Tuesday, January 26, 2010

PENGHINAAN OLEH YB KHALID SAMAD

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu P.18
PENGHINAAN OLEH YB KHALID
21 January 2010 Oleh Zulkifli Noordin pada 6:13 PM

KENYATAAN AKHBAR
AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU

Salam 2 all.
Saya merujuk kepada kenyataan YB Khalid Samad yang disiarkan oleh media MalaysiaKini hari ini Khamis 05 Safar 1431/21 Januari 2010 (versi Bahasa Melayu) dimana beliau menyatakan bahawa larangan penggunaan kalimah ALLAH yang terkandung didalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 "sudah ketinggalan zaman" dan perlu dikaji semula untuk tujuan dimansuhkan.

Saya berpendapat kenyataan YB Khalid ini adalah tindakan melampau dan kemuncak kepada penghinaan besar beliau terhadap agama Islam dan institusi Islam dinegara ini khususnya bagi negeri Selangor. Pada saya ianya satu kenyataan yang melambangkan sikap angkuh dan sombong dan berasa diri hebat tanpa mengambil kira pandangan orang lain.

YB Khalid sepatutnya sedar bahawa dalam pertemuan di rumah Dato' Seri Anwar Ibrahim pada hari Isnin 02 Safar 1431/ 18 Januari 2010 isu kalimah ALLAH ini telah dibincangkan dengan panjang lebar, dan ternyata kebanyakan 'ulama' dan ilmuan muktabar Islam yang hadir saperti Dr. Kamal Hassan (bekas rektor UIA), Ustadz Abd Ghani Shamsuddin, Sdr Cikgu Azmi (Teras) dan lain-lain ternyata tidak bersetuju kalimah ALLAH boleh digunakan oleh umat Kristian yang berfahaman ketuhanan triniti, sebaliknya kalimah ALLAH hanya boleh digunapakai oleh mereka yang mentauhidkan dan mengesakan ALLAH. Malahan pendapat ini juga dikongsi oleh 'ulama' dan ilmuan lain (yang tidak hadir) saperti Dr. Syed Naquib Al Attas (bekas Rektor Istac), Datuk Dr. Siddiq Fadhil (Pengerusi Wadah), termasuk pakar perlembagaan Datuk Dr. Professor Shad Faruqi (UiTM). Memang ada agamawan dan mereka yang menyokong saperti Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Salahudin Ayub, Hanipa Maidin (yang kesemuanya daripada PAS), termasuk Dr. Mohd. Nor Manutty (PKR) dan beberapa orang lain.

Sebagaimana kata Dato Seri Anwar sendiri, ternyata ada perbezaan pendapat yang sangat ketara, dan perbezaan itu menyebabkan rumusan kesepakatan tidak dapat dicapai pada malam itu sebagaimana yang diharapkan beliau.

Saya berpendapat kenyataan YB Khalid Samad tersebut adalah suatu penghinaan terhadap Yang DiPertuan Agong yang telah menitahkan supaya agama Islam dan peruntukkan Perlembagaan berkaitan Islam hendaklah dihormati. Ianya juga satu penghinaan besar dan penderhakaan terhadap Paduka Tuanku Sultan Selangor yang telah bertitah dengan jelas bahawa penggunaan nama ALLAH oleh bukan Islam dilarang dan diharamkan sama sekali dalam negeri Selangor.

Malahan saya berpendapat kenyataan beliau itu satu penghinaan terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah memfatwakan pelarangan penggunaan nama ALLAH dikalangan bukan Islam.

YB Khalid Samad perlu faham bahawa pelarangan penggunaan kalimah ALLAH didalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 adalah dibuat secara sah menurut undang-undang berdasarkan peruntukkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Ianya dibuat setelah perundingan, perbincangan, muzakarah, kajian dan perbahasan mendalam oleh para ulama' dan ilmuan Islam dan para cendikiawan. Ianya terkandung bukan sahaja di Selangor, tetapi juga di 9 negeri lain kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Ianya adalah undang-undang yang sah dan berkuatkuasa. Ianya bukan undang-undang yang dibuat daripada atas pokok oleh golongan bodoh dan jahil. Dan umat Islam tidaklah sebodoh dan selemah yang beliau nyatakan. Sebaliknya kejahilan itu adalah pada beliau sendiri akibat daripada sikap sombong dan fanatik beliau mahu memaksa orang lain menerima pandangan beliau yang terlalu jumud dan sempit.

Pada pendapat saya, kenyataan dan tindak-tanduk beliau adalah memudharatkan dan/atau boleh memudharatkan keadaan harmoni atau perpaduan dikalangan umat Islam, malahan boleh mencetuskan ketegangan diantara umat Islam dan bukan Islam. Pada saya, ianya suatu kesalahan yang boleh disiasat dan diambil bukan sahaja dibawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988; malahan tindakan boleh diambil dibawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Kesiksaan.

Saya dengan ini mendesak supaya:

1. YB Khalid Samad segera menarik balik kenyataan beliau yang menghina Islam, Yang DiPertuan Agong dan Sultan Selangor tersebut dalam tempoh 24 jam;

2. YB Khalid hendaklah meminta ma'af kepada Yang DiPertuan Agong dan Paduka Tuanku Sultan Selangor khasnya kerana pada saya kenyataan beliau adalah satu sikap derhaka yang terbuka terhadap paduka Tuanku Yang DiPertuan Agong dan Tuanku Sultan Selangor, dan beliau hendaklah meminta ma'af kepada umat Islam khususnya di Selangor atas kenyataan biadap dan menghina tersebut;

3. Jabatan Agama Islam dan pihak berkuasa negeri Selangor perlu menyiasat kenyataan tersebut menurut peruntukkan undang-undang negeri Selangor yang ada, dan jika didapati ada kesalahan yang dilakukan, hendaklah mengambil tindakan pendakwaan jenayah syarie terhadap beliau di mana-mana Mahkamah yang berbidang kuasa;

4. Pihak Polis DiRaja Malaysia dan pihak berkuasa yang berkaitan hendaklah menyiasat kenyataan ini menurut Akta Hasutan ataupun Seksyen 298A Kanun Kesiksaan, dan sekiranya ada kes hendaklah suatu pertuduhan jenayah dikenakan terhadap YB Khalid Samad;

5. Kepimpinan PAS perlu menyiasat tindak-tanduk YB Khalid Samad ini terutama kenyataan terbaru beliau ini dan saya syorkan supaya tindakan disiplin diambil dengan memecat beliau daripada PAS kerana ternyata sikap dan tindak-tanduk beliau kebelakangan ini adalah sangat memudharatkan PAS dan memberi tanggapan yang sangat negatif kepada perjuangan PAS untuk mendaulatkan dan memartabatkan Islam.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
05 Safar 1431
21 Januari 2010

#######################################################

(Petikan daripada MalaysiaKini (versi Melayu) bertarikh Khamis 21.01.2010)

'Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan zaman'

Jimadie Shah Othman Jan 21, 10 2:23pm

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat enakmen agama yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.Justeru, ia perlu dibuka kepada perbincangan semula.

“Bagi pandangan saya, ya (ketinggalan zaman). Dan ia bercanggah sebenarnya dengan semangat di sebalik usaha dakwah Islam. Saya menyeru untuk ia dibincang, untuk dibuka untuk dibincang,” kata Khalid.“Bukan kata sudah buat, okeylah semua ikut sahaja, lepas itu tidak boleh kaji balik sama sekali. Itu satu kaedah dan pendekatan yang jumud dan tidak harus ada pada umat Islam.

Beliau diminta mengulas sama ada undang-undang itu sudah ketinggalan zaman apabila berkata Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 boleh dikaji kembali sekiranya kefahaman umat Islam semakin mantap.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, pada masa undang-undang itu diluluskan, mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

'Enakmen bukan hukum bersifat qatii'“Namun, enakmen-enakmen merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukan hukum yang bersifat qatii (putus) yang tidak boleh berubah,” katanya yang juga bekas pesuruhjaya PAS negeri.Selain melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, enakmen yang sudah digubal lebih sepuluh tahun lalu turut melarang penggunaan 24 kalimah lagi.Antaranya ialah ilahi, wahyu, ulama, imam dan nabi.

Pada 7 Januari lalu, Umno Selangor menghantar memorandum kepada Sultan Selangor meminta campurtangan baginda bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.Ketua biro agama parti itu, Datuk ismail Kijo yang mengetuai perhimpunan itu dilaporkan berkata, enakmen berkenaan jelas menyebut penggunaan perkataan tersebut dilarang.

Sultan Selangor pada 11 Januari lalu dilapor menitahkan semua pihak berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama lain selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah seperti termaktub dalam enakmen itu.

(sumber;http://zul4kulim.blogspot.com/2010/01/penghinaan-oleh-yb-khalid.html)

No comments: