Thursday, August 25, 2011

pantun " Bagaikan musang berbulu ayam."


" Bagaikan musang berbulu ayam.".Maka terciptalah pantun ini.

Kalaulah pasang tidak terduga,
Ombak menjulang sampai ke tepi.
Kalaulah musang musanglah juga,
Mengira ayam dalam bermimpi.


terimakasih(sumber:Datin Asima Abdul Latiff)

pantun memendam rasa

Assalamualaikum.. pantun memendam rasa

Air di bagan mulai surut,
Orang Penanti ke Kuala Kedah.
Luka ditangan tertinggal parut,
Luka di hati sakit tak sudah.

terimakasih(sumber:Datin Asima Abdul Latiff)

Sunday, August 21, 2011

PM: Syarikat bumiputera dibantu


NAJIB Tun Razak diiringi Abdul Rahim Tamby Chik bersalaman dengan para peserta selepas merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di UiTM Shah Alam, semalam. – BERNAMA

Oleh HELMI MOHD. FOAD
dan RAJA SHAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 Ogos – Kerajaan akan membantu membangunkan syarikat-syarikat bumiputera melalui pelaksanaan sistem meritokrasi bagi memastikan hanya usahawan yang berkemampuan dan tulen dapat dilahirkan, sekali gus menjayakan agenda memajukan ekonomi masyarakat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi tujuan itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sedang dalam proses membantu menyenaraikan sejumlah 1,100 syarikat bumiputera ke dalam Bursa Malaysia dan program tersebut akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.

Menurutnya, format tersebut diyakini akan lebih berjaya berbanding dahulu iaitu golongan bumiputera diberi saham sehingga mencecah RM60 bilion, tetapi sekarang hanya tinggal RM2 bilion.

“Kita kenal pasti syarikat yang boleh disenaraikan di bursa saham, kalau dapat sedikit pertolongan kerajaan, dia boleh. Setakat ini nilai saham hampir RM1 bilion.

“Dalam masa terdekat ini, kita akan bentangkan syarikat tersebut. Ini satu cara baik kerana cara dulu dia tidak dapat bertahan dan tidak mapan sebab tiada kemampuan hendak pegang saham, jadi kalau beri saham, bila harga naik dia jual saham itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera anjuran bersama Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Hadir sama pada konvensyen dua hari itu ialah Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan tersebut tidak mengamalkan kaedah ‘siapa yang kamu kenal’, tetapi tahu bagaimana menjalankan operasi perniagaan dan cara itu sekali gus dapat menghapuskan kronisme dan ketirisan dalam pemberian projek dan tender kerajaan.

“Ada orang datang jumpa saya minta tandatangan tetapi apabila diselidik di belakangnya sebenarnya bukan bumiputera. Sewaktu saya menjadi Menteri Besar Pahang dahulu, apabila saya perhati di tempat letak kereta, dia sudah berurusan dengan orang lain. Dapat kawasan balak kemudian jual kepada orang lain.

“Istilahnya let go, jadi berlaku ketirisan. Kalau begitu tunggu sampai kucing bertanduk pun kita tidak akan maju dan kalau tidak ubah sikap sampai bila pun kita akan bergelut isu yang sama,” tegasnya.

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan akan mempertimbangkan resolusi yang dihasilkan melalui konvensyen tersebut bagi membolehkan ia menjadi input kepada penambahbaikan agenda bumiputera yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Percayalah, kerajaan amat komited untuk melakukan proses transformasi menjadi negara maju menjelang 2020 dengan negara mempunyai pendapatan tinggi supaya kemakmuran (ekonomi) boleh diagihkan. Kalau negara tiada pertumbuhan dan tidak berkembang lima atau enam peratus, bagaimana hendak agihkan kepada semua,” katanya.

Keduanya jelas Perdana Menteri, kerajaan juga akan memastikan kekayaan diagihkan secara adil dan saksama iaitu dengan mengambil kira keperluan masyarakat di pedalaman yang memerlukan satu dasar bagi membantu mereka untuk turut berjaya.

“Ada orang kata sudah sampai masanya tidak perlu lagi tindakan afirmatif, kuota tak perlu, sudah sampai masa kita amalkan masyarakat meritokrasi. Saya kata orang bukan Melayu kaya, tetapi mereka kaya sebab negara kita stabil, ditadbir urus dengan baik. Sejak dulu lagi, siapa bagi lesen beras, lesen bank, lesen gula, sebab itu mereka berjaya, sebab kepemimpinan Melayu adil.

“Namun, jangan mereka tidak bertimbang rasa kepada orang Melayu. Orang Melayu sebahagian besar berada di luar bandar, masih perlukan pertolongan daripada kerajaan melalui dasar yang menguntungkan semua pihak sebab kalau kita hendak laksanakan meritokrasi sepenuhnya, tak adil,” katanya.

Najib juga menyeru golongan bumiputera agar menyesuaikan diri dengan struktur baru ekonomi melalui perhubungan yang konstruktif sesama mereka.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm)ARKIB : 20/08/2011

YAB Dato Seri Najib Tun Razak: Jihad ekonomi Melayu bumiputera



1.0 TERIMA kasih kepada Gabem kerana menjemput saya merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi yang bertemakan Satu Jihad Ekonomi Bumiputera.

2.0 Kita dalam satu suasana yang menampakkan bahawa rata-rata masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu ingin kepada suatu pembentukan masyarakat yang adil dan saksama dalam erti kata bahawa kalau sebut tentang pengagihan kekayaan negara, biarlah pengagihan itu dapat menepati prinsip keadilan, dapat melambangkan bahawa jika orang Melayu dan bumiputera merupakan majoriti dalam negara kita, maka tidak adil kalau kekayaan negara kita tidak mencerminkan kedudukan kaum bumiputera yang majoriti dalam negara.

3.0 Itulah merupakan pemikiran dan intipati, bukan baru ini tetapi 40 tahun dahulu. Waktu kita melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan afirmatif yang pertama dalam sejarah negara bermula pada awal tahun 70-an, kerana apa? Kerana orang Melayu tidak sanggup menjadi bangsa yang terpinggir di bumi negara mereka sendiri.

4.0 Kini 40 tahun lebih sudah berlalu, dalam kita berkonvensyen seperti ini, elok kita lakukan proses retrospektif melihat di mana kita berada sekarang, untuk kita bertanya pada diri, apa kejayaan kita dan apa kelemahan dan kekurangan serta penambahbaikan yang perlu kita lakukan.

5.0 Sebagai sebuah kerajaan, saya telah menyatakan lebih awal lagi bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir, yang penting adalah untuk kita mendengar isi hati rakyat, mendengar bisikan naluri rakyat.

6.0 Apa sebenar rakyat hendak, sebab itu saya beri jaminan bahawa Majlis Tindakan Agenda Bumiputera akan memberi pertimbangan yang serius kepada resolusi konvensyen yang kita adakan pada hari ini.

7.0 Sebab kita hendak lakukan yang lebih baik. Kita ada idea, perancangan, agenda dan fokus yang lebih tetapi penambahbaikan idea-idea dalam konvensyen seperti ini perlu dijadikan input untuk pertimbangan kerajaan.

8.0 Tuan dan puan-puan sekelian, percayalah, kerajaan amat komited kepada dua perkara, pertama, kita komited bahawa kita tidak hendak mereka memperlekehkan negara kita kerana negara ini dalam apa juga keadaan dipimpin orang Melayu sebagai teras pemerintahan negara dan UMNO adalah merupakan tunjang kerajaan yang ada hari ini.

9.0 Itu merupakan hakikat dan di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita komited untuk mentransformasi negara ini sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

10.0 Kerana kalau negara maju, kemakmuran itu boleh kita agihkan, kalau negara kita tidak ada pertumbuhan ekonomi, tidak berkembang lima (hingga) enam peratus setahun, bagaimana hendak agih kepada semua, kepada negeri-negeri, hendak beri peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

11.0 Semuanya datang daripada punca kekayaan hasil negara. Kalau negara kaya, Insya-Allah, tunggak kedua, untuk mempastikan kekayaan diagihkan secara adil dan saksama.

12.0 Ada orang kata sudah sampai masanya, tidak perlu lagi tindakan afirmatif, ada kata tidak perlu lagi kuota, sudah sampai masa kita mengamalkan masyarakat meritokrasi sepenuhnya. Ada yang kata begitu dalam kalangan orang Melayu yang dipanggil liberal.

13.0 Saya kata bahawa bukan Melayu kaya, dia kerja kuat, ya memang betul tetapi mereka kaya kerana negara kita stabil, ditadbir urus dengan baik.

14.0 Sejak dulu lagi, siapa beri lesen beras, lesen bank, lesen gula, sebab itu mereka berjaya, kerana kepimpinan UMNO, orang Melayu adil tetapi jangan mereka tidak bertimbang rasa kepada orang Melayu.

15.0 Mereka juga kena berlaku adil kerana orang Melayu sudah berada dalam keadaan disadvantage, sebahagian besar kita berada di luar bandar, pinggir bandar yang masih memerlukan pertolongan daripada kerajaan melalui dasar-dasar yang menguntungkan semua pihak. Sebab kalau kita hendak laksanakan meritokrasi sepenuhnya, tak adil.

16.0 Ada sebuah kampung di Hulu Tembeling, Pahang namanya Kampung Bantal dan sebuah lagi Kampung Pagi, kalaulah anak Kampung Bantal dan Pagi hendak berjaya berbanding anak yang membesar di Lembah Klang, kalau kita tidak beri pertimbangan tertentu, anak Kampung Bantal dan Pagi tidak mungkin dapat merasai tempat yang lebih baik dalam negara kita.

17.0 Sebab itu kita mesti adunkan antara meritokrasi dan keadilan sosial. Kalau tak ada meritokrasi, langsung tak ada meritokrasi, apa akan jadi kepada negara kita? Kita akan menjadi sebuah negara mediokcrity, maknanya kita tidak mengejar kecemerlangan.

18.0 Anak di luar bandar tidak boleh kita pinggirkan, perlu diberi peluang, sebab itu hala tuju dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kita adunkan meritokrasi dan keadilan sosial.

19.0 Kita perlu mencari hala tuju yang boleh diterima oleh majoriti rakyat. Sebab itu agenda untuk kita memperjuangkan kedudukan Melayu bumiputera dalam bidang ekonomi, merupakan agenda yang kita amat komited untuk menjayakannya.

20.0 Kita sentiasa memikirkan idea-idea baru, dua tahun lalu kita lahirkan Skim Jejak Jaya Bumiputera di mana kita kenal pasti syarikat-syarikat yang boleh disenaraikan di bursa saham tetapi memerlukan sedikit pertolongan daripada kerajaan.

21.0 Kalau dia dapat sedikit pertolongan kerajaan, dia boleh memenuhi kriteria Suruhanjaya Sekuriti dan disenaraikan. Setakat ini, nilai saham yang telah kita disenaraikan menghampiri RM 1 bilion yang tidak mungkin dapat disenaraikan.

22.0 Dalam masa terdekat ini, kita akan bentangkan syarikat ini yang sudah disenaraikan dan akan disenaraikan. Ini satu cara baik kerana cara dulu, ia tidak dapat bertahan, tidak mapan.

23.0 Saya hendak beritahu, jangan terkejut RM60 bilion saham yang diagihkan kepada bumiputera pada masa dahulu, hari ini tinggal dua bilion saja pegangan.

24.0 Kenapa? Sebab tidak ada kemampuan hendak pegang saham, tidak sustainable, jadi kalau beri saham , kalau kita tanya mengapa jual saham. Dia kata mengapa tidak boleh jual, harga saham naik, saya jual. Betul juga. Tetapi bila dia jual saham apa dia guna kekayaan dia? Tambah beli rumah ke, tambah kereta atau tambah hak lain?

25.0 Maknanya tidak sustainable. Jadi di bawah hala tuju baru kita hendak gunakan prinsip meritokrasi tetapi di kalangan orang Melayu dan bumiputera.

26.0 Kalau kita hendak tolong syarikat-syarikat disenaraikan, mesti terbukti kewibawaannya sebagai pengusaha yang komited dan tulen.

27.0 Saya kata kepada mereka, bukan siapa yang anda kenal tetapi anda tahu bagaimana.

28.0 Syarikat-syarikat yang disenaraikan itu bukan orang yang saya kenal atau siapa yang kenal mereka, tetapi kita ambil mereka kerana sudah ada track record.

29.0 Kalau kita hendak tolong mesti tolong orang yang benar-benar akan menjadi pengusaha yang berjaya kerana dia mempunyai sistem nilai yang positif dan komited. Kerana apa, mereka berjihad untuk berjaya dalam bidang itu.

30.0 Lanjutan daripada itu, di bawah program Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) kita sedang dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat bumiputera yang ada kemampuan untuk berjaya dan kita akan membantu syarikat tersebut menjadi sebagai syarikat yang berpotensi menjadi lebih besar.

31.0 Kalau pulangannya RM100,000 tahun ini, kita mahu ia naik kepada RM1 juta, sehingga RM100 juta dan peringkat domestik kepada pemain antarabangsa.

32.0 Kita akan bentangkan program ini untuk kenal pasti dan bantu jadi lebih berjaya lagi. Ini akan kita umumkan dalam masa dua tiga bulan akan datang.

33.0 Kita sedang membuat pangkalan data insya-Allah program ini satu pendekatan baru berdasarkan kepada prinsip meritokrasi, tiada lagi soal kroni atau siapa yang kamu kenal. Bukan rakan atau kawan kita tetapi benar-benar boleh berjaya orang itulah kita bantu.

34.0 Pernah dulu ramai datang, datuk boleh tandatangan tak surat. Saya kasihan, bukan tidak mahu tolong tetapi kadang-kadang apabila saya tandatangan dan bila diperiksa belakangnya bukan bumiputera.

35.0 Kebanyakannya makan atas angin. Sewaktu menjadi Menteri Besar Pahang dahulu, bila keluar daripada pejabat saya, di tempat letak kereta kita tengok dia sudah berurusan dengan orang lain.

36.0 Dia tidak perasan, saya perhatikan dia. Muka orang Melayu dan syarikat nama Melayu tetapi dapat tender balak jual kepada orang lain. Ada istilah lego (let go) tapi maknanya kalau ada amalan seperti ini maka berlaku ketirisan, sampai kucing bertanduk pun kita tidak akan maju.

37.0 Kalau tidak ubah sikap, nilai kita, sampai bila pun kita akan bergelut dengan isu yang sama, apa yang kita hendak ialah orang yang komited dan sanggup berjihad. Maknanya, bukan kerajaan saja bantu, kita perlu bantu diri sendiri untuk maju dalam ekonomi.

38.0 Kita galakkan program pembangunan vendor. Saya tengok syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd, dan Telekom Malaysia tetapi ada yang sudah berasa selesa menjadi vendor dan tidak mahu berhijrah keluar dan menjadi syarikat yang berdikari

39.0 Macam kelas F, syok jadi kelas F, tidak mahu menjadi kelas lebih tinggi. Saya hendak tekankan perkara ini supaya kita faham bahawa dalam bidang ekonomi, kalau hendak berjaya, kena kedua-dua sekali, macam kita tepuk tangan.

40.0 Bukan sahaja kerajaan, masyarakat bumiputera pun mereka juga perlu memperlihatkan kesungguhan untuk berjaya. Ada juga syarikat bumiputera yang berjaya. Baru-baru ini sebuah syarikat membeli sebuah syarikat di Australia dalam bidang minyak dan gas.

41.0 Apa yang saya harap bumiputera yang sudah berjaya menjadi syarikat besar ini perlu mempunyai program pembangunan vendor bagi membantu syarikat lain. Bukan setakat memberi sumbangan kebajikan saja, tetapi membantu melahirkan lebih banyak usahawan bumiputera yang boleh dibantu oleh syarikat yang berjaya.

42.0 Itulah yang saya dapat gambarkan bahawa komitmen kita untuk melahirkan masyarakat yang adil dan saksama, merupakan komitmen kerajaan.

43.0 Kita jangan takut kepada perubahan, sebab kalau kita hendak mempertahankan keadaan sedia ada tetapi keadaan sudah berubah, kita mesti menangani perubahan dan sanggup melakukan adaptasi supaya kita berjaya dalam iklim yang kompetitif.

44.0 Keadaan ekonomi dunia berubah, kuasa-kuasa baru muncul seperti China dan India. Era liberalisasi menjadi satu yang tidak dapat kita hendak cuba lawan perubahan. Kita akan berdepan dengan satu tekanan yang tidak mungkin dapat kita hadapi.

45.0 Apa yang perlu dilakukan oleh golongan bumiputera adalah melakukan penyesuaian dalam struktur baru iklim ekonomi ini supaya kita lebih berjaya.

46.0 Saya berharap kita dapat mengambil sikap positif dalam hal ini walaupun kita ada kelemahan dan kekurangan ini dan ini termasuk di pihak kerajaan.

47.0 Tetapi kalau kita ada constructive engagement dengan masyarakat Melayu bumiputera, saya percaya kita akan lebih berjaya pada masa akan datang.

48.0 Saya inginkan apabila fajar menyingsing pada 1 Januari 2020, bila Malaysia diisytiharkan sebagai negara maju saya ingin melihat Melayu juga diiktiraf sebagai satu bangsa yang berjaya dan maju.

49.0 Ini adalah komitmen kerajaan, mesti realisasi komitmen ini, kerjasama dengan NGO-NGO seperti Gabem amat penting dengan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera.

50.0 Lebih banyak NGO tidak mengapa asalkan bersama-sama dalam satu kapal untuk memperjuangkan untung nasib Melayu bumiputera. Kita mempunyai hala tuju yang jelas tidak ada kapal lain memperjuangkan agenda Melayu bumiputera.

51.0 Saya ucapkan tahniah kepada Gabem kerana menganjurkan majlis dalam Ramadan penuh dengan berkat. Seramai 5,000 peserta yang hadir. Kita mesti jadi fasilitator dan jadi jangan terminator.

32.0 Kita mesti menjadi rakan kongsi kerajaan untuk memperjuangkan agenda ekonomi orang Melayu bumiputera dan bahawa di bawah kepimpinan UMNO dan BN, komitmen yang lahir daripada konvensyen ini, tindakan yang akan dilakukan, kita akan perkasakan agenda Melayu bumiputera supaya lebih berjaya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)ARKIB : 20/08/2011

Saturday, August 20, 2011

Isu larang baca al-Quran: Kelak ada yang menuntut masjid tak perlu ada menara

oleh DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)



1.0 APAKAH ertinya kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan jika apa yang berkaitan dengannya tidak dapat diangkat pada kedudukan lebih tinggi berbanding agama-agama lain?

2.0 Tidakkah semua kaum di Malaysia menerima Islam sebagai agama rasmi, maka segala amalan yang dapat memperkukuhkan kedudukannya bukan sahaja perlu dipertahankan bahkan wajib dipertingkatkan?

3.0 Malaysia diterima sebagai negara Islam, namun disebabkan ada segelintir tokoh politik yang memikirkan untung dalam jangka pendek sanggup mengkhianati budaya dan amalan yang sekian lama dipraktikkan.

4.0 Mereka persoalkan, membuat arahan dan panduan bahawa bacaan al-Quran tidak perlu lagi menggunakan alat pembesar suara, terutama menjelang waktu Subuh. Ini bermakna, mungkin suatu hari nanti mereka juga akan mengharamkan paluan beduk bagi memberitahu waktu solat ataupun ada kematian dalam kampung mereka. Malah lebih malang lagi, kemungkinan suatu masa kelak mereka mengharamkan laungan azan.

5.0 Di Kuala Terengganu, setiap kali masuk waktu berbuka, bedilan meriam kedengaran. Setakat ini belum ada bantahan atau orang menerima kesan daripada tembakan itu. Sejak berzaman, tidak pernah orang Cina membantah bacaan al-Quran dari corong pembesar suara sebelum waktu Subuh atau Maghrib walaupun mereka tinggal bersebelahan pagar masjid.

6.0 Bagaimanapun, nampaknya Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah mendahului larangan menggunakan pembesar suara. Meskipun kenyataan larangan itu bukan berbentuk fatwa kerana tidak digazetkan, ia tetap memperlihatkan pengaruh pemikiran liberal sedang berkembang dalam kalangan agamawan di negeri tersebut.

7.0 Agamawan yang meneraju jawatankuasa itu sebenarnya memahami kehendak dan falsafah politik kerajaan negeri. Mereka sudah boleh membuat tafsiran dan langkah untuk merealisasikan kepimpinan ala "Umar Abdul Aziz", sedangkan lebih ramai orang yang mengakui dirinya sebagai Muslim tidak pun pernah mengkaji corak pentadbiran dan kebijaksanaan khalifah yang dijadikan teladan itu.

8.0 Ramai pihak memandang keputusan melarang penggunaan alat itu atas alasan mengganggu orang yang sedang tidur atau sakit, sebenarnya terlalu remeh. Mereka sebenarnya tidak memahami hakikat alam dan kehidupan yang penuh keberkatan.

9.0 Tidakkah dengan menggunakan pembesar suara untuk memperdengarkan bacaan al-Quran serta kebiasaannya di sesetengah tempat akan disusuli seruan azan pertama itu akan mengingatkan bahawa fajar siang telah menjelma, maka bersiaplah untuk mencari rezeki. Bukankah apabila ada orang mengingatkannya, kita segera bersiap untuk memulakan tanggungjawab itu.

10.0 Mereka yang menganggap membaca al-Quran dengan lantang dari menara masjid kerana menggunakan pembesar suara adalah satu gangguan tatkala sebahagian besar manusia lain tidak terganggu adalah satu hal yang silap. Mereka silap, dan cuba menukarkan persekitaran kehidupan semula jadi, dan kebiasaannya mereka yang tidur siang dan bekerja waktu malam adalah dari jenis haiwan berdarah panas seperti kelawar, bahkan drakula yang sentiasa mahu bersembunyi daripada dilihat makhluk lain, berbanding kumpulan yang menghargai hari siang.

11.0 Pemimpin politik yang menyokong tindakan itu seharusnya sedar, suatu masa nanti akan ada yang menuntut agar masjid tidak perlu ada menara, kerana menara membawa kepada keburukan yang sedang dicarikan alasannya. Usaha tersebut sudah pun dimulakan di Barat, di mana mereka mengadakan pungutan suara.

12.0 Kerana terlalu percayakan kerasionalan akal dan persetujuan ramai, maka pungutan suara menjadi satu kaedah terbaik membuat sesuatu desakan ataupun meminda peraturan. Ia dilihat sebagai sesuatu yang bijak dan terbaik kerana mendapat sokongan ramai walaupun sokongan itu dibuat setelah proses membuat keputusan dipengaruhi.

13.0 Kerana itulah kita tidak hairan. Penentangan secara langsung akan menyebabkan lebih ramai orang Islam keluar membantah. Kini mereka sudah menyerap masuk ke dalam pemikiran sesetengah pentadbir Islam, dan berjaya meneutralkan pemikiran para kadi, pemimpin agama dengan alasan logik akal oleh tokoh politik berkenaan.

14.0 Tokoh politik itu sebenarnya sudah pun termasuk dalam kelompok barangan yang boleh digadai. Prinsip perjuangannya sudah mengalami pertembungan kosmik dan meledak menjadi percikan kepentingan politik bersama dalam gagasan untuk menjadi pilihan memerintah. Harapan itu tentunya akan berjaya sekiranya jumlah penganut Islam dibahagi-bahagikan ke dalam pelbagai kelompok.

15.0 Bahkan dalam satu organisasi sekalipun sudah ada kelompok pro dan kontra. Konflik dalaman inilah mampu menggelorakan tindakan bermusuh-musuhan walaupun terdiri dari primordial yang sama, dan menggunakan amalan serta kitab suci yang sama. Masing-masing berbeza pandangan, maka perbezaan-perbezaan itu perlulah diselesaikan segera.

16.0 Majlis Fatwa Kebangsaan harus menyedarkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu berhati-hati mengeluarkan sebarang fatwa atau nasihat kepada fatwa baru dan perlu dilakukan perbahasan mendalam terlebih dahulu. Negeri mestilah akur dalam perkara-perkara itu bagi mengelakkan semakin banyak lagi perpecahan berlaku dalam kalangan orang Islam sendiri.

17.0 Di Malaysia, semua tahu bahawa bukan sahaja agama rasminya Islam tetapi juga peraturan yang diamalkan, iaitu Islam Sunni dan bermazhab Syafie.

18.0 Lantaran itu hujah yang diamalkan di negara ini berdasarkan kepada empat dalil, iaitu bukan bersandarkan kepada al-Quran dan hadis sahaja malah Ijmak Qias dan adat resam setempat.

19.0 Menurut fahaman ini, maka adat dan uruf setempat perlulah disanjung dan dihormati oleh umat Islam dalam agamanya sendiri di mana-mana kerana seluruh rakyat yang faham akan menerimanya sebagai sesuatu yang perlu dipertahankan. Ia diakui dalam satu kaedah pengambilan hukum agama dan disebut sebagai (Satu Adat Yang Elok Itu Ditetapkan Dan Diterima Oleh Agama).

20.0 Kerenah pembangkang disusuli dengan tindakan melampau dan tuntutan keterlaluan telah mencacatkan sistem demokrasi.

21.0 Kini, pembangkang seharusnya sedar apa yang banyak mengilhamkan konsep kebebasan dan hak asasi manusia sebenarnya telah menjadi semakin ganas, vandalis dan kejam.

22.0 Malaysia berjaya mengisi erti kemerdekaan dengan kemakmuran dan kesejahteraan, maka dalam keadaan itulah ramai yang tampil untuk berebut peluang sedangkan ketika bergelumang dengan kesukaran, tiada yang tampil secara bersemangat berjuang membanteras setiap petualang.

23.0 Golongan inilah yang sebenarnya menjadi petualang dalam negara kerana cuba menghidupkan kembali tuntutan ideologi komunis, membangkitkan rasa permusuhan antara kaum, merobohkan kontrak sosial dan mempertikaikan apa saja yang telah dilembagakan sebagai undang-undang.

24.0 Sikap dan tindakan mereka semakin ganas dan melampau. Maka, percubaan untuk menterbalikkan konsep pemerintahan dan institusi yang ada di dalamnya adalah hakikat budaya anarkisme yang sedang mereka kembangkan sebagai budaya baru masyarakat Malaysia dengan menggunakan perantaraan agama.

25.0 Tidak semua hal yang bersifat tradisi itu kuno dan ketinggalan zaman. Hanya sifat sesetengah pihak yang gemar mengejar kepentingan peribadi itulah sebenarnya menjerumuskan mereka ke lembah keserakahan: mengubah tradisi dan menghancurkan jati diri.

terimakasih(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm)ARKIB : 19/08/2011

Sunday, August 14, 2011

15 Ogos 2011 ini genap 500 tahun jatuhnya Melaka

oleh Untung Sabut Timbul

1.0 PADA tahun-tahun 40-an dahulu, lama sebelum negara mencapai kemerdekaan, ada segelintir guru-guru Melayu yang setiap 15 Ogos akan memakai baju kemeja hitam dan bertali leher merah ketika mengajar di sekolah.

2.0 Hitam sebagai tanda berkabung sementara merah bermakna kesanggupan berjuang.

3.0 Mereka yang menjadi penyokong Kesatuan Melayu Muda (KMM) ini berpakat memakai baju itu sebagai mengenang kejatuhan kota Melaka di tangan Portugis yang berlaku pada 15 Ogos 1511.

4.0 Memang sukar bagi mereka mencari baju kemeja hitam dan tali leher merah yang perlu dibuat khas, dan tentunya memerlukan wang. Pada masa itu, pakaian guru ialah baju putih dan seluar putih bertali leher hitam dan bersongkok hitam.

5.0 Maka pada 15 Ogos 2011 ini, genaplah 500 tahun kota Melaka tumbang. Kota Melaka hanya merdeka pada 31 Ogos 1957 sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

6.0 Ini bermakna kota Melaka dijajah 446 tahun 16 hari. Tun Ghafar Baba yang menjadi bapa kemerdekaan bagi Melaka mencadangkan bendera merah putih sebagai latar belakang kepada bendera negeri tetapi dengan bintang bulan di bucunya selaras dengan jati diri Melaka sebagai negeri Melayu seperti negeri-negeri Melayu lain di Tanah Melayu ketika itu.

7.0 Beliau mencadangkan supaya petak empat segi yang menempatkan bulan bintang itu supaya berwarna hijau sebagai kaitannya dengan agama Islam. Tetapi cadangannya ditolak oleh Tunku Abdul Rahman yang mahukan warna petak itu sebagai biru, selaras dengan warna petak empat segi di bucu bendera persekutuan.

8.0 Dengan kemerdekaan itu, Melaka yang sudah tidak mempunyai raja sendiri sejak tahun 1511 mendapat pula kedaulatan diraja melalui Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua agama bagi negeri itu.

9.0 Maka pada masa giliran Sultan Perak menjadi Yang di-Pertuan Agong, Melaka memperoleh semula seorang raja yang susur galurnya sampai kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika kota itu belum jatuh ke tangan Portugis.

10.0 Tetapi pada tarikh 31 Ogos 1957, buat pertama kalinya kota Melaka menjadi negeri yang berdaulat. Ini kerana sebelum itu, ia hanya menjadi kota jajahan bagi Inggeris, Belanda dan Portugis. Dengan beberapa tahun pernah berada di bawah Jepun.

11.0 Sementara semasa pemerintahan Kesultanan Melayu, kota Melaka adalah tempat bersemayam sultan yang memerintah satu kerajaan yang wilayah pemerintahannya adalah luas meliputi sebahagian besar kepulauan Nusantara yang meliputi semenanjung Tanah Melayu, pulau Sumatera hinggalah ke Brunei.

12.0 Perlu diingatkan bahawa pada zaman itu, orang tidaklah menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melaka dan negaranya sebagai Melaka.

13.0 Mereka menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melayu dengan kerajaannya sebagai kerajaan Melayu yang memerintah negeri-negeri di kepulauan Melayu.

14.0 Melaka hanyalah kota di mana bersemayam raja Melayu. Maka oleh kerana pusat kerajaan terletak di kota Melaka, maka selat itu juga kemudian dikenali sebagai Selat Melaka.

15.0 Tetapi negara yang diperintah oleh sultan yang bersemayam di Melaka itu adalah luas dan disebut sebagai negeri-negeri Melayu saja.

16.0 Sementara Kesultanan Melayu di Melaka itu pula merupakan kesinambungan kepada Raja-raja Melayu terdahulu yang bersemayam di Palembang, Sumatera di bawah nama kerajaan Sri Wijaya.

17.0 Tetapi apa yang disebut sebagai Melayu meliputi semenanjung, dan semua pulau di sekitarnya iaitu Sumatera dan Brunei. Sudah tentu Singapura juga termasuk di dalamnya.

18.0 Malah sebelum Melaka, kerajaan Melayu ini cuba menjadikan Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Temasik sebagai kota kerajaan Melayu sebagai lanjutan kepada Palembang sebelum itu.

19.0 Sejarah mungkin berbeza jika kerajaan Melayu dapat bertapak di Singapura untuk memerintah kepulauan Melayu.

20.0 Tetapi Siam menganggap keseluruhan semenanjung, termasuk Temasik adalah miliknya.

21.0 Maka bala tentera dihantar Siam untuk mengajar raja Melayu itu. Askar Melayu yang ada tidak akan mampu berlawan dengan tentera Siam itu.

22.0 Maka berpindahlah raja Melayu itu ke Melaka untuk ditubuhkan sebuah kerajaan yang kuat. Siam tetap mahu memusnahkan Melaka. Tetapi kemenangan Melaka di Batu Pahat di bawah pimpinan Laksamana Hang Tuah menyelamatkan kerajaan Melayu.

23.0 Tetapi pada keseluruhannya yang memantapkan kedudukan kerajaan Melayu adalah hubungan diplomatik dengan Kerajaan Ming China melalui laksamana Cheng Ho dan pemelukan Islam oleh raja dan rakyat Melaka.

24.0 Islam adalah trend pada masa itu. India menjadi Islam di bawah Moghul. Dinasti Ming hampir penuh menjadi Islam. Di Jawa pula, Islam juga sedang mara menguasai keseluruhan pulau itu.

25.0 Tetapi pada waktu yang sama di sebelah Barat, kerajaan Andalusia sudah lama tumbang dan munculnya kuasa baru yang akan mengubah dunia, Sepanyol dan Portugis.

26.0 Dengan semboyan Glory, Gold dan Gospel atau Kegemilangan, Emas dan Injil, dalam erti kata lain, kekuasaan, kekayaan dan penyebaran agama, bala tentera Portugis sampai ke Nusantara.

27.0 Di sebalik semboyan itu, apa yang mereka cari ialah rempah. Rempah ratus! Makanan dan dorongan tekak dan perut yang mendorong mereka sampai ke sini. Begitulah besar motivasi makanan.

28.0 Maka dengan dorongan inilah, Melaka tumbang. Tetapi walaupun ia memusnahkan istana dan bandarnya, kerajaan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah tempat istana semayamnya iaitu ke Kota Tinggi di Johor.

29.0 Walaupun tempat itu tidaklah sehebat Melaka, tetapi ia cukup untuk meneruskan kesultanan Melayu. Hakikatnya kerajaan Melayu di Melaka dan Johor-Riau adalah serupa dan sambung-menyambung saja.

30.0 Oleh kerana ia terletak di Johor dan Riau, maka ia disebut sebagai kesultanan Johor-Riau, tetapi hakikatnya ia adalah kesultanan Melayu yang sama dengan di Melaka.

31.0 Walaupun kemudiannya kerajaan ini tidak lagi diperintah oleh waris-waris Sultan Melaka, ia tetap merupakan pewaris kepada kesultanan terdahulu. Bendaharanya menjadi Sultan Pahang. Sementara Maharaja Abu Bakar menjadi Sultan Johor yang menyambung kesultanan Melayu.

32.0 Kerajaan ini terus berdaulat walaupun British kemudiannya menguasai pertahanan dan hal ehwal luar Johor.

33.0 Justeru apabila Malayan Union diperkenalkan, Datuk Onn mampu bangkit dan membantah. Ini kerana negeri-negeri Melayu masih berdaulat dengan raja-rajanya tidak boleh menyerahkan kedaulatannya ke pada British begitu saja.

34.0 Kedaulatan sesebuah negara bukan milik raja seseorang tetapi adalah persetujuan dengan rakyatnya. Ketika itu, rakyat Raja-raja Melayu adalah orang Melayu. Maka untuk berdepan dengan British, orang Melayu telah mewakilkan UMNO untuknya. Negeri Melaka pula lain. Ia memang tanah jajahan British. Rakyatnya adalah anak jajahan British.

35.0 Tetapi UMNO meliputi semua negeri dalam Tanah Melayu. Ini membolehkan Melaka turut merdeka. Begitu juga dengan wilayah dalam kesultanan Melaka dahulu yang kini juga merdeka dalam Indonesia.

ARKIB : 07/08/2011
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm)

’orang emas’ ditahan oleh JKM


Mereka berdiri – sesiapa yang rasakan mereka ini unik – mereka boleh bergambar atau memberi wang. Ketetapan yang di tulis adalah RM 2.00 lalu di berkas oleh JKM – Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai mengemis. Ada kata anda?

‘Saya tak tahu ini salah’
Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my


DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.

KUALA LUMPUR: “Saya tak tahu langsung pekerjaan yang saya buat ini sebenarnya salah. Kalau saya tahu, saya tak akan ambil risiko untuk melakukan kerja ini,” kata ‘orang emas’ yang ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dalam satu operasi di Bukit Bintang, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Dia yang mahu dikenali sebagai Elvis, 42, berkata menjadi ‘orang emas’ atau ‘Gold Man’ adalah sumber rezekinya dan pendapatan diperoleh agak memuaskan serta mampu menampung isteri dan dua anak berusia dua bulan dan tiga tahun yang tinggal di Ipoh, Perak. “Saya diberi jaminan oleh rakan bahawa pekerjaan ini tidak salah dan pihak berkuasa tidak akan mengganggu serta dijanjikan pulangan pendapatan dengan sekelip mata.


“Tanpa berfikir panjang, saya membeli tiket ke Kuala Lumpur seminggu lalu. Ini hari keempat saya bekerja sebagai Gold Man. Tidak sangka akan ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Elvis berkata, kini dia risau memikirkan nasib isteri dan anaknya jika kesalahan yang dilakukan akan menyebabkannya didakwa serta ditahan dalam tempoh yang agak lama.


“Saya buntu memikirkan nasib isteri dan anak yang masih kecil, bagaimana isteri akan mencari wang untuk menampung kehidupan mereka kerana selama ini dia tidak pernah bekerja,” katanya.


Katanya, sepanjang empat hari melakukan pekerjaan itu dia mampu memperoleh pendapatan antara RM100 dan RM200 dalam sehari.

Apa yang dilakukannya hanyalah berdiri dengan meletakkan satu tin kosong dan mengharap simpati orang ramai memasukkan duit bagi membolehkannya membuat pelbagai gaya sambil orang ramai merakam gambar bersamanya.


Elvis berkata, selepas mengetahui apa dilakukannya menyalahi undang-undang dia menyesal dan akan lebih berhati-hati memilih pekerjaan pada masa hadapan. Sementara itu, Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM Wilayah Persekutuan, Mujah Hamat berkata, kegiatan Elvis yang meraih simpati agar diberikan sumbangan kewangan dianggap sebagai mengemis.


“Dia akan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Orang Papa 1977 dan boleh ditahan untuk tempoh sebulan,” katanya.

terimakasih(sumber;http://www.hmetro.com.my/articles/2011081301121220110813011212/Article)

zmsegamat kata: harap JKM Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih aktif dalam operasi membenteras PENGEMIS dan KUTU RAYAU, dan jangan hanya BERMUSIM. Apa bezanya orang patung profesional kat Malaysia dan Busker?

Saturday, August 13, 2011

TUNGGU APA LAGI Dato Seri HISHAMUDDIN..

SABTU, OGOS 13, 2011
TUNGGU APA LAGI HISHAMUDDIN oleh Zabidi Hj Saidi

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak berpuas hati dengan penjelasan pihak pengurusan akhbar The Star berhubung iklan hidangan daging babi dalam suplemen Ramadan Delights yang disiarkan kelmarin.

Justeru, beliau telah memanggil Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai untuk bertemu secara peribadi dalam masa terdekat bagi mendapatkan pendirian dan penjelasan penuh pengurusan akhbar tersebut berhubung isu sensitif itu.

Saya tidak berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan berhubung penerbitan iklan dan tulisan mengenai hidangan daging babi dalam sisipan mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tunggu apa lagi Hishamuddin. Gantung saja penerbitan The Star selama sebulan. Biar padan dengan muka The Star. Biar terjejas iklan The Star menjelang hari raya ini. Saya sokong penuh cadangan ketua menteri melaka Datuk Seri Ali Rustam supaya gantung penerbitan The Star buat seketika.

Kelmarin, akhbar berbahasa Inggeris itu dilihat tidak sensitif dan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini apabila menyiarkan iklan berserta gambar hidangan daging babi dalam sisipan khas Ramadan Delights.

Iklan itu dilihat amat janggal kerana umum mengetahui daging babi haram dimakan umat Islam dan penyiarannya bersama sisipan tentang juadah berbuka puasa dilihat sebagai tidak sensitif terhadap bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Chun Wai dipercayai telah dipanggil memberi keterangan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi hari ini berhubung perkara itu dan perlu memberi keterangan sekali lagi kepada Hishammuddin dalam masa terdekat.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan akhbar tersebut tidak serius dan sambil lewa dalam permohonan maaf mereka kerana hanya menyiarkan kenyataan dua perenggan dalam muka surat tiga akhbar berkenaan hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menggantung permit penerbitan akhbar The Star kerana menyiarkan iklan dan berita mempromosi daging babi dalam suplemen khas Ramadan Delights kelmarin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai media penerbitan, akhbar tersebut sepatutnya sensitif dan menghormati perasaan umat Islam dan bukan melakukan perkara yang boleh menimbulkan provokasi kaum.

''Tindakan akhbar itu sangat biadab dan tidak sensitif langsung terhadap perasaan umat Islam di negara ini dan amat menyedihkan ia berlaku pada bulan Ramadan dan merupakan penghinaan kepada masyarakat Islam," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri 2011 anjuran Badan Amal Kebajikan Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) dan Mamee Double Decker (M) Bhd. kepada 177 orang terdiri warga emas, pelajar miskin dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Mohd. Ali yang juga Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) berkata, permohonan maaf akhbar tersebut berhubung perkara itu tidak memberi sebarang makna sebaliknya telah mencalar perasaan umat Islam serta menghina kesucian bulan Ramadan.

Ujarnya, perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya akhbar berbahasa Inggeris itu peka dan menghormati masyarakat Islam dan tiada motif mewujudkan provokasi kaum.


''Kita mahu KDN menggantung permit akhbar ini kerana ia satu perbuatan melampau dan langsung tidak boleh diterima kerama ia amat memalukan Islam.

''Akhbar ini perlu bertanggungjawab terhadap insiden ini dan saya harap KDN tidak perlu bimbang untuk menarik balik permit akhbar tersebut kerana mereka jelas menghina Islam," katanya.

Disediakan oleh Zabidi Hj Saidi - @ 5:48 AM

terimakasih(sumber;http://catatanzabidi.blogspot.com/2011/08/tunggu-apa-lagi-hishamuddin.html)

Friday, August 12, 2011

Kerajaan Perlu Hadapi Serangan Melalui Media Baru



10 Ogos, 2011 11:51 AM

Kerajaan Perlu Hadapi Serangan Melalui Media Baru
Oleh Mohd Yusof Saari

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pendekatan konvensional menjawab tohmahan atau menangani isu menerusi akhbar, televisyen dan radio tidak lagi berkesan bagi kerajaan terutama dalam menghadapi serangan pembangkang yang lebih proaktif menerokai dunia siber, menurut dua cendekiawan tempatan hari ini.

Ketua Eksekutif Institut Perkembangan Minda (INMIND) Norizan Sharif berkata kerajaan harus mempertingkatkan kehadiran mereka di internet, khususnya dengan menguasai media baru seperti 'Facebook dan 'Twitter' yang kini cukup dekat di hati rakyat, khususnya generasi muda.

"Kerajaan kena respons kepada media (baru), sekarang tidak respons... kerajaan tak jawab, dalam politik boleh tuduh apa sahaja, jika tak jawab orang anggap ia benar.

"(Ketika ini) Kita tidak nampak kerajaan jawab dalam Facebook, kita tidak nampak inisiatif untuk jawab dalam blog dan Twitter. Kita boleh bandingkan berapa ramai MP (Anggota Parlimen) pembangkang ada dalam Twitter tetapi bagi pihak kerajaan, jumlahnya boleh dibilang dengan jari," katanya kepada Bernama.

Norizan mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Selasa bahawa pembangkang menggunakan media baru untuk menghasut rakyat mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang demi keuntungan politik mereka walaupun pada hakikatnya berita yang dipaparkan tidak benar.

Hishammuddin berkata kerajaan juga sukar menerangkan keadaan sebenar mengenai perhimpunan haram 9 Julai lepas walaupun pelbagai saluran media sedia ada digunakan berikutan meluasnya penggunaan media baru oleh pembangkang.

Norizan, yang turut menulis blog http://www.nobisha.com berkata ketiadaan kerajaan melibatkan diri dalam media sosial telah mewujudkan 'kecacatan' di pihak kerajaan hinggakan isu-isu berbangkit berkaitan perhimpunan haram sukar dijawab dan diperjelas.

Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abd Ghapa Harun berkata penggerak media arus perdana juga perlu mengikis perasaan bahawa mereka masih kuasa dalam memonopoli penyebaran maklumat sedangkan pada hakikatnya monopoli itu telah lama dipecahkan.

"Jadi, yang penting bagi kerajaan kalau berhadapan dengan sesuatu isu, yang pertama mestilah ada ketelusan dalam mengeluarkan maklumat yang berkaitan dengan sesuatu isu kerana kalau maklumat yang dikeluarkan itu betul, maka ini akan menanamkan kepercayaan masyarakat kepada saluran media yang digunakan oleh pihak kerajaan.

"Untuk melawan media alternatif, peningkatan integriti di pihak media arus perdana perlu dilaksanakan sebab mereka kena terima hakikat dalam konteks media hari ini, akhbar-akhbar arus perdana seolah-olah menghadapi krisis kepercayaan atau integriti dan keadaan inilah yang menyuburkan perkembangan media alternatif," katanya.

-- BERNAMA

terimakasih(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=607173)

Wednesday, August 10, 2011

Bina pelanggan setia UMNO oleh TAN SRI DR. NORDIN KARDI,

TAN SRI DR. NORDIN KARDI, Penyandang Kursi Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris

1.0 DUA minggu lalu saya mencadangkan supaya UMNO elok memikirkan untuk menstrukturkan dirinya bagi menghadapi cabaran-cabaran baru yang muncul dari alam kelilingnya. Dari situ saya menerima beberapa maklum balas yang menggambarkan keraguan tentang praktikalnya cadangan yang saya kemukakan.

2.0 Ada yang mengatakan bahawa risiko perpecahan lebih besar dengan struktur yang saya cadangkan berbanding struktur sedia ada yang sudah tahan uji bertahun-tahun. Ada juga yang mengatakan bahawa dengan sistem badan gabungan yang saya cadangkan itu, perebutan jawatan di pusat akan lebih ganas daripada sistem sedia ada.

3.0 Hujah mereka yang sangat baik dan munasabah ialah soal kesetiaan. Mereka yang percaya kepada struktur sedia ada merasakan kesetiaan kepada UMNO akan lebih kukuh dalam sistem itu berbanding jika pemimpin dipilih melalui pelbagai badan gabungan UMNO yang mempunyai autonomi.

4.0 Saya mengakui hujah ini memang kuat tetapi saya terfikir pula bahawa kesetiaan yang disebutkan ialah kesetiaan ahli sedia ada dan bukan ahli-ahli baru yang belum mempunyai tradisi jiwa UMNO yang sudah berakar. Bagaimana pula dengan anak-anak muda yang mempunyai pilihan dalam pasaran yang terbuka luas?

5.0 Untuk menjawab persoalan saya itu, mungkin pemimpin UMNO yang sentiasa mengemas kini ilmu pemasaran perniagaan boleh mengemukakan pelbagai strategi mengekalkan atau menambah pelanggan. Jika itu dilakukan sekali lagi, cadangan struktur yang saya kemukakan itu kembali menjadi pilihan yang viable. Salah satu daripada tiang penting dalam strategi mengekalkan pelanggan setia ialah melakukan perancangan pemecahan pasar sasaran atau market segmentation.

6.0 UMNO telah pun melakukan market segmentation tetapi strateginya sangat ortodoks dan tradisional. Maksud saya sasaran pasar dilihat oleh UMNO hanya dalam dua bentuk iaitu umur dan gender yang hasilnya ialah Wanita UMNO, Pemuda UMNO, Puteri dan Putera UMNO.

7.0 UMNO tidak membuat pemecahan pasar mengikut idealisme, minat, gaya hidup, keperluan hidup dan pelbagai lagi yang semuanya itu mempengaruhi mereka menjadi pembeli berulang produk UMNO. Jika ada pun UMNO melakukannya, ia hanya bersifat kecenderungan pemimpin semasa, bukan sistem yang terbina dari dalam yang mewajibkannya melakukan pengkhususan itu.

8.0 Dalam dunia pemasaran perniagaan, pelanggan setia diertikan dengan mudah iaitu mereka yang menjadi pelanggan yang datang berulang-ulang membeli sesuatu produk. Mereka selalu disebut sebagai repeat customer.

9.0 Pemecahan pasar UMNO hanya dua aspek iaitu gender dan umur bukanlah terlalu buruk tetapi keupayaan kapten pemasar akan menjadi terhad. Fokus, kemahiran dan strategi tidak dikhususkan kepada sasaran pasaran yang unik.

10.0 Mungkin UMNO selama ini merasakan pendekatan-pendekatan unik dan khusus tidak perlu kepadanya kerana dia melihat dirinya sebagai komoditi keperluan asas. Suka atau tidak suka orang akan tetap membeli. Namun dalam dunia yang sudah berubah jauh rupanya dalam komoditi pun sudah ada pihak yang menggunakan pendekatan pemasaran komoditi prime.

11.0 Orang pemasaran selalu memecahkan produk kepada dua iaitu produk komoditi dan produk prime. Produk komoditi mengutamakan jumlah atau volume untuk mengira untung rugi sebaliknya produk prime mengutamakan nilai.

12.0 Komoditi mungkin boleh dijual di tepi jalan (kerana diperlukan ramai) sementara produk prime akan dijual menggunakan showroom di tempat yang berprestij.

13.0 Isu penting perlu diputuskan oleh pemimpin UMNO sekarang ialah secara konsepsinya apakah kedudukan UMNO di pasaran? UMNO sebagai produk komoditi atau sebagai produk prime?

14.0 Pesaing UMNO mungkin sudah menggunakan pendekatan pujukan pasaran dengan mengatakan 'biarkan UMNO kekal menjual komoditi tetapi kami menjual style atau gaya hidup'. Inilah yang saya lihat: pesaing UMNO sedang memalu gendang menjual gaya hidup.

15.0 Menjual gaya hidup menyebabkan UMNO mempunyai saingan autoriti yang selari atau parallel authority. Mereka tidak lagi berkongsi lebuh raya pemasaran dengan UMNO.

16.0 Mereka telah mencipta lebuh raya mereka sendiri. Mereka bebas bergerak dalam lebuh raya mereka yang UMNO sudah tidak mempunyai kuasa mencampuri atau memasukinya, apalagi menguatkuasakan kehendaknya di lebuh raya yang bukan miliknya itu.

17.0 Akibatnya sebahagian daripada pelanggan yang tidak pernah duduk di dalam UMNO atau pelanggan yang telah meninggalkan UMNO melihat di dalam negara sudah wujud dua kerajaan.

18.0 UMNO tidak lagi penguasa tunggal kerajaan dalam erti kata memberi tafsiran tunggal terhadap apa yang baik untuk mereka. Fatwa tentang kebenaran dan kebaikan sentiasa dicabar dengan itu dia telah tidak tunggal lagi.

19.0 Walaupun seperti jelas adanya pembahagian antara pelanggan setia kepada lebuh raya UMNO dan ada pula pelanggan setia lebuh raya baru namun market share mereka yang berulang alik menggunakan jalan-jalan kecil dan sekali skala memasuki lebuh raya bertol UMNO atau yang satu lagi masih sangat besar.

20.0 Mereka ini mempunyai cita rasa yang berlainan. Jika UMNO atau lawan UMNO ingin memperbesarkan saiz pasar, mereka perlu memujuk kumpulan ini daripada menjadi pelanggan bebas kepada pelanggan setia.

21.0 Dalam dunia golf, jenama Big Bertha pernah mencipta pasaran pelanggan golf yang telah tepu dengan mencipta club, yang di panggil over-sized, melebihi besar saiz biasa, sedangkan ketika itu 'club' golf yang berkepala kecil kebanyakannya digunakan oleh orang yang benar-benar menyukai golf. Mereka yang baharu berjinak dengan golf akan segera put off meninggalkan golf kerana kecewa oleh susahnya memukul bola yang kecil dengan kepala 'club' yang kecil.

22.0 Syarikat Callaway melihat peluang mencipta pasar baru dengan menghasilkan Big Bertha yang berkepala besar menyebabkan orang yang baru berjinak dengan golf atau tidak pernah memegang kayu golf tiba-tiba menyukainya dan termotivasi kerana setiap pukulannya kena kepada bola berbanding dengan club yang berkepala kecil.

23.0 Pilihan lain kepada Callaway ialah mencipta permainan lain yang menggunakan bola yang lebih besar, dengan yang demikian nama permainan itu bukan lagi golf. Itu bermaksud Callaway terus keluar daripada keseluruhan pasaran.

24.0 Dari situ dapat dilihat Callaway telah keluar dari kelompok persaingan menjual set golf kepada kumpulan yang sama dan terhad kepada mencipta pasar baru iaitu mereka yang mulanya bukan pemain golf. Hasil ciptaan itu rupanya memberi kesan juga kepada pemain golf sedia ada dan yang telah lama kerana dengan set baru itu skor pukulan mereka menjadi lebih baik.

25.0 Akhirnya untuk tempoh satu masa Callaway bukan sahaja mencipta pelanggan baru tetapi berkesudahan telah membolot keseluruhan pasaran yang pada mulanya dia hanya bertujuan melakukan segmentation.

26.0 Dalam dunia pasaran perniagaan, sekiranya . Msesuatu produk itu menguntungkan pasaran akan cepat menjadi crowdedereka yang letih bersaing dengan margin keuntungan yang kian mengecil dan kos pemasaran terasa tinggi akan cepat-cepat keluar dari pasar yang terlalu 'macet' lalu mencipta pasar baru.

27.0 Adakah UMNO masih terasa selesa dalam pasar yang sedia ada atau berminat mencipta pasar baru untuk menukar non-players menjadi pemain UMNO yang bertenaga dan meriah?

28.0 Sekali lagi UMNO dilihat perlu menstrukturkan dirinya bagi mencipta pengkhususan untuk membolehkannya mencipta pasar-pasar baru untuk mencipta pula pelanggan baru dan berulang. Untuk mencipta pasar baru kapten pemasaran mesti sangat kreatif dan penuh taktikal.

29.0 Jika pasukan bola Harimau Malaysia sudah mula memikirkan untuk mengadakan pasukan pakar taktikal, mungkinkah UMNO juga demikian atau UMNO memang sudah memilikinya?

terimakasih(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm)

Video Pelajar Malaysia Di Pukul Perusuh Di London



Seorang pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) jurusan Perakaunan sebuah kolej di London tercedera ringan dalam rusuhan di kota itu malam semalam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bagaimanapun, pelajar itu, Asyraf Hazlan, 20-an, tidak kritikal dan hanya cedera di bahagian rahang dan kini dirawat di Royal London Hospital.

"Pelajar ini tidak terlibat dalam rusuhan, tetapi beliau diserang oleh sekumpulan perusuh ketika keluar dari tren bawah tanah ketika dalam perjalanan menziarah rakannya untuk berbuka puasa di utara London.

"Beliau kemudian dipukul dan dirompak, tetapi telahpun dibawa ke hospital untuk rawatan, di mana beliau perlu menjalani pembedahan untuk merawat kecederaannya itu," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga kementerian berkenaan dan agensi di bawahnya, di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini Selasa.

Mohd Shafie berkata, keluarga mangsa, yang berasal dari Selangor, telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, Mara turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan pelajar di kawasan berisiko tinggi di kota itu ke sebuah penempatan di Leicester Square bagi menjamin keselamatan mereka.

"Mereka juga dinasihat agar tidak keluar ke mana-mana, melainkan terdapat urusan yang penting, dan Pengarah Pelajaran Mara serta pegawai-pegawai Mara dengan kerjasama pihak polis, sentiasa memantau keadaan di sana," katanya.-Bernama

terimakasih(sumber;http://www.pisau.net/2011/08/video-pelajar-malaysia-di-pukul-perusuh.html)

Perjumpaan tertutup MKN bersama NGO-NGO Melayu Johor Posted by amirhamzah64

Johor Bahru, 24 Jun 2011

PERKASA Johor menghantar 100 orang ahli PERKASA seluruh negeri ke perjumpaan tertutup anjuran Majlis Keselamatan Negara di Tropikal Inn, Johor Bahru yang turut dihadiri 600 ahli NGO-NGO lain. Majlis taklimat ini dihadiri oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Cawangan Johor, pengerusi NGO-NGO Melayu Johor dan penasihat Agama kerajaan Johor YB Dato; Noh Gadut.

Taklimat oleh Setiausaha MKN Cawangan Johor mendedahkan tentang senario politik masa kini disamping menerangkan realiti sokongan rakyat kepada kerajaan dan pakatan pembangkang masa kini khususnya di Johor. MKN mengandaikan dengan perkembangan semasa, jika PRU 13 yang berlaku pada hari ini Johor akan dilanda tsunami politik baik di kerusi Parlimen mau pun DUN.

MKN menjangkakan dengan sokongan 80% sokongan pengundi Cina kepada Pakatan pembangkang dan perpecahan undi di kalangan orang Melayu 15 kerusi Parlimen berpotensi untuk jatuh ke tangan pembangkang sementara 11 kerusi Parlimen saja yang kekal di tangan BN termasuk parlimen Pagoh iaitu kerusi Parlimen Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun Johor akan kekal ditangan BN tetapi perbezaan majoriti kerusi sangat tipis iaitu hanya 2 kerusi. Katanya lagi, ianya berdasarkan pertambahan pendaftaran pengundi baru yang galak dilakukan oleh Pakatan Rakyat khususnya DAP. Masih ada 78 000 orang Melayu yang sudah layak mengundi masih lagi belum mendaftar sebagai pengundi. Daripada jumlah itu, 73 000 ahli-ahli UMNO masih belum mendaftar.

Perkembangan ini boleh menggugat kuasa politik Melayu.

Kuasa politik Melayu semakin terancam apabila golongan muda yang masuk ke dalam 'pasaran' pengundi baru majoritinya condong kepada Pakatan pembangkang tanpa mengira kaum. Tuntutan yang melampau dikalangan bukan Melayu terhadap kepentingan Melayu yang sudah tertulis di dalam perlembagaan di pandang sepi oleh orang Melayu. Mereka tidak lagi sensitif lantaran kedudukan mereka yang telah dianggap selesa.

Kesempatan telah diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk meliberalkan pemikiran orang Melayu bahawa Ketuanan Melayu dan hak Istimewa Melayu yang dinikmati oleh orang Melayu merupakan satu sekatan kepada kemajuan orang Melayu. Orang Melayu telah dimomok-momokkan oleh pemerintah dengan perkara ketuanan Melayu dan Hak -Hak Istimewa Melayu sedangkan ianya memberi kelebihan kepada segelintir Melayu bukannya Melayu terbanyak.

Majlis ini juga mendedahkan betapa licik strategi musuh-musuh orang Melayu untuk terus memecahbelahkan orang Melayu. Tragedi 13 Mei 1969 dijadikan pengajaran agar tidak lagi berlaku pergaduhan antara Melayu dan Cina. Mereka telah menukar strategi agar Melayu sendiri akan 'berperang' sesama sendiri. Meraka akan menonton melalui televisyen di rumah masing-masing menyaksikan sendiri bagaimana Melayu akan bunuh Melayu.

Perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011 ini adalah satu daripada langkah-langkah awal perancangan mereka. Sama ada sedar atau tidak memang sudah ada pertembungan antara perhimpunan BERSIH di pihak pembangkang dan perhimpunan AMAN di pihak penyokong kerajaan. Majoriti yang terlibat adalah orang Melayu termasuk di pihak keselamatan seperti polis dan FRU.

Amir Hamzah Hj Mohamad
Setiausaha PERKASA Johor
Posted by amirhamzah64/ 64أمير حمزه at 12:07 PM

terimaakasih(sumber:http://amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com/2011/06/perjumpaan-tertutup-mkn-bersama-ngo-ngo.html)

Saturday, August 6, 2011

Sogok wang gadai akidah


ALKITAB versi bahasa Melayu diberikan kepada setiap orang Islam yang menyertai pertubuhan agama Kristian.

Oleh Mohd Azis Ngah, Hardi Effendi Yaacob dan Safeek Affendy Razali
2011/08/06


JASMINE mengaku menerima bantuan daripada sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya.

Pertubuhan berselindung di sebalik kebajikan

KUALA LUMPUR: Ada pertubuhan di negara ini berselindung di sebalik kegiatan kebajikan dengan menawarkan wang tunai, tempat tinggal dan makan minum percuma kepada golongan miskin dan menghadapi masalah kewangan yang beragama Islam sebelum memesongkan akidah mereka hingga sanggup menukar agama akibat desakan hidup.

Difahamkan, ada individu Islam menerima elaun tetap sehingga RM1,000 sebulan dengan hanya mengikuti program pertubuhan itu dua kali seminggu. Malah segelintir peserta turut mengakui menerima bantuan menyelesaikan beban hutang, termasuk ansuran kenderaan, rumah dan kad kredit.

Ia dipercayai taktik pertubuhan terbabit bagi menarik orang ramai mengikut program mereka dengan sebahagian besar sasaran adalah golongan gelandangan dan ibu tunggal yang tidak berpendapatan tetap serta dibebani masalah kewangan.

Setiap peserta turut dijanjikan `kehidupan baru’ oleh pemimpin pertubuhan terbabit yang menggambarkan dirinya seolah-olah `penyelamat’ jika mengikuti segala program diatur, termasuk kesediaan menukar agama.

Bekas pengikut pertubuhan itu yang mahu dikenali sebagai Adazhan, 30-an, mengakui pernah dilatih menjadi paderi sepanjang 10 tahun menjadi pengikut program berkenaan, termasuk menukar agama isteri dan anak-anaknya sebelum kembali ke pangkal jalan.

Ketika ‘diselamatkan’ daripada kesempitan hidup, Adazhan mengakui menerima tawaran bantuan pertubuhan itu adalah pilihan hidup untuk menyelamatkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Malah, kesungguhannya mengikut program membolehkannya menghadiri kursus menjadi paderi dan dijanjikan Rumah Doa sendiri dengan pembiayaan penuh pertubuhan untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

“Dulu saya terima bantuan kewangan RM500 sebulan. Bagi yang ada isteri, mereka diberi tambahan RM300 dan RM100 bagi seorang anak. Bagi saya yang hidup merempat ketika itu, cuma itu pilihan terbaik. Sekarang, jumlah bantuan bertambah dan difahamkan, ada yang dapat lebih RM1,000 sebulan.

“Saya percaya ramai sudah terpedaya selepas termakan pujukan dan terhutang budi dengan bantuan diterima. Cuma, mereka takut menukar status agama dalam MyKad,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mencadangkan supaya mereka yang terpedaya, tidak dikenakan hukuman atau ditangkap kerana bimbang menyebabkan keadaan lebih teruk, sebaliknya didekati secara lembut dengan membetulkan semula akidah dan diberi bantuan sepatutnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu majlis makan malam anjuran sebuah komuniti gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya, susulan laporan terdapat unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan, 50 orang Islam menghadiri majlis itu ketika serbuan dibuat, namun hanya 12 daripada mereka termasuk lapan wanita berjaya ditahan dan diarahkan memberi keterangan di Ibu Pejabat JAIS di Shah Alam, 9 Ogos ini kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Sementara itu, salah seorang peserta wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan mendedahkan peserta Islam ditegah mempercayai Nabi Muhammad SAW, tetapi diminta mengikut suruhan Nabi Isa melalui ceramah dan nyanyian sepanjang majlis berlangsung.

Hanya mahu dikenali sebagai Jasmine, wanita itu berkata, pertubuhan terbabit mensasarkan individu yang menghadapi masalah kewangan seperti kumpulan mualaf dan golongan yang kecewa dengan kerajaan sebagai ahli sebelum ejen berperwatakan alim seperti haji dan imam dihantar mendekati mangsa.

“Mereka menabur janji mampu menyelesaikan masalah dihadapi sebelum sasaran dibawa menghadiri majlis suai kenal dan sesi ceramah secara sulit. Biasanya, minat menyertai pertubuhan ini timbul selepas mendengar syarahan ketua agama dari Sabah, Sarawak dan Indonesia,” katanya yang menyertai pertubuhan itu bersama suami dua tahun lalu.

Jasmine yang dijanjikan bantuan kewangan untuk menyelesaikan hutang dan keperluan harian, berkata dalam setiap program dianjurkan, peserta diberikan kitab Injil berbahasa Melayu seterusnya diajar menyanyi lagu dakwah Kristian, disusuli diberikan ‘minuman istimewa’ diikuti upacara pembaptisan.

terimakaasih (sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sogokwanggadaiakidah/Article/)
``````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````
Pujuk cara halus
Oleh Abdullah Wahab, Muhammad Apendy Issahak dan Yusliza Yakimir Abdul Taib
am@hmetro.comcom.my


BUKTI...antara risalah dan kitab Kristian yang diberikan gereja kepada wanita berkenaan.

KUALA LUMPUR: Beberapa individu beragama Islam yang menyertai aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Seksyen 13, Petaling Jaya, ketika pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan malam kelmarin, hanya sebahagian kecil yang berjaya dikesan, manakala sebahagian besar golongan itu dipercayai menyertainya secara sembunyi atau ‘bawah tanah’.

Kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu dan golongan mualaf yang menyertai kumpulan berkenaan disebabkan kesempitan wang untuk menyara diri dan keluarga serta gagal mendapat bantuan daripada pihak berwajib.

Mereka menyertai kegiatan keagamaan berkenaan secara senyap-senyap di premis persendirian termasuk rumah kedai dan dewan komuniti, bukan saja di Lembah Klang, malah pergerakan ‘bawah tanah’ ini sudah berkembang di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Ia didedahkan sendiri seorang wanita Melayu yang mengikuti kumpulan itu sejak lebih setahun lalu, selepas dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mampu membiayai keperluan seharian.


Katanya, pendakwah kumpulan berkenaan membantu mereka dengan memberi seberapa banyak wang diperlukan dan selepas itu, mereka memujuk individu yang sudah diberi bantuan menyertai program keagamaan mereka.
terimakaasih(sumber:http://www.hmetro.com.my/articles/Pujukcarahalus/Article)

Cakap Tak Serupa Bikin


kenderaan Menteri Besar Kelantan
Berapa agaknya pula yang dibazirkan untuk membeli no '55'
Ini baru untuk Merc E Class dan SUV Volvo XC90 yang kita nampak! Yang kita tak tau?
cakap tidak serupa bikin....

berita harakahdaily
Artikel ini Ibarat Ludah Ke Langit Jatuh ke Muka Sendiri...

terimakasih(sumber:http://brojinggo.blogspot.com/2011/08/nik-aziz-bazir-duit-rakyat-guna-plat.html)

Isu serbu gereja:Tiba-tiba PAS jadi gelabah...



SABTU, 06 OGOS 2011 05:20 by HELME HANAFI

Apa pendirian PAS rasmi dalam isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan keatas an Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Rabu malam ?

Kalau kita ikuti isu ini, pemimpin PAS macam berbalas sesama sendiri, ada yang sokong, ada yang marah habis macam Timbalan Persuruhjaya PAS Selangor,Khalid Samad.

Dan tidak kurang menarik juga adalah kenyataan Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mengunakan bahasa kiasan macam takut-takut hendak ambil sikap.

Hinggakan kalau kita baca kenyataannya sampai sudah, kita tertanya-tanya, apa sebenarnya pendirian PAS pusat, sokong ke tidak ke tindakan Jais buat pemeriksaan pada gereja itu setelah dapat maklumat ada aktiviti sebar agama lain kepada orang Islam.

Mungkin PAS terperangkap antara hendak undi golongan bukan Islam di negara ini serta dasar parti yang sudah berakar umbi dikalangan penyokong-penyokongnya.

Fakta kes kalau ikut kenyataan akhbar Exco agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali, mudah, Jais dapat laporan terdapat pengucapan awam di gereja itu dan ada orang Islam di dalamnya.

Kata Hasan Ali, “di mana ucapannya ada diselitkan dengan perkataan Quran dan ‘pray’.”

Dan juga “Selain daripada itu terdapat bukti-bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.”

Jika itu benar, maka terang-terang perbuatan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang agama lain disebarkan kepada penganut Islam di negara ini.

Jadi PAS yang sepatutnya memperjuangkan Islam seperti nama partinya, jadi gabra pulak dalam bab ini.

Hendak sokong tindakan Jais pun takut, tak sokong pun takut...semuanya demi undi.

Sebab itu kalau kita baca Harakahdaily yang menjadi media tradisional penyokong PAS, kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad pagi Jumaat yang belasah kaw-kaw Hasan Ali tidak disiarkan.

Khalid terang-terang marah berikutan pemeriksaan ke atas gereja itu antara lain kata, tindakan “masuk tanpa waran dan tanpa kebenaran” ke tempat suci tersebut haruslah dielakkan,”

Kenyataan Khalid itu disiarkan dengan meriah sekali oleh media pro pembangkang kecuali Harakah.

Mungkin takut backfire di kalangan penyokong sendiri kot.

Begitu juga kenyataan Lim Kit Siang yang dakwa Hasan Ali sudah ‘ menyimpang’ dari kerajaan negeri.

Sebab makin ramai yang perasan, sejak PAS bersama Pakatan mentadbir beberapa negeri ini, parti itu jadi malu-malu hendak perjuangankan hal-hal yang berkaitan kesucian agama Islam.

Tengok saja kenyataan Tuan Ibrahim dalam isu Jais buat pemeriksaan ke atas gereja ini, “Janganlah mereka terlalu cepat mempercayai fitnah tanpa siasatan terlebih dahulu dan janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh mengundang fitnah,”

Jadi apanya? Bagi kita yang faham sekali lalu maksudnya, pemeriksaan Jais itu barangkali pada PAS “mempercayai fitnah tanpa siasatan terlebih dahulu,”.

Kalau itulah hujahnya, maknanya selepas ini jika ada ‘ tipoff ‘ aduan terhadap aktiviti jenayah di sebuah rumah, jadi logiknya, polis jangan percaya dulu, anggap itu fitnah dan siasat lanjut dan jangan serbu dulu… begitu?

Sementara hendak siasat segala macam sempatlah penjenayah ‘ raya sakan’ dan lari dulu.

Menurut Hasan Ali, Jais kena tunggu sejam, baru boleh masuk ke gereja, kerana penganjur utama tidak benarkan.

Kalau ikut ceritanya nampannya bukannya Jais main serbu rempuh saja, ikut peraturan juga tu, hinggalah ada yang hendak lari ikut pintu belakang, tapi berjaya ditahan oleh Jais.

Soalnya kalau tidak buat salah kenapa hendak lari?

Kesimpulan kedua Tuan Ibrahim pulak, “janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh mengundang fitnah,”

Maksudnya dalam bahasa mudah ikut kes ini adalah, orang Islam jangan buat aktiviti di gereja, sebab boleh undang fitnah.

Kata Tuan Ibrahim, “keghairahan mencegah kemungkaran tidak seharusnya dilihat sebagai campurtangan terhadap agama lain, dan di waktu yang sama, usaha elemen pencegahan mesti diteruskan,”

Mana satu yang betul ini, hendak cegah ke tidak?

Rasa-rasanya sementara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim suruh semua exconya jangan bercakap soal ini kepada media, penyokong PAS kena duduk muhasabah balik.

Betul ke sokongan mereka kepada PAS membawa menaikan syiar agama, atau sebab kuasa dan lebih takut hilang undi.-5/8/2011-OLEH HELME HANAFI

terimakasih(sumber;http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/isu-serbu-gerejatiba-tiba-pas-jadi-gelabah.html)

Friday, August 5, 2011

Kek lapis guna mentega Golden Churn dimusnah






Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2011/08/04


PENGARAH Jualan Di Wannie Cake meletakkan kek lapis Sarawak yang tidak menggunakan Golden Churn dalam peti ais di kedainya di Satok, semalam.

Pengusaha perlu samak peralatan sebelum buat kek baru

KUCHING: Pengusaha kek lapis Sarawak yang menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang disahkan mengandungi DNA babi, disaran memusnahkan stok mereka dan menyamak semua peralatan dan kelengkapan memasak sebelum menghasilkan semula kek berkenaan untuk dipasarkan.
Ia perlu dilakukan kerana ramai pengusaha menyediakan stok bernilai sehingga jutaan ringgit sejak tiga bulan lalu untuk menampung permintaan sambutan Aidilfitri, pada akhir bulan ini.

Mereka perlu berbuat demikian bagi mengelak menanggung dosa selepas mengetahui produk yang dihasilkan tidak halal dimakan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman, berkata berdasarkan hukum Islam, menyamak adalah wajib kepada lebih 400 pengusaha kek lapis di Sarawak kerana mentega jenama berkenaan antara yang popular serta paling banyak digunakan bagi menghasilkan kek lapis yang tahan lama serta mampu disimpan sehingga enam bulan.

Daud berkata, proses menyamak mengambil masa kurang satu jam bergantung kepada saiz peralatan dan tidak menyebabkan kerosakan mesin pengusaha.

“Kita dimaklumkan memang ada pengusaha menyediakan stok bernilai jutaan ringgit sejak tiga atau empat bulan lalu, namun apa boleh buat. Ini adalah hukum dan mereka bersalah jika terus menjual kek lapis mengandungi DNA babi.
“Bagi pengusaha yang mempunyai banyak simpanan mentega jenama itu, mereka boleh merujuk Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan bagi maklumat lanjut dan pada masa sama menukar mentega kepada jenama yang disahkan halal,” katanya.

Daud berkata, sebelum ini pihaknya meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil dengan kenyataan rasmi pengharaman mentega jenama itu selepas Majlis Islam Sarawak (MIS) berbuat demikian pada 28 Julai lalu.

Katanya, keputusan makmal oleh MIS tidak perlu dipertikaikan kerana ia dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Sarawak menggunakan sampel mentega yang diperoleh secara meluas di pasaran tempatan.


Persatuan akui ramai batal tempahan

KUCHING: Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit memberi jaminan orang ramai tidak perlu bimbang status halal kek lapis Sarawak kerana semua 70 ahlinya sudah menghentikan penggunaan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter dan bertukar kepada jenama lain.

Rabiah bagaimanapun mengakui ramai pelanggan menghentikan tempahan sementara selepas isu itu dihebahkan menerusi media.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kek lapis di Sarawak halal kerana tidak menggunakan produk itu sejak setahun lalu. Pengguna yang ragu-ragu boleh meneliti sijil halal kami yang dikeluar JAIS,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sementara itu, isu itu dijangka tidak memberikan impak besar kepada industri kek lapis Sarawak kerana tempahan yang diterima pengusaha terus meningkat menjelang Aidilfitri. Namun, ada pengusaha terpaksa membatalkan tempahan luar negara kerana bimbang ia menjejaskan jualan selepas terpaksa menanggung kos pengedaran yang tinggi.

Pemilik Kedai Kek Di Wannie, Zoraidah Leen, berkata beliau kerugian sekurang-kurangnya RM30,000 selepas membatalkan penghantaran kek lapis ke Brunei dan Singapura walaupun sudah menerima banyak permintaan daripada pelanggan tetap di negara berkenaan.

Katanya, sejak 2007 pihaknya mengedar kek lapis di dua negara jiran itu selain pelanggan di Semenanjung serta tempatan yang setakat ini tidak terjejas.
“Saya terpaksa menerangkan kepada pelanggan di luar negara dan jalan terbaik adalah menangguhkan penghantaran.

“Kerugian boleh ditampung dengan permintaan dalam negara yang stabil kerana saya memang sudah lama tidak menggunakan mentega itu,” katanya.

Sementara itu, pengedar kek lapis Sarawak di Semenanjung, Azman Hezri, berkata isu mentega tidak menjejaskan tempahan penggemar di Semenanjung.

Malah, beliau terpaksa menghentikan tempahan sebelum Ramadan kerana bimbang tidak dapat menghantar bekalan akibat tempahan terlalu banyak.

Setakat ini beliau mengedarkan 1,500 kilogram kek lapis di sekitar Kuala Lumpur dan Semenanjung.

“Isu Golden Churn nampaknya tidak menjejaskan minat orang ramai di Semenanjung. Walaupun ada yang kata macam-macam mengenai mentega itu, masih ramai membuat tempahan sehingga saya bimbang tidak mampu menghantarnya sebelum raya,” katanya.

terimakasih (sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KeklapisgunamentegaGoldenChurndimusnah/Article/)

Wednesday, August 3, 2011

Nik Aziz Nafi Hidap Kanser Tetapi Akui Ada Masalah Jantung

03 Ogos, 2011 15:06 PM



KOTA BAHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau menghidap penyakit kanser seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita tetapi mengesahkan yang beliau kini menghadapi masalah saluran jantung tersumbat yang membatasi pergerakan hariannya.

"Kesihatan saya tak ada apa. Dakwaan itu tak betul...mengarut saja. Saya hanya (hadapi masalah) ada tiga saluran jantung yang tersumbat.

"Cuma dalam rawatan saya terbaru di hospital tiga bulan sekali, saya tanya doktor di musim durian begini kolesterol saya tak tinggi, saya pun pelik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Rabu.

Portal berkenaan, www.kelatekito.net dilapor menyebut keadaan kesihatan Nik Aziz semakin serius di mana beliau dikatakan disahkan menghidap sejenis barah.

Laporan itu juga menyebut, masalah kesihatan Nik Aziz itu telah disahkan oleh sekumpulan pakar yang merawatnya ketika dimasukkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) beberapa hari sebelum berlangsungnya Ijtimak Pilihan Raya PAS Kelantan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, yang mencabarnya supaya membuat kenyataan terbuka menafikan pertemuannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung isu mempelawa anggota Parlimen Gua Musang itu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang, Nik Aziz enggan mengulas lanjut sambil menyifatkan Zahrain sebagai "sampah".

"Dia tak kenal saya, saya tak kenal dia, orang yang lompat macam ini seperti sampah," katanya.

-- BERNAMA

terimakasih (sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=605717)

Dr Haron Din dan Azizan Razak Dimasuk Ke IJN

DUA pemimpin tertinggi Pas Timbalan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din dan Menteri Besar Kedah, Azizan Razak diberitakan dimasukkan ke Institiut Jantung Negara (IJN) serentak petang ini.

Kedua mereka menghadapi masalah jantung.

Dr Haron akan menjalani pembedahan kecil (angiogram) sementara keadaan Azizan Razak belum diketahui tetapi dilaporkan sedikit kritikal.

Beberapa pemimpin Pas telah menziarahi kedua mereka termasuk Exco Kerajaan Selangor, Dr Hasan Ali yang terawal bergegas ke IJN.

Beberapa keping gambar keadaan mereka di IJN telah dihantar ke email saya sekejap tadi.


Sama-sama kita berdoa semoga keadaan mereka selamat dan apa juga rawatan ke atas mereka berjalan lancar.

Perkembangan lanjut akan menyusul kemudian selepas saya mendapat maklumat terperinci mengenai keadaan mereka kedua.

Dalam pada itu tidak lupa juga didoakan sama untuk kesejahtraan Perdana Menteri, Najib Razak yang dilaporkan menjalani pembedahan lutut hari ini. [wm.kl.6:37 pm 01/08/11]

Posted by mso.im at 6:24:00 PM

terimakasih (sumber;http://msomelayu.blogspot.com/2011/08/maklumat-terkini.html)
````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````````

Azizan akan jalani prosedur buka saluran tersumbat
03/08/2011 3:12pm


ALOR SETAR 3 Ogos – Kesihatan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kini semakin stabil dan beliau akan menjalani prosedur “angioplasty"

bagi membuka saluran jantungnya yang tersumbat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kedah, Dr Ismail Salleh berkata, selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Jumaat lepas, Azizan telah menjalani prosedur angiogram untuk mengesan saluran yang bermasalah.

"Ada satu saluran tersumbat, beberapa prosedur dan pemeriksaan perlu dilakukan ke atas Datuk Seri Azizan sebelum angioplasty dilakukan, dan saya rasa mungkin sebulan lagi baru boleh buat “correction” (pembetulan saluran yang tersumbat) itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail berkata, sementara menunggu prosedur angioplasty dilakukan, Azizan akan dapat bertugas seperti biasa dalam tempoh seminggu lagi, namun beliau dinasihatkan supaya mengehadkan tugasan di luar pejabat.

"Saya rasa hari ini atau pun esok beliau akan dipindahkan dari CCU (Cardiac Care Unit) ke wad biasa dan kemudian dibenarkan balik. Dalam seminggu lagi sudah boleh memulakan tugas-tugas di pejabat tapi perlu dihadkan,” katanya. – Bernama

terimakasih (sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_15.htm)