Saturday, January 16, 2010

Bisnes :JOM MAKAN Perkenal Masakan Malaysia Di Peringkat Dunia

Sabtu Januari 16, 2010
JOM MAKAN Perkenal Masakan Malaysia Di Peringkat Dunia

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pengarah urusan JOM MAKAN United Kigndom, Muhd Zuhri Abdullah mencuba hidangan roti canai dan teh tarik terbaik di kota London.

LONDON: Usaha-usaha hebat untuk memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa akhirnya terbayar apabila restoran JOM MAKAN di United Kingdom baru-baru ini melancarkan cawangan keduanya hanya dalam masa setahun di pusat membeli-belah paling ramai dikunjungi di Eropah - Westfield Shopping Centre, London.

Westfield, yang berkeluasan 1.6 juta kaki persegi ruang niaga dan mencatatkan lebih 20 juta pengunjung sejak dibuka, menawarkan lokasi yang amat strategik untuk restoran JOM MAKAN menawarkan hidangan masakan tempatan kepada masyarakat asing.

Pusat membeli-belah itu terletak di luar stesen Shepherds Bush Underground di Central Line dan berhampiran dengan BBC. Ini bererti JOM MAKAN mampu memikat pontensi pengunjung yang sentiasa berulang-alik untuk menikmati hidangan masakan Malaysia setiap hari.

Restoran itu menyediakan masakan Malaysia halal dan mudah disediakan kepada lebih 15,000 pengunjung sebulan di dua cawangannya di kota London. Perkhidmatannya juga mudah dan cepat.

"Setiap tahun JOM MAKAN menawarkan hidangan jenama Malaysia ini kepada 180,000 penduduk London dan masyarakat dunia," kata usahawan Malaysia Mohd Zuhri Abdullah yang juga Pengarah Urusan JOM MAKAN.

Chef restoran JOM MAKAN sedang membakar satay.

Sambil menikmati juadah di JOM MAKAN, pelanggan juga diberi pendedahan tentang Malaysia dan perkara-perkara menarik yang terdapat di negara ini.

Pelapik-pelapik meja menarik yang menghiasi restoran ini mengandungi maklumat tentang tarikan utama Malaysia seperti wayang kulit, wau bulan, durian dan menara berkembar Petronas.

Mohd Zuhri berkata, beliau gembira dan bangga apabila JOM MAKAN cawangan Westfield terpilih untuk pelancaran Kempen Malaysia Kitchen 2010 di London pada Isnin lalu apabila media British dan chef-chef selebriti antarabangsa berpeluang menikmati hidangan Malaysia yang disediakan di restoran itu.

JOM MAKAN menghidangkan satay, nasi lemak, rendang daging, kway teow goreng, ayam percik, nasi ayam Hainan, nasi goreng, nasi beriyani, gado-gado, mee Hailam, mee goreng, mee kari, sambal tumis udang dan lain-lain. Malah minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik turut dihidangkan.

Restoran JOM MAKAN Westfield mencerminkan outlet pertama terletak di Pall Mall yang menggunakan konsep dapur terbuka dengan menitikberatkan makanan segar dan cepat disediakan di mana para penunjung boleh duduk makan dalam suasana santai dan pada masa yang sama, turut mematuhi tahap piawaian kebersihan dan kesihatan paling tinggi.

Muhyiddin bergambar bersama kakitangan JOM MAKAN.

Kesungguhan restoran Malaysia ini melambangkan contoh cemerlang tentang kejayaan konsep Malaysian Kitchen dan pembukaannya di Westfield yang serba mewah mampu dilakukan setelah berjaya membuktikan prestasinya sebagai jenama restoran Malaysia di kota kosmopolitan London.

JOM MAKAN telah melaburkan lebih 800,000 pound sterling untuk membangunkan restoran kedua mereka di Westfield. Dengan keluasan 3,100 kaki persegi, restoran dua tingkat itu boleh memuatkan 120 pelanggan.

"Restoran JOM MAKAN Westfield meramalkan pulangan mencapai 1.2 juta pound sterling pada tahun pertama beroperasi," kata Mohd Zuhri.

Perasmian restoran kedua membawa keseluruhan pelaburan JOM MAKAN di United Kingdom kira-kira 1.9 juta pound sterling. Kedua-dua restoran itu mempunyai pajakan selama 25 tahun.

Dengan mempromosikan konsep 'Sekarang semua orang boleh nikmati makanan Malaysia, semua orang boleh masak masakan Malaysia', JOM MAKAN telah mencipta satu impak besar di London bagi memenuhi lebih 3,500 orang pelanggan setiap minggu yang mana 85 peratus adalah warga British.

Mohd Zuhri turut memuji usaha kerajaan dalam mempromosikan makanan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan bersungguh-sungguh bagi menggalakkan usahawan restoran Malaysia mencipta nama dalam dunia kulinari di peringkat antarabangsa.

"Model perniagaan JOM MAKAN telah diuji, dan menawarkan prospek cemerlang dan pengembangan cepat di seluruh dunia untuk hidangan Malaysia. Sama ada di London, Paris atau New York, JOM MAKAN dengan mudah boleh dibina dan siap sedia untuk beroperasi dalam masa seminggu," katanya.


"Kami berharap dapat membuka lima cawangan di United Kingdom menjelang 2012 dan mengintai peluang untuk membawa konsep tersebut ke Amerika Syarikat.

"Dengan sokongan daripada kerajaan Malaysia, kami yakin hasrat murni kami untuk memperkenalkan makanan Malaysia ke tahap paling tinggi ke bandar-bandar utama dunia akan tercapai," katanya.

Menurutnya, dengan sokongan pengunjung seramai 15,000 orang setiap bulan, rangkaian JOM MAKAN turut mempromosikan Malaysia secara besar-besaran melalui pelancongan makan-makan.

Kedua-dua cawangan restoran JOM MAKAN di London beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari kecuali pada Ahad (10 malam). Setiap cawangan diuruskan oleh 30 kakitangan.

(sumber;http://www.mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/1/16/mstar_manusia_peristiwa/20100115200342&sec=mstar_manusia_peristiwa)

No comments: