Sunday, January 17, 2010

Nik Aziz akui 'cah keting'


Nik Aziz akui 'cah keting'

Oleh RAHANA MOHD DAHARI
pengarang@utusan.com.my

KOTA BHARU 16 Jan. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini secara terbuka mengakui wujud budaya 'cah keting' atau cantas mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas itu tidak menjelaskan secara mendalam sejauh mana seriusnya perkara itu sehingga menyebabkan beliau membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan 'cah keting' semalam.

''Kepincangan tidak hari ini sahaja, sejak anak nabi Adam lagi apabila Qabil bunuh adiknya sendiri, Habil dan sampai sekarang, manusia memuja nafsu dan memuja Allah.

''Susah hendak mencari manusia yang hanya memuja nafsu atau memuja Allah semata-mata selagi ada perjuangan dan pergelutan di antara nafsu baik dan nafsu jahat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan dan Zakat Kepada Pesakit Kusta anjuran Persatuan Kusta Kelantan di sini hari ini.

Semalam, selepas kuliah mingguannya, Nik Abdul Aziz membacakan doa memohon agar Allah melindunginya dan rakyat daripada orang yang mengamalkan sikap 'cah keting'.

Bacaan doa tersebut menimbulkan tanda tanya banyak pihak kerana pada masa kini, Pas dan kerajaan negeri menghadapi krisis dalaman termasuk isu berkaitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sementara itu Nik Abdul Aziz berkata, umat Islam seharusnya berdoa bagi memohon perlindungan daripada pelbagai masalah dan kejahatan.

''Doa seperti kita makan nasi tetapi kita lama sangat hidup dalam tradisi, maka doa kita pun bermusim, lepas solat, masa kenduri kita berdoa.

''Ini tidak betul kerana ini budaya Melayu jahil, kita tidak mahu budaya Melayu, kita mahu budaya Islam yang berdoa pada bila-bila masa, makan, minum, tidur, bangun, masuk pejabat, pergi pasar dan doa tidak khusus lepas solat sahaja," ujarnya.

Mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menolak permohonannya untuk menuntut royalti minyak di kawasan bertindih Kelantan dan Terengganu, beliau berkata, kerajaan negeri tetap berhak membuat tuntutan.

''Itu hak Datuk Seri Mustapa namun dia tidak ada hak untuk menentukan rezeki orang lain. Petrol di Kelantan ini adalah hak Kelantan, ada undang-undang atau tidak, ia tetap hak kelantan," katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm)