Sunday, January 31, 2010

Guan Eng seorang diktator - Zahrain

Guan Eng seorang diktator - Zahrain




Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Krisis pakatan pembangkang semakin serius dan merebak ke Pulau Pinang apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim secara keras menyerang Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Menggambarkan Guan Eng sebagai 'diktator, cauvinis dan berfikiran komunis' Zahrain yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang berkata, pakatan pembangkang perlu menghentikan sebarang tolak ansur dengan pemimpin itu setelah dia gagal menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Menegaskan bahawa beliau tidak menyerang DAP, Zahrain menyatakan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP akan menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang sekiranya masih mengekalkan rentak pentadbiran yang diamalkan sekarang.

"Guan Eng tidak suka dikritik. Dia akan segera melabelkan mereka yang mengkritik itu sebagai ejen Barisan Nasional (BN).

"Malah rakan-rakannya dalam DAP juga tidak boleh membantah apabila beliau mengeluarkan pendapatnya," katanya seperti dipetik oleh akhbar The Star, semalam.

Kata Zahrain, antara janji-janji pilihan raya yang masih belum ditunaikan adalah pengenalan pilihan raya ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sistem tender terbuka.

"Guan Eng mungkin berat hati untuk mengadakan pilihan raya ahli majlis PBT itu kerana ia akan mengurangkan kuasanya apabila rakyat Pulau Pinang boleh menggunakannya sebagai mekanisme untuk menilai prestasi kerajaan negeri.

"Beliau juga berjanji untuk melaksanakan sistem tender terbuka, tetapi telah membuat proses itu semakin teruk apabila dia sendiri yang mempengerusikan lembaga tender," katanya yang mengakui proses semak dan imbang semasa era BN lebih baik.

Tambah Zahrain, setiap kali beliau mengkritik cara pentadbiran Ketua Menteri yang disifatkan seperti seorang diktator, beliau dituduh menjadi ejen UMNO.

"Saya sudah pasti bukan ejen UMNO. Saya cuma tidak mahu melihat pakatan pembangkang bergerak melawan janji-janji yang dibuatnya sebelum ini.

"Adalah amat memalukan bagi pakatan pembangkang apabila projek-projek dianugerahkan berdasarkan kepada asas siapa kenal siapa," katanya.

Beliau berkata, Guan Eng sebenarnya tidak sesuai menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang memandangkan beliau bukan orang tempatan dan tidak memahami sentimen masyarakat setempat.

"Beliau juga gagal membawa masuk pelaburan asing meskipun telah melawat ke seluruh dunia untuk menarik pelaburan.

"Pengundi sedang memerhati. Orang Pulau Pinang amat teliti mengenai perkembangan ekonomi," katanya.

Zahrain juga mempersoalkan kewajaran sebahagian ucapan Guan Eng semasa konvensyen pakatan yang dibuat dalam bahasa Mandarin.

"Sebagai pemimpin dalam pakatan pembangkang, beliau sepatutnya menghormati ahlinya yang pelbagai kaum dan berucap dalam bahasa yang difahami oleh semua," katanya.

Serangan Zahrain menyusul selepas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tidak sependapat dengan parti dalam isu kalimah Allah.

Kontroversi itu turut melibatkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad apabila Zulkifli membuat laporan polis ke atas pemimpin Pas terbabit.

Malah ahli PKR itu turut mencabar sebarang tindakan lembaga disiplin parti tersebut yang ah menaikkan kemarahan Ketua Biro Politik PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang sebelum ini keluar daripada UMNO, meletak jawatan sebagai menteri dan senator untuk menyertai parti itu.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm)

No comments: