Friday, February 26, 2010

Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W


Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W

(kekanda69.blogspot)

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.
Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, ahli-ahli sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh sebenarnya ialah pada 9 haribulan.

Diantara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi' dan dikebelakangkan 53 tahun dari tahun pertama Hijrah.

Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10 April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1 Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari Rabu.

Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9 Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah 64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat individu tertentu dengan pengkajian mereka.

Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.

Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.

Selawat


Kebaikan meraikan Maulidur Rasul ini jelas seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Sesiapa yang membesarkan hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan sesiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah"

Oleh itu bersama-samalah kita melapangkan masa untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul di tempat yang berhampiran dengan kediaman kita. Jika kita mampu berduyun-duyun menjejakkan kaki ke pelbagai pesta dan sambutan majlis yang lain, apalah susahnya untuk menghadiri majlis yang pasti manfaatnya. Sekurang-kurangnya mungkin kita boleh mengadakan majlis memperingati keputeraan nabi terakhir yang diutuskan Allah Subhana wa Ta’ala ini bersama keluarga di rumah, insyaAllah.

Hukum Sambutan Maulidul Rasul

Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala.

Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul adalah bid'ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.

Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik Muzhaffar Abu Sa'id penguasa Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang. Diantara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini adalah harus dan digalakkan ialah;

1. Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah'. Antara lain beliau menyatakan bahawa; "masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah saw. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya."

2. Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail' , menyatakan; "Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala."

3. Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa "dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi saw.


Fadhilat Bulan Rabiul Awal

Bulan Rabiulawal adalah seperti bulan-bulan Islam yang lain maka amalan sunat di bulan Rabiulawal adalah sama seperti amalan sunat di bulan-bulan yang lain.

Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan fardu dan sunat tanpa mengira di bulan manapun di sepanjang tahun.

Amalan-amalan kita itu akan menjadi bekalan untuk kita meneruskan perjalanan ke padang mahsyar esok. Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah.

Selain dari itu, kualiti ibadah juga adalah diambil kira. Niat dan keikhlasan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam menentukan nilai ibadah kita. Diantara syarat sesuatu ibadah itu diterima ialah niat.

Niat itu akan menggambarkan keikhlasan kita.Kerja yang ikhlas akan membawa kepada kesempurnaan dan kesempurnaan akan membawa kepada kepuasan dan kepuasan akan membawa kepada ketenangan.

Moga kita sama-sama dapat meningkatkan amalan ibadat kita agar kita mempunyai bekalan untuk dibawa ke kampung Akhirat esok, InsyaAllah.

(sumber;http://kekanda69.blogspot.com/2010/02/hari-keputeraan-nabi-muhammad-saw.html)

sempena sambutan Maulidur Rasul >>fikir-fikirkan apa sumbangan kita ???

Islam dan umatnya terus di persenda....apa yang patut kita umat islam buat ???

In the business area of MID TOWN MAN HATTAN in New York a new BAR is opened in the name of APPLE MECCA which is familiar to KAABA MAKKAH. This bar will be used for s...upply of Wine and Drinks. The Muslims of New York are pressurizing Government of USA not open this BAR

Thursday, February 25, 2010

Google Buzz saingan Facebook?

Google Buzz saingan Facebook?

Oleh KHAIRUL ANUAR RAHMAN
rencana@kosmo.com.my

Dominasi Facebook dan Friendster dalam dunia tanpa batasan telah mendapat reaksi daripada gergasi enjin carian, Google, yang menawarkan pilihan baru bagi penggemar rangkaian sosial maya.


APABILA berbicara tentang laman rangkaian sosial, tentunya dua 'F' bermain di kotak fikiran kita. Facebook dan Friendster - kedua-dua laman rangkaian sosial ini telah berjaya menarik ratusan juta pengguna Internet di seluruh dunia.

Laman web yang suatu ketika dahulu hanya digunakan sebagai wadah menghimpunkan teman-teman lama dan baru, kini turut digunakan oleh syarikat-syarikat bagi mempromosi produk mereka.

Golongan selebriti juga memudahkan peminat mereka mengetahui perkembangan terkini menegnai aktiviti mereka.

Tidak hairan lagi apabila ia turut dijadikan platform oleh tokoh-tokoh politik untuk mendekatkan diri mereka dengan lingkungan berkepentingan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun telah mengambil inisiatif meletakkan dirinya bersama-sama rakyat jelata melalui Facebook bagi menyelami masalah dan mendengar cadangan secara terus daripada rakyat.

Pendekatan penerimaan input secara terus daripada rakyat ini tidak pernah diguna pakai sebelum ini. Pastinya fungsi tersebut dapat menambat hati rakyat kerana mereka tidak sekadar dapat melihat pemimpin mereka melalui kaca televisyen, tetapi dapat terus berinteraksi melalui wall atau dinding profil pemimpin mereka itu.



Dominasi Facebook dan Friendster di dalam dunia tanpa batasan ini telah mendapat reaksi dari gergasi enjin carian Google.

Sungguhpun Google telahpun memiliki laman web sosial versi mereka sendiri yang dikenali sebagai Orkut, namun sambutan terhadapnya agak hambar dan lebih mendapat sambutan pengguna di India dan Brazil.

Agar tidak ketinggalan dalam persaingan rangkaian sosial, pada 9 Februari lalu Google telah memperkenalkan Google Buzz, satu komponen rangkaian sosial yang diintegrasikan ke dalam aplikasi email web Gmail mereka. Pembangunan Buzz tertumpu kepada perkongsian foto, video dan juga pautan kepada pengguna Buzz yang lain.

Buzz membolehkan pengguna untuk memilih sama ada untuk berkongsi setiap kemas kini yang dilakukan secara global ataupun tertutup kepada sekumpulan teman-teman tertentu sahaja. Ia turut diintegrasikan dengan laman seperti Picasa, Flickr, YouTube, Blogger dan juga Twitter.

Buzz versi bergerak pula digandingkan dengan aplikasi popular Google Maps membolehkan pengguna melihat siapa yang berada berdekatan dengan mereka. Setiap pos kemas kini yang dibuat melalui Google Maps boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menggunakan aplikasi tersebut.

MAMPUKAH Google Buzz mencuri perhatian penggemar aplikasi seumpamanya?

Selain dari teks, pengguna Buzz versi ini juga boleh memuat naik gambar ke dalam pos mereka.

Langkah Google memperkenalkan Buzz dilihat oleh penganalisa industri tidak lain tidak bukan sebagai satu langkah untuk memecahkan monopoli rangkaian sosial yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tidak kira peringkat umur.

Tetapi apa yang lebih penting, perlindungan privasi terhadap pengguna wajar dititikberatkan agar tidak berlaku kebocoran maklumat peribadi pengguna kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

(sumber;http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_03.htm)

Inovasi Wuduk : Elak Jangkitan dan Pembaziran

Elak jangkitan dan pembaziran

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



RAMAI yang maklum betapa perlunya penyediaan tempat mengambil wuduk yang selesa, lebih-lebih lagi jika kekerapan ia digunakan digandakan lagi dengan bilangan orang yang menggunakannya.

Mungkin apa yang difikirkan paling sempurna bagi seseorang pengguna adalah aspek keberkesanan fungsi. Lebih penting, ketika berwuduk, perkara yang perlu dijaga selain adab adalah soal kesucian kawasan atau tempatnya serta cara mengelakkan pembaziran air kerana itu menyumbang kepada kekhusyukan dalam beribadah.

Apabila memikirkan perkara-perkara tersebut, ilham boleh datang kepada sesiapa pun melalui pemerhatian. Sama seperti yang dialami seorang ahli perniagaan, Anthony Gomez, dalam satu kejadian pada tahun 2006.

Pengalaman hendak menggunakan tandas di dalam sebuah feri dalam perjalanan dari Pelabuhan Aqaba, Jordan ke Pelabuhan Taba, Mesir telah membuka Anthony untuk mencipta satu inovasi terkini bagi membantu umat Islam mengambil wuduk.

Ketua Pegawai Eksekutif AACE Technologies Sdn. Bhd., (AACE Technologies) itu berasa terkejut apabila melihat keadaan tandas sempit yang dipenuhi kira-kira 40 jemaah haji. Mereka dilihat sedang mengambil wuduk dengan menggunakan besen.

Anthony seperti terpanggil untuk melakukan sesuatu demi membantu sekali gus mengatasi masalah keselesaan para jemaah di dalam feri itu.

Sistem praktikal

Dia yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan mula memikirkan tentang suatu ciptaan berteknologi tinggi namun mudah, ergonomik dan praktikal.

MESIN Auto Wudu Washer tercipta selepas mengambil kira beberapa faktor dan sebab.

“Saya telah mengambil masa kira-kira dua tahun dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan mesin automatik Auto Wudu Washer. Ia adalah mesin wuduk pertama di dunia yang dihasilkan syarikat tempatan.

“Hampir semua bahan yang digunakan untuk membangunkan produk ini adalah bahan tempatan. Kos bagi penyelidikan dan pembangunan bagi Auto Wudu Washer pula mencecah AS$1 juta (RM3.4 juta) dan keseluruhan pelaburan untuk projek membabitkan kira-kira AS$2.5 juta (RM8.5 juta),” katanya.

Beliau menambah, terdapat dua model dalam proses pengeluaran AACE Technologies iaitu model 707 dan model 708 dijangka akan memasuki pasaran pada bulan Julai ini.

Perbezaan mengenai dua model ini ialah model 707 disasarkan untuk kegunaan di pejabat dan rumah.

Ia mempunyai ketinggian 190 sentimeter (sm) dan lebar 110 sm manakala model 708 dibina khusus bagi kegunaan seperti masjid, lapangan terbang, hotel serta pusat membeli-belah dengan ketinggian 150 sm serta lebar 86 sm.

Ujar Anthony, antara keistimewaan mesin ciptaannya adalah ia tidak menggunakan air yang begitu banyak dan hanya memerlukan 1.3 liter untuk seseorang menyempurnakan wuduk.

Katanya, ia tentu sekali dapat menjimatkan penggunaan air kerana berbanding menggunakan paip biasa, seseorang tanpa disedari akan ‘membazirkan’ lapan liter air.

“Sebagai contoh, mesin ini hanya memerlukan 10 juta liter air untuk kegunaan wuduk harian bagi dua juta umat Islam ketika musim haji di Mekah.

“Sebab itu AACE Technologies menyasarkan pasaran di negara Asia Barat untuk menjual mesin wuduk ini kerana kebanyakan daripada negara tersebut berdepan kekurangan bekalan air,” ujarnya lagi.

Menghindar jangkitan

Selain daripada menjimatkan air, mesin Auto Wudu Washer turut mengetengahkan teknologi khas bagi memastikan ia bersih dan selamat digunakan.

PERBUATAN tidak membazir air ketika berwuduk membantu kekhusyukan dalam solat. – (Gambar hiasan)

Penasihat AACE Technologies, Dr. Taufiq Thiagi, berkata: “Dalam pembangunan mesin wuduk automatik ini, kita telah membuat kajian agar pengguna terhindar daripada mendapat jangkitan kuman atau kulat air pada kaki mereka.

“Teknologi nano yang diterapkan dalam pembangunan mesin wuduk ini amat membantu. Nano perak yang terdapat pada mesin ini biasanya digunakan untuk mengecat dinding hospital kerana ia membunuh kuman.

Ujar beliau lagi, mesin wuduk tersebut juga didatangkan dengan sistem pengering untuk membolehkan pengguna berada dalam keadaan kering apabila menggunakan Auto Wudu Washer.

Katanya, itu menggalakkan persekitaran tempat mengambil wuduk sentiasa dalam keadaan kering. Idea ini dipraktikkan kerana kuman boleh merebak dengan pantas di persekitaran yang basah dan lembap.

“Secara tidak langsung, kelembapan yang dapat dielakkan itu dapat mengurangkan kerosakan pada permaidani dan mengatasi masalah bau hapak di masjid atau surau,” ujarnya.

PANCURAN air pada bahagian atas mesin ini memudahkan basuhan muka, tangan dan kepala.

Kualiti amat ditekankan dalam pembangunan mesin automatik wuduk ini apabila sistem pengesan pemencar (diffuse sensor) turut digunakan agar ia lebih tahan lama.

“Misalnya, jangka hayat mesin basuh dapat dipanjangkan apabila mekanisme yang sama digunakan untuk mengelakkan kerosakan akibat terkena air, hentakan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dr. Taufiq menjelaskan, mesin wuduk yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu berfungsi dengan dua bahagian punca air.

Di bahagian atas mesin ini terletak tiga titik pancuran air untuk keperluan membasuh muka, tangan dan kepala manakala satu lagi pancuran terletak di bahagian bawah mesin.

“Terdapat lampu pemancar cahaya diod (LED) yang akan membimbing pengguna ketika menggunakan punca air di bahagian atas atau bawah.

“Selain daripada itu, mesin ini turut menggunakan program komputer untuk memberitahu turutan melakukan wuduk,” ujarnya.

Memandangkan teknologi ini direka bagi membantu penjimatan air, program komputer yang terdapat pada mesin wuduk ini membolehkan pengguna untuk mengubah kadar dan sukatan air digunakan mengikut kesesuaian masa serta lokasi ia dipasang kelak.

Dr. Taufiq menambah, mesin tersebut mudah dipasang dan amat sesuai digunakan di kediaman, masjid, surau, pejabat serta kapal terbang penumpang.

Katanya lagi, setakat ini AACE Technologies telah menerima tempahan dari Kuwait dan banyak lagi negara Asia Barat yang melahirkan minat untuk mendapatkan mesin automatik ini.

Mesin Auto Wudu Washer ini dijangka akan dijual pada harga RM8,000 hingga RM14,000 bergantung kepada bahan dan perjanjian pengedar nanti.

(sumber;http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0224&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm)

Monday, February 22, 2010

Lari ikut 'abang Jo'




(sumber;http://www.hmetro.com.my/#2)

Sunday, February 21, 2010

Zahrin dah kena pangkah di P.Pinang.

Zahrin dah kena pangkah di P.Pinang.
Posted by che_wan

Feb 21




Inilah akibatnya apabila mengecam khalifah pujaan Pas. Memang benarlah kata Zahrin, Lim GE dalah cauvinist, rasis dan juga berfikiran komunis.

Tiada siapa yang dapat menegur atau mengecam cara pemerintahan Khalifah bagi melayu haprak PR ini.

Nasib baik hanya gambar Zahrin saja yang "dipangkah" dengan cat merah. Kalau betul-betul kena "pangkah", susah jugak tu..

Ada dulu sorang india yang bakar gambar khalifah ni sewaktu demonstrasi didepan bangunan Dun, terus kakinya kena tetak oleh samseng-samseng di P.Pinang tak beberapa lama selepas tu. (rujuk sini)

Nampaknya bukan saja khalifah Lim GE berfahaman komunis seperti kata Zahrin, tetapi perangai puak-puak pencacai DAP di P.Pinang sendiri dah jadi macam komunis.

(sumber;http://pusakaayahnda.blogspot.com/2010/02/zahrin-dah-kena-pangkah-di-ppinang.html)

Pijak gambar, kaki mau potong. Kekejaman politik di P.Pinang.

Pijak gambar, kaki mau potong. Kekejaman politik di P.Pinang.
Posted by che_wan

Dis 30



BUTTERWORTH, 28 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki yang terlibat dalam kekecohan semasa satu demonstrasi di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 30 Nov lepas, cedera diserang sekumpulan lapan lelaki di kawasan Perusahaan Mak Mandin di sini, semalam.

S. Krishnan Nair, 46, berkata dia yang diserang dengan senjata tajam, menerima 16 jahitan apabila paha kanan dan bahagian belakang badannya dikelar manakala dadanya ditumbuk.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai penghantar surat dalam perjalanan dari Butterworth ke Mak Mandin dengan menunggang motosikal.

BERNAMA



Hanya kerana memijak gambar Lim Guan Eng, aktivis demontrasi dihadapan bangunan Dewan Undangan Negeri, S Krishnan Nair, telah diserang dan dicederakan hanya semata2 untuk membalas dendam oleh samseng2 yang tak dikenali.

Mangsa telah menceritakan detik2 cemas peristiwa tersebut yang disifatkannya "amat ganas" memandangkan beliau yang telah berumur diserang oleh 6 lelaki yang lengkap bersenjata tajam.

Krishnan Nair, 46, telah lama berjasa dikawasan penempatannya serta menjawat jawatan naib pengerusi Rukun Tetangga selama sudah hampir 14 tahun. Beliau juga terlibat secara langsung didalam membela isu Kampung Buah Pala yang telah dorobohkan oleh kerajaan negeri DAP P.Pinang.

Beliau yang merupakan aktivis kemasyarakatan dikawasannya mengesyaki perbuatan menyerangnya itu dilakukan oleh mereka2 yang berdendam dengannya sewaktu perhimpunan bantahan terhadap Lim Guan Eng dan juga kerajaan negeri DAP dihadapan bangunan DUN P.Pinang.

Motif serangan juga dapat dikenal pasti kerana penyerang2 yang menyerang Krishnan Nair hanya memfokuskan untuk memotong kaki beliau. Ini menurut mangsa, semestinya isu ini berkaitan dengan perbuatannya memijak gambar Lim Guan Eng.





Kes ini jelas menunjukkan bahawa Lim Guan Eng dan juga kerajaan DAP bertindak ala2 samseng bagi menangani kritikan dari penduduk2 setempat. Lim Guan Eng dan juga DAP jelas tidak bertamadun didalam menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini dan mengambil jalan mudah untuk menutup mulut rakyat dengan tindakan samseng.

Jika mengikut kenyataan yang diberi oleh Krishnan Nair, ada pihak dalaman DAP melakukan tindakan samseng ini bagi menidakkan kritikan secara berterusan daripadanya. Ini kerana beliau sedang berusaha untuk menyuarakan kes Kampung Muhibbah di Mak Mandin pula dari mengalami nasib yang sama seperti Kampung Buah Pala.

Hingga setakat ini, pihak Pemuda Umno/BN sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah terbabit dan bersama2 penduduk di Kampung Muhibbah Mak Mandin didalam memperjuangkan hak mereka.

InsyaAllah, kami akan menyelongkar penyelewengan tentang Kampung Muhibbah Mak Mandin ini dibawah pemerintahan Lim Guan Eng dan juga DAP P.Pinang.

Yang pastinya, bangsa melayu dan juga india semakin ditindas dan terhimpit di negeri ini dibawah pentadbiran DAP dan juga khalifah Lim Guan Eng.

Ini baru satu negeri, bagaimana pula jika kelompok2 ultra kiasu ini berjaya mentadbir negara?

Fikir-fikirkanlah.

(sumber;http://pusakaayahnda.blogspot.com/2009/12/pijak-gambar-kaki-mau-potong-kekejaman.html)

Kebajikan, ketelusan, keadilan sekadar slogan manis


ARKIB : 08/02/2010
Kebajikan, ketelusan, keadilan sekadar slogan manis

1. MINGGU lalu penulis menerima satu mesej daripada seorang wakil rakyat. Dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) itu beliau menyatakan: ''Pelik Tapi Benar... Satu Ketua Menteri dan dua Menteri Besar: Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor betul-betul memeningkan rakyat. Sepanjang masa berpolitik, penuh kontroversi dan tidak fokus pada tugas sebagai ketua kerajaan negeri''.

2. Mungkin beliau merujuk kepada pergolakan yang berlaku di negeri-negeri itu yang diterajui oleh Lim Guan Eng (DAP), Nik Abdul Aziz Nik Mat (Pas) dan Abdul Khalid Ibrahim (PKR). Pulau Pinang dengan isu Melayunya dan terjahan oleh wakil rakyat PKR (rakan DAP) terhadap Ketua Menteri; Kelantan kalut dengan isu royalti dan hasrat Nik Abdul Aziz yang mahu membuat u-turn mengenai perbincangan UMNO - Pas; Selangor pula yang terlalu hebat dengan slogan negeri berkebajikan kalut mahu merampas tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK). Boleh buat filem! Tetapi sudah tentu bukannya menggunakan tajuk Tiga Abdul, Do Re Mi atau Pendekar Bujang Lapok.

Terserahlah kepada rakyat Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor membuat penilaian mereka.

3. Minggu lalu, selepas tersiar tulisan Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang? di ruangan ini, ada yang kurang senang kenapa Utusan Malaysia begitu ghairah mempertahankan nasib peniaga Melayu Pulau Pinang. Insan yang tidak puas hati itu menyenaraikan tahun-tahun terdahulu mengenai peniaga Melayu yang mengalami nasib yang sama. Katanya, dulu pun kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan merobohkan gerai penjaja Melayu. Beliau bertanya ke mana Utusan Malaysia ketika itu?

4. Sebenarnya Utusan Malaysia tidak pernah melupakan perjuangan untuk peniaga Melayu. Sedikit sebanyak pasti ada laporan yang berkaitan tetapi jika tindakan yang dilakukan kerajaan itu demi kebaikan ramai pada jangka masa panjang, maka keadaan itu tidak dapat dielakkan.

5. Contohnya gerai Melayu di Meriam Timbul, Butterworth. Dulu pun, semasa berulang-alik dari pulau ke seberang, penulis sering singgah di Meriam Timbul untuk menjamu selera. Tetapi kini suasana itu tiada lagi. Medan selera di situ dipindah ke tempat lain. Cuba lihat apa yang terjadi di situ sekarang. Untuk apa ia dibangunkan? Maka tidak semua yang diroboh itu tidak tentu punca. Penulis dalam tulisan pada minggu lepas pun tidak menafikan dalam tempoh kerajaan BN memerintah, ada gerai Melayu yang dirobohkan dan ada gerai bukan Melayu yang tidak dirobohkan. Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.

6. Cuma apabila ia berlaku di era pemerintahan pakatan pembangkang, ia dianggap sesuatu yang luar biasa, sehingga dianggap satu penganiayaan terhadap peniaga atau penjaja kecil yang sudah berniaga di situ sejak kerajaan BN memerintah. Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang melaung-laungkan negeri berkebajikan, membela nasib rakyat dan entah apa lagi janji-janji manis semasa pilihan raya umum lalu, maka tindakan kerajaan pakatan pembangkang itu sudah tentu dilihat sebagai tidak wajar.

7. Tentunya masih terngiang-ngiang di telinga rakyat di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor mengenai janji-janji manis 'bulan dan bintang' untuk mereka. Maka sebagai sebuah negeri berkebajikan sudah tentu kebajikan rakyat perlu dijaga walaupun rakyat berniaga tanpa lesen, tidak ikut peraturan dan sebagainya. Apa yang penting, kebajikan rakyat didahulukan, ketepikan sementara undang-undang dan peraturan buatan manusia yang boleh dipinda dan sebagainya.

8. Maka apabila kerajaan Pulau Pinang meroboh gerai sama ada di kawasan Bukit Bendera, Balik Pulau, Bayan Baru, Permatang Pauh malahan seluruh negeri itu (milik PKR, DAP) kecuali Kepala Batas dan Tasek Gelugor (BN) maka sudah tentu tindakan itu dilihat sebagai tidak selari dengan slogan manis yang ditaburkan pada pilihan raya umum lalu. Begitu jugalah dengan Selangor yang di dalam khutbah Jumaat pun diselitkan sebagai negeri berkebajikan.

9. Minggu lalu semasa singgah solat Jumaat di Masjid Jamek Kajang, penulis mendengar doa yang dibacakan khatib pada akhir khutbah mengenai Selangor negeri berkebajikan. Sedih ketika mengaminkan doa itu penulis terkenangkan nasib YBK.

10. Kalaulah ia benar-benar negeri berkebajikan, maka tanah YBK tidak akan dirampas. Kalau hutang cukai tanah tertunggak dan kemudiannya dibayar, apa masalahnya untuk membebaskan tanah itu? Kalaulah benar-benar negeri berkebajikan maka cukai tanah itu boleh dilupuskan begitu sahaja demi kepentingan yayasan yang mahu menjaga kebajikan orang miskin. Ini tidak, kerajaan pakatan DAP-PKR-Pas tidak berhasrat memberi maaf kepada YBK kerana terlewat bayar cukai. Mungkin ramai lagi yang di luar sana mula 'kecut perut' kalau-kalau tanah yang tidak dibayar cukai akan dirampas. Rumah yang tidak dijelaskan cukai pintu pula akan disita. Maka selepas menunaikan solat Jumaat itu, penulis ke pejabat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang terletak tidak jauh dari masjid untuk menjelaskan cukai pintu, bimbang nanti rumah kena sita. Malangnya pejabat beroperasi semula pukul 2.45 petang. Disebabkan banyak kerja lain nak dibuat, penulis membatalkan hasrat itu. Harap-harap penulis tidak terlewat untuk menjelaskannya.

Tahun lalu, penulis terlewat bayar dan dikenakan denda.

11. Kalaulah ia menggambarkan negeri berkebajikan, cukai pintu pihak berkuasa tempatan pun kalau terlewat tidak perlulah dikenakan denda. Ini tidak, kalau lewat sehari daripada tarikh yang ditetapkan akan dikenakan denda. Kalau tidak silap, penulis kena denda RM50. Kalau seorang pemilik rumah membayar denda RM50, jika 10 orang dah dapat kumpul RM500. Kalau duit denda itu diguna untuk kebajikan rakyat seperti membaiki jalan yang berlubang atau memasang lampu jalan, berbaloilah juga.

12. Sebenarnya RM50 bagi yang berpendapatan rendah atau sederhana bukanlah satu jumlah yang kecil. Dengan RM50 boleh bawa satu keluarga makan sate Kajang atau boleh buat kenduri durian. Lebih-lebih lagi harga durian sekarang dah murah.

13. Kebajikan datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Maka usahlah dipermainkan perkataan kebajikan. Begitu juga dengan keadilan, ketelusan dan bertanggungjawab. Usahlah mendakwa diri mahu mencontohi pemimpin terdahulu seperti Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbiran dan apabila gagal menyalahkan orang lain.

14. Akhirnya, jika di awal tulisan ini, penulis memaparkan SMS, satu lagi SMS yang diterima ekoran tulisan minggu lepas yang menyentuh soal ketamakan kuasa dan harta sehingga menyebabkan Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul dilelong.

15. SMS itu berbunyi: ''Saudara lupa dalam filem itu juga, Sadiq Segaraga yang berjaya merampas harta Ismet Ulam Raja melalui Abdul Wahab dan Abdul Wahib juga dilelong. Kassim Patalon yang menjadi Tuan Penasihat yang dijanjikan komisyen 25 persen oleh Sadiq Segaraga juga dilelong''.

16. Penulis tersenyum dan sekadar menjawab: ''Semoga di kalangan orang Melayu akan muncul Abdul Wahub yang mampu menebus kembali harta bapanya, Ismet Ulam Raja dan maruah Abdul Wahab, Abdul Wahib serta isteri masing-masing Hamidah dan Rafidah serta Sadiq Segaraga. Biarkan Tuan Penasihat dilelong seluruhnya,".

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_aa.htm&arc=hive)

Saturday, February 20, 2010

Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?


ARKIB : 01/02/2010
Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?

1. DULU, kira-kira 40 tahun lalu, waktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang yang diterajui Gerakan, UMNO, MCA, MIC bukannya tidak ada gerai Melayu yang diroboh. Memang ada gerai yang diroboh atas sebab-sebab tertentu. Paling popular sudah tentu tidak ada lesen atau untuk memberi laluan kepada projek lain. Dulu, bukannya tidak ada peniaga yang berniaga ikut suka sehingga mengganggu lalu lintas.

2. Memang ada sehingga sekarang tetapi tidak ada tindakan yang drastik diambil dan mereka terus berniaga seperti biasa. Semuanya itu berlaku di Pulau Pinang ketika kerajaan BN diketuai oleh Ketua Menteri, Dr. Lim Chong Eu dan kemudiannya Dr. Koh Tsu Koon. Kini, kerajaan negeri pakatan pembangkang DAP, PKR, Pas yang baru berusia setahun jagung dan diketuai oleh Lim Guan Eng lebih berani bertindak.

3. Tetapi kenapa riuh rendah jadinya? Mungkin kerana ramai yang terkejut disebabkan tindakan drastik kerajaan pakatan pembangkang ini. Mulanya mereka mungkin mengharapkan pakatan dapat memberi nafas baru kepada peniaga atau penjaja kecil.

4. Mereka tentu lega dengan slogan keadilan, kebebasan, ketelusan, kebajikan dan entah apa lagi slogan yang 'manis-manis' dan enak didengar yang dibawa oleh pakatan pembangkang semasa kempen pilihan raya. Malangnya, ibarat mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan atau panas tidak sampai ke petang. Kebahagiaan yang diharap tidak muncul.

5. Gerai milik orang Melayu yang dulunya 'hidup bebas' di bawah naungan BN kini tinggal sejarah atau bakal menjadi catatan sejarah. Dua puluh tahun beroperasi tanpa masalah tetapi kini muncul masalah. Kalau tidak ada lesen, kenapa tidak diberi lesen?

6. Sementara menurut dakwaan Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), gerai milik bukan bumiputera yang banyak beroperasi tanpa mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terlepas daripada sebarang tindakan. Berjalanlah di sepanjang Jalan Weld Quay, Lebuh Chulia, Lebuh Kimberley, Jalan Macalister, Jalan Burma dan Sungai Dua. Lihatlah panorama indah ini yang boleh dijadikan juga produk pelancongan. Kalaulah semua ini - gerai-gerai Melayu dirobohkan - benar, maka sungguh malang nasib Melayu Pulau Pinang.

7. Apakah ini sudah suratan takdir mengenai nasib kaum minoriti di Pulau Mutiara itu? Mungkinkah Melayu Pulau Pinang lebih terbela di bawah gandingan mantap dan mesra DAP, PKR, Pas?

8.Media arus perdana sudah tentu akan dipersalahkan kerana membangkitkan isu orang Melayu ini dan akhirnya akan dilabel sebagai rasis. Sudah lumrah, apa yang mereka lakukan salah di sisi orang lain tetapi akan dianggap betul jika mereka sendiri yang melakukannya.

9. Tindak tanduk memijak atau melangkah kepala orang yang mereka lakukan secara spontan tidak dianggap satu tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan. Tetapi apabila orang lain mengambil tindakan yang sama dalam keadaan marah, mereka pula tidak sabar dan membuat laporan polis. Itulah lumrah politik pihak sebelah sana yang sering melaungkan slogan yang enak didengar.

10. Khabarnya selain kedai makan atas pokok Do Re Mi di Tanjung Bunga, Three N Ikan Bakar di Bukit Dumbar dan gerai buah di Permatang Pauh milik orang Melayu, ramai lagi yang akan menerima nasib sama selepas ini.

11. Sejauh mana kebenarannya tidak pasti. Gerai-gerai ini bukannya wujud semalam atau kelmarin tetapi telah lama. Malahan sejak kerajaan BN memerintah. Apakah kerajaan BN yang silap? Atau adakah kerajaan BN lebih peka dan prihatin terhadap golongan peniaga seperti ini? Justeru, apakah tujuan sebenar di sebalik tindakan kerajaan DAP yang mengarahkan gerai-gerai ini dirobohkan?

12. Gerai atas pokok memang unik. Dalam filem Do Re Mi ada kisah orang duduk atas pokok. Dalam cerita 'Dewan Undangan Negeri Perak' ada kisah bersidang bawah pokok sehingga pokok tersebut dijadikan satu tempat bersejarah. Dalam filem Laksamana Do Re Mi pula, raja bersemayam di bawah pokok. Begitulah cerita pokok. Maka kenapa restoran unik atas pokok ini mahu dihapuskan?

13. Memang mudah untuk menumbangkan pokok. Seperti filem Do Re Mi, ugut nak gergaji pokok, maka Do Re Mi yang menjadi penghuni rumah pokok itu cabut lari.

14. Agaknya siapa yang lebih bertimbang rasa jika dibandingkan dengan kerajaan BN Perak yang tidak memusnahkan tempat yang menjadi pujaan pakatan pembangkang dengan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu 'mengusir' pengusaha restoran atas pokok.

15. Siapakah yang lebih prihatin masalah rakyat terutama yang berpendapatan rendah apabila sejak 20 tahun lalu berniaga tetapi tidak diganggu gugat oleh kerajaan sebaliknya yang baru pegang kuasa sudah tunjuk belang.

16. Jika ini berterusan - peniaga Melayu menjadi mangsa - maka ke ceruk mana lagi Melayu Pulau Pinang hendak pergi. Berapa kerat orang Melayu yang mampu berniaga di tengah-tengah Georgetown sama ada di Chowrasta, Komtar, Perangin Mall dan sekitarnya?

17. Malang sungguh nasib Melayu Pulau Pinang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, macam orang Tanjong selalu buat seloka... Balik Pulau, Bayan Lepas, Sana Terpelau, Sini Terlepas.

Terbelakah Melayu Pulau Pinang?

18. Terserahlah kepada rakan kongsi DAP iaitu PKR dan juga Pas. Jika PKR dan Pas mahu melihat semua kaum diberi layanan sama rata, maka Melayu Pulau Pinang tidak akan ke mana. Mereka akan terus ketinggalan dalam segala segi. Melayu umpama melukut di tepi gantang.

19. Justeru Melayu Pulau Pinang perlu insaf dan sedar bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membela nasib mereka kecuali diri mereka sendiri. Melayu perlu menghentikan sandiwara politik. Jika ada di antara Melayu yang ada kuasa lupa akan bangsanya, maka lambat laun, mereka juga akan terus hanyut. Janganlah kerana ketamakan kuasa, mereka akhirnya akan 'dijual' kemudian dilelong seperti yang berlaku ke atas Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul.

20. Selain masalah gerai Melayu ini, menarik juga untuk disentuh ialah isu melibatkan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrain Mohd Hashim. Apakah isu Zahrain 'menyerang' Guan Eng dengan kata-kata diktator, cauvinis dan berfikiran komunis' sebagai satu lagi sandiwara sekadar ribut dalam cawan menjelang hari bicara penasihat PKR? Sama ada sandiwara atau disebabkan masalah peribadi, sekurang-kurangnya rakan pembangkang DAP sendiri tidak puas hati dengan Guan Eng. Biar apa pun alasannya, Zahrain sudah berani mendedahkan sikap Guan Eng. Dan seperti yang dijangka, kepimpinan PKR akan menolak segala dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru itu.

21. Atas semangat kerjasama politik, yang hitam tidak boleh dihitamkan lagi tetapi perlu diputihkan. Dalam politik, biarlah kritik orang di luar parti bukannya mengkritik parti sendiri. Jika tidak buruk padahnya seperti dialami Khalid Samad, Hasan Ali dan begitu juga Zulkifli Noordin, Zaid Ibrahim dan Zahrain. Semuanya ini menarik untuk dinantikan kesudahannya. Adakah ia sekadar sandiwara politik atau masalah dalaman yang sukar dibendung.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm&arc=hive)

Kisah teladan: Gelojoh, gelojoh dan gelojoh


Kisah teladan: Gelojoh, gelojoh dan gelojoh

Oleh Zaini Hassan

ORANG politik cakap tak serupa bikin. Semuanya kerana harta, berebut pangkat, penting diri sendiri dan ketamakan. Itulah yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang.

Baik dalam Pas di Kelantan atas sifat nepotisme dan kronisme, begitu juga di Selangor dan di Pulau Pinang. Jangan cakaplah sama ada orang politik itu kononnya alim dan berserban atau tidak alim, semuanya sama saja.

Lim Guan Eng yang kononnya mahu mewujudkan kerajaan yang bersih pun sama. Setelah berada di puncak kuasa, beliau sudah lupa janji-janjinya dalam pilihan raya lalu. Itu pasallah Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim mengamuk dengan menuduh Guan Eng sebagai “diktator, cauvinis dan berotak-komunis”. Tuduhan itu cukup serius. Setakat ini tiada desas-desus Guan Eng akan saman Zahrain.

Sebaliknya Guan Eng pula mendakwa, Zahrain ‘‘kecewa” (istilah dalam The Star “politically frustrated”) kerana cadangannya memasukkan sebuah syarikat bermodal RM2 untuk satu projek ditolak oleh kerajaan negeri.

Zahrain dalam wawancaranya kepada The New Straits Times (NST) pula menjawab: “Itu satu pembohongan besar. Malah mereka cuba nak kaitkan syarikat itu dengan anak saya pula. Saya akan saman mereka.”

Betul tak betul, hakikatnya itu semua adalah kerana harta dan ketamakan. Jika dulu mereka menuduh orang UMNO bersifat begitu, kini mereka lagi lebih. Orang putih kata “the pot calling the kettle black”, orang Melayu kata “cakap tak serupa bikin’'. Baru dua tahun rakyat memberi undi dan memberi peluang perintah kepada mereka - suasananya sudah haru-biru.

Jika dulu mereka tuduh orang UMNO atau BN korup, tapi sebusuk-busuk UMNO dan BN, Malaysia telah disentosakan dan rakyat telah dimakmurkan. Tapi, bagi pakatan pembangkang ini apa yang kita nampak? Habuk pun tarak. Apa yang ada di hadapan kita sekarang sama ada di Selangor, Pulau Pinang, Kedah – malah Kelantan sekali ialah peninggalan kerajaan Barisan dulu yang ditolak rakyat.

Rakyat telah menikmati pelbagai faedah daripada kerajaan yang mereka tolak itu. Sekurang-kurangnya orang Melayu boleh bekerja di kilang-kilang yang tumbuh bagai cendawan dulu. Tak pasti berapa banyak kilang sudah wujud dan berapa banyak pekerjaan sudah dibuka semasa pemerintahan Guan Eng ini. Di Pulau Pinang, jika kita pergi sekarang ke kompleks-kompleks membeli-belahnya tiada budaya Malaysia langsung! Itu adalah realiti. Sepatutnya ia menggambarkan budaya 1Malaysia, sekurang-kurangnyalah.

Saya tidak pasti benar atau tidak gerai-gerai orang Melayu di tepi-tepi jalan di Pulau Pinang dirobohkan? Jika benar amat sedih sekalilah. Mereka mahu mencari makan dan kebanyakan mereka adalah orang yang memberi undi kepada kerajaan Guan Eng sekarang.

Nampak gaya semuanya sudah jadi cacamarba. Anwar Ibrahim pun dengan masalah dirinya yang tidak selesai-selesai. Pelbagai usaha dilakukan oleh peguamnya untuk menyelamatkan klien mereka itu. Pelbagai cara teknikal dilakukan untuk terus menangguhkan kes Anwar yang dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari.

Namun semalam Saiful gembira. Setelah lebih setahun menunggu akhirnya dia akan dapat peluang untuk memberi keterangan dalam kes liwat itu yang bermula hari ini. SMS Alert Utusan dari mahkamah tertulis: “Dia tenang tanpa tekanan.”

Tapi politik Malaysia ini penuh dengan warna-warninya. Semalam juga, buat pertama kalinya, Nik Aziz Nik Mat yang terlalu kasihan dengan Anwar sanggup “turun padang” ke mahkamah untuk melawat rakannya itu.

Sebagai seorang totok politik, Nik Aziz tahu untuk mengalihkan masalah dirinya kepada masalah lain. Isu anak menantunya masih panas, dia melalui penasihat-penasihatnya yang bijak sejak seminggu ini mengalihkan perhatian awam kepada isu royalti minyak. Ku Li juga turut serta dalam satu perhimpunan isu minyak itu, maka sekelip mata isu anak menantunya yang dikatakan orang sebagai “budaya nepotisme dan kronisme Nik Aziz” tertutup.

Semalam, Nik Aziz ke mahkamah untuk mendapatkan publisiti penuh bagi dirinya dan sekali gus menutup isu dirinya dan anak menantunya lagi. Sungguh bijak para penasihatnya yang diketuai oleh Husam Musa melakukan diversion. Dengan sendirinya isu pokok Nik Aziz dan anak menantunya tertutup. Dalam konteks Malaysia taktik lencongan itu cukup efektif kerana tahap pemikiran orang kita cukup singkat dan mudah lupa.

Selangor pun tak kurang panasnya. Selain isu kerakusan kaut pasir yang membabitkan orang politik negeri itu, isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang diterajui oleh orang UMNO ternyata panas. Tanah YBK seluas 526 hektar di Serendah, Rawang – pemberian kerajaan UMNO dulu, dirampas kerajaan sekarang kerana yayasan itu gagal jelaskan cukai berjumlah RM5.7 juta.

Walaupun isu itu lebih membabitkan soal kompromi dan tolak-ansur, kerajaan sekarang tidak akan berbuat demikian. Dengan Menteri Besar Khalid Ibrahim yang dikatakan ‘lemah’ di bawah pengaruh DAP maka agak sukar usaha kompromi itu dijalankan. Tanah itu dikatakan tapak untuk didirikan kampus UiTM.

Perak pula pun akan panas tidak lama lagi. Keputusan status kerajaan BN pimpinan Dr. Zambry Abd. Kadir akan diketahui di Mahkamah Persekutuan 9 Februari ini.

Dengar kata, kedua-dua BN dan DAP-Pas sudah bersiap sedia. Siapa menang ia akan memerintah negeri itu. Tapi persoalannya, apakah akan berlaku pilihan raya negeri jika sesuatu yang di luar jangkaan berlaku di pihak BN. Akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri sebelum 9 Februari ini? Macam-macam khabar angin di luar sana.

Namun, mengikut tinjauan – orang Perak tidak mahu melakukan kesilapan kali kedua untuk memberi Perak kepada DAP yang melantik Pas sebagai boneka mereka.

Akhir sekali, saya tertarik dengan petikan Zahrain dalam wawancaranya dengan NST semalam, beliau berkata: “Saya terus-menerus mengingatkan mereka (kerajaan Guan Eng) bahawa keputusan pilihan raya umum Mac 2008 adalah undi protes oleh para pengundi, yang melihat kami sebagai alternatif mereka...”

Benar kata Zahrain, keputusan undi PRU-12 itu tidak real, ia banyak dipengaruhi oleh emosi, perasaan dan persepsi yang negatif terhadap pemerintah.

Apa yang dikatakan Zahrain itu juga seharusnya dijadikan iktibar oleh orang politik kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang. PRU-13 adalah penentunya yang sebenar. Oleh itu kita semua janganlah gelojoh.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm&arc=hive)

erti sebuah kasih sayang





erti sebuah kasih sayang


tolong..aku tidak mampu lagi menahan kesakitan ini....


awak, bersabarlah...saya tetap akan bersama awak walau apapun yang terjadi


bangun sayang, bangun...saya tak mungkin hidup tanpa awak di sisi, bertahanlah!!!


awak, awak tahu kan saya sayangkan awak, jangan pergi dulu, awak ingatkan janji kita dulu, ingat tak janji-janji kita?


AWAKKKKKKKKKKKKKKKKKKKK!!!!!!!!!

aku rasa mungkin ramai yang dah tengok gambar sepasang burung ini yang kini semakin tersebar di seluruh dunia

ia diambil oleh seorang jurugambar Perancis

semuanya bermula apabila burung betina ini menggelupur kesakitan kerana dilanggar kenderaan, kemudian datang seekor burung jantan untuk memberi makanan kepada pasangannya itu

di saat burung betina ini mati, lensa jurugambar ini berjaya merakamkan ratapan si burung jantan ini, aduh sungguh syahdu sekali

sedangkan binatang pun ada perasaan ingin menyayangi dan disayangi, apatah lagi manusia seperti kita semua

bagi aku, perasaan menyayangi dan mengasihi seorang insan kepada insan yang lain itu merupakan anugerah yang cukup mahal harganya

ia tidak diminta, ia datang sendiri…percayalah, kasih sayang yang ‘dibuat-buat’ sebenarnya mudah untuk kita kenal pasti

sesuatu yang datang bukan dari hati dan perasaan yang tulus ikhlas, pasti akan ‘terkantoi’ dengan begitu mudah sekali

kepada kita semua, bersyukurlah selagi ada orang yang sayang dan kasih kepada kita kerana esok belum menjanjikan apa-apa

jangan hanya setelah dia pergi…baru kita sedar kita sudah kehilangannya, kehilangan kasihnya, kehilangan cintanya

waktu itu merayulah, merintihlah, merataplah…namun kasih sayang itu tidak mungkin akan kembali lagi

tidak mungkin kembali lagi seperti mana di awal kehadirannya!

(sumber;http://syahrilkadir.wordpress.com/2010/02/07/erti-sebuah-kasih-sayang/)

Friday, February 19, 2010

Kunta Kinte: Monopoli gula wujudkan empayar Robert Kuok


Monopoli gula wujudkan empayar Robert Kuok
Oleh Kunta Kinte



1. MINGGU lepas Kunta Kinte cakap pasal kapitalis Cina dan India yang jadi kaya raya atas bantuan kerajaan, tapi orang Melayu tak tahu. Orang Melayu ditanam dengan pendapat yang orang Cina pandai berniaga.

2. Minggu ini Kunta Kinte nak cerita sikit lagi hal tauke Cina yang terkaya di negara kita walaupun dia dah lama tinggalkan Malaysia. Tauke itu adalah Robert Kuok Hock Nien 'Raja Gula'. Dalam kajian tahunan terbaru majalah Malaysian Business (16 Februari), nilai kekayaan beliau adalah RM43 bilion.

3. Dia dah lama pindah ke Hong Kong. Sejak dua tiga tahun ini pula, dia jual atau tarik keluar banyak pelaburan dia di Malaysia. Anak-anak dan suku sakat dia pun tak lagi rapat dengan Malaysia macam dia atau mendiang bapa dia, Kuok Keng Kang.

4. Kunta Kinte rasa inilah punca rizab antarabangsa kita jatuh merudum tahun lepas. Syarikat korporat dan kapitalis macam Robert Kuok, YTL, Genting, IOI dan Rimbunan Hijau banyak bawa keluar duit untuk dilabur atau disimpan di luar negara, khasnya Singapura. Tak hairanlah dah tiga empat tahun lebih banyak modal Malaysia pergi ke Singapura daripada modal Singapura datang ke Malaysia.

5. Dalam masa setahun hingga 15 Jun tahun lepas, simpanan asing kita jatuh RM29.1 bilion daripada RM125.8 bilion kepada RM96.7 bilion kerana pengaliran keluar ini. Empayar Kuok mula kecil-kecilan pada awal abad ke-20 bila Kuok Keng Kang berhijrah dari wilayah Fujian di Negeri China ke Tanah Melayu pada 1909.

6. Catatan dalam buku mengenai Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time antara lain berbunyi:

"The patriarch was Kuok Keng Kang, also from Foochow, a late immigrant to Johor Bahru, who had to face fierce competition from the dominant Teochews, and who attributed his subsequent success to the help he received from the Malay community. By 1920, Kuok's fortune was already made, and he was among the very few who could afford the new luxury of motorcars."

(Ketua keluarganya adalah Kuok Keng Kang, juga dari Foochow, seorang pendatang baru ke Johor Bharu, yang mendapat persaingan hebat dari puak Teochew. Kuok Keng Kang juga berjaya hasil bantuan yang diterimanya daripada masyarakat Melayu. Menjelang tahun 1920, Kuok Keng Kang sudah pun menjadi kaya raya, dan menjadi antara segelintir orang yang mampu memiliki beberapa buah kereta mewah).

7. Orang Melayu ni baik dan pelik. Dia tolong semua orang. Kadang-kadang dia tolong orang bangsa lain lebih daripada dia tolong bangsa sendiri. Dengan bangsa sendiri dia kira. Dengan orang bangsa lain dia cincai.

8. Kuok Keng Kang mula berniaga beras, gula dan tepung gandum di Johor Bahru dengan pertolongan pembesar Melayu. Ada sebuah cerita dalam akhbar The Star tidak lama dulu yang kata pembesar Melayu Johorlah yang tolong sembuhkan Kuok Keng Kang daripada penagihan candu.

9. Roberk Kuok dan saudara lelakinya, Philips dan William dihantar belajar di sekolah Inggeris. Philips akhirnya jadi diplomat tapi William yang masuk Parti Komunis Malaya ditembak mati oleh Inggeris pada 1952.

10. Antara kawan sekolah Robert Kuok di Kolej Raffles, Singapura adalah Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Lee Kuan Yew.

11. Robert Kuok sah jadi Raja Gula dengan bantuan kerajaan bila pada 1968 bila dia tubuh syarikat Perlis Plantation Berhad (PPB) bagi menyahut seruan kerajaan mewujudkan industri gula tempatan.

12. Syarikat itu dibagi tanah di Perlis dan monopoli untuk import, proses dan edar gula sampai tahun lalu bila Kuok jual sahamnya dalam perniagaan gula kepada Felda Global Ventures, anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

13. Dengan keuntungan daripada monopoli gula itulah, Robert Kuok bina empayar perniagaannya di Malaysia yang kemudian berkembang ke Singapura, Hong Kong, Negeri China dan ke seluruh dunia. Kalau pun betul orang Cina pandai berniaga, tapi di Malaysia mereka berjaya dan ramai jadi kaya raya kerana turut dibantu oleh kerajaan.

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Rencana/20100218235252/Article)

Kunta-kinte: Awasi usahawan 'dahaga darah'



Jumaat, 2010 Februari 12
Awasi usahawan 'dahaga darah'
Kunta-kinte: Awasi usahawan 'dahaga darah'
http://www.bharian.com.my

1.0 MINGGU ini Kunta Kinte nak cakap sikit pasal sikap orang Melayu terhadap perniagaan dan persaingan maut yang dituntut oleh usahawan bukan Bumiputera. Dulu, masa bilangan usahawan Melayu ramai, banyaklah orang iri hati dan tuduh mereka macam-macam - kroni, rasuah, tamak, tangkai jering dan Haji Bakhil.

2.0 Tapi orang yang buat tuduhan tu tak pula ambil hal bila usahawan Melayu bagi derma, bagi sedekah, buat masjid dan surau, buka kelas tahfiz dan hantar orang susah pergi haji.

3.0 Sekarang bila usahawan Melayu yang berjaya dah tak ramai sebab banyak perniagaan mereka dah diambil alih oleh GLC, banyaklah pula bersungut susah dapat derma, kelas tahfiz kena tutup dan surau tak siap.

4.0 GLC bukan macam usahawan Melayu. Pengurus GLC tak boleh bagi derma sesuka hati sebab kompeni yang mereka urus tu bukan hak mereka. Sekarang ni pasal usahawan Melayu dah kurang tapi usahawan Cina dan India tambah ramai, maka suara merekalah yang selalu kita dengar. Bila kita dengar, kerajaan pun dengar jugalah.

5.0 Pada 8 Februari lalu, Kunta Kinte dengar pewaris syarikat raksasa YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh kata wajib diwujudkan suasana persaingan yang 'brutal' dalam dunia perniagaan Malaysia.

6.0 Dia kata macam tu masa berucap di Persidangan Ekonomi 1Malaysia yang dibuka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dalam bahasa Inggeris, antara makna 'brutal' adalah kejam, dahagakan darah, tak berhati perut, tak berperikemanusiaan, tak timbang rasa dan tak bertamadun.

7.0 Dalam erti kata yang mudah, Yeoh mahu wujud suasana persaingan di mana yang kuat boleh sesuka hati buat kejam ke atas yang lemah. Yeoh kata kerajaan wajib bantu orang miskin tapi dia mahu kerajaan tarik balik subsidi. Dia kata kerajaan tak patut jadi 'big brother' (Abang Sulung) tempat bergantung.

8.0 Kunta Kinte pening. Kalau kita tak boleh bergantung kepada kerajaan yang kita undi, buat apa susah-susah pilih kerajaan dan buat apa bayar cukai? Usahawan yang berfikir macam Yeoh ni ramai. Kalau boleh, mereka mahu segala peraturan, arahan dan sekatan dihapuskan. Dalam bahasa ekonomi, suasana ini dipanggil laissez-faire.

9.0 Anehnya, usahawan bukan Melayu macam Yeoh tidak pula cakap pasal bantuan yang mereka terima daripada kerajaan. Boleh kata semua usahawan Cina dan India yang berjaya macam Yeoh terima bantuan kerajaan. Tapi ramai orang Melayu tak tahu sebab malas baca dan tak suka selidik.

10. 'Raja Gula' Robert Kuok jadi kaya raya kerana francais gula. Monopoli ni mula zaman bapa dia, Kouk Keng Kang, lagi. Pada zaman Inggeris, beras dan gandum pun mereka monopoli juga.

11. Ananda Krishnan kaya kerana lesen judi dan lumba kuda, telekomunikasi, penswastaan padang lumba kuda Jalan Ampang yang jadi KLCC dan caruman modal kerajaan.

12. Keluarga mendiang Tan Sri Lim Goh Tong kerana lesen kasino dan tanah di Genting Highlands. Tan Sri Tiong Hiew King, tauke surat khabar Sin Chew, kerana konsesi balak di Lembah Baram, Sarawak.

13. Tan Sri Vincent Tan kerana penswastaan Sports Toto, tanah di Bukit Kiara dan Bukit Tinggi. Datuk Tan Chin Nam pemaju Mid Valley kerana kontrak rumah murah zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan pajakan tanah Bandaraya Kuala Lumpur.

14. Malah keluarga Yeoh sendiri jadi kaya raya kerana kontrak bina sekolah dan hospital, konsesi loji penjana elektrik, perkongsian dengan Syarikat Perumahan Negara dan tanah Keretapi Tanah Melayu di Sentul.

15. Kalau kerajaan ikut cakap Yeoh, tinggallah sekerat dua usahawan dan peniaga Melayu macam Tan Sri Syed Mokhtar, Tan Sri Azman Hashim dan Datuk Mokhzani Mahathir. Itu tak tentu lagi. Yang lain kena gulung tikar atau jadilah rumput di tengah jalan, hidup segan mati tak mahu.

Dicatat oleh carleadbest di 09:40 0 ulasan
Label: Rencana Niaga/ Motivasi

(sumber;http://usahawansaufiventures.blogspot.com/search?updated-min=2010-01-01T00%3A00%3A00%2B08%3A00&updated-max=2011-01-01T00%3A00%3A00%2B08%3A00&max-results=1)

Nasib malang Kafe Do Re Mi

Nasib malang Kafe Do Re Mi

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


ATAS: Kafe Do Re Mi hanya bertahan selama lapan tahun.

DALAM filem karya seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, trio sahabat Do Re Mi dibantu dua seniman iaitu A.R Tompel dan Ibrahim Din memang mencuit hati penonton.

Do Re Mi yang digambarkan dalam filem jenakanya itu bagaimanapun sering menemui nasib malang termasuk dalam dua lagi sekuelnya iaitu Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi sebelum kisah ceria mengakhiri ceritanya.

Karya P.Ramlee itu memberi ilham kepada Johar Ismail, 34, untuk mengusahakan sebuah pusat pelancongan yang diberi nama Kafe Do Re Mi di pesisir pantai Tanjung Bungah, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar George Town.

Ketika mula dibuka pada 2002, impian Johar yang merupakan anak jati sebuah keluarga nelayan di situ ialah untuk mewujudkan lokasi pelancongan popular yang mampu dikunjungi orang ramai dengan mengekalkan suasana santai.

Buktinya, Kafe Do Re Mi yang merupakan kedai makan dan minuman kecil beratapkan daun nipah berlantaikan pasir putih pantai Tanjung Bungah itu pantas menarik kunjungan orang ramai termasuk pelancong asing sehingga menjadi antara lokasi popular di situ.

Sebagai daya tarikan pengunjung, Johar turut membina sebuah rumah tiga tingkat di atas sebatang pokok di situ yang memuatkan beberapa koleksi barangan antik untuk tatapan pengunjung. Malah, di pantai itu juga pengunjung boleh menikmati keindahan senja yang cukup mendamaikan jiwa.

Malangnya, hayat kafe itu tidak seperti pengakhiran filem Do Re Mi. Setelah lapan tahun dibuka, Kafe Do Re Mi dirobohkan oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pertengahan Januari lalu kerana didakwa beroperasi tanpa lesen.

Walaupun cuba dipertahankan Johar bersama beberapa rakannya termasuk meminta masa daripada pihak MPPP termasuk berbincang, namun rayuannya tidak diendahkan.

"Saya sanggup ikut apa juga arahan atau permintaan kerajaan negeri asalkan dibenar terus berniaga di sini. Janganlah roboh premis saya, ini punca rezeki saya.

"Saya mohon diberikan sedikit masa, sepuluh minit pun tidak mengapa. Tetapi mereka terus merobohkan beberapa rumah pokok di sini.

"Mereka kata ini arahan kerajaan negeri dan tidak boleh ditangguh," luah Johar yang memberitahu mahu terus berniaga di situ walaupun menyedari tanah di kawasan pantai itu adalah milik kerajaan negeri.



MAJLIS Perbandaran Pulau Pinang mendakwa Kafe Do Re Mi didirikan di atas tanah kerajaan negeri.

Katanya, sebanyak RM300,000 telah dibelanjakannya sepanjang berniaga di situ semata-mata untuk menyediakan kemudahan tandas, surau serta kemudahan lain bagi menarik minat pelancong asing.

"Kawasan ini dahulunya terbiar dan tidak diusaha sehinggakan tiada pelancong berminat datang. Setelah saya habiskan semua simpanan dan wang yang ada untuk membangunkan kawasan ini, ini balasan yang saya terima," katanya ketika ditemui di rumah pokoknya.

Gerai alternatif

Menurut Johar, beliau hanya menerima tiga surat dari Pejabat Daerah dan Tanah kawasan Timur Laut meminta dia merobohkan premisnya dalam masa sebulan sejak negeri itu ditadbir parti pembangkang.

Apa yang dikesalkan, usaha beliau memohon lesen daripada MPPP beberapa kali untuk berniaga secara sah tidak dilayan termasuklah permohonan bertulis kepada Yang Dipertua MPPP ketika itu, Datuk Zainal Rahim Seman.

Bagaimanapun, dalam satu sidang media yang diadakan di Komtar baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow menafikan dakwaan kononnya MPPP tidak menggunakan budi bicara ketika merobohkan premis tersebut.

Malah beliau menyangkal tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri yang hanya menyasarkan gerai milik peniaga Melayu untuk diroboh berikutan nasib sama menimpa pemilik gerai ikan bakar Three N Ikan Bakar di Gelugor.

"Mengikut statistik tahun ini, hanya dua peniaga telah diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Rizab Negara 1965 iaitu pengusaha Kafe Do Re Mi dan Three N Ikan Bakar.

"Peniaga Do Re Mi enggan menerima gerai alternatif yang ditawarkan pejabat daerah di Bayu Senja, Batu Ferringhi manakala gerai Three N Ikan Bakar pula telah ditempatkan di Medan Selera, Gelugor sebelum tindakan perobohan dimulakan," katanya.

Mengulas lanjut, kata Kon Yeow, pihaknya tidak pernah menafikan hak mana-mana kaum dalam tindakan penguatkuasaan malah tiada kaum yang menikmati imuniti daripada tindakan penguatkuasaan tersebut.

"Statistik yang dikeluarkan ini juga menunjukkan tindakan penguatkuasaan diambil atas pertimbangan tidak mematuhi undang-undang dan Undang-Undang Kecil dan bukan atas pertimbangan kaum," jelasnya.

Bagaimanapun, Kon Yeow tidak menafikan masih banyak lagi kes peniaga kecil yang melanggar undang-undang di Pulau Mutiara yang masih belum ditangani tetapi masih diberi perhatian sejajar dengan misi mewujudkan zon niaga yang bersih, strategik dan tersusun.

(sumber;http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm)

Bekas rakan kongsi bapa Anwar merupakan individu ke-3 terkaya Malaysia




February 17, 2010 • 7:33 am
Bekas rakan kongsi bapa Anwar merupakan individu ke-3 terkaya Malaysia

Tatkala blogger-blogger pro-pembangkang begitu seronok membincangkan posisi anak kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir dan adik kepada Najib Razak, Datuk Nazir Razak sebagai antara individu terkaya di Malaysia, mereka ramai yang tidak tahu bahawa individu ke-3 terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Lee Shin Cheng, ketua Kumpulan IOI, salah satu peneraju pengendali ladang kelapa sawit terbesar dunia. Beliau bernilai AS$3.2 bilion dimana IOI pernah juga diterajui oleh bapa kepada Penasihat PKR DS Anwar Ibrahim.

Bapa DS Anwar Datuk Ibrahim Abdul Rahman merupakan bekas ahli parlimen dan bekas Setiusaha Parlimen Kementerian Kesihatan. Selepas beliau bersara, Dato Ibrahim telah menjadi pengerusi IOI Group dimana Tan Sri Lee Shin Cheng merupakan pemilik dan pemegang saham utama.

Berita Harian ( 8 December 1998 ) melaporkan;

Bapa Anwar miliki saham 20 syarikat
KUALA LUMPUR, Isnin – Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengikutnya menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mengamalkan kronisme, nepotisme dan kolusi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu membisu terhadap kepentingan perniagaan keluarga dan rakan rapatnya. Senarai Pendaftar Syarikat menunjukkan anggota keluarga Anwar dan rakan rapatnya adalah peneraju korporat yang penting.

Sebelum Anwar menjadi Menteri, sewaktu menjadi mudir Yayasan Anda, nama ayahnya sebagai tokoh korporat tidak timbul. Bila Anwar menjadi menteri, terutama sekali sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri tuah Pak Ibrahim melonjak naik. Kini IOI mempunyai hartatanah yang banyak di berbagai-bagai negeri. Malah di Sabah saja dikatakan hartatanah IOI melebihi 50,000 hektar.

Utusan Malaysia melaporkan pada 19 Jun 1998 sebagai berkata;

Dalam senarai saham, bapa dan dua adik Anwar dicatatkan sebagai turut mendapat peruntukan saham bumiputera yang dikeluarkan oleh kerajaan. Bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan adik beradiknya, Farizan dan Marzukhi memegang saham berjumlah lebih 7.1 juta unit dalam tiga buah syarikat.

Pada 2 Mei 1998, bapa Anwar, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman, memiliki 250,000 saham Pengkalen Holdings Berhad dan 3,790500 saham Nissan Industrial Oxygen Incorporated manakala adik-beradik Anwar, Farizon memiliki 250,000 saham Pengkalen Holdings Berhad dan Marzukhi Memiliki 2,800,000 saham Penas Corporation.

Bapa Anwar juga menjadi Pengerusi bagi Syarikat IOI Corporation.

Berikut adalah petikan jadual dari majalah Asiaweek yang menunjukkan penerimaan saham yang diperuntukkan kerajaan yang diterima Ibrahim Abd Rahman.

109. Dato’ Hj Ibrahim B Abdul Rahman
Nissan Industrial Oxygen Incorporated Bhd 3,790,500.00 10/6/97

Lam Soon Huat Development Bhd 400,000.00 4/3/85

Industrial Oxygen Incorporated Bhd 2,000,000.00 24/04/1993

- sumber mykmu.net

Dilaporkan semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, saham IOI group telah meningkat secara mendadak.

Puak pembangkang begitu seronok bercerita tentang kekayaan ahli keluarga Tun Dr.Mahathir Mohamad dan DS Najib Razak, tanpa menyedari bekas rakan kongsi bapa Anwar merupakan individu ke-3 terkaya di Malaysia ketika ini. Bagaimana boleh kaya? Itu anda kena tepuk dada, tanya Anwar bagaimana Tan Sri Lee Shin Cheng boleh kaya sehingga hari ini.

(sumber;http://writtenbyhim.wordpress.com/2010/02/17/bekas-rakan-kongsi-bapa-anwar-merupakan-individu-ke-3-terkaya-malaysia/)

zmsegamat kata;

Melayu baru sekerat dua kaya dah bising sedunia. adakah "Melayu tolong Melayu" terutama pada Melayu yang di pinjamkan 'KUASA' dan 'BERKUASA'

Orang Cina Malaysia dan Orang India Malaysia dah beribu-ribu orang yang bergelar jutawan tak pun bising. konsep "Cina tolong Cina" dan 'India tolong India' berjalan lancar, Ekonomi Malaysia siapa yang pegang.

Tahun Baru Cina yang lepas kebanyakan bandar sunyi sepi kerana kedai-kedai ditutup tetapi bila saya ke Kuala Terengganu dan ke Kota Bharu bandar nya meriah sekali,

Presiden PAS bersama keluarga selamatkan orang hampir lemas



MARANG,(harakah daily) 17 Februari: Bukan sahaja menyelamatkan aqidah umat tetapi sudah sampai kepada menyelamatkan nyawa manusia. Itulah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama keluarganya apabila menyelamatkan nyawa seorang yang lemas di Pantai Rusila berhampiran rumahnya.

(Gambar atas: Abdul Hadi keletihan selepas menyelamatkan mangsa lemas)

Ia berlaku pada 14 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang di Pantai Rusila, Marang iaitu berhampiran dengan rumahnya.

"Hari itu, lepas solat Asar, Tok Guru pergi mengail di pantai depan rumahnya. Tiba-tiba dia tengok orang sedang terkapai-kapai lemas. Dia terus suruh anaknya terjun ke laut dan dia bersama-sama menarik orang itu," cerita Haji Omar, Pengerusi Masjid Rusila, yang terletak di sebelah rumah Abdul Hadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Pak Mat Jaga, kata Haji Omar, adalah penduduk Kampung Belubor, iaitu kampung berhampiran pantai Rusila itu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Abdul Hadi bersama dengan anaknya iaitu Abdul Rahman dan Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing di pantai itu.

Mereka berkumpul sambil memancing sementara menunggu untuk menyembelih kambing untuk aqiqah cucu Abdul Hadi.

Tiba-tiba mereka mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil menunjukkan tangannya ke laut.

Menurut Abdul Rahman, 28, anak Abdul Hadi, ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke laut dan menyelamatkan mangsa lemas itu.

"Saya terus ambil pelampung dan terjun ke dalam laut...saya cuba campakkan pelampung itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu. Saya kemudian tarik tangan beliau. Abang Khalil dan Zaharudin datang membantu dan menyeret ke pantai.

"Ayah kemudian turun ke dalam air bersama-sama kami memapah mangsa itu ke pantai," cerita Abdul Rahman kepada Harakahdaily.

Seorang penduduk tempatan yang kebetulan ada di situ telah merakamkan gambar keadaan Abdul Hadi bersama mangsa yang diselamatkannya dan memasukkannya dalam facebook beliau. Gambar itu kemudiannya tersebar ke marata-rata.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Shamsuddeen membuat catatan berikut dalam blognya:

"Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang. Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.

Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka berdamping dengan rakyat.

"Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya."

Zaihan Daud, Setiausaha Peribadi Abdul Hadi juga mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, mangsa lemas yang diselamatkan itu, Ahamad Mat Zin, 58, (Gambar) bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya.

Menurutnya, pada mulanya dia mandi di kawasan biasa tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar.

Beliau menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberi bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.

(sumber;http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24988:-presiden-pas-keluarga-selamatkan-orang-lemas&catid=1:utama&Itemid=50)

zmsegamat kata: tahniah pada mereka yang berada di kawasan berkenaan yang turut bertungkus-lumus membantu Pak Mat Jaga. terutama kepada Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang walaupun dengan berkain pelikat..

MSO: Tahniah Kepada Mahathir Kerana Anaknya Kayawan

MSO: Tahniah Kepada Mahathir Kerana Anaknya Kayawan

Dr MAHATHIR Mohamad tentu tidak berpuas hati membaca laporan dan kajian dibuat Malaysian Business mengenai kedudukan orang-orang terkaya di negara ini. Kenapa tidak, selama 22 tahun jadi PM beliau gagal menambahkan bilangan orang Melayu yang kaya raya.

Kaum Cina yang dianggap kaum pendatang dan dikatakan terus ditindas oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih mengungguli kekayaan di negara ini.

Bagaimana pun bekas PM itu tentu tersenyum dan merasa puas kerana anak lelakinya, Mokhzani telah disenarai sebagai orang terkaya ke 20 di negara ini. Penyenaraian nama Mokhzani itu menjadikan tiga nama orang Melayu terkaya dalam kelompok 20 orang yang terkaya di negara ini. Dua nama lagi ialah Syed Mokhtar Al Bukhary dan Azman Hashim.

Kita orang Melayu juga tumpang gembira dengan kekayaan ketiga-tiga orang Melayu itu. Setidak-tidaknya bila orang bercakap soal kekayaan kita boleh menyebut nama mereka bertiga itu, bahawa orang Melayu juga kaya. Syed Mokhtar Al Bukhary dikatakan mempunyai aset RM6.0 billion, Azam Hashim pula memilik kekayaan sebanyak RM2.86 billion. Manakala Mokhzani pula memilik kekayaan sebanyak RM1.75.

Selain dari tiga nama itu nama Nazir Razak, iaini adik kepada Najib Razak juga dikelompokkan dalam 40 orang terkaya di negara ini.

Kekayaan Robert Kuak Hock Nien dengan nilai kekayaan RM42.7 billion itu dan beratus taukeh Cina lain tidak memelikkan. Memang dalam dunia perdagangan kaum Cina memonopoli dan mempunyai kepakaran mengenainya. Mereka juga kaum yang sudah lama bertamadun. Jadi kalau mereka mengungguli kekayaan di negara ini tidak menghiarankan.

Apabila kita menyemak senarai mereka yang kaya itu, hampir 80 peratus adalah kaum Cina menyebabkan kita tersedar daripada tuntutan politik kaum berkenaan. Selama ini kita sering mendengar kaum itu menuntut itu dan ini dan mendakwa mereka didiskriminasi oleh bumiputera di negara ini. Tetapi dengan tersenarainya barisan para kayawan kaum itu menjelaskan bahawa dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Anihnya pula para pemilik kuasa politik yang terdiri daripada orang Melayu begitu peka dengan tuntutan dakwaan itu. Maka itu dari masa ke semasa pemegang kuasa politik memberi kelonggoran dan memenuhi apa saja yang diminta oleh kaum berkenaan. Mitrokasi dilakukan dalam apa juga aspek. Misalnya perkara paling jelas dan sering kali diadu dombakan mengenai DEB. Kononnya DEB telah menyebabkan kekayaan negara ini tidak dibahagikan sama rata. Kaum Cina dan India dianak tirikan. Lantas itu mereka menuntut agar dasar itu dirombak. Tuntutan itu berterusan sehinggakan meminggitkan telinga penguasa politik negara ini.

Kerana mempercayai provokasi itu maka pemegang kuasa yang terdiri dari orang Melayu dengan senang melulus atau merombak apa saja dasar dan polisi yang dipersetujui sebelum ini. Kalau dengan dasar dan polisi yang dikatakan berat sebelah tetapi hakikatnya memberi kelebihan dari segi ekonomi kepada kaum Cina dan India, apalah pula kalau dasar dan polisi itu dihapuskan!

Apakah kita cukup hanya setakat menyebut beberapa nama (orang Melayu) saja yang berada dalam senarai keyawan itu? Itupun kita tidak boleh berbangga kerana mereka yang kaya itu kebetulan anak bekas perdana menteri dan adik kepada perdana menteri. Apakah kalau Mokhzani bukan anak Mahathir beliau mampu menduduki dalam senerai berkenaan? Apakah kekayaan itu bukan kepandaiannya mengeksploitasikan kedudukan ayahnya sebagai orang nombor satu negara.

Dari sudut lain dengan hakikat itu kita berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba mendakwa bahawa kerajaan hari ini berlaku tidak adil kepada kaum lain dalam mencari kekayaan. Dan kerajaan atau pemegang kuasa politik Melayu pula hendaknya jangan mudah merombak polisi dan dasar yang bersifat membantu Melayu sebagai kaum yang baru merangkak dalam perniagaan dan ketata negaraan. Jangan muda terpedaya dengan tuntutan dan ugutan pihak berkenaan.

Polisi dan dasar yang boleh melindungi Melayu hendak dikekalkan. Hatta ianya dinamakan sebagai subsidi, pemberian, ehsan dan sebagainya perlu dikekalkan. Orang Melayu jika diibaratkan kepada lembu ternakan adalah lembu baru yang perlu berada di blok ladangnya sendiri. Ladangnya perlu dipagar agar tidak dapat dimasuki oleh lembu-lembu lain. Kalau lembu baru bernama Melayu ini terus di lepas di ladang terbuka, apa lagi yang tidak mengenal halal dan haram maka nasib lembu Melayu ini akan buruk padahnya. selamanya ia akan ketinggalan di belakang dan hanya dapat meragut keringan lebihan lembu-lembu jagoh sahaja.

Mudah-mudahan saja menjelang tibanya 2020 akan ada sekurang-kurang 10 orang kayawan Melayu yang akan tersenarai dalam lis mereka yang kaya raya. Saya tetap yakin angka itu dapat dicapai asalkan saja Melayu kurang atau hentingkan politiking dan perang untuk memenangkan kiblah dan puak masing-masing. [wm.kl. 2:15 pm 18/02/10]

Posted by mso.im at 1:36:00 PM
Labels: Ekonomi Melayu

(sumber;http://msomelayu.blogspot.com/2010/02/ulasan-dan-renungan.html)

Thursday, February 11, 2010

Tiada kompromi kuatkuasa sijil halal


Tiada kompromi kuatkuasa sijil hahal
Feb 11, 10 2:48pm

"Dikerat 18 pun kita tidak kompromoi dalam soal halal. Ini bermakna sekali-kali tidak ada kompromi dalam perkara yang membabitkan integriti dan perlaksanaan hukum syarak.

"Itu adalah kata-kata keramat Saimah Mukhtar, Pengarah Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Dan tugas kami memang berisiko tinggi. Ini termasuk menerima ugutan tetapi ini sudah menjadi asam garam tugas kami di cawangan pemantauan dan penguatkuasaan," demikian tegas Mohd Amri Abdullah, Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal JAKIM.

Beliau menambah, pihaknya menjalankan tugas berdasarkan peraturan dan hukum syarie yang telah distandardkan.

Sehubungan dengan itu, katanya, mana-mana pemegang sijil halal atau orang yang melakukan kesalahan yang ada kaitan dengan isu halal akan dikenakan tindakan berdasarkan prosedur berkenaan.

Mohd Amri terbabit dalam operasi pemantauan dan penguatkuasaan Sijil Halal sejak menyertai JAKIM pada 2003.

Operasi berisiko

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan Sijil Halal dibuat secara berkala dan ia melibatkan produk yang ditakrif sebagai berisiko tinggi dan rendah.

"Berisiko Tinggi" melibatkan produk yang berasaskan daging, lemak atau minyak, alkohol serta syarikat-syarikat yang antaranya tidak mengamalkan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Amalan Kebersihan Baik (GHP).

Operasi untuk pihak berkenaan dibuat lebih dari sekali setahun sementara kategori berisiko rendah pula melibatkan produk yang bukan berasaskan daging, mengamalkan GMP, GHP, adanya Eksekutif Halal dan jawatankuasa halal dalaman serta syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan diyakini amalan pengilangannya.

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan untuk kategori ini mungkin dibuat sekali dalam setahun.

Operasi juga dibuat berasaskan aduan orang ramai dan operasi berkenaan dijalankan di seluruh negara.

Mohd Amri berkata sepanjang 2009, pihaknya menjalankan sebanyak 146 pemantauan iaitu 120 pemantauan berkala dan 26 pemantauan berdasarkan aduan orang ramai.

Menurut Mohd Amri, bidang kuasa cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal juga meliputi Sabah dan Sarawak bagi pihak yang mendapat sijil halal.

Agensi lain terbabit

Operasi pemantauan dan penguatkuasaan JAKIM turut melibatkan pegawai-pegawai daripada pelbagai jabatan, kementerian serta agensi. Antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kastam, JAIN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bergantung kepada keperluan, operasi berkenaan turut melibatkan anggota polis sebagai langkah keselamatan.

"Banyak operasi yang kita lakukan melibatkan rumah sembelih dan hotel yang mungkin berlaku kebarangkalian ketidakakuran.

"Katakan sebuah hotel yang mengambil bekalan ayam daripada satu-satu pembekal dan apabila harga ayam naik, hotel itu mungkin akan mengambil ayam daripada pembekal lain yang harganya lebih murah. Ini akan membuatkan pemantauan lebih kerap dibuat," jelas Mohd Amri.

Untuk rekod, menurut statistik JAKIM, sehingga Mei 2009, hanya 27 atau hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh Negara telah mendapat sijil halal JAKIM bagi dapur utama mereka.

Berhubung aduan orang ramai, Mohd Amri memberitahu aduan yang dibuat adalah mengenai pemegang Sijil Halal dan yang melibatkan soal perbahasaan halal.

"Walau apa pun kita akan buat pemeriksaan bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain. Misalannya jika ada yang berhubungkait dengan logo halal tetapi tidak ada Sijil Halal atau Sijil Halal telah tamat tempoh, ini melibatkan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972, di bawah kuasa KPDNKK.

Logo palsu

"Pihak JAKIM tidak ada kuasa undang-undang selain dari menarik balik Sijil Halal yang dikeluarkan atau menggantung sijil tersebut. Kita hanya sebagai pengesah sijil termasuk juga yang menggunakan logo halal palsu," tambahnya.

Untuk aduan yang ada kaitan dengan Akta Makanan 1983, contoh berhubung soal kebersihan premis, operasi akan dibuat bersama dengan pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan dan yang berhubung dengan Akta Haiwan pula akan melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Mana-mana aduan yang ada kena mengenai dengan PBT, tertakluk di mana lokasi premis yang diperiksa, kita akan ajak pegawai penguatkuasa PBT berkenaan.

"Ini menunjukkan banyak agensi penguatkuasa terlibat dalam Sijil Halal. Ini juga membuatkan Sijil Halal kita diiktiraf di seluruh dunia sebab sistem yang kita laksanakan di mana kita keluarkan sijil dan kita buat pemantauan balik untuk sijil yang diberi," jelasnya.

Menurut Mohd Amri, kes-kes yang melibatkan penggunaan sijil dan logo halal palsu atau menggunakan kalimah perbahasaan yang membawa maksud halal sememangnya banyak.

Beliau memberitahu contoh aduan yang meminta JAKIM memeriksa sebuah kedai makan mamak yang menggunakan ayat Al-Quran untuk menarik pelanggan Muslim atau menggunakan perkataan halal sendiri.

"Ini sebenarnya tidak termasuk dalam bidang kuasa JAKIM kerana kuasa JAKIM hanya membabitkan logo dan Sijil Halal yang kita keluarkan.

"Dalam kes kedai mamak itu, yang boleh mengambil tindakan ialah KPDNKK sekiranya terbukti makanan yang dihidangkan tidak halal. Beban pembuktian terletak kepada JAKIM. Kita kena buat kajian halal atau haram sebelum KPDNKK boleh mengambil kes,"katanya.

Ayat al-Quran

Beliau memberi satu lagi contoh mengenai sebuah premis makanan yang menggunakan ayat Al-Quran dan apabila diperiksa, kedai tersebut yang terletak di Lembah Klang mempunyai pekerja yang semuanya beragama Hindu tetapi lesen perniagaannya atas nama seorang Melayu.

"Di bawah APD 1972 tindakan akan diambil ke atas pemilik dan dalam hal ini pemiliknya Melayu, dan mungkin lesen perniagaan telah dialibabakan. Pindaan yang diusahakan JAKIM untuk APD 1972 antaranya adalah untuk menangani kelemahan seperti ini.

"Kalau pemilik lesen orang India, pekerja bukan Islam dan meletakkan ayat Quran di dalam premis makanan, KPDNKK boleh mengambil tindakan. Di dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri juga boleh mengambil tindakan di bawah penggunaan teks ayat Quran,"katanya.

Mohd Amri juga memberi contoh sekiranya Sijil Halal diberi untuk 10 produk dan apabila pihaknya membuat operasi pemantauan dan penguatkuasaan dan mendapati ada 11 produk dan produk ke-11 menggunakan logo halal, KPDNKK boleh merampas produk yang ke-11.

JAKIM, katanya akan menarik balik atau menggantung Sijil Halal untuk setiap satu daripada 10 produk tadi kerana pengusaha tidak berlaku jujur dalam membuat perisytiharan.

Pengusaha berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan dan keputusan akan dibuat oleh panel yang berkenaan.

Tindakan menyusahkan

"Sesetengah pihak dalam industri menganggap tindakan kami ini menyusahkan mereka tetapi sebenarnya daripada pengalaman kami, ada juga yang bersikap positif dan mendapatkan nasihat untuk memperbetulkan kesilapan mereka.

"Bagi pihak pengguna, sudah tentunya mereka akan melihat secara positif tindakan penguatkuasaan yang dibuat oleh JAKIM, persijilan kita mempunyai kredibiliti melalui penguatkuasaan yang kita laksanakan,"jelasnya.

Bagi operasi ke atas rumah penyembelihan yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, ia dibuat berdasarkan aduan dan sebagai operasi berkala. Ia lazim dilakukan sekitar pukul 3 pagi memandangkan bekalan ayam akan mula dihantar ke pasar-pasar selepas subuh, kata Mohd Amri.

Antara operasi yang pernah dilakukan ialah yang melibatkan aduan urat leher ayam yang disembelih tidak putus atau ayam direndam dalam air panas.

Beliau memberitahu sekiranya aduan didapati benar, pihaknya akan meminta rumah penyembelihan menghentikan operasi dan mengisytiharkan jumlah ayam yang sudah disembelih dan sama ada melupuskan ayam-ayam tersebut atau mengisytiharkan ayam itu sebagai tidak halal dan hanya menjualnya kepada bukan Islam.

Roh halal dan jihad halal

Cepat atau lambat satu-satu operasi bergantung kepada kes dan menurut Mohd Amri ada kes yang operasinya bermula jam 12 tengahari dan berakhir pada jam 3 petang keesokannya.

"Kami di JAKIM telah diterapkan dengan Roh Halal dan Jihad Halal yang cukup kuat. Jadi tak ada masalah untuk buat operasi pada awal pagi atau yang mengambil masa berjam-jam lamanya,"tegasnya.

Mohd Amri turut menegur sikap sesetengah orang Islam di negara ini yang membuat andaian semua produk yang dijual di Malaysia adalah halal tanpa meneliti ramuan yang digunakan untuk membuat produk tersebut.

"Bila kita buat operasi pemantauan dan penguatkuasaan, barulah mereka sedar.

Pihak kami pernah menyerbu sebuah restoran atas aduan orang ramai yang meragui kehalalannya. Ramai pengunjung Islam sedang makan di premis yang tidak halal itu dan apabila ditanya, komen mereka makanan sedap.

Lagi pun kata mereka juruwangnya memakai tudung.

"Yang haram bukan dari segi daging khinzir tetapi alkohol. Kebanyakan makanan Barat, Cina dan Jepun menggunakan alkohol untuk menyedapkan makanan. Pengalaman saya makanan Barat banyak menggunakan cuka wain atau alkohol. Sikit atau banyak, mabuk atau tak memabukkan, yang haram tetap haram," tegas Mohd Amri.

Beliau menasihatkan masyarakat Islam untuk menjaga kehalalan makanan kerana sumber makanan yang haram akan turut mencacat-celakan keturunan.

Menurut beliau, ada pihak yang menyatakan generasi orang Islam hari ini sebagai generasi strawberi, lemah dan rosak akhlak.

"Buah strawberi itu kan lembik, tidak boleh diusik, Ini semua berpunca daripada makanan. Kita mesti beratkan makanan yang halalan thoyiban. Jika ini tidak ditangani, generasi Islam akan terus lemah.

"Otak yang cergas datang dari sumber makanan. Saya ibaratkan makanan sebagai minyak. Kalau minyak tidak berkualiti, nak nyalakan lampu pun tak boleh, nak gerakkan kereta pun tak boleh. Kita perlu tukar generasi strawberi ini dengan faktor makanan.

"Orang Islam mesti menjadi pengguna yang bermaklumat, mesti ada sifat ingin tahu, tahu membezakan sama ada satu-satu makanan itu halal atau tidak. Jadikan ini pembelajaran sepanjang hayat.

“Tengok orang Yahudi, bagaimana mereka boleh melahirkan generasi yang hebat dan menguasai ekonomi dunia. Puncanya hanya mengambil makanan yang berkhasiat (kosher), orang Yahudi menjaga betul apa yang mereka makan," kata Mohd Amri.

- Bernama

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/124224)