Sunday, January 31, 2010

Tun Dr Mahathir :Orang Melayu serba salah…simpan lama-lama nanti meletup


Orang Melayu serba salah…simpan lama-lama nanti meletup

Oleh: ROSLAN BIAN


Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan orang Melayu yang kini dalam keadaan serba salah melihat parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu,UMNO,PAS dan PKR kini lebih mengejar sokongan bukan Melayu hingga adakala membuat keputusan yang menyakitkan hati orang Melayu.

Bekas Perdana Menteri itu berpendapat kewujudan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan Melayu dan Islam membuktikan ada yang tidak kena dengan parti-parti politik Melayu

“Apa yang dituntut bukan Melayu sama ada baik atau buruk akan dilayan parti yang mewakili orang Melayu demi mendapat sokongan bukan Melayu,”katanya.

Kata Dr Mahathir, inilah pendirian parti yang dipimpin orang Melayu ketika ini baik UMNO , PAS maupun PKR.

“Tiga parti ini tidak lagi beri perhatian kepada orang Melayu malah kadangkala buat keputusan yang menyakitkan hati orang Melayu.

“Kini PAS boleh peluk cium orang bukan Islam untuk dapatkan sokongan sebab mereka tahu orang Melayu tiada pilihan dan menyokong mereka kerana tidak suka pada UMNO,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Negeri Selangor di Keramat, petang Sabtu yang turut dihadiri Presiden Perkasa, Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Kata Dr Mahathir orang Melayu tidak suarakan pendirian kecuali tunggu pilihan raya.

Beliau mengingatkan adalah pentingnya rintihan orang Melayu didengar.

“Kalau dengar orang lain saja, jadi orang Melayu makin lama makin kecewa. Simpan lama-lama nanti meletup,” katanya.

Beliau menyifatkan Melayu tidak suka mengacau orang lain kerana tidak mahu dianggap penentang atau racist, beliau memberi contoh kesan pilihan raya umum 2008 bagaimana mereka berpaling tadah.

“Mereka hanya kata, kami akan sokong. Sebaliknya, rakyat yang kecewa berpaling padah dan kesannya apa yang berlaku pada pilihan raya umum ke 12 lalu.

“Apabila mereka tolak UMNO, barulah pemimpin Melayu sedar bahawa dengan menguasai parti tidak bermakna mereka dapat menguasai orang Melayu keseluruhan,” kata Dr Mahathir.

Menurut Dr Mahathir, orang Melayu kini dalam keadaan serba salah.

“Orang Melayu sejak dahulu setia pada raja dan pemimpin hingga tidak berani menegur pihak berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, rakyat berpendapat, jika tidak sokong parti pemerintah, parti lawanpun teruk juga.

“Maka rakyat tiada pilihan. Kerajaan serta pimpinan parti pula anggap Melayu akan sokong sebab tiada pilihan.

Dr Mahathir menegaskan, kewujudan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan Melayu dan Islam membuktikan ada yang tidak kena dengan parti-parti politik Melayu.

Beliau berkata, orang Melayu lebih suka perdengarkan pendapat, rintihan dan rasa kecewa melalui NGO termasuk Perkasa berbanding berjuang dalam mana-mana parti.

Sehubungan itu katanya, parti politik kena dengar bisikan orang Melayu jika mahu menang pilihan raya.

“Kemenangan mungkin tidak besar tetapi jika terhakis kerana gerakan NGO ini, parti boleh kalah.

“Jangan main-mana dengan NGO. Mereka ada keluarga dan boleh jadi jumlahnya besar. Peluang kemenangan tipis jika tiada undi golongan tidak puashati ini,” tegasnya.

Katanya, walaupun jumlah mereka tidak besar tetapi ianya boleh tentukan menang atau tidak sesuatu parti politik.

Dr Mahathir berkongsi pengalaman ketika pilihan raya menentang allahyarham Yusof Rawa apabila beliau tewas disebabkan anggap boleh menang jika bukan Melayu yang kecil tidak mengundinya.

“Kenyataan itu sebabkan 3,000 undi lari dan PAS yang menang,” katanya.

Beliau turut mendedahkan mengenai sikap murah hati pemimpin terdahulu memberikan kira-kira 1 juta kerakyatan kepada bangsa lain hingga Melayu bukan lagi majoriti.

“Mungkin generasi pertama berterima kasih tetapi generasi baru ingin lupakan sikap murah hati ini. Bangsa lain lempar tuduhan bertalu-talu sebab Melayu lemah, bermurah hati dan tidak mahu menjawab kerana akan dituduh racist,” katanya.

Dalam sidang media selepas itu, Dr Mahathir mengulas perkara sama berkata, Melayu tidak suka mengacau orang lain.

“Dulu masa saya komplen pasal jambatan (bengkok) umpamanya, mereka tak mahu keluar, tak mahu protes. Bila mai pilihan raya, baru mereka undi parti lawan. Rugilah macam itu.,” katanya. 30/1/2010




NGO wujud kerana ada berpendapat UMNO tak mampu pejuang hak Melayu - Tun Dr Mahathir


Kewujudan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) disebabkan ada pada kalangan orang Melayu berpendapat UMNO tidak mampu memperjuangkan hak kaum ini secara bersendirian, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun kata beliau, pertubuhan itu tidaklah sekuat UMNO dalam memperjuangkan bukan saja kaum Melayu malah bangsa lain di negara ini.

"Pada kalangan orang Melayu, mereka berasakan bahawa Umno secara bersendirian tidak begitu mampu untuk melindungi mereka, justeru mereka perlukan NGO," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Perdana di Kuala Lumpur Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai kewujudan Perkasa dalam memperjuangkan hak orang Melayu yang dilihat sesetengah pihak sebagai lebih proaktif berbanding UMNO.

Perkasa yang didaftarkan sebagai NGO pada September 2008 diketuai Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang terkenal dengan kelantangannya dalam membicarakan isu-isu berkaitan orang Melayu.

Terdahulu pada sesi Bicara Perdana itu, Dr Mahathir turut mengingatkan kaum Melayu, sebagai bangsa teras dalam negara, agar terus memelihara dan meningkatkan perpaduan sesama mereka sebelum merealisasikan perpaduan antara kaum.

"Kita sedia maklum, Melayu merupakan bangsa teras dan kaum majoriti dalam negara.

"Justeru jika Melayu sendiri tidak kuat bagaimana kita mahu menguatkan hubungan dengan kaum lain di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negara ini melihat semula sejarah penting yang menunjukkan kaum Melayu pernah mengalami perpecahan pada kalangan mereka sendiri melalui kewujudan parti-parti serpihan.

"Kita akan jadi lemah dan dijajah oleh pihak lain serta keistimewaan orang Melayu akan terhakis jika perpaduan tidak dijaga dan perkara sama mungkin akan berulang," katanya.-28/1/2010


(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_7fdf756e-7f000010-175b7f90-cb45d01a)

No comments: