Tuesday, January 19, 2010

Pemutihan Keahlian Hingga 15 April



Pemutihan Keahlian Hingga 15 April
Jan 18th, 2010 | By administrator | Category: Berita Utama

KUALA LUMPUR, 18 Jan. – Keseriusan UMNO untuk memperkukuh dan memperteguhkan parti terbukti dengan pelaksanaan yang dilakukan bagi memastikan ahli-ahlinya benar-benar sahih dan wujud sebagaimana jumlah yang diperolehinya daripada data yang ada.

Dalam hal ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa Ibu Pejabat telah pun mengambil tindakan dengan meminta semua UMNO peringkat bahagian melaksanakan pemutihan keahlian termasuklah di peringkat cawangan masing-masing.

“Tindakan tersebut dibuat bagi menentukan kaedah kemaskini ahli-ahli UMNO dibuat dengan telus supaya senarai yang ada merupakan senarai sahih dan terkini,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Untuk tujuan ini, beliau memberitahu bahawa satu program telah dijalankan di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU), Kampung Janda Baik pada 8 Januari lalu yang mengumpulkan semua Setiausaha-setiausaha Bahagian.

“Kita telah serahkan disk keahlian dan tumb drive yang mengandungi senarai nama kepada mereka untuk dibuat salinan dan diberikan kepada cawangan-cawangan masing-masing bagi memastikan proses tersebut dilaksanakan,” terang beliau lagi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung BN turut memaklumkan bahawa program pemutihan keahlian digerakkan sebagai alternatif menentukan kesahihan ahlinya dalam UMNO.

Sehubungan itu, bermula dari tarikh 15 Januari hinggalah ke 10 Mac ini, setiap cawangan perlu melaksanakan arahan bagi pemutihan nama-nama ahlinya dan setelah dikemaskini maka senarainya perlu dipamerkan di bahagian dan cawangan masing-masing untuk semakan dari ahli terbabit selama 21 hari bermula dari 15 Mac 2010.

Sehubungan itu, semua Bahagian perlu mengembalikan semula senarai nama yang telah dikemaskini ke Ibu Pejabat sebelum tarikh 15 April 2010.

“Pelaksanaan pemutihan keahlian ini penting bukan sahaja untuk kemaskini terkini tetapi ia juga dibuat khusus selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan parti.”

ROS meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO pada 10 November 2009 yang lalu dan dengan itu UMNO memansuhkan yuran tahunan dan ahli hanya perlu membayar yuran keahlian sekali seumur hidup semasa membuat permohonan menjadi ahli parti iaitu berbeza dengan sebelum ini, bayaran yuran daripada ahlinya dikenakan setiap tahun.

Mengikut data, kedudukan keahlian UMNO sehingga Oktober lalu berjumlah 3,478,393 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 19,235.

Selaras dengan kelulusan pindaan Perlembagaan UMNO tersebut juga, Tengku Adnan turut menggesa ahli-ahli parti agar tidak leka dengan matlamat perjuangan untuk terus memperkasa parti dan memastikan kekukuhan di kalangan ahli terpelihara.

“Kita jangan terlalu asyik menyaksikan pergolakan yang berlaku dalam parti lawan hinggakan kita lalai untuk melaksanakan tanggungjawab kita seperti mana yang telah digariskan oleh Presiden,” tegasnya.

(sumber;http://umno-online.com/?p=5576)

No comments: