu mempengaruhi dan mengatasi akal fikiran. Jangan
benar perasaan benci semata-mata menguasai pendirian
kita. Jangan gemar dengan fitnah, kerana al-Quran
jelas meletakkan fitnah sebagai lebih bahaya daripada
membunuh, seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 191, yang
bermaksud:

"Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada
pembunuhan"

Mereka yang melemparkan fitnah melakukan keburukan yang
besar, lebih besar daripada keburukan membunuh. Mereka
yang menolong menyebarkan fitnah, mereka juga bersalah.
Takutlah kepada Tuhan, kepada Allah S.W.T. Jangan
melempar fitnah, jangan menyebar fitnah dan jangan
mempercayai fitnah. Demikian surah Al-Hujuraat ayat 6
dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang
kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara yang tidak diingini - dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan
kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"

125. Buatlah penilaian yang baik terhadap apa-apa tuduhan.
Bukankah hampir semua daripada tuduhan yang dilempar
terhadap Kerajaan tidak berasas. Rancangan Perairan Muda
dikatakan menyeksa tanah, Jambatan Pulau Pinang membazir,
Dasar Ekonomi Baru hanya menguntungkan beberapa kroni
Kerajaan sahaja, kereta Proton tidak mungkin berjaya,
penswastaan tidak menolong membangunkan negara, kawalan
pengaliran modal tidak mungkin memulihkan ekonomi negara
dan seribu satu lagi tuduhan, yang semuanya didapati tidak
berasas. Demikian juga dakwaan kononnya Dr Mahathir buang
suara ahli bawahan dalam bakul sampah, tidak percaya agama
dan menggunakan perkhidmatan bomoh, tidak sembahyang subuh
-- semuanya fitnah belaka.

126. Sila dapatkan bukti dan butiran yang jelas berkenaan
dengan tuduhan dan dakwaan ini dan berkenaan projek-projek
ini dan projek-projek lain dan dasar Kerajaan. Tidakkah
DEB memberi peluang pelajaran tinggi kepada ratusan ribu
anak Melayu termasuk anak orang PAS sehingga mereka hari
ini berpendapatan berkali ganda lebih daripada ibu bapa
dan keluarga asal mereka? Bukankah Proton satu perusahaan
yang berjaya sehingga tiga per empat daripada kereta di
jalanraya adalah Proton, dan mereka yang dahulu tidak
mungkin memiliki kereta sekarang ke sana, ke sini dengan
kereta Proton? Bukankah dunia hari ini terpaksa mengakui
bahawa kawalan modal ala Malaysia mampu memulihkan ekonomi
negara?

127. Kenapakah orang asing sanggup bermati-matian untuk
datang ke Malaysia? Apakah kalau negara mereka lebih
baik, lebih banyak peluang kerja, mereka akan datang ke
sini?

128. Apakah Malaysia bukan negara Islam? Berapa banyakkah
negara yang 40 peratus penduduknya menganuti pelbagai
agama lain, tetapi Islam dapat dijadikan agama rasmi?
Apakah ukuran yang dikehendaki sebelum negara ini boleh
diakui sebagai negara Islam? Sila sebut dengan jelas dan
terang. Apakah hanya setelah hukum hudud dilaksanakan
baru pihak ini akan menerima Kerajaan ini bukan Kerajaan
kafir, bukan sekular. Jika PAS berhasrat mengadakan
Kerajaan Islam, apakah PAS mahu menolak parti-parti DAP
dan Keadilan yang bukan Melayu dan bukan Islam yang
sekarang menjadi rakan politik PAS?


PAS SANGGUP TIPU

129. PAS tidak mahu tipu orang Cina, kata pemimpin PAS.
Tetapi PAS sanggup tipu orang Melayu dengan mendakwa masuk
PAS masuk Islam, undi PAS masuk syurga, sembahyang imam
UMNO tidak sah, sembelihan orang UMNO haram dan bermacam
lagi. Sekarang beritahu apakah jenis Kerajaan yang tidak
mengikut sistem Kerajaan UMNO yang dikatakan kafir yang
hendak didirikan oleh PAS. Apakah Kerajaan itu demokratik
jika segala-galanya mesti dirujuk kepada Dewan Ulama yang
tidak dipilih oleh rakyat. Apakah PAS bercadang untuk
melaksanakan hukum hudud ke atas orang bukan Islam?
Apakah PAS akan menghapuskan Mahkamah Sivil dan hanya
mengadakan Mahkamah Syariah sahaja untuk semua jenayah,
termasuk kes liwat dan rogol? PAS harus terangkan secara
jelas dan terperinci jenis Kerajaan yang dianggap oleh PAS
tidak kafir dan tidak sekular yang PAS ingin jadikan
sistem pemerintahan negara kita Malaysia. PAS sekarang
pandai tulis sepanduk dalam bahasa Cina. Oleh itu,
sediakanlah perlembagaan negara yang dirancang oleh PAS
dalam bahasa Cina, jika PAS tidak berhajat menipu orang
Cina seperti PAS menipu orang Melayu. Beritahu secara
bertulis jenis Kerajaan yang akan didirikan oleh PAS
kepada sahabat karib PAS dalam DAP dan Suqui.

130. PAS sudah janji ladang babi bagi orang Cina di
Terengganu dan tanah simpanan Melayu di Kelantan untuk
sekolah Cina. Sila beri maklumat berkenaan dengan dua
janji ini. Kenapakah sementara orang Melayu dari negeri
lain tidak boleh memiliki tanah di Kelantan, manakala
orang Cina hendak diberi milik tanah?


SEBAGAI NEGARA ISLAM MALAYSIA DIIKTIRAF

131. Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam dan
banyaklah kerajaan negara Islam lain yang menganggap
Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik untuk
mereka. Negara Islam dan institusi Islam memberi pelbagai
anugerah kepada Malaysia kerana kagum dengan kemajuannya
dan kemajuan agama Islam di Malaysia. Lebih seratus
negara Islam dan bukan Islam menghantar penuntut mereka ke
Universiti Islam Malaysia. Tetapi di Malaysia ada orang
Islam yang mendakwa Malaysia bukan negara Islam dan
pemerintahannya pemerintahan kafir dan sekular.

132. Kita ingin tentukan yang mana satu dari negara-negara
yang dunia akui adalah negara Islam yang PAS terima
sebagai Islam. Jika pelaksanaan hukum hudud menjadi
kriteria untuk PAS akui sebagai negara Islam sila
tunjukkan negara mana yang melaksanakan hukum hudud di
zaman ini. Setakat yang kita dapat sahkan tidak ada satu
pun negara yang menguatkuasakan hukum hudud, iaitu
daripada cara pembicaraan sehingga ke pelaksanaan hukuman.
Ini bukan bermakna mereka menolak hukum agama tetapi
kerana masyarakat sekarang berbeza dengan masyarakat Islam
di zaman Nabi. Tidak ada yang bebas daripada dosa besar
yang sanggup memberi keterangan sebagai saksi. Namun
jenayah tetap berlaku dan penghakiman terpaksa dibuat.
Apakah ini bertentangan dengan agama Islam? Sila
jelaskan.


KEJAYAAN KITA DIAKUI

133. Kita sudah merdeka 43 tahun dan dunia akui kejayaan
dan kemajuan kita. Pendapatan per kapita meningkat
daripada 300 Dolar Amerika setahun sebelum merdeka kepada
4000 Dolar Amerika setahun sekarang. Seluruh negara,
bukan sahaja bandar, mempunyai bekalan elektrik dan air,
mempunyai masjid, klinik, hospital dan sekolah, jalan
raya, lebuh raya, jalan kampung bertar. Bukan sahaja
semua rakyat mendapat upah bekerja tetapi dua juta orang
asing menumpang peluang pekerjaan di negara ini. Tidak
ada kekurangan makanan atau pakaian. Yang termiskin pun
diberi rumah yang selesa.

134. Perhitungkan nikmat yang banyak yang kita terima di
negara yang bertuah ini. Dan fikirkan bagaimana semua ini
diadakan. Ia tidak datang bergolek, tidak datang
melayang. Ia diusahakan oleh Kerajaan. Kerajaan pilihan
rakyat, Kerajaan yang diterajui oleh UMNO, yang tetap
memelihara dan melindungi hak orang Melayu di samping
mengambilkira hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Kita
tidak rampas hak orang kaya untuk diberi kepada rakyat
yang miskin. Kita besarkan kek ekonomi negara dan
daripada yang besar ini kita agihkan secara saksama kepada
semua kaum.

135. Hanya yang kita tidak senang hati ialah pencapaian
orang Melayu sendiri. Mereka terlalu leka, terlalu yakin
akan ada pihak yang akan menyelamat mereka, akan menolong
mereka. Ramai daripada mereka yakin Kerajaan mana pun
akan melayan semua kehendak mereka. Mereka yakin kuasa
politik mereka akan kekal dan menentukan mereka terus
berkuasa selama-lamanya.


MELAYU BOLEH

136. Justeru itu, apa perlunya mereka berusaha, mereka
rajin dan kuat bekerja, mereka menguasai segala ilmu dan
kecekapan supaya mereka tidak lagi perlu bergantung kepada
kuota, kepada bantuan, kepada pilih kasih, kepada hak
istimewa orang Melayu. Bodohlah jika kita boleh dapat
dengan mudah, dengan percuma tetapi kita pilih untuk
bersusah payah membuat sendiri, membeli dengan duit
sendiri.

137. Kita tidak pun perlu berterima kasih kepada orang
yang menolong kita, yang memberi sesuatu kepada kita,
kerana apa yang kita dapat memang pun kita punya. Kita
sebenarnya berhak menggigit tangan yang memberi kerana ada
tok guru kita yang telah mengajar kita supaya jangan
berterima kasih.

138. Orang Melayu bukan bodoh, bukan tidak cerdik, tidak
cerdas otak. Mereka adalah sama dengan bangsa-bangsa
lain. Apa bangsa lain boleh buat, orang Melayu boleh
buat. Tetapi kalau kita tidak sanggup buat maka mustahil
hasilnya akan menjelma dengan sendirinya.

139. Kita perlu berusaha, kita perlu rajin dan kuat
bekerja, kuat menuntut ilmu dan segala kecekapan, kuat
berpegang kepada nilai-nilai yang mulia, menolak segala
kemungkaran dan mengamal yang makruf dan lain-lain yang
boleh meningkatkan prestasi kita. Kita boleh. Orang
Melayu boleh. Allah mengurniakan kepada kita apa yang
dikurniakan kepada orang lain, kepada bangsa-bangsa yang
maju di dunia. Allah S.W.T. telah tentukan apabila
manusia membuat sesuatu berulang kali ia tetap menjadi
cekap, menjadi pandai. Lebih daripada itu entah
bagaimana, zuriat kita mewarisi kepandaian dan kecekapan
itu. Jika bangsa Melayu sanggup bertekun, rajin dan tidak
mudah bosan dengan mempelajari dan membuat sesuatu, insya-
Allah mereka akan menguasai apa yang dituntut akhirnya,
untuk dunia dan untuk akhirat juga.


UBAH SIKAP UNTUK SELAMAT

140. Tetapi permulaan mestilah dibuat. Permulaannya
bermula dengan mengikis kepercayaan bahawa kita tetap akan
selamat kerana Kerajaan mana pun akan menolong kita. Cuba
fikir akan kemungkinan kita tidak akan dilindungi dan kita
perlu berdikari, berdiri atas kaki sendiri. Orang yang
selalu terlentang di atas tikar tidak mungkin berdiri
kerana kakinya lemah dan kepalanya pening. Jika kita
ingin berdikari, berdirilah atas kaki sendiri, jangan
bergantung kepada orang lain, jangan meminta-minta.
Seboleh-bolehnya jangan terima bantuan. Jika terima
bayarlah harganya atau balas balik. Ini lebih mulia
daripada selalu meminta-minta. Sudah tentu ini lebih
mulia daripada sikap tidak bersyukur dengan pertolongan.

141. Orang Melayu yang tidak bergantung kepada hak
istimewa mereka, yang tekun berusaha, yang sabar, dan
tidak ingin cepat kaya melainkan dengan usaha sendiri,
dengan cara yang halal, akan menjadi orang Melayu yang
mampu bertahan dan berjaya. Masyarakat Melayu yang
dipenuhi dengan Melayu seperti ini akan lebih selamat dan
dapat bersaing dengan jayanya dengan sesiapa dalam apa
juga keadaan.

142. Tak lama lagi, apabila globalisasi menjadi kenyataan
orang Melayu tidak lagi dapat bersembunyi di belakang hak
istimewa mereka, di belakang DEB, di belakang sempadan
negara mereka. Apabila benteng negara kita dirobohkan
oleh bangsa asing dengan globalisasi mereka, segala dasar
mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai
anak bumi Malaysia, akan dicabar. Demokrasi, hak sama
rata, meritokrasi, hak asasi manusia; semua ini akan
diguna untuk membelasah hak istimewa orang Melayu. Akan
ada orang Melayu sendiri yang akan menjadi pengkhianat dan
menyokong serangan orang asing ke atas orang Melayu.
Mungkin orang ini berasa malu tetapi lebih mungkin mereka
hendak bermuka-muka untuk dipuji oleh Tuan mereka. Ramai
orang Melayu yang akan jadi kaki bodek orang asing, yang
ingin dipuji kerana mereka kononnya begitu progresif dan
`worldly'. Mereka lebih teruk daripada orang asing ini.
Hari ini pun kita boleh kesan haprak ini.

143. Kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, kita
dapat kekalkan hak kita jika kita tidak mempunyai kekuatan
berdikari, tidak dapat hidup melainkan disuap oleh orang
lain. Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam
sejarah sahaja. Tak akan Melayu hilang di dunia.
Demikian kata Hang Tuah. Kata-kata keramat ini boleh kita
ulangi, boleh kita bincang, boleh kita jadikan tajuk
seminar. Tetapi jika orang Melayu masih tidak sanggup
bekerja kuat, tidak sanggup mengejar ilmu dan kecekapan
sezaman, kita masih boleh hilang atau kembali menjadi
hamba orang seperti di zaman penjajah. Dan kemungkinan
ini, menjadi lebih jelas dan nyata kerana orang Melayu
sudah berpecah, sudah menolak perpaduan kerana ramai sudah
menjadi terlalu tamak sehingga bangsa dan agama juga tidak
lagi penting seperti perebutan kuasa oleh parti dan oleh
orang tertentu.

144. Wahai bangsa Melayu, sudah lupakah kamu?

Sumber : Pejabat Perdana Menteri