Saturday, January 30, 2010

Saya Mahu Terus Jadi Orang Melayu : A Kadir Jasin


Thursday, January 28, 2010

1. MAAF cakap, saya bangga jadi orang Melayu. Walaupun kadangkala saya malu dengan sikap, tabiat dan pencapaian sesetengah orang Melayu apatah lagi apabila orang Melayu dikaitkan dengan rasuah dan kemalasan, namun saya tetap bangga jadi orang Melayu di Malaysia.

2, Saya yakin orang Cina pun bangga jadi orang Cina dan orang India pun bangga jadi orang India. Tidak mengapalah kalau ramai generasi muda India dan Cina meminjam nama orang putih walaupun mereka bukan Kristian dan tidak boleh berbahas Inggeris dengan baik. Dalam suasana tiru meniru cara Malaysia ini, orang muda Melayu pun terikut-ikut guna nama Inggeris.

3, Justeru itu saya tetap akan mempertahankan identiti Melayu dalam Kad Pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi lain. Lagipun, identiti Melayu itu mengesahkan saya sebagai seorang Muslim, Bumiputera dan tidak makan daging babi atau minum arak.

4, (Baru-baru ini saya makan di sebuah restoran canggih di Bangsar. Saya minta spageti dengan kepah. Tapi ada chardonnay. Jadi saya tanya, chardornnay betul atau ala Malaysia. Dia kata betul. Jadi haramlah. Tapi spageti dengan kepah boleh dimasak tanpa arak. Ajaibnya di Malaysia ni, benda haram pun boleh jadi halal dengan menukar bahan. Maka bacon yang asalnya daripada daging babi, tapi di Malaysia dihalalkan dengan menggunakan daging lembu atau ayam Belanda.)

5, Oleh sebab itu saya tidak setuju sama sekali dengan cadangan kerajaan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

6, Bernama memetik Pelan Hala Tuju (PHT) Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak hari ini sebagai berkata:

7, “Dalam memupuk kerajaan 1Malaysia, adalah dicadangkan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.”

8, Am I Malaysian just because I am proud being a Malay. Adakah cinta saya kepada Malaysia hambar dan kosong kerana saya mahu kekal sebagai seorang Melayu dan mahu identiti Melayu saya itu direkodkan?

9, Saya tidak peduli kalau orang Cina, India, Iban, Kadazan yang semua yang lain tidak mahu menyatakan afiliasi kaum mereka dalam Kad Pengenalan, Sijil Lahir, Sijil Mati, Sijil Nikah, geran tanah dan segala macam lagi dokumen rasmi Kerajaan 1Malaysia. Itu hak mereka.

10, Mana tahu orang Cina dan India Malaysia tidak lagi bangga dengan asal usul etnik mereka dan mahu jadi bangsa 1Malaysia.

11, Saya mahu identiti Melayu saya diketahui dan diakui kerana saya adalah anak peribumi Tanah Melayu, satu bangsa dari Kepulauan Melayu (the Malay Archipelago) dan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan.

12, Takdirnya saya mati di tepi jalan dan sesiapa pun menemui jasad saya yang kaku itu mereka akan tahu saya seorang penganut Islam apabila mereka melihat bangsa saya tercatat sebagai Melayu.

13, Sesungguhnya saya cukup sedih dan gusar apabila satu demi satu, sedikit demi sedikit apa sahaja yang mengaitkan orang Melayu dengan bangsa, negara dan hak asasinya semakin hari semakin dihakis.

14, Membuang pengenalan bangsa dalam borang dan dokumen rasmi seperti dicadangkan itu adalah satu lagi contoh ke arah penghapusan identiti Melayu sebagai bangsa induk, bangsa peribumi dan bangsa majoriti di bumi Malaysia ini.

15, Adakah semata-mata kerana orang bukan Bumiputera “rasa kehilangan hak, diskriminasi dan malah rasa geram” terhadap Dasar Ekonomi Baru maka saya, sebagai orang Melayu, tidak lagi berhak menyatakan identiti bangsa saya?

16, Kalau orang bukan Bumiputera rasa kehilangan hak, diskriminasi dan rasa geram kerana mereka beranggapan DEB tidak menguntungkan mereka, apakah semua orang Melayu dan Bumiputera puas hati dengan dasar itu?

17, Adalah satu kesilapan yang sangat besar menganggap Melayu dan Bumiputera tidak tahu bahawa yang lebih ramai menjadi kaya raya dan senang lenang akibat DEB adalah orang bukan Bumiputera.

18, Jadi, tolonglah jangan kacau saya kalau saya bangga jadi Melayu dan mahu kebangsaan saya direkodkan secara rasmi. Terima kasih.

19, Untuk makluman lanjut mengenai PHT yang diumumkan oleh menteri perdana itu, sila baca rencana berikut dari Bernama yang saya siarkan sepenuhnya tanpa suntingan:


Era Baru Bagi 1Malaysia Dengan Transformasi Kerajaan

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Negara akan membuka lembaran baru 1Malaysia dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru dan pencapaian hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Ini akan mendorong kepada bentuk ekonomi moden yang pesat, masyarakat yang bersatupadu dan kerajaan berwibawa bagi menangani isu-isu seperti penghijrahan keluar tenaga pakar, modal dan penyertaan positif dari semua kaum, menurut Pelan Hala Tuju GTP yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Misi perpaduan kita bukan sekadar demi keharmonian dan hubungan baik semata-mata sebaliknya apa yang penting ialah pembinaan sebuah negara Malaysia yang produktif dan berdaya saing serta pencapaian Wawasan 2020.

"Meskipun perjalanan kita menuju Wawasan 2020 mungkin sukar, kita yakin faedahnya lebih besar memandangkan kepelbagaian budaya yang terhasil dan kelebihan persaingan yang lebih banyak yang diwujudkan oleh pendekatan ini," katanya dalam laporan pelan itu.

Pelan itu menekankan pentingnya menggalakkan integrasi menerusi inklusif dalam mengurus polariti antara asimilasi dan pemisahan dalam masyarat pelbagai etnik di Malaysia.

"Sebagai negara, banyak isu yang dihadapi dan dikenalpasti oleh rakyat sebagai penting adalah polariti seperti antara kaya dan miskin, muda dan tua dan merentas agama, bangsa dan wilayah," katanya.

Penyampaian enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam GTP akan mengurangkan ketidaksamaan dan mengurangkan perasaan tidak puas hati yang kadangkala dicetuskan dalam terma perkauman, katanya.

Enam NKRA adalah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pendidikan, meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

Pelan itu menyebut pelaksanaan Dasar Ekonomi baru (DEB) telah mendorong kepada 'beberapa hasil yang tidak diingini', antaranya rasa kehilangan hak, diskriminasi dan malah rasa geram yang dirasai oleh bukan Bumiputera, yang disebabkan oleh sikap sesetengah pegawai di agensi-agensi tertentu.

Terdapat juga jurang pendapatan di kalangan masyarakat Bumiputera, menyebabkan rasa tidak puas hati semakin meningkat di kalangan segmen tertentu dalam masyarakat.

Faktor-faktor ini telah mendorong banyak rakyat Malaysia, terutamanya golongan profesional untuk bekerja dan tinggal di luar negeri serta penghijrahan bakat semakin bertambah serius.

Ditambah dengan penubuhan Ekuinas, dana equiti swasta untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi, dan sektor kewangan dan 27 sekter kecil telah diliberalisasikan, lebih banyak inisiatif sedang dirangka sebagai sebahagian daripada Model Ekonomi Baru yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.

Kerajaan juga akan menaiktaraf kualiti sekolah kebangsaan supaya menjadi sekolah pilihan kepada semua pelajar dengan peruntukan kepada bahasa ibunda komuniti masing-masing menjadi antara langkah menangani sektor pendidikan dan perpaduan negara di bawah 1Malaysia.

Inisiatif lain termasuk mewujudkan sekolah asrama 1Malaysia dengan pelajar pelbagai kaum dan pemberian biasiswa kebangssan mengikut merit untuk pengajian di universiti antarabangsa.

Dalam memupuk kerajaan 1Malaysia, adalah dicadangkan supaya penyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

Ia juga dicadangkan supaya lebih ramai orang Cina dan India digalak menyertai perkhidmatan awam manakala pegawai Bumiputera yang berasal dari Sabah dan Sarawak akan dinaiktaraf.
Posted by A KADIR JASIN at 3:48 PM

(sumber;http://kadirjasin.blogspot.com/2010/01/saya-mahu-terus-jadi-orang-melayu.html)

2 comments:

Anonymous said...

Saya juga BANGGA sebagai seorang Melayu. Tidak segan silu pabila ditanya Warga Luar;

"Where are you from" = I am from Malaysia".

"OOoo your features are so like the Southern Americans - the Mayans".. Oh yeah, But I am a PURE MALAY from Malaysia..

Then we become instant friends kerana dia begitu minat ingin tahu lebih mengenai SEJARAH, BUDAYA, AGAMA serta apa saja.. And I will never forget to invite them to visit Malaysia... siap bagi contact number lagi... KENAPA..

Kerana saya begitu bangga dan selesa dan rasa Aman sebagai seorang MELAYU dan bangga dengan tanah tumpah darah ku..

Tongkang

日月神教-任我行 said...

走光,色遊戲,情色自拍,kk俱樂部,好玩遊戲,免費遊戲,貼圖區,好玩遊戲區,中部人聊天室,情色視訊聊天室,聊天室ut,成人遊戲,免費成人影片,成人光碟,情色遊戲,情色a片,情色網,性愛自拍,美女寫真,亂倫,戀愛ING,免費視訊聊天,視訊聊天,成人短片,美女交友,美女遊戲,18禁,三級片,自拍,後宮電影院,85cc,免費影片,線上遊戲,色情遊戲,日本a片,美女,成人圖片區,avdvd,色情遊戲,情色貼圖,女優,偷拍,情色視訊,愛情小說,85cc成人片,成人貼圖站,成人論壇,080聊天室,080苗栗人聊天室,免費a片,視訊美女,視訊做愛,免費視訊,伊莉討論區,sogo論壇,台灣論壇,plus論壇,維克斯論壇,聊天室