(gambar hiasan)

RAKYAT Malaysia bertuah kerana hadirnya calon-calon pemimpin beraneka perwatakan, mereka itu berada dalam parti-parti yang beraneka juga. Pemilihan terbuka luas.

Pada zaman serba canggih ini, rakyat berpeluang memerhatikan telatah cukup dramatik. Rakyat melihat demonstrasi demi demonstrasi diadakan kerana pelbagai isu, kecil atau besar, dan yang kecil diperbesar. Rakyat mendengar pidato dan doa yang menyerang dan membela satu-satu tindakan pemimpin.

Kita sedang memerhatikan kelangsungan suara pembangkang mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pegawai-pegawai SPR kini mungkin merasakan pilihan rayake-13 ialah perlawanan antara
SPR dengan pembangkang. Pembangkang buat dakwaan SPR ada kelemahan, malah lebih teruk lagi SPR kononnya ambil sikap menyebelahi kerajaan. Berkaitan dengan ini, Ketua Pembangkang meminta Australia mencampuri urusan pilihan raya kita. Senator Bob Carr dari Australia menjawab, pilihan raya Malaysia adalah urusan rakyat Malaysia.

Rakyat umum mungkin tidak tertarik dengan dakwaan terhadap SPR. Namun, pasti ada sejumlah rakyat yang sudah tertanam sikap anti-kerajaan, terturut-turut mengatakan SPR tidak adil, dan tindakan kumpulan Bersih wajar bergerak terus. Ada pihak merasakan dakwaan sedemikian akan membawa faedah besar kepada mereka. Realpolitik adalah demikian.

Mungkin pilihan raya ke-13 nanti paling memeritkan bagi SPR. Alasan untuk itu ialah gaya garang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkarisma dalam mempengaruhi orang ramai. Anwar berjaya mengharungi aneka halangan dalam menjalani kehidupan politiknya. Muhamed Mursi pun tidak seteruk Anwar dalam menghadapi kesulitan. Sekarang, selaku presiden Mesir, Muhamed Mursi (sama seperti pemimpin lain), giat berusaha menjadi pemimpin yang menguasai segala-galanya, mahu melebihi kuasa bekas presiden Hosni Mubarak.

Rakyat umumnya sedar, pemimpin memang sedemikian, iaitu pertama, mencari helah untuk berkuasa, dan kedua setelah mendapat kuasa, lain pula helah yang dicari untuk pengekalan kuasa. Jika undi diperlukan, maka undi dicari, jika tidak, maka terbuka juga jalan lain. Anwar menjadi penasihat PKR bukanlah melalui undi, tetapi melalui karisma. Namun, Anwar menganjurkan rakyat mengambil masa memikirkan cara membersihkan pengundian dan cara kerja SPR. Pada masa ini, lantaran karisma Anwar, sebahagian rakyat membuang masa berfikir ke arah itu.

Di Malaysia, pemimpin politik benar-benar beraneka jenis. Datuk Seri Mohd Najib Razak memaparkan hasrat menjadi Pemimpin 1Malaysia melalui usaha menunaikan janji-janji untuk keselesaan rakyat. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat banyak berbicara tentang Islam yang membawa bahagia hingga ke akhirat. Lim Guan Eng berjanji akan mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz, walaupun hakikatnya beliau berbeza daripada Nik Aziz. Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbeza daripada yang lain kerana sesekejap amat jelas Negara Islamnya, sesekejap dengan cadangan Negara Berkebajikan, dan beliau pernah juga mengusulkan Negara Perpaduan. Cita-cita murni Hadi ialah hendak jadi nelayan dan khadam. Mudahkah itu dicapai? Kita juga tidak lupa akan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mahu bawa Felda ke tahap tinggi.

Anak-anak muda seperti Khairy Jamaluddin dan sahabatnya Rafizi Ramli ialah ‘janji-janji baru’ yang mungkin berupaya membawa Malaysia ke arah tertentu. Kita juga sedang memerhatikan Datuk Suhaimi Shahdan yang rajin dan bertenaga dalam hal memaparkan kesilapan Kerajaan Negeri Selangor, dan menunjukkan arah diyakininya. Pemimpin lain yang sudah kukuh ialah Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Nasharuddin Mat Isa, Datuk Zulkifli Nordin, Ezam Mohd Noor, Azmin Ali dan beberapa lagi, yang bertentangan secara politik, namun sebahagian besarnya berupaya berjasa.

Rakyat mencintai keamanan akan memilih pemimpin dan parti yang mampu membawa kecerahan. Tuduhan terhadap pemimpin berulang muncul dan berkecai. Oleh itu, dalam memilih parti dan pemimpin yang baik, hal-hal menggoncang emosi eloklah disingkirkan.
(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/rahman-shaari/pemimpin-yang-jadi-pilihan-rakyat-1.107492)