Sunday, October 11, 2009

Apa makna jika PAS menang….?

Apa makna jika PAS menang….?

Oleh: Badrul Hisham Abdul Aziz

 

Pengakuan pengarah Pilihanraya PAS bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang, Sallahuddin Ayob bahawa partinya tidak akan membawa sebarang pembangunan jika calonnya memenangi pilihanraya itu memberi gambaran sebenar ketidakmampuan pihak pembangkang.

Kata Salahuddin, pembangunan di Port Dickson sudah disenaraikan oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dan akan dilaksanakan walau siapapun memenangi pilihanraya kecil ini.

Kenyataan beliau itu juga secara langsung mengesahkan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) adalah pihak yang amat bertanggungjawab dan mempunyai perancangan untuk memaju dan membangunkan Bagan Pinang, Port Dickson dan Negeri Sembilan.

Dengan kenyataan dan pengakuan ini, kira-kira 14,000 pengundi berdaftar di Bagan Pinang boleh membuat pilihan dengan waras iaitu sama ada mengekalkan perwakilan BN bagi memastikan pembangunan berterusan atau wakil pembangkang yang pastinya tidak akan berbuat sesuatu.

Dengan memilih pembangkang juga bermakna warga tempatan akan menempah dan menempuh jalan sempit serta malam yang gelap kerana peruntukan kerajaan memerintah tidak mungkin disalurkan kepada wakil pembangkang walaupun sudah ada perancangan awal untuk pembangunan.

Sebagai wakil rakyat pembangkang, seseorang itu tidak akan mendapat peruntukan kerajaan negeri dari BN dan jauh sekali memperoleh peruntukan kerajan persekutuan. Pengalaman rakyat di negeri Selangor dan Kedah di mana BN menjadi pembangkang adalah pengalaman pahit.

Sebagai contoh, di Hulu Selangor, Ahli Parlimennya dari PKR yang pastinya berhadapan masalah untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan pimpinan BN. Wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Batang Kali dalam parlimen Hulu Selangor pula dari BN. Beliau tidak mendapat layanan langsung daripada kerajaan Selangor yang dikuasai PKR-DAP-PAS.

Ringkasnya, para pengundi yang ‘sakit’ kerana mempunyai wakil-wakil rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah.

Kemenangan satu kerusi bagi pembangkang di Bagan Pinang tidak akan menjejas atau menggugat keseluruhan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Mohamad Hassan. Satu kerusi juga tidak membawa makna kepada pembangkang kerana ia bukanlah kudis yang boleh melumpuhkan kerajaan negeri yang kukuh itu.

Bagaimanapun, dengan Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil ini, dijangkakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu akan mendapat laluan mudah sekalipun pelbagai tohmahan dan sindiran dilemparkan terhadap beliau dan BN.

Rekod perkhidmatan Isa sebagai menteri besar dan kemudiannya menteri pusat masih menjadi ingatan ramai dan pengalaman itulah yang dijadikan sandaran oleh pengundi di Bagan Pinang mahukan beliau sebagai calon kali ini.

Dari awal lagi, banyak pihak yakin bahawa BN akan mengekalkan kerusi ini walaupun Zulkefly Mohamad Omar digembar-gemburkan boleh membuat kejutan untuk PAS dan pakaran rakyat.

Melihat kepada perang poster, pada keseluruhannya dijuarai BN kecuali di lokasi-lokasi markas atau bilik gerakan PAS. Namun, ada satu identiti PAS dan pembangkang yang tidak dapat ditandingi BN iaitu di mana berlaku kesesakan lalulintas, itulah petanda adanya ceramah PAS di situ.

Parti itu mengadakan ceramah di tepi-tepi jalan utama dan seperti biasa, mereka membuka gerai-gerai jualan bagaikan pasar malam. Ini menjadikan jalan sesak dan memberi gambaran seolah-olah ceramah mereka dihadiri ramai.

Namun pada haikikatnya, ceramah Presiden parti, Datuk Haji Hadipun dihadiri 50 orang sahaja. Malah, ada kalanya 20 atau 30 orang sahaja. Presiden itu sendiripun hadir selama 10 minit sahaja kerana cuba menghadiri sebanyak mungkin ceramah pada satu malam.

Dari segi bahan berkempen, PAS nampaknya menggunakan apa sahaja yang difikirkan mendatangkan keuntungan. Ini termasuklah menaikkan poster Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dari awal dan terang tidak mahu Isa Samad menjadi calon.

Mungkin PAS terlupa bahawa Isa adalah kehendak pengundi. Merekalah yang lebih tahu dan mengerti mengenai wakil mereka.

Dalam tempoh baki 24 jam lagi untuk berkempen, kedua-dua pihak meneruskan pelbagai cara meraih undi termasuk meredah kampung, pasar, gerai dan segala macam tumpuan awam.

Namun, tangan yang mengundi pada Ahad nanti akan menentukan siapa bakal bergelar YB.

Ramai berpendapat bahawa BN bakal memperoleh 70% sokongan kali ini, tetapi jentera kerja BN berpuashati dengan sokongan 60% berpihak kepada Isa. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbarnya di Paris kelmarin memberitahu: “Menang besar atau kecil bukan persoalannya. Yang penting ialah kita menang.”-10/10/2009


(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_3ce9254f-7f000010-6cf97c00-ec2369d3)

1 comment:

Aku,Pasbuih Dan Siamang said...

salam.

Harga babi naik harga !