Sunday, January 10, 2010

Surau Taman Menara Maju dibaling batu

Surau Taman Menara Maju dibaling batu

SHAH ALAM: Pintu cermin surau di Taman Menara Maju, Kampung Jawa, Klang dekat sini pecah dibaling batu kira-kira jam 6 pagi tadi setelah dibaling dengan batu.

Selain batu, terdapat tompokan air yang dibuang ke dalam surau berusia 13 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusop, ketika dihubungi di sini mengesahkan kejadian itu tetapi menyangkal insiden itu ada kaitan dengan isu pembakaran gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, semalam.

Mohamad juga berkata tompokan air itu bukan air kencing seperti yang didakwa dan berkata siasatan lanjut untuk mengenal pastinya sedang dijalankan.

"Saksi kejadian iaitu seorang penduduk tempatan yang hendak ke surau untuk menunaikan solat Subuh memberitahu polis yang dia nampak seorang suspek lelaki lari ke satu lorong kira-kira 200 meter dari surau itu dalam keadaan tidak memakai baju.

"Siasatan awal mendapati terdapat beberapa tin minuman keras di lorong tersebut dan kita percaya kejadian berlaku disebabkan lelaki itu mabuk," katanya.

Mohamad berkata, siasatan awal polis juga mengesyaki kejadian itu tidak dilakukan oleh orang luar berdasarkan batu-bata yang digunakan untuk memecahkan pintu cermin itu sama dengan batu yang terdapat di kawasan surau berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mengaitkan insiden itu dengan kejadian melempar bom api ke gereja dan berharap masyarakat supaya bertenang.

"Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya. - Bernama

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Mutakhir/20100110002240/Article/index_html)

No comments: