Wednesday, January 6, 2010

Datuk Dr Haron Din :'Umat Islam sokong keputusan Mahkamah Tinggi adalah kufur'


'Umat Islam sokong keputusan Mahkamah Tinggi adalah kufur'

BANGI: Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menegaskan, mana-mana umat Islam yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Tokoh ulama itu berkata, melalui kaedah yang dipakai dalam ilmu akidah, tindakan bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh agama Kristian itu membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai tuhan sebagai Triniti iaitu terdiri daripada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus.

"Dalam Islam, Allah adalah Esa (satu). Kalau ada yang menyekutukan Allah dengan Triniti, maka berlakulah syirik yang membawa kepada kufur. Kalau kita reda dengan yang kufur, kita jatuh kufur sama," katanya pada sidang media di rumahnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa laman blog termasuk milik pemimpin politik yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad melalui blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan mahkamah itu atas alasan Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaannya.

Haron berkata, walaupun wujud perbezaan pandangan dalam hal siasah dan politik, namun dalam hal berkaitan agama, semua umat Islam mesti bersatu dan berbalik kepada kaedah agama.

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Nasional/20100105014144/Article/index_html)

1 comment:

Unknown said...

Apabila kita menulis atau membaca kenyataan seseorang kita perlu teliti dulu keseluruhan maksudnya. Boleh membawa kepada kekufuran dan adalah kufur amat berbeza. Oleh itu pandangan Datuk Dr. Harun adalah benar dan kenyataan Khalid Samad pun benar tapi dari sudut yang berlainan. Perkataan Khalid Samad lebih kepda reverse psikologi yang mana beliau mempertikaikan umat Islam ketika yang tidak mengamalkan ajaran Islam bukan bermakna beliau bersetuju dengan penyelewangan yang dilakukan oleh bukan Islam dalam penggunaan nama Allah.