Friday, October 16, 2009

Graduan jangan hanya kecam rasuah semasa menuntut - Tun Musa Hitam


SHAH ALAM 15 Okt. - Graduan universiti diingatkan tidak hanya lantang mengecam pelbagai salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku semasa sedang menuntut di menara gading tetapi melakukan kesalahan itu apabila bekerja dan menjawat jawatan tinggi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, para graduan juga perlu segera insaf jika terlibat dalam salah guna kuasa, tidak lupa diri dan tidak terus menjadi jaguh korupsi.

''Janganlah kita menuntut sesuatu berasaskan kepada emosi dan sentimen semata-mata.

''Tetapi ia haruslah berasaskan kepada ilmu, kelulusan, kebolehan dan pengetahuan berpandukan keyakinan dan iman dengan erti kata sebenar," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kerajaan dan Politik) yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen Ke-71 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Musa turut bangga kerana ratusan ribu anak Melayu kini telah menjadi golongan terpelajar dalam pelbagai bidang berbanding lebih 40 tahun lalu.

Kata beliau, semua ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu keseluruhannya sudah boleh diterima sebagai masyarakat yang terpelajar, matang dan berkebolehan dalam pelbagai bidang.

Bagaimanapun kata Musa, pada pandangannya apa yang masih kurang di kalangan masyarakat Melayu ialah kepercayaan atau keyakinan atas kebolehan diri sendiri.

''Saya memang insaf dan sedar bahawa banyak lagi kekurangan dan masih jauh harus dijalani tetapi kalaulah mentaliti dan psikologi kita masih negatif diiringi helah tidak boleh, maka tidak bolehlah kita.

''Mentaliti ini jelas dilihat apabila masih ramai para pemikir dan penganjur Melayu yang kerap menggunakan hujah seperti 'habislah Melayu' dan 'apalah nak jadi kepada Melayu' apabila menghadapi isu-isu negara.

''Sebagai penyelesaiannya pula disarankan konsep 'ketuanan Melayu," kata beliau.

Kata beliau, sejarah dunia moden telah membuktikan bahawa konsep ketuanan bangsa telah gagal lebih-lebih lagi apabila menghadapi persaingan dari mereka yang kukuh serta tinggi tahap pengetahuan dan pintar dalam pelbagai ilmu, khususnya teknologi dan sains.

''Kepada saya kalaulah hendak kita cari slogan bersesuaian, terminologi 'keterasan Melayu' lebih baik dan lebih sesuai sebagai konsep asas masyarakat Malaysia yang diidam-idamkan oleh rakyat pada masa ini," jelas beliau.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm)

No comments: